Thursday, May 7, 2009

Borhan buru impian jadi pengeluar benih ikan berjaya

Bekas kakitangan awam pernah rugi kerana cetek pengetahuan


KUALA LIPIS: Pepatah Melayu 'kalau tidak dipecahkan ruyung, bagaimana hendak dapatkan sagunya' menjadi pegangan kepada kepada bekas kakitangan awam untuk menceburi bidang penternakan ikan kelisa emas (Scleropages Formosus) dan kelah merah ( Tor Tambroides) bagi menghasil benih ikan.

Minat Borhan Sulong, 45, untuk menyertai bidang berkenaan timbul selepas mengikuti kursus menternak ikan kelisa anjuran Jabatan Perikanan termasuk melawat kolam ikan berkenaan di Perak, tahun lalu.


Malah, beliau berkata, ternakan itu yang berpotensi memberi pulangan pendapatan lumayan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit turut mendorong beliau untuk berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Walaupun masih dianggap baru dengan pengalaman tidak sampai setahun bukan menjadi penghalang kepada bapa kepada tiga anak itu yang bercita-cita mahu mahu menjadi pengeluar benih ikan kelisa dan kelah terbesar dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Dengan bantuan pegawai Jabatan Perikanan negeri, saya mula mengorak langkah dengan menimba ilmu pengetahuan menerusi bengkel, kursus, membaca daripada buku, internet dan mendapatkan input daripada rakan-rakan yang lebih berpengalaman.

"Selepas melihat kejayaan dengan pendapatan yang lumayan yang diperoleh rakan lain yang sudah bergiat dalam ternakan ikan ini, saya menanam nekad dan bercita-cita menceburi sektor tersebut untuk berkongsi kejayaan dengan mereka," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Borhan berkata, beliau memulakan perniagaannya secara berperingkat dengan membeli 20 ekor induk dua ikan berkenaan dan lebih 60 ekor anak ikan berumur antara dua bulan hingga tiga tahun.

Katanya, harga induk dan anak kelisa bergantung kepada spesies, induk berharga antara RM5,000 hingga RM8,000 seekor, sementara anak harganya antara RM450 hingga RM1,500 seekor.

"Kerana cetek pengalaman, pada peringkat awal pembabitan dalam bidang ini saya terpaksa menanggung kerugian apabila lebih 50 ekor anak kelisa mati disebabkan faktor kebersihan dan suhu air termasuk kecuaian.

"Namun, ia tidak melunturkan semangat dan menganggap ia sebagai cabaran dan pengalaman paling berharga yang tidak mungkin dapat dinilai dengan wang ringgit," katanya yang menetap di Taman Desa Kenari, di sini.

Berkat kesungguhannya, beliau kini menyewa tanah berkeluasan 1.21 hektar yang menempatkan satu kolam ternakan di Kuala Kangsar, Perak.

Katanya, kolam itu boleh memuatkan 20 induk kelisa dan berjaya memiliki 20 anak ikan yang sama selepas tiga bulan memeliharanya.

"Semua anak kelisa berkenaan ditempatkan dalam satu akuarium di bilik khas di rumahnya, sementara 45 ekor induk kelah pelbagai saiz diletakkan dalam kolam simen.

Borhan berkata, kos menguruskan ikan kelisa dan kelah tidak terlalu membebankan, dia hanya mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM1,200 sebulan untuk membeli makanan.

"Kos membeli ikan kelisa dan kelah dewasa yang mencecah sehingga RM50,000 seekor menyebabkan tidak semua yang mampu memilikinya.

"Untuk mengelak ikan mati, saya kini menggunakan dua pekerja tetap bagi melakukan tugas menukar air kolam, memastikan suhu yang betul, kadar kepekatan dan keasidan air dan kebersihan persekitaran kolam," katanya yang kini dalam proses membina 15 kolam induk di tanah yang disewanya bagi tujuan itu di Kuala Kangsar.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails