Showing posts with label ternakan ayam kampung. Show all posts
Showing posts with label ternakan ayam kampung. Show all posts

Saturday, September 4, 2021

Ketum ayam suburkan ternakan [METROTV]

 

Kos makanan ternakan antara cabaran utama dihadapi pengusaha industri ternakan di negara ini, malah ia juga antara faktor penentu kepada harga pasaran bagi kambing, lembu, ikan dan ayam.

Bagi mengatasi masalah itu, seorang usahawan ayam kampung Supardi Bai, menjalankan kajian selama beberapa tahun mendapati pokok ‘ketum ayam’ atau madre de agua (Trichanthera gigantea) yang berasal dari Amerika Selatan antara alternatif makanan ternakan.

Ketum ayam mengandungi protein yang tinggi dan mudah ditanam sementara daun segarnya boleh diberi makan terus kepada ternakan atau diproses sekali gus dapat mengurangkan kos makanan ternakan.

AYAM kampung menikmati daun ketum ayam yang segar.
AYAM kampung menikmati daun ketum ayam yang segar.

Supardi atau lebih mesra disapa Pak Tam berkata, keratan anak pokok berkenaan dibeli daripada seorang kenalan di Kuching, Sarawak selepas beberapa negara menjadikan daun itu sebagai makanan ternakan.

Beliau berkata, nama ketum ayam diberi penduduk kampung kerana menyangka pokok yang ditanam ini adalah pokok ketum walhal ia adalah madre de agua.

“Dari situ lekat nama ketum ayam kerana ia mudah diingati. Daunnya tidak beracun dan tiada antinutritif yang membolehkan protein diserap terus ke dalam badan ternakan bagi membantu mempercepatkan tumbesaran.

SUPARDI memberi makan daun ketum ayam yang sudah matang.
SUPARDI memberi makan daun ketum ayam yang sudah matang.

“Daging ayam yang diberi daun ketum ini kurang lemak sementara teksturnya lebih kenyal dan rasanya juga lebih manis berbanding ayam diberi dedak 100 peratus. Telur ayam yang diberi makan ketum ayam juga mengandungi lebih Omega 3.

“Kos pengeluaran yang lebih rendah akan menjadi pemangkin untuk pengguna terutama suri rumah beralih kepada ayam organik berbanding ayam daging,” katanya yang ditemui di ladangnya di Kampung Sentosa Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

SUPARDI membersihkan anak pokok.
SUPARDI membersihkan anak pokok.

Supardi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari Universiti Okayama, Jepun, berkata, dia membuat kajian berkenaan ketum ayam sejak 2012 bermula dengan mengadaptasi cuaca dan persekitaran di Malaysia.

“Kajian penambahbaikan untuk makanan ayam turut dijalankan. Pelbagai kajian dilakukan antaranya merebus daun dengan ikan masin, perencah sup, kisar dan gaul dengan dedak, kisar untuk minuman, biskut atau cekodok turut dijalankan.

“Kajian ini diberi kepada sejumlah ayam kacuk di dalam beberapa siri ternakan. Berasaskan keputusan kajian, sampel terdiri daripada campuran daun tua, sedang dan muda sudah dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Bahagian Teknologi Makanan Ternakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Hasil keputusan analisis ini menunjukkan kandungan protein kasar yang tinggi iaitu sebanyak 23.3 peratus sementara nilai lemak kasar adalah rendah iaitu 2.6 peratus,” katanya.

PROSES penyediaan anak pokok ketum ayam.
PROSES penyediaan anak pokok ketum ayam.

Menurutnya, ia bukan satu kebetulan kerana data kajian di luar negara menunjukkan daun ini menghasilkan kandungan protein melebihi 20 peratus.

“Kandungan protein ini jauh lebih tinggi berbanding napier (14 peratus), daun kelapa sawit (15 peratus) dan dedak (10 hingga 21 peratus). Bagaimanapun, perlu diingat sama seperti semua tumbuhan lain, kandungan nutrisi adalah berkadar terus dengan kesuburan.

AYAM dewasa sedang makan daun ketum ayam.
AYAM dewasa sedang makan daun ketum ayam.

“Buat masa ini, ternakan sesuai ialah ayam kampung dan kambing yang tidak lepas bebas, ayam kacuk, itik dan ayam piru, burung puyuh, ikan lampam serta talapia.

“Oleh kerana daun ketum ayam ini tidak beracun dan tidak mengandungi bahan antinutritif (tenin dan selulosa), kajian boleh dijalankan untuk mempelbagaikan kegunaan kepada ternakan lain termasuk arnab,” katanya.

Supardi berkata, daun segar boleh diberi makan begitu saja kepada ternakan. Pada peringkat permulaan, mungkin ada penolakan disebabkan ternakan sudah biasa dengan makanan rutin.

DAUM ketum ayam yang dicampur dengan ubi kayu.
DAUM ketum ayam yang dicampur dengan ubi kayu.

“Bagi anak ayam pula, daun berkenaan perlu diracik terlebih dahulu namun bagi ayam besar, ia boleh diberikan begitu saja. Selain diberi dalam bentuk segar, ia juga boleh diproses menjadi sumber protein yang digaul bersama ubi kayu dan lain-lain.

“Sejak saya menggunakan daun ini, ayam menjadi lebih sihat dengan kadar kematian hanya 0.3 peratus. Kadar tumbesaran meningkat kepada dua kilogram (kg) bagi jantan dan 1.7kg (betina) pada usia 10 minggu.

“Tidak seperti daun ketum yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaannya, daun ini sudah digunakan sebagai makanan ternakan sejak sekian lama di negara tropika dan tiada simptom negatif seperti keracunan yang dilaporkan,” katanya.

POKOK ketum ayam yang sudah matang.
POKOK ketum ayam yang sudah matang.

POKOK KETUM AYAM

• Spesies pokok renek

• Daun muda yang lebar mencecah sekaki dan berat sehelai 10 gram

• Dipetik setiap dua hingga tiga minggu dapat membantu mengurangkan pemberian dedak

• Sesuai ditanam di tanah yang agak lembap, subur dan agak terlindung

• Pengairan yang konsisten dapat membantu kesuburan dan memaksimumkan kandungan protein

Sumber:https://www.hmetro.com.my/agro/2018/08/368872/ketum-ayam-suburkan-ternakan-metrotv

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails