Thursday, April 23, 2009

Projek Limau Bali di beri nafas baru

JITRA 23 April - Kerajaan akan memberi nafas baru kepada projek tanaman limau bali yang pernah popular di sekitar daerah ini suatu ketika dahulu dalam usaha menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri pertanian tersohor di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharum berkata, projek tanaman itu yang banyak diusahakan di daerah Kubang Pasu kini kurang memberangsangkan jika dibandingkan ketika ia mula-mula diusahakan lebih 10 tahun lalu.

Oleh itu, katanya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian akan digerakkan bagi membantu para pengusaha projek untuk meningkatkan mutu hasil keluaran limau bali mereka.

"Saya lihat buah limau bali yang dikeluarkan di sini semakin hari semakin mengecil dan jumlah pengeluarannya semakin berkurangan.

"Dalam usaha untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri pertanian, saya akan memberi tumpuan khusus bagi memulih dan menghidupkan semula projek tanaman limau bali ini supaya hasil yang dikeluarkan berkualiti dan mampu bersaing di pasaran," katanya di sini baru-baru ini.

Mohd. Johari yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengenalpasti tanah-tanah terbiar bagi mengoptimumkan penggunaannya termasuk mengusahakan tanaman berkenaan.

Pada masa yang sama, menurut beliau, projek jagung manis juga akan diberi tumpuan kerana ia berpotensi untuk dimajukan di daerah ini.

Katanya, beliau juga akan melawat semula rancangan pertanian yang telah dilancarkan sebelum ini di seluruh negeri bagi memastikan ia benar-benar mencapai matlamat sebelum merangka tindakan lanjut untuk memajukannya.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails