Friday, February 4, 2011

Penjagaan belimbing besi

Nama botani atau saintifik bagi belimbing besi ialah Avverrhoa carambola yang tersenarai dalam keluarga Oxalidaceae.

Belimbing besi tidak mempunyai musim buah yang utama, tetapi ia berbuah sepanjang tahun, dan secara amnya, buah belimbing besi boleh dituai sehingga enam kali dalam setahun.

Pokok belimbing besi boleh dibiak dengan menggunakan kaedah pembiakan mata tunas dan kaedah pembiakan tut.

Kaedah cantuman mata tunas mempunyai peratusan kejayaan yang tinggi dan mudah untuk dipraktikkan.

Bagi membuat kaedah pembiakan cantuman mata tunas, bahan dan peralatan yang diperlukan adalah pokok penanti yang berumur empat bulan ke atas, ranting kayu mata tunas, pisau cantuman dan plastik pembalut lutsinar.

Setelah anak pokok berjaya dicantum serta diberi penjagaan yang sempurna di tapak semaian, maka anak pokok telah sedia untuk ditanam diladang apabila mencapai umur 10 bulan keatas.

Jarak tanaman bagi belimbing besi adalah disyorkan 6 meter (m) x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama yang mana jumlah anak pokok belimbing yang dapat ditanam ialah 278 pokok sehektar.

Pokok belimbing besi mula mengeluarkan buah bermula umur sembilan bulan dan keatas, dan pokok yang ditanam dengan menggunakan biji benih, pokok akan mula berbuah apabila mencapai umur empat tahun dan ke atas.

Buah belimbing besi perlu dipetik apabila terdapat perubahan warna hijau gelap ke warna hijau kekuningan. Kebanyakan buah belimbing besi mempunyai biji dan terdapat juga buah yang tidak mempunyai biji bergantung kepada kultivar.

Buah belimbing besi mempunyai rasa dari masam hingga manis, amat berjus, dan sangat rangup.

Varieti belimbing besi yang popular ialah B2 (Pendebungaan), B10 dan B17.

Formula Waiz bertani moden


SEDARKAH anda sembilan persepuluh cabang rezeki adalah datangnya daripada bidang perniagaan.

Ia termasuk juga bidang pertanian yang sememangnya amat terkenal dengan masyarakat negara ini terutamanya yang berada di luar bandar.

Namun, tidak ramai di antara kita yang berminat untuk menceburinya kerana berpendapat bidang tersebut memerlukan modal yang tinggi di samping ilmu pengetahuan yang mencukupi dan serba lengkap.

Jika di kawasan luar bandar, rata-rata penduduknya memiliki tanah yang luas di samping sinaran matahari yang terik sepanjang tahun.

Justeru, tiada masalah bagi mereka untuk menanam apa jua jenis tanaman untuk dijual di pasaran.

Tetapi bagaimana pula bagi mereka yang berada di tengah-tengah kota metropolitan di mana keluasan tanah pertanian amat terhad.

Malah boleh dikatakan, di kawasan bandar mustahil untuk mendapatkan tanah pertanian yang sesuai.

Itu belum lagi di tambah dengan masalah pencemaran akibat bahan buangan industri serta sampah sarap, namun segala permasalahan pasti ada penyelesaiannya.

Sehubungan itu seorang usahawan pertanian tempatan Waiz Kashifi, berusaha mengoptimumkan keperluan projek pertanian bagi mengurangkan pembaziran.

Menurut pemilik Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. itu, sistem perladangan konvensional telah lama wujud, akan tetapi kaedah tersebut dilihat agak tidak cekap dan banyak membazirkan sumber-sumber keperluan dan tenaga kerja.

Menurutnya, apa yang lebih mendukacitakan situasi tersebut banyak mengecewakan petani kerana usaha mereka gagal dan akhirnya kehilangan banyak sumber kewangan.

"Persoalannya mengapa ia (situasi kerugian) berlaku?

"Apakah yang tidak kena dengan sistem pertanian yang diamalkan oleh petani kita sejak dulu?

"Justeru, saya tampil disini bagi menjelaskan antara sistem pertanian yang patut diolah semula bagi menjana pendapatan yang lebih lumayan," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Pertanian Agro-Bio WaizK di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Waiz, beliau bukan seorang petani yang berjaya atau yang telah lama menempah nama dalam bidang tersebut.

Namun setelah melihat peluang yang tersedia di hadapan mata maka beliau kini beralih arah.

''Saya dahulu bekerja dalam sektor automobil, malah pertanian tiada langsung dalam kamus kerjaya saya dahulu.

"Ketika mengikuti pelbagai kursus automobil di luar negara saya berkesempatan melihat perkembangan pertanian yang diamalkan oleh rakyat negara luar.

''Lama-kelamaan saya jadi tertarik dan akhirnya mengambil keputusan untuk beralih angin ke bidang pertanian,'' jelasnya.

Bukanlah merupakan sesuatu yang mudah untuk mencuba sesuatu pekara yang baru, apatah lagi ia langsung tiada kena mengena dengan kerjaya beliau sebelum itu.

Namun atas usaha yang bersungguh-sungguh akhirnya beliau berjaya menemui formula berkesan yang dapat diguna pakai dalam sektor pertanian moden.

Jelas Waiz, teknologi yang digunakan di pusat penyelidikan dan pembangunan beliau adalah merupakan keperluan asas paling utama untuk meningkatkan kualiti dan kadar tumbesaran tanaman pertanian.

Malah, katanya, melalui pengurusan dan amalan pertanian yang terbaik, kepelbagaian biologi yang selamat, amalan pertanian yang bijak dan 'kaizen' yang disebut dalam bahasa Jepun akan dapat membentuk suatu kitaran sistem ekologi (sistem-Eco) yang sempurna untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Bagi Waiz, syarikatnya lebih menumpukan perhatian terhadap sektor pertanian berasaskan teknologi fertigasi atau pengairan baja, hidroponik dan kompos bio-organik.

Namun, buat masa kini, teknik yang diberi tumpuan ialah teknologi fertigasi.

Tambah Waiz, teknik fertigasi atau pengairan baja telah diketahui secara meluas di negara ini malah ia semakin popular.

Pasti terdapat sebab untuknya berikutan semakin ramai petani atau pengusaha telah bertukar menggunakan kaedah tersebut.

Justeru apakah fungsi sebenar Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. di sebalik teknik tersebut?

Di sini Waiz menjelaskan rahsia serta kelebihan sebenar teknik fertigasi yang rata-rata tidak diketahui ramai.

Menurut beliau, perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation.

Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan digunakan serentak kepada tanaman pertanian.

Fertigasi juga tergolong dalam teknik hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah.

Secara umumnya, hanya beberapa jenis tanaman sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi, antaranya cili, tomato, timun, terung, strawberi dan rock melon.

Dengan menggunakan kaedah fertigasi, pengusaha boleh mengelakkan tanaman mereka daripada dijangkiti penyakit akar dan serangan bakteria kebanyakannya dibawa oleh tanah.

Selain itu, tanaman tersebut dapat ditanam di mana sahaja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak poli beg yang mengandungi media bagi menggantikan tanah.

Manakala kaedah titisan yang digunakan dalam sistem fertigasi berupaya untuk membekalkan air dan larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran.

Manakala air dan larutan baja diberikan secara berkala dan tetap pada setiap hari justeru larutan baja yang mengandungi segala nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar pokok.

Teknologi sistem fertigasi ini paling berkesan jika dilakukan di bawah struktur pelindung hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam dari diserang oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah yang disebabkan oleh percikan hujan yang bertoksik.

Selain melindungi tanaman daripada jangkitan penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair akibat air hujan dan merencatkan pembesaran pokok seterusnya menjejas pengeluaran hasil.

Justeru, syarikat beliau kini ditubuhkan khusus bagi membantu petani dengan memberikan latihan serta pengembangan ilmu berkenaan pertanian terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Bagi yang berminat untuk mengikuti latihan serta kursus yang bersesuaian, anda boleh menghubungi beliau di talian 03-51914604 atau layari laman web www.waizk.com untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut.
Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails