Saturday, July 22, 2023

Kebun sayur jana pekerjaan

 RAJA Hamidah (tengah) bersama pekerja yang membantunya menunjukkan sawi segar selepas dituai.


RAJA Hamidah (tengah) bersama pekerja yang membantunya menunjukkan sawi segar selepas dituai.


IBU tunggal ini bergelar pengusaha kebun sayur selepas menceburi bidang itu lebih tiga tahun lalu.


Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencetuskan idea kepada ibu tunggal berkenaan untuk berkecimpung dalam bidang pertanian walaupun tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang itu.

Percubaannya berjaya apabila kebun yang diusahakannya mampu menampung keperluan sayur-sayuran di sekitar Kelantan terutama Kota Bharu.

Lebih membanggakan apabila ibu lima cahaya mata itu mampu menggaji lima pekerja juga terdiri daripada ibu tunggal dan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.


Raja Hamidah Raja Hassan, 57, berkata, beliau awalnya menanam pelbagai jenis sayur-sayuran di belakang rumahnya termasuk cili, terung dan sebagainya secara kecil-kecilan hanya untuk makan sendiri serta diagihkan kepada saudara-mara selain jiran tetangga.


"Melihat sayur yang ditanam hidup subur, saya mula mendapat idea untuk menceburi bidang pertanian dengan lebih serius dan mahu buat dalam skala yang lebih besar.

"Untuk itu, saya mula mencari maklumat dengan bertanya kepada beberapa rakan yang mempunyai ilmu dalam bidang pertanian selain menjadikan pengalaman sendiri sebagai guru.

"Kebetulan ada tanah kosong di kawasan kampung yang terbiar dan saya memajaknya daripada tuan tanah untuk menanam sayur," katanya ketika ditemui di ladang sawi miliknya di Kampung Keling, Limbat di Pasir Tumboh, Kota Bharu.

Menurut Raja Hamidah, beliau awalnya menanam lada solok dan kemudian beralih kepada tanaman sawi sejak sebulan lalu.

Untuk permulaan, dia menanam kira-kira 5,000 polibeg sawi secara fertigasi gantung dan ia sudah mula dikutip untuk dijual kepada pemborong.

"Bagi 5,000 polibeg sawi yang ditanam, ia mampu mengeluarkan lebih 5,000 kilogram (kg) sayur.

"Kaedah fertigasi gantung menjadi pilihan kerana ia lebih selamat kerana tanaman berada di tempat yang tinggi dan ia juga mudah untuk dijaga berikutan dapat mengelakkan rumput tumbuh.

"Jika ditanam di atas batas biasa, mungkin rumput liar akan tumbuh di antara pokok sawi berkenaan," katanya.

Jelas Raja Hamidah, kaedah fertigasi gantung juga boleh mengelakkan pokok tanaman daripada dirosakkan haiwan lain termasuk ayam, itik dan sebagainya.

Katanya, tanaman pokok sawi menjadi pilihannya kerana ia mudah dan tidak rumit untuk menjaganya.

Selain itu, bagi memastikan pokok mengeluarkan hasil yang memuaskan, siraman air perlu sentiasa cukup terutama dalam keadaan cuaca yang panas.

"Ini kerana keadaan cuaca yang panas akan menyebabkan pokok mudah layu jika tidak mendapat air yang cukup.

"Justeru, sistem siraman automatik yang lebih praktikal digunakan kerana ia memudahkan serta menjimatkan masa.

"Penggunaan baja juga perlu mencukupi iaitu tiga hari sekali menggunakan baja air dan ia bagus kerana dapat mengelakkan serangga perosak daripada menyerang pokok," katanya yang tidak mahu menggunakan racun kerana mahu sayur yang ditanam lebih organik dan tidak bahaya kepada pengguna.

Menutup perbualan, Raja Hamidah berkata, beliau bersyukur usaha yang dijalankan itu mula membuahkan hasil untuk menambah pendapatan keluarganya.

Lebih menggembirakan, beliau juga dapat membantu ibu tunggal lain yang memerlukan pekerjaan sebagai sumber rezeki utama buat keluarga mereka.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails