Showing posts with label Padi. Show all posts
Showing posts with label Padi. Show all posts

Wednesday, July 22, 2009

Pekan bakal cipta jelapang padi baru

PEKAN – Projek menaiktaraf skim pengairan paya Kampung Pahang Tua dan Kampung Langgar melibatkan kawasan seluas 1,225 hektar di sini bakal mengubah wajah daerah Pekan yang bakal muncul sebagai kawasan jelapang padi baru.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, projek yang dijangka siap Ogos tahun depan turut mampu mengubah nasib 600 petani yang mengusahakan kawasan padi di sini.

Menurutnya, kerja-kerja menaiktaraf skim pengairan di sini sedang berjalan lancar dan beberapa masalah yang dimaklumkan oleh petani dapat diselesaikan melalui kerjasama yang diberikan.

“Saya berharap kerja-kerja ini berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan selain memastikan setiap peserta yang terlibat berpuas hati dengan projek yang dijalankan.

“Kelancaran projek yang menelan belanja sebanyak RM37.9 juta ini dijangka dapat memberi peluang kepada petani menuai hasil tanaman padi sebanyak dua kali setahun,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan kerja dua hari di sekitar daerah ini.

Johari berkata, kerja-kerja seperti membina tali air agihan konkrit, membina tali air utama, menaiktaraf parit air buang, menaiktaraf jalan pertanian dan lain-lain kini sedang berjalan lancar.

“Kerja lain yang berkaitan seperti menaiktaraf serta pembesaran pembentungan air keluar (outlet) Kampung Jambu serta menaiktaraf rumah pam Langgar turut dijalankan dalam memastikan sistem pengairan di sini berjalan dengan baik.

“Kami juga menjangkakan hasil padi sebanyak 10 tan sehektar bagi setiap musim tuaian terutamanya di bulan Mac dan jangkaan penurunan hasil mungkin berlaku pada tuaian kedua iaitu dalam bulan Oktober ekoran kekerapan cuaca hujan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat dan jangkaan bagi kawasan jelapang padi baru ini, pantauan serta tinjauan akan dilakukan sekurang-kurangnya dua bulan sekali bagi memastikan projek ini berjalan dengan baik dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau turut menjelaskan sistem pengairan yang disediakan turut mengambil kira faktor bencana banjir yang berkemungkinan besar berlaku pada setiap penghujung tahun.

“Pembinaan sistem ini mempunyai dua pintu air di mana jika berlaku banjir, air boleh disalurkan ke sungai Pahang dan laut bagi mengelak tanaman padi rosak akibat ditenggelami air.

“Jabatan pertanian juga akan membekalkan benih baru serta menyediakan kursus berkaitan seperti pengurusan sistem pengairan, kerja berpasukan, operasi manual dan lain-lain bagi menambah ilmu para peserta yang terlibat dalam mengusahakan kawasan padi di sini,” katanya.

Beliau berharap semua peserta dapat menggunakan manfaat yang disediakan secara sepenuhnya selain memperoleh pulangan daripada usaha yang dilakukan.

Beliau turut menyatakan hasrat kementerian yang bakal meluaskan usaha yang sama di daerah Rompin yang turut menunjukkan potensi untuk muncul sebagai kawasan jelapang padi.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails