Showing posts with label koko. Show all posts
Showing posts with label koko. Show all posts

Monday, August 2, 2010

LKM perkenalkan program tingkatkan pengeluaran biji koko

PENAMPANG 2 Ogos - "Program Koko untuk Rakyat" telah dilancarkan hari ini sebagai satu daripada inisiatif Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk melibatkan orang ramai dalam usaha meningkatkan pengeluaran biji koko negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata, peningkatan ini perlu kerana ketika ini pengeluaran biji koko negara belum pun mencapai 10 peratus daripada kapasiti pengisaran koko negara.

"Kapasiti pengisaran koko negara dianggarkan sebanyak 350,000 tan setahun, namun pengeluaran biji koko negara hanyalah sekitar 18,000 tan setahun.

''Kita banyak bergantung kepada biji koko diimport bagi pengisar kita, dengan aktiviti hiliran industri koko mencatatkan prestasi baik di Malaysia.

"Berikutan kekurangan koko, saya difahamkan bahawa terdapat pelabur di Malaysia yang pergi ke Indonesia untuk membuka kemudahan pengisaran mereka. Oleh kerana Indonesia menetapkan duti eksport 10 peratus bagi koko dieksport dari negara mereka, kita tidak boleh terus mengeksport dengan banyak dari mereka seperti sebelum ini," katanya selepas majlis pelancaran peringkat kebangsaan program tersebut di sini, hari ini.

Program tersebut yang melibatkan pemberian anak pokok koko yang telah dicantum secara percuma kepada rakyat, disasarkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanaman ini di samping memberi pendapatan sampingan kepada rakyat.

Ia juga dijangka membantu menyumbang kepada sasaran pengeluaran biji koko tempatan kepada 40,000 tan setahun dalam tempoh lima tahun akan datang. Dompok menjelaskan Malaysia dan Sabah dahulunya pernah mengusahakan banyak tanaman koko namun apabila harga komoditi tersebut turun pada akhir 1980-an, ia dianggap tidak menguntungkan dan diganti dengan kelapa sawit berikutan nilainya yang tinggi.

Sementara itu Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr. Azhar Ismail berkata dengan program-program koko yang sedia ada dan Program Koko Untuk Rakyat ini, Lembaga itu menyasar pengeluaran biji koko negara dapat menampung sekurang-kurangnya 30 peratus keperluan kapasiti pengisaran negara menjelang 2020.

Menyentuh program hari ini, beliau berkata, 1,000 anak pokok koko akan diedarkan sempena majlis pelancaran, dan sasaran mereka adalah untuk mengedarkan 1 juta anak pokok dalam lima tahun (dianggar melibatkan 1,000 hektar) iaitu purata 200,000 anak pokok dalam setahun.

Program itu mengalakkan tanaman koko di kawasan seperti di sekeliling rumah, pejabat, sekolah dan taman rekreasi.

Beliau berkata, LKM juga akan membantu memasarkan buah atau biji koko tersebut.

Pada 2009, pengisaran biji koko oleh industri pengisaran koko Malaysia berjumlah 279,228 tan. Malaysia mencatatkan pendapatan sebanyak RM3.2 bilion daripada eksport koko dan produk berasaskan koko pada tahun tersebut, turun sedikit daripada RM3.4 bilion yang diraih pada 2008.

- Bernama

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails