Tuesday, July 14, 2009

Pengeksport utama strawberi

CAMERON HIGHLANDS: Kawasan tanah tinggi ini akan dijadikan tapak pengeluar dan pengeksport utama strawberi di negara ini dengan jangkaan hasil pengeluaran antara RM60 juta hingga RM70 juta setahun, selain menjadikan tarikan pelancong ke pusat peranginan ini.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata kepelbagaian produk strawberi diharap menjadi peluang terbaik produk daripada buah itu menembusi pasaran negara di rantau Asia.


�Keluasan tanaman strawberi yang menjadi antara produk utama di Cameron Highlands kira-kira 30 hektar dan diusahakan 52 pekebun dengan jumlah pengeluaran RM70 juta setahun.


�Keluaran pelbagai produk hiliran juga mencecah pengeluaran antara RM12 juta hingga RM18 juta setahun memberi impak positif kepada pengeluaran strawberi ke pasaran luar negara,� katanya selepas melancarkan program Satu Daerah Satu Industri, di sini, semalam.


Mohd Johari berkata, kerjasama dan kajian penyelidikan berterusan daripada jabatan serta agensi berkenaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan serta Pejabat Tanah dan Daerah membolehkan kepelbagaian klon dan benih baru strawberi dihasilkan.

Timur: UMP, LKPP jalin kerjasama penyelidikan bioteknologi

Tumpu hasil selulosa mikro habluran, pertanian dan tenusu

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli menjalin kerjasama dengan LKPP Corporation Sdn Bhd dalam bidang bioteknologi berasaskan pelepah kelapa sawit.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata kerjasama itu merangkumi pelbagai aspek penting bidang penyelidikan seperti pembangunan perintis untuk penghasilan selulosa mikro habluran dan penyelidikan produk pertanian dan tenusu.

Beliau berkata, penemuan dan inovasi yang terhasil berpotensi untuk dipatenkan dan seterusnya dikomersialkan.

"Kerjasama itu relevan kerana UMP mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi.

"Dengan kepakaran dan sumber yang dimiliki oleh kedua-dua pihak, saya yakin kerjasama yang kukuh dapat dijalinkan," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di sini, baru-baru ini.

UMP diwakili Daing Nasir sendiri manakala LKPP Corporation Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Md Adnan Sulaiman.

Beliau berkata, selain bidang penyelidikan, peluang seperti peningkatan teknologi, pembangunan modal insan, perkongsian pengetahuan serta pengkomersialan produk dapat dilaksanakan.

Daing Nasir berkata, UMP bersedia membantu kerajaan negeri dan agensi di bawahnya termasuk LKPP Corporation Sdn Bhd.

"UMP mempunyai kepakaran inovasi, teknologi dan penyelidikan yang boleh dimanfaatkan oleh LKPP bagi meningkatkan mutu pengeluaran dan mempelbagaikan hasil keluaran.

"LKPP pula boleh membuka ruang bagi penyelidik dan pelajar UMP menjalankan penyelidikan di kawasan perusahaan berasaskan kelapa sawit dan perladangan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan LKPP antara lain turut membabitkan perkongsian sumber sedia ada untuk aktiviti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta pembangunan staf dan pelajar.

Katanya, ia juga membabitkan aktiviti pertukaran dan penempatan pelajar untuk latihan amali atau penyelidikan, kerjasama dalam pembangunan program atau kursus akademik dan perkongsian tenaga pakar.

"Jalinan kerjasama ini juga cukup bermakna kerana LKPP adalah sebuah agensi perusahaan pertanian yang bersifat dinamik, progresif dan moden bagi memajukan sektor pertanian dan bidang ekonomi lain di negara ini,” katanya.

Sumber:Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my

Snek rambutan melalui kaedah gorengan

KUALA LUMPUR - Tentu ramai tidak percaya bahawa selain boleh dimakan begitu saja, rambutan kini dijadikan makanan ringan untuk dinikmati pada bila-bila masa.

Ini terbukti melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sik, Kedah dalam menghasilkan snek rambutan melalui kaedah goreng secara vakum menggunakan isi buah tersebut.

Pengurus Besar PPK berkenaan, Mazlan Ahmad berkata, selain masih mengekalkan kandungan nutrien dan rasanya, kaedah itu membolehkan orang ramai menikmati buah- buahan seperti rambutan di luar musim.

''Pelaksanaan kaedah ini juga bagi mengatasi masalah lambakan buah- buahan di Sik yang boleh dilihat apabila tibanya musim buah.

''Bagi mengelak pembaziran, buah- buahan tertentu seperti rambutan dan nangka dieksploitasi melalui kaedah ini untuk dijadikan makanan ringan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui pada Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

MIFB dianjurkan Kumpulan Utusan dengan kerjasama Expomal International Sdn. Bhd. (Expomal) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurut Mazlan, hanya rambutan Gred A dari jenis Deli dan Anak Sekolah digunakan bagi menghasilkan makanan ringan ini disebabkan kelebihannya yang tidak mudah lekang selain kurang kandungan air.

Selain rambutan, katanya, pihaknya bercadang mengeksploitasi cempedak dan sayur-sayuran seperti timun, kacang panjang dan lobak merah menggunakan kaedah yang sama bermula tahun depan.

''Sasaran pasaran bagi makanan ringan sayur-sayuran ini tentunya adalah kanak-kanak kerana sebagaimana yang kita tahu golongan ini kurang gemar mengambil sayur-sayuran dalam pemakanan harian.

"Justeru, untuk membantu mengatasi masalah ini, kami akan mengeluarkan snek sayur-sayuran supaya kanak-kanak mahupun golongan dewasa dapat menikmati khasiat yang ada pada timun, kacang panjang dan lobak merah itu," katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, pihaknya bercadang memasarkan makanan ringan buah-buahan ini di sekitar kawasan Lembah Kelang kerana yakin dengan potensi pasaran di situ.

Kata Mazlan, dijual pada harga serendah RM5 hingga RM8 sekotak, produk yang diproses di Bandar Baru Barsi Jaya, Sik ini hanya boleh didapati di semua cawangan PPK di seluruh negara.

Hanya tilapia dewasa mati


G. SIVAKUMAR mengumpulkan bangkai ikan tilapia dewasa yang ditemui mati di Empangan Mengkuang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 13 Julai - Kematian ratusan ikan tilapia dewasa di Empangan Mengkuang di sini menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada penduduk di sekeliling kawasan itu.

Apa lebih menghairankan, kejadian yang dikatakan berlaku sejak 10 hari lalu itu hanya menyebabkan ikan jenis itu sahaja mati walhal spesies lain seperti toman dan keli juga terdapat di empangan tersebut.

Pengurus Perkhidmatan Korporat, Perkhidmatan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K. Jeyabalan berkata, pihaknya pelik apabila anak ikan yang bersifat lebih sensitif jika berlaku perubahan terhadap air masih dapat hidup.

''Sejak 10 hari lalu, pekerja di sini telah menemui antara 20 hingga 40 ekor ikan tilapia dewasa yang mati di sekitar empangan ini.

''Kita berasa hairan memandangkan sekiranya air di empangan ini tercemar atau diracun, mengapa ikan jenis ini sahaja mati,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sehingga kini, PBAPP telah menemui lebih daripada 200 bangkai ikan berkenaan yang timbul di sekitar empangan tersebut.

Jeyabalan berkata, kajian awal terhadap sampel bangkai ikan itu telah dijalankan di Bahagian Mikrobiologi, Jabatan Perikanan dan didapati bakteria di dalam bangkai ikan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, ujian makmal yang dibuat terhadap air empangan tersebut mendapati tiada pencemaran berlaku yang boleh menyebabkan ikan berkenaan mati.

''Jika ada orang ingin membuat khianat dengan membuang racun di dalam empangan, sudah tentu spesies ikan lain yang hidup di dalamnya juga akan mati.

''Fenomena ini sememangnya menghairankan dan kita harap hasil laporan penuh terhadap sampel bangkai ikan akan siap dalam masa empat hari lagi sekali gus memberi jawapan kepada kejadian ini,'' ujarnya.

Beliau turut memberitahu, air di dalam empangan tersebut merupakan air mentah yang disalurkan dari Sungai Kulim dan belum dirawat serta hanya dilepaskan jika berlaku musim kemarau sahaja.

''Saya berharap kepada kaki pancing di luar sana agar tidak menceroboh ke kawasan empangan ini kerana ia merupakan kawasan larangan,'' tambahnya.

Sumber:Oleh FAIROL REDZA ISMAEL ALABAS

FAMA ambil langkah atasi lambakan buah

BATU PAHAT 13 Julai - Beberapa langkah drastik diambil Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mengatasi kemungkinan berlakunya lambakan buahbuahan tempatan khususnya rambutan, manggis dan pulasan pada musim kali ini.

Pegawai FAMA Batu Pahat, Jaini Bukhiran berkata, langkah itu termasuk membuka gerai tepi jalan serta melancarkan kempen makan buah-buahan tempatan kepada penduduk tempatan.

Menurutnya, gerai tersebut dibuka di 18 lokasi di seluruh daerah ini dengan membabitkan pemilik kebun atau dusun setempat.

"Kebanyakan gerai terletak di sepanjang jalan utama seperti Jalan Batu Pahat-Kluang, Yong Peng-Parit Sulong dan Jalan Batu Pahat-Pontian," katanya pada Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan peringkat daerah Batu Pahat di tapak pasar lambak, Jalan Omar, di sini baru-baru ini.

Sempena kempen itu, sebanyak satu tan durian dan satu tan pelbagai buah termasuk manggis dan rambutan dijamu secara percuma kepada para pengunjung.

Jaini berkata, kesemua gerai tepi jalan itu secara tidak langsung dijadikan pusat pengumpulan buah-buahan di kawasan terbabit sepanjang musim buah kali ini.

"Mereka bukan sahaja dapat menjual sendiri buah-buahan yang lebih segar tetapi mengenakan harga lebih rendah kepada pembeli berbanding di kedai," katanya.

Menurutnya, selain jalan utama, pihaknya turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dengan membuka beberapa gerai sementara di kawasan pentadbirannya.

Beliau khuatir akan berlaku lambakan buah jika masyarakat kurang memakan buah-buahan tempatan yang bermusim itu.

"Ini kerana Ramadan hampir menjelang dan orang ramai begitu kurang makan buah-buahan sepanjang bulan tersebut," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan buah-buahan di gerai tajaan FAMA dijual dengan harga lebih rendah iaitu sekitar RM10 bagi setiap tujuh kilogram rambutan, manggis dan pulasan.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails