Sunday, April 19, 2009

FAMA, Gitex Anjur Kempen Celik Herba Hujung Bulan Ini


KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bekerjasama dengan Gitex Sdn Bhd untuk menganjurkan kempen "Celik Herba - Belilah Produk Kesihatan Tempatan" pada 30 April hingga 3 Mei ini.

Kempen yang dianjurkan sempena Pameran Dagangan Antarabangsa Herba ke-enam (Herbal Asia 2009) itu akan diadakan di Pusat Pameran dan Persidangan Matrade (MECC) di sini.

Satu kenyataan Herbal Asia menyatakan kempen selama empat hari itu merupakan usaha bagi mempergiat program promosi dan pemasaran produk keluaran tempatan khususnya pertanian herba dan produk berasaskan herba.

Kempen yang menyasarkan Malaysia sebagai hab pengeluar produk pertanian berasaskan herba di rantau Asia Pasifik itu dilihat sebagai satu pendekatan berkesan dalam memberikan pendedahan lebih luas kepada produk herba tempatan dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan dan tentang khasiat seta nilai ubatan herba tempatan, katanya.

Sebagai platform penting untuk mempromosi produk berasaskan herba, Herbal Asia menyatakan kempen itu juga dijangka menarik minat ramai penggemar herba dari dalam dan luar negara.

Pendedahan besar-besaran semasa kempen dijangka mampu meningkatkan permintaan terhadap produk herba yang sekaligus berupaya melahirkan usahawan baru produk herba di peringkat daerah dan negeri, katanya. Dengan itu import produk kesihatan berasaskan herba dijangka dapat dikurangkan.

Kempen itu akan melibatkan jelajah ke seluruh negera, yang akan menampilkan pelbagai program, antaranya taklimat peluang perniagaan, pemadanan perniagaan di peringkat usahawan baru, mengenal pasti permasalahan pengusaha di luar bandar, pemilihan produk herba untuk dipasarkan, mengenal pasti program mengikut kelompok dan pewujudan jaringan perniagaan sesama sendiri di peringkat daerah.

Kempen itiu, katanya menyasarkan pengusaha pelancongan desa, rumah spa, pusat kesihatan dan rawatan tradisional, pengeluar kosmetik herba, pengeluar dan pengusaha minyak beraroma dan peralatan kesihatan, penanam dan penternak serta penyumber bahan mentah dalam industri perawatan tradisional.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Gitex Sdn Bhd di talian (03) 6260 3506 atau Hajah Safinah Yaakob di talian (017) 300 7811.

-- BERNAMA

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails