Thursday, July 31, 2008

RM5j geran penyelidikan buah jarak

SEPANG 29 Julai - Kerajaan memperuntukkan RM5 juta geran permulaan untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke atas pokok jarak pagar (Jatropha) sebagai sumber tenaga alternatif sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, langkah itu wajar memandangkan pokok tersebut kini menjadi perhatian global sebagai tanaman yang berpotensi menjadi salah satu sumber tenaga alternatif utama di masa depan.

"Setakat ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan beberapa buah syarikat tempatan sedang giat melaksanakan R&D ke atas tanaman tersebut.

"Tetapi kerajaan tetap mengalu-alukan syarikat tempatan atau luar negara yang berminat melabur untuk mengkomersialkan tanaman itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke pusat penyelidikan Jatropha milik Asiatic Centre For Genome Technology Sdn. Bhd., (ACGT) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Asiatic Development Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay.

Pusat penyelidikan seluas 22 hektar itu dibangunkan pada tahun 2006 dan merupakan pusat penyelidikan Jatropha yang terbesar di negara ini.

Bagaimanapun, Fah Kui memberitahu, buat masa ini kerajaan tidak akan menggalakkan para pekebun kecil menceburi dalam tanaman tersebut kerana ia masih di peringkat R&D.

Malah, beliau menambah, kerajaan juga mengingatkan syarikat swasta yang menjalankan kajian R&D atas tanaman itu supaya tidak melibatkan para pekebun kecil dalam usaha mereka itu.

"Banyak persoalan yang masih belum jelas, seperti kos, logistik, kaedah penanaman, benih dan sebagainya.

"Sehubungan itu, kami berharap agar syarikat yang menjalankan R&D bagi tanaman itu dapat menyalurkan hasil kajian mereka itu kepada kerajaan secepat mungkin,'' katanya.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails