Wednesday, July 8, 2009

Medan Niaga Satok pacu hasil industri asas tani

Pusat niaga ganti Pasar Tamu Satok menelan belanja RM10j

KUCHING: Sebuah pusat perniagaan baru yang diberi nama Medan Niaga Satok akan dibina dalam tempoh terdekat bagi menggantikan Pasar Tamu Satok dengan ia bakal menjadi pusat penggiat industri asas tani memasarkan hasil pertanian mereka.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz, berkata pembinaan pusat perniagaan yang menelan belanja hampir RM40 juta itu adalah usaha Fama Sarawak dan Kerajaan Negeri membantu meningkatkan tahap sosio ekonomi pengusaha kecil industri berkenaan.



Katanya, pusat perniagaan seluas lima hektar itu akan menjadi mercu kebanggaan Fama Sarawak dalam memasarkan produk asas tani dan pada masa sama membantu pengusaha memasarkan hasil mereka di tempat lebih selamat.

"Pembinaan Medan Niaga Satok yang mempunyai ruang niaga mampu memberi keselesaan kepada pengusaha menjual hasil pertanian mereka serta memberi pilihan lebih banyak kepada pelanggan mendapatkan barangan segar.

"Selain Medan Niaga Satok, Fama merancang akan membuka membuka pusat operasinya di seluruh negeri bermula dengan pembukaan pusat pemasaran di Samarahan sebelum diikuti beberapa pusat pemasaran lain," katanya ketika Majlis Makan Malam Bersama Pelanggan dan Pengedar Fama di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Fama Sarawak, Paza Dan dan Timbalannya, Isa Hamzah.

Shariff berkata, pihaknya telah memperuntukkan sejumlah RM10 juta pada tahun ini sebagai dana pusingan membeli barangan pertanian dengan ia diharap dapat membantu memasarkan hasil tani serta produk asas tani penduduk setempat.

Katanya, setakat ini Fama aktif mengadakan ekspo industri asas tani di seluruh negeri bertujuan ini membimbing dan memperkenalkan pengusaha terbabit kepada pengunjung sekali gus mendedahkan mereka dengan keusahawanan asas tani.

"Kita juga turut membawa pengusaha tertentu ke ekspo tertentu di seluruh negara dengan harapan dapat memperkenalkan beberapa produk dari negeri ini seperti kek lapis, tebaloi dan barangan lain ke pasaran Semenanjung dan antarabangsa.

"Malah, kita juga mengambil beberapa produk utama keluaran pengusaha tempatan dan meluaskannya mengikut jenama tempatan seperti agromas untuk dieksport ke pasaran luar," katanya.

Thursday, July 2, 2009

Atap sagu dikomersialkan ke luar Kelantan


GEBENG – Permintaan terhadap atap sagu di negeri ini terus meningkat dan penggunaannya mula diterima ramai bukan sekadar di kediaman biasa sahaja.

:Berdasarkan senario berkenaan, Komuniti Bes-tari Kampung Gebeng mengambil inisiatif mengusahakan produk berkenaan dan berhasrat untuk mengembangkannya ke pasaran luar Kelantan.

Pengerusinya, Tuah Ib-rahim Tuan Taib berkata, komunitinya memproses atap sagu sejak 1950-an lagi sebelum dikenali sebagai Komuniti Bestari.

“Saya melihat produk ini dapat diperluaskan kerana ia bukan sahaja digunakan di kediaman tetapi restoran juga turut menggunakannya.

“Di Kelantan ia seme-mangnya sudah popular dan kini komuniti kita berusaha untuk mengeksport di luar Kelantan memandangkan ia menunjukkan pasaran yang positif,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tuan Ibrahim berkata, walaupun harganya RM1.50 untuk setiap keping tetapi kualitinya dapat bertahan sehingga enam tahun.

“Berdasarkan kelebihan inilah atap sagu yang diproses di komuniti ini menjadi pilihan dari seluruh jajahan.

“Selain itu, pemprose-san ini juga dapat menjana pendapatan kepada wanita di kampung ini dengan mengambil upah menjahit,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, peranan sebagai komuniti bestari lebih jelas kerana ia memberi pulangan dan juga manfaat bersama.

Menurutnya, dia juga sedia menerima tempahan untuk atap sagu yang dipasarkan.

Produk makanan, minuman berasaskan nanas


Amiruddin Osman (kiri) bersama Zainal Kassim menunjukkan produk nanas yang dihasilkan oleh Syarikat Pines.





PERSEPSI masyarakat zaman dahulu sering menganggap nanas sebagai makanan 'tajam' yang boleh mendatangkan pelbagai kesan sampingan jika dimakan dengan kuantiti yang banyak.

Antara kesan tersebut adalah seperti lidas pada lidah selain boleh mengganggu keadaan kandungan bagi wanita yang sedang mengandung.

Mungkin pendapat sedemikian menjadi faktor utama menyebabkan masyarakat kurang menggemari nanas dan akhirnya menjadikan perusahaan tanaman buah tersebut tidak dilaksanakan secara meluas.

Melihat secara mendalam dari sudut saintifik, nanas atau nama saintifiknya Ananas comosus sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan dan khasiat berguna untuk manusia.

Antara kandungannya yang berfaedah adalah seperti vitamin A dan C, kalsium, fosforus, magnesium, ferum, natrium, kalium, sukrosa, glukosa dan enzim bromelin.

Enzim bromelin mempunyai fungsi sebagai agen anti radang, membantu penghadaman dan anti kanser selain kandungan seratnya boleh melawaskan proses pembuangan air serta mengelakkan sembelit.

Menyedari kepelbagaian khasiat tersebut, buah itu kini telah digunakan secara meluas sebagai ramuan utama dalam penghasilan produk hiliran berasaskan makanan dan minuman.

Diusahakan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru, Prima Pine Food and Beverage Industries (Pines) memberi fokus kepada penghasilan produk makanan dan minuman untuk kesihatan daripada nanas.

Menurut Pengarah Pasaran Pines, Amiruddin Osman, pihaknya merasakan produk-produk berkenaan mempunyai potensi diperkembangkan ke satu tahap yang boleh dibanggakan.

''Idea untuk tampil dengan produk ini sebenarnya timbul selepas membuat lawatan ke ekspo makanan antarabangsa yang di anjurkan di beberapa negara seperti Rusia, Taiwan dan Jepun.

''Justeru bermula tahun 2007, saya memulakan perniagaan ini dengan membina kilang pemprosesan dan seterusnya memberi tumpuan kepada aktiviti mempromosi kesemua produk,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam usaha meningkatkan mutu dan kualiti produk itu, pihaknya juga ada menjalankan kajian dan penyelidikan menerusi kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Menarik mengenai produk-produk itu, ia dihasilkan daripada nanas berkualiti tinggi jenis Josapine yang ditanam di beberapa kawasan di Sarawak dan Johor.

Produk pertama yang dihasilkan adalah Kopi Nanas Tongkat Ali serta Kopi Nanas Kacip Fatimah dan kolagen.

''Dengan campuran ekstrak nenas bersama pelbagai herba seperti Ginkgo Biloba, minuman ini boleh dijadikan sebagai minuman kesihatan untuk semua orang,'' jelasnya.

Amalan kopi tongkat ali tersebut dipercayai dapat membantu menghilangkan kelesuan, membantu merawat masalah mata, melegakan sakit kepala dan mengurangkan alahan.

Untuk kopi kacip fatimah pula, ia dikatakan dapat membantu mengekalkan wajah awet muda, membantu mencegah pembekuan darah, serta membantu mengembalikan kecantikan warna kulit

Di samping itu, produk lain yang dihasilkan adalah seperti coklat nanas kacip fatimah dan kolagen, jus nanas, kordial nanas, teh nanas, teh nanas sitrus, jem nanas, sos lada hitam dan sos masam manis.

Dari sudut proses penghasilan produk, pihaknya akan memastikan nanas yang benar-benar berkualiti digunakan selain mendapat harga bekalan yang berpatutan menerusi pemantauan oleh pihak LPNM.

Selain itu, LPNM turut memberi bantuan dalam penganjuran kursus industri asas tani bagi menggalakkan pemindahan teknologi kepada para petani dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pengeluaran hasil buah yang berkualiti.

Sambutan yang menggalakkan terhadap produk Pines telah mendorong pihaknya merancang pelbagai strategi pemasaran agar produk-produk itu sampai kepada semua peringkat pengguna.

Bagi memperluaskan pasaran, kerjasama telah dijalankan dengan beberapa pihak seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan serta Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

''Kita turut mempunyai matlamat menempatkan satu pengedar di setiap satu daerah di seluruh Malaysia,'' katanya.

Setakat ini, tumpuan diberikan kepada pengedaran di sekitar Johor dan Lembah Klang menerusi pelantikan Azyraff Global Resources sebagai pengedar tunggal produk-produk tersebut di Wilayah Persekutuan dan juga Selangor.

Menurut Pengarahnya, Zainal Kassim, pihaknya bersama Pines akan menjalankan pelbagai program promosi bagi memperkenalkan produk nanas kepada umum.

''Setakat ini, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan kerana orang sudah mula mempercayai khasiat yang ditawarkan oleh produk nanas ini,'' katanya.

Bagi tujuan sama, pihaknya juga bercadang untuk menyertai ekspo dan pameran jualan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan ramai.

Maklumat mengenai kesemua produk Pines boleh di perolehi di laman web www.houseofpines.com.

Monday, June 29, 2009

Hasil udang galah ditingkat


Yunus Rahmat (kanan) bersama penternak menyaksikan hasil tuaian Projek Ternakan Udang Galah Kolam Kelompok, Kampung Gunung Pasir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID

----------------------------------------------------

KUALA PILAH 29 Jun - Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan pengeluaran udang galah sehingga 200 tan metrik pada hujung tahun ini dalam usaha memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Yunus Rahmat berkata, usaha itu selari dengan matlamat meningkatkan sehingga 20 peratus produktiviti bagi setiap sektor di negeri ini.

"Bagi meningkatkan hasil udang galah, di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan merancang mewujudkan satu atau tiga pusat pembenihan udang galah bagi setiap daerah bagi memenuhi permintaan udang," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Projek Ternakan Udang Galah Kolam Kelompok, Kampung Gunung Pasir di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Jabatan Perikanan negeri merekodkan kira-kira 150 tan metrik hasil udang galah.

"Tiga buah daerah utama iaitu Seremban, Jelebu dan Kuala Pilah merupakan kawasan yang mengeluarkan hasil udang yang tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport," jelasnya.

Beliau memberitahu, bidang ternakan udang galah semakin mendapat perhatian di kalangan penduduk kampung termasuk golongan belia sebagai salah satu sumber pendapatan yang menjanjikan hasil lumayan.

"Harga pasaran udang galah pada masa kini ialah RM40 hingga RM50 satu kilogram.

''Jadi bukan sesuatu yang menghairankan jika penternak mampu meraih pendapatan yang lumayan daripadanya," katanya.

Yunus berkata, bagi menarik minat penglibatan usahawan menjalankan ternakan udang galah, kerajaan memberi insentif RM1.58 setiap kilogram bagi satu tan metrik udang dikeluarkan.

"Ini bermakna setiap 1 tan metrik penternak mendapat intensif sebanyak RM1,580.

''Kerajaan menerusi Jabatan Perikanan negeri juga memberi khidmat nasihat, kemahiran dan kursus asas menternak undang bagi meningkatkan pengetahuan penternak untuk menternak dengan cara betul," katanya.

Sunday, June 28, 2009

Ternak ikan sangkar lumayan


Peserta projek memberi makan ikan tilapia merah yang diternak di bawah projek ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

------------------------------------------------------------

HULU TERENGGANU 24 Jun – Projek ternakan ikan dalam sangkar Sungai Como, Tasik Kenyir di sini memberi peluang kepada golongan muda untuk memahirkan diri dalam bidang ternakan ikan.

Malah, projek berimpak tinggi yang dilancarkan tiga tahun lalu itu memberikan mereka pendapatan tetap setiap bulan selain pendapatan sampingan berbentuk elaun.

Sebanyak 17 peserta kini mengusahakan projek ternakan ikan termasuk tilapia merah, patin dan siakap di 2,200 sangkar di Sungai Como.

Ketua blok sangkar satu, Che Ku Adna Ku Jalil berkata, penyertaannya sejak November lalu dalam projek itu banyak memberi pengalaman dan kemahiran untuk menternak ikan.

‘‘Saya sememangnya mempunyai minat dalam bidang ternakan ini tetapi tidak tahu bagaimana hendak mencari pengetahuan dan penyertaan dalam projek ini banyak membantu saya,” katanya.

Belia berusia 34 tahun itu yang berasal dari Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu berkata, dia dapat belajar cara untuk menternak dan menjaga ikan dalam sangkar dengan baik.

‘‘Saya juga belajar bagaimana untuk menggred ikan dan melihat kualiti ikan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, projek itu juga memberikannya dan peserta lain pendapatan tetap setiap bulan.

‘‘Gaji kami sebulan boleh mencapai RM1,050 bergantung kepada jumlah hari kami bekerja. Selain itu, kami juga akan menerima komisen daripada hasil jualan ikan,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh.

Rakannya, Mohamad Solihan Samad, 27, pula tidak kisah berpanas dan hujan dalam menjalankan kerja penternakan dalam projek itu.

Katanya, beliau tidak mempedulikan keadaan cuaca berkenaan kerana sangat berminat dengan bidang itu.

‘‘Sebelum ini, saya sudah biasa berniaga dalam cuaca berkenaan semasa belajar dahulu,” katanya yang menyertai projek itu pada Mei lalu.

Pemuda yang tinggal di Kampung Tajin di sini berkata, dia diperkenalkan kepada projek oleh seorang peserta projek itu yang tinggal sekampung dengannya.

‘‘Saya tertarik kerana dimaklumkan ia memberikan pengalaman dan kemahiran yang dapat mencapai minat saya selain pendapatan yang baik,” ujarnya.

Sumber:Utusan Malaysia


Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails