Wednesday, October 29, 2008

Kempen Bumi Hijau bendung harga makanan

MELAKA 26 Okt. - Rakyat perlu menjayakan Kempen Bumi Hijau sebagai langkah membendung kenaikan harga makanan dengan mempergiatkan aktiviti pertanian di sekitar kediaman mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pada masa yang sama kerjasama antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Pertanian negeri juga penting untuk menjayakan kempen ini.

Beliau kesal kerana kempen yang bertujuan menggalakkan rakyat menanam sayur, menjalankan projek ternakan serta akuakultur bagi menghasilkan bahan makanan untuk keperluan sendiri dan keluarga itu masih kurang mendapat sambutan.

"Saya lihat (di Melaka) minat terhadap program permulaan kempen ini masih lagi tidak rancak dan hanya baru bermula di beberapa buah kampung.

"Saya harap, Jabatan Pertanian dengan kerjasama JKKK dapat adakan jadual yang tetap, pastikan setiap minggu ada pembukaan kawasan bumi hijau yang baru dari kampung dan taman di sini," katanya.

Mohd. Ali berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Bumi Hijau Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru, Bukit Baru Dalam, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, Jabatan Pertanian dan JKKK perlu mempunyai sasaran untuk menghabiskan Pelancaran Program Bumi Hijau di semua kawasan di Melaka seberapa segera.

Pada pelancaran program tersebut, setiap JKKK akan diberi peruntukan anak-anak benih sayur-sayuran secara percuma untuk tanaman pusingan kali pertama dan perlu membelinya untuk tanaman berikutnya.

"Pegawai pertanian juga perlu berperanan sebagai pemantau yang mengawasinya secara berterusan bagi memastikan peruntukan kerajaan untuk membeli benih untuk tanaman kali pertama tidak dibazirkan begitu sahaja," katanya.

Tambahnya, program tersebut juga boleh menjadi satu bentuk pendidikan tidak formal sesebuah negeri dan mendatangkan cabang produk baru melalui cara menggantikan kawasan tanah lapang dengan tanaman.

"Dengan ini sesebuah negeri itu bukan sahaja cantik dan bersih, tetapi juga mempunyai projek-projek ekonomi seperti bumi hijau yang dapat mengurangkan kos sara hidup pendudu.

"Ia juga sekali gus dapat mengurangkan makanan yang diimport di samping menjamin bekalan makanan yang lebih bermutu," katanya.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails