Tuesday, January 25, 2022

Cara tanam sawi dan prosesnya

 Penanaman sawi di rumah adalah amat digalakkan memandangkan sawi merupakan sayur yang senang ditanam dan sawi digunakan di dalam pelbagai masakan. Namun, terdapat beberapa cara yang perlu diamalkan supaya tanaman sawi tumbuh segar dan sihat.

Cara Tanam Sawi dan Prosesnya


1. Proses Penyediaan Batas

Penyediaan batas adalah sangat penting sama ada batas di tanah ataupun batas di dalam pot tanaman. Penggunaan pot tanaman adalah lebih mudah digunakan sekiranya laman rumah adalah terhad.

Jenis Tanah

Jenis tanah yang digunakan pula perlulah mengikut skala 3:2:1 dimana 3 tanah:  2 kompos: 1 pasir. Sekiranya tiada kesempatan untuk menyediakan tanah mengikut skala ini, penggunakan tanah hitam yang dibeli di kedai juga boleh digunakan. Masukkan tanah ke dalam pot tanaman sehingga ¾  paras pot tanaman.

2. Semaian Biji Benih

Biji sawi adalah bersaiz sangat kecil dan sekiranya ditanam dengan ditabur begitu sahaja akan menyebabkan pertumbuhan yang sangat rapat. Jika sawi tumbuh begitu rapat, sawi tidak menerima  nutrien yang cukup dan menyebabkan sawi bersaiz kecil.

Teknik yang boleh digunakan ialah dengan mencampurkan benih sawi dengan sedikit pasir, setelah itu ditabur mengikut baris yang lurus. Penanaman yang teratur akan membuatkan tanaman tumbuh secara seragam. Setelah batas telah siap disediakan, tabur benih yang telah dicampur bersama pasir.

Siram secara perlahan, adalah lebih baik disiram menggunakan spray. Siram 2x sehari iaitu pada waktu pagi dan lewat petang.

cara tanam sawi

Semaian biji benih sawi yang baik.

3. Penjarakkan atau Penjarangan Sawi

Setelah 3 atau 4 hari, sawi akan bercambah. Sekiranya sawi telah mencapai saiz 3 inci ataupun pada hari ke 10 hingga hari ke 14, penjarakkan atau penjarangan sawi perlu dilakukan di mana setiap pokok sawi perlulah mempunyai sedikit jarak iaitu 10cm diantara satu sama lain.

Jika sawi disemai tanpa bercampur bersama pasir, sawi akan tumbuh terlalu rapat dan proses penjarangan akan sukar untuk dijalankan dan akan menyebabkan ada pokok yang patah.

cara tanam sawi

Penjarangan pokok dijalankan bagi memberikan ruang dan nutrien yang cukup pada tanaman sawi.

4. Pembajaan

Seterusnya, proses pembajaan sawi adalah cukup jika digunakan baja organik sama ada yang dibeli ataupun dibuat sendiri dari sisa dapur. Sekiranya membeli baja, pemberian baja NPK 15:15:15 kepada tanaman sawi boleh dilakukan seawal minggu kedua, minggu keempat dan minggu kelima penanaman.

Pemberian baja tersebut pada kadar 40 gram hingga 50 gram sepokok dengan cara menabur baja disekeliling pokok. Sebaiknya tidak terlalu rapat sehingga terkena batang pokok. Setelah membaja, pokok perlu disiram supaya baja lebih mudah diserap masuk ke dalam tanah dan diambil oleh akar pokok.

4. Kawalan Penyakit


Sayur sawi tidak dapat dielakkan dari gangguan penyakit dan juga perosak. Kawalan penyakit dan perosak juga adalah penting dalam tanaman sawi kerana perosak gemar dengan sayuran berdaun dan tanpa kawalan yang rapi, daun akan dimakan oleh perosak dengan cepat.

Adalah digalakkan untuk menggunakan kaedah secara biologi ataupun kawalan secara organik. Racun organik campuran boleh digunakan dengan menggunakan cili padi, bawang putih, serai wangi, daun kesum dan beberapa repellent yang lain boleh membantu didalam mengurangkan serangan perosak dan penyakit sawi.

5. Penuaian

Sayur sawi boleh dituai dalam masa 28 hari atau 30 hari selepas pemindahan anak pokok. Sawi dipotong pada bahagian batang paling bawah dan akar boleh dibairkan sehingga menjadi kompos. Tanaman lain boleh ditanam di kawasan tersebut seperti bayam, kangkung atau jenis sayur yang lain. Penukaran jenis tanaman pada kawasan yang sama adalah amat digalakkan bagi memelihara nutrien di dalam tanah.

Kesimpulannya, penanaman sayur sawi di laman rumah tidaklah begitu merumitkan dan amalan tanaman sayur-sayuran terutamanya dengan menggunakan kaedah organik adalah amat digalakkan.

Kredit: https://rootofscience.com/blog/2020/sains-pertanian/cara-tanam-sawi-yang-mudah-dan-betul/

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails