Thursday, May 21, 2009

Langkawi bakal pengeluar mempelam chokanan



MOHD RAWI (kiri) bersama Omar (tengah) dan Ahmad tertarik melihat mempelam chokanan di Kampung Simpang Datai, Langkawi, semalam.

LANGKAWI: Pulau ini berpotensi besar menjadi pengeluar mempelam jenis chokanan di Kedah jika ia diusahakan dalam skala besar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid.

Beliau berkata, ketika ini 9,000 pokok mempelam jenis itu sudah ditanam kawasan seluas 34.33 hektar di Kampung Simpang Datai di sini, sejak tiga tahun lalu.

"Faktor cuaca yang sesuai iaitu suhu panas tidak keterlaluan, membolehkan pulau ini melonjak nama sebagai pengeluar mempelam chokanan utama di Kedah dalam tempoh terdekat.

"Untuk itu, kita akan membuat promosi bersama Jabatan Pertanian bagi menggalak lebih ramai petani tempatan mengusahakan tanaman itu," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis menandatangani ladang kontrak projek berkelompok mangga chokanan antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan peserta projek itu di kampung berkenaan.

Pada majlis itu, Fama diwakili Pengarah Wilayah Utaranya, Mohd Ariffin Awang, manakala peserta projek oleh Pengerusinya, Omar Putih. Hadir sama, Pengarah Kanan Urusniaga Segar Fama, Ahmad Ishak.

Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya bersetuju membeli dan memasarkan 60 tan mempelam chokanan dari Langkawi sepanjang tahun ini.

"Sejak sebulan lalu, kami membeli 17.05 tan. Berdasarkan rekod pula, sebanyak 106.674 kilogram mempelam chokanan dari projek ini dibeli Fama sejak dua tahun lalu dengan nilai hampir RM190,000," katanya.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails