Sunday, April 19, 2009

Usahawan Bumiputera Sarawak Digalak Ceburi Industri Ternakan Ruminan


KUCHING, 13 April (Bernama) -- Usahawan Bumiputera di Sarawak digalakkan menceburi industri ternakan ruminan bagi menampung bekalan daging di negeri ini, kata Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Mohd Naroden Majais.

Beliau berkata pertambahan populasi dan peningkatan pendapatan penduduk menyebabkan permintaan daging melebihi daripada bekalan.

"Prospek indutri ternakan ruminan di negara ini adalah amat cerah memandangkan permintaan daging semasa melebihi daripada bekalan.

"Pengeluaran daging kambing dan lembu menjadi satu industri yang boleh mendatangkan keuntungan sekiranya peluang ini diceburi dengan serius oleh para usahawan terutamanya kepada usahawan bumiputera," katanya ketika merasmikan Kursus Keusahawanan Penternakan Kambing di Pusat Latihan Sarawak dekat sini Isnin.

Teks ucapan Naroden dibaca anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Untuk mempertingkatkan tahap sara diri terhadap daging kambing dan lembu yang mempunyai nilai tambah, Naroden berkata kerajaan negeri melalui Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) merancang untuk menggalakkan lebih ramai usahawan bumiputera melibatkan diri dalam sektor tersebut.

Beliau berkata UPUB akan meningkatkan bilangan usahawan Bumiputera dalam sektor ternakan berskala besar dan mendapatkan baka yang berkualiti pada harga yang kompetitf.

Selain itu, beliau berkata UPUB akan meningkatkan sumbangan sektor ternakan bagi mengurangkan import dalam negeri dan mempelbagaikan pengeluaran bahan mentah.

Mengenai kursus tiga hari yang bermula pada hari ini akan berakhir pada Khamis ini, Naroden berkata ia memberi pendedahan kepada usahawan di negeri ini untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang ilmu penternakan ruminan dan kaitanya dengan pembangunan produk lain.

Beliau berkata kursus itu akan membuka satu lagi peluang perniagaan baru berpotensi meningkatkan pendapatan Bumiputera khususnya dan masyarakat Sarawak amnya dapat diwujudkan demi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak dan negara.

"Kursus ini akan membantu usahawan melebarkan pasaran produk khususnya dalam senario ekonomi yang semakin tidak menentu kini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails