Thursday, July 31, 2008


Nangka yang sampai di tempat pengumpulan akan dikupas dan diambil ulasnya sebelum dibungkus.


RAMAI yang gemar memakan nangka tetapi masalah buahnya yang besar dan kulitnya yang tebal ditambah dengan getahnya yang melekit, kadang kala merencatkan selera penggemar buah tersebut untuk menikmatinya.

Dengan gaya hidup yang ringkas dan pantas, tidak ramai yang akan menghabiskan masa hanya untuk mengupas dan membersihkan buah nangka.

Biasanya perubahan mutu akan berlaku melibatkan warna, bau dan tekstur jika nangka yang telah dibuka tidak disimpan dengan betul.

Ini kerana proses metabolisme masih berlaku pada ulas nangka yang menyebabkan perubahan pada bau, warna dan zat makanan.

Pengawalan kadar metabolisme amat penting bagi mengekalkan mutu ulas-ulas nangka semasa penyimpanan.

Justeru Pengawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Latifah Mohd. Nor menjalankan kajian bagi penjualan nangka dalam bentuk ulas yang sedia dimakan.

“Kaedah pemprosesan minimum membolehkan kita menikmati nangka dengan mudah tanpa menjejaskan mutu, kesegaran dan paling penting tanpa getahnya.

“Kaedah ini akan memudahkan kedua-dua pihak iaitu pembeli dan penjual nangka mengendalikan buah tersebut,” katanya semasa ditemui, baru-baru ini.

Menerusi kaedah pemprosesan minimum, nangka terbaik akan dipilih daripada ladang-ladang seluruh negara.

Latifah berkata, buah nangka yang telah matang secara komersial iaitu 70 peratus dituai kerana nangka merupakan buah ‘climatic’ yang masih menjalani proses hidup yang berterusan semasa dibungkus.

Buah nangka yang sampai dari ladang ke kilang akan dibersihkan dan dibasuh dengan merendamnya dalam cecair klorin sebanyak 100 bahagian per sejuta (ppm) selama 10 minit bagi membuang segala mikrob yang ada.

Selepas itu, gas dimasukkan ke dalam peti sejuk pada suhu 10 darjah Celsius (C) bagi mengurangkan getahnya.

“Kemudian buah nangka tadi akan dibelah dan diasingkan ulas-ulas daripada kulit serta jerami.

“Ulas-ulas yang telah diasingkan kemudian dibungkus menggunakan bekas plastik propilena yang boleh dibeli di kedai menjual barangan plastik,” katanya.

Bekas propilena digunakan bagi memudahkannya disusun secara bertingkat dan dapat menjimatkan ruang.

Selain bekas propilena, dulang polisterin boleh digunakan dan dibalut dengan filem regang polivinal klorida (PVC).

Masalahnya, kata Latifah, dulang polisterin tidak boleh disusun secara bertingkat kerana akan menyebabkan kecederaan kepada ulas nangka.

Selain itu, kehilangan berat dan bau boleh berlaku bagi ulas nangka yang dibungkus menggunakan filem regang kerana cirinya yang memudahkan pergerakan gas dan air.

“Selepas dibungkus, ulas nangka perlu disimpan dalam kotak penebat yang dilapisi dengan thermal freeze yang berfungsi mengekalkan suhu rendah dalam kotak.

“Perubahan mutu ulas nangka yang disimpan bergantung kepada perubahan suhu thermal freeze,” katanya.

Mutu akan berubah lebih cepat jika kotak penebat diletakkan pada suhu tinggi kerana thermal freeze akan cepat cair.

Ulas nangka tahan disimpan selama tiga hari pada suhu bilik atau persekitaran biasa dan boleh tahan lebih lama jika disimpan pada suhu rendah misalnya seminggu pada suhu 10 darjah C dan tiga minggu pada 2 darjah C.

Latifah berkata, inovasi berkenaan telah dikomersialkan dan digunakan oleh tiga buah syarikat tempatan untuk mengeksport ulas nangka keluar negara iaitu South Fruits (M) Sdn Bhd., SJ Premium Fruits Sdn. Bhd. dan sebuah syarikat milik Victor J. Francis bagi pasaran ke Dubai, Singapura, Hong Kong, Eropah dan Australia.

Malah inovasi pemprosesan nangka secara minimum ini juga berjaya memikat para juri mengondol pingat emas semasa Pameran Innovasi British (Bis2007) di Alexandra Palace di London.

Inovasi ini juga merupakan pemenang Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama Antara Sektor Awam Dengan Sektor Swasta 2007 (AIPB 2007).

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails