Thursday, May 7, 2009

Nanas bakal jadi sumber utama Kubang Pasu

Tanaman di Bukit Kayu Hitam hasilkan keluaran menggalakkan

JITRA: Daerah Kubang Pasu di sini, dijangka menjadi antara pengeluar nanas terbesar di negeri ini apabila tanaman itu diusahakan secara komersial membabitkan keluasan kira-kira 1,200 hektar dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Pertanian yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata nanas dipilih menjadi tanaman komersial di kawasan itu kerana kajian mendapati tanahnya amat bersesuaian, selain nanas tahan lasak pada perubahan cuaca.

"Ia boleh bertahan sama ada ketika cuaca panas atau hujan, tidak seperti tanaman lain yang mudah terjejas.

"Setakat ini tanaman itu sudah diusahakan di kawasan seluas 200 hektar di Bukit Kayu Hitam dan hasilnya amat menggalakkan.

"Kita akan mengadakan perjumpaan dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di daerah ini bagi membincangkan perkara itu," katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) anjuran Rukun Tetangga Taman Mahsuri, di sini.

Mohd Johari turut menyertai rondaan bersama anggota SRS itu yang ditubuhkan pada 17 Mac lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan khidmat nasihat daripada Lembaga Nanas Negara bagi memastikan penduduk yang mengusahakan tanaman itu mendapat bimbingan sewajarnya, termasuk dari segi pemasaran.

Petikan dari Berita Harian online

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails