Tuesday, January 25, 2022

CARA TANAM POKOK KELAPA YANG BETUL

 Bagaimanakah cara tanam pokok kelapa yang betul? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap cara tanam pokok kelapa yang betul bermula dari segi penyediaan tanah hingga kawalan penyakit dan perosak.

Pengenalan

Kelapa merupakan sejenis tumbuhan yang sesuai ditanam di kawasan beriklim seperti di Malaysia. Hasil bagi tanaman ini tidak mengikut musim dan boleh didapati sepanjang tahun. Di Malaysia, penanaman secara komersil telah dijalankan di Johor, Selangor dan Perak. Disamping itu industri kelapa penting untuk memenuhi keperluan industri kelapa segar dan pemprosesan negara.

Berdasarkan kepada hasil purata pengeluaran kelapa pada 2007, Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 3,500 biji/hektar/tahun. Namun sehingga kini, masalahnya tetap sama iaitu pengeluaran kelapa negara masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kelapa segar dan industri pemprosesan negara. Industri ini juga memainkan peranan penting dalam perdagangan negara kita kerana sebahagian besar daripada sektor eksport dan import bagi tanaman ini terdiri daripada minyak kelapa dan produk-produk kelapa seperti karbon teraktif, kelapa parut kering, santan dan kelapa segar.

Industri kelapa masih relevan untuk diusahakan sehingga kini dan merupakan industri penting yang menyumbang kepada sosioekonomi negara terutamanya dalam pembasmian kemiskinan dikalangan pekebun kecil. Tanpa melengahkan masa lagi, hari ini saya akan memberi mengupas tentang cara-cara menanam kelapa.

Keperluan Asas Sebelum Penanaman

Jenis tanah yang sesuai untuk penanaman kelapa adalah tanah liat berpasir. Seperti yang kita sedia tahu, kebanyakkannya pokok kelapa mudah didapati di kawasan persisiran pantai kerana ianya adalah kawasan yang sesuai bagi tanaman ini. Sebelum menjalankan penanaman, perlu diketahui bahawa kawasan tanaman perlulah mempunyai tanah yang subur dan sistem saliran yang baik.

Untuk keperluan pH pula, ianya adalah dalam lingkungan pH 5.5 – 6.5. Suhu yang sesuai adalah lebih kurang 27°C. Kawasan penanaman kelapa hendaklah menerima taburan hujan lebih daripada 1800 mm tanpa musim kemarau yang panjang. Akan tetapi perlu diingatkan bahawa jika keadaan kawasan sangat lembab atau taburan hujan yang melebihi 3,000mm setahun, ianya akan mengundang kepada masalah reput pucuk dan buah gugur sebelum waktunya.

Varieti (Jenis Pokok Kelapa)

1. Matag

kelapa Matag

2. Pandan

kelapa pandan

3. MRD

kelapa-MRD

4. MYD

kelapa-myd

Penyediaan Tanah

Sebelum memulakan penanaman, tanah terlebih dahulu perlulah dibajak untuk membalikkan tanah menggunakan mekanisasi jentera ladang seperti bajak putar atau piring. Pada masa yang sama dengan menggunakan jentera tersebut, anda perlu memperbaiki saliran dengan mengadakan sistem perparitan bagi mengeluarkan air yang berlebihan dari permukaan tanah.

Selain itu tanah juga perlu melalui proses pengapuran sebagai satu langkah meneutralkan tanah semula sekurang-kurangnya 2-4 minggu sebelum penanaman. Untuk program pengapuran ini, ianya boleh dijalankan sekali semasa pembajakan dilakukan bagi menjimatkan masa bekerja.

Selepas tamat tempoh tersebut, anda perlu menentukan corak penanaman dengan menandakan tapak penanaman ataupun lining menggunakan pancang bagi menentukan jarak tanaman serta memudahkan proses penggalian lubang kelak.

tapak-penanaman

Kemudian, anda boleh melanjutkan kepada langkah seterusnya iaitu penyediaan batas. Untuk penyediaan batas, tanaman kepala menggunakan sistem chamber ataupun penanaman di antara parit seperti di bawah:

parit-diantara-pokok-kelapa

Seterusnya adalah penggalian lubang bagi tanaman kelapa. Saiz lubang tanaman adalah berukuran 45cm panjang x 45cm lebar x 45cm dalam.

Pemilihan Anak benih Kelapa

Anak benih yang dipilih mestilah yang sihat dan tidak berpenyakit. Cara mudah mengenalpasti anak pokok yang sesuai adalah ianya mempunyai warna daun hijau gelap dan pastikan anak pokok yang hendak ditanam telah pecah daun untuk ditanam. Secara teori, benih yang paling sesuai ditanam adalah sekitar umur 4-6 bulan tanpa polibeg dan 8 – 10 bulan bagi semaian dalam polibeg.

Penanaman

Dalam proses penanaman, waktu yang terbaik untuk memulakan penanaman kelapa ini adalah pada awal musim hujan. Langkah pertama adalah tabur 200gm baja CIRP di dalam lubang yang telah disediakan. Ini kerana dengan penggunaan baja CIRP, ianya akan meransang pertumbuhan akar dengan lebih baik. Setelah itu, anda boleh meneruskan dengan memasukkan benih pokok kelapa lalu, dipadatkan dengan tanah ke dalam lubang tersebut. Langkah terakhir adalah dengan menabur 400g baja organik pada jarak 1m daripada anak pokok kelapa.

Pembajaan

Untuk program pembajaan pula, seperti telah dinyatakan semasa menanam, kadar baja yang digunakan adalah baja organik 400g dan CIRP 200g dalam lubang yang telah disediakan. Pada peringkat umur kelapa sekitar 1-3 tahun, penggunaan baja NPK Kuning/Green (15:15:6:4) pada kadar 1 – 1.5kg/pk/tahun akan digunakan bagi meransang pertumbuhan pokok.

Manakala pada umur 4 tahun dan ke atas, penggunaan NPK Biru (12:12:17:2) dengan kadar 5kg/pk/tahun bagi meransang pertumbuhan bunga dan buah. Kaedah pembajaan bagi pokok adalah sedikit berbeza dengan tanaman lain. Terdapat 2 cara pembajaan iaitu dengan membuat 4-5 poket lubang ataupun membuat alur pada keliling pokok mengikut kanopi.

kaedah poket untuk pembajaan

Kaedah poket

kaedah alur untuk pembajaan

Kaedah alur

Kawalan Perosak dan Penyakit

Antara perosak yang sinonim dengan tanaman kelapa adalah haiwan liar seperti monyet, babi hutan, tupai dan sebagainya. Kehadiran haiwan ini akan mengundang kerugian besar kepada pengusaha sekiranya tidak dibanteras. Terdapat pelbagai kaedah kawalan haiwan ini seperti dengan membuat perangkap atau menembak haiwan tersebut dengan kerjasama dengan Jabatan Perhilitan. Untuk cara yang tidak praktikal adalah menghalau haiwan tersebut dengan letupan.

Monyet

Manakala serangga yang umum menyerang tanaman kelapa pula, adalah kumbang tanduk, kumbang merah palma, kumbang pucuk kelapa, kumbang pleisispa dan ulat artona. Antara cara mengawal serangan kumbang adalah dengan menggunakan perangkap feromon. Untuk pendekatan secara kimia pula adalah bergantung kepada peringkat umur pokok. Sekiranya pada peringkat anak pokok, letakkan 3-4 butir carbofuran pada lubang di pucuk pokok. Bagi pokok rendah pula, pucuk pokok perlu disembur dengan racun serangga cypermethrin. Akhir sekali bagi pokok yang tinggi, laksanakan suntikan batang dengan racun kimia methamidophos atau monocrotopos semasa cuaca kering dan pokok sihat.

Kumbang merah palma

Kumbang merah palma

Yang paling menjejaskan tanaman kelapa adalah ancaman serangga seperti kumbang. Namun begitu, ianya sama sekali tidak terlepas daripada serangan penyakit yang umum seperti bintik daun. Untuk mengatasinya adalah dengan semburan racun benomyl.

Bintik daun

Bintik daun

Penuaian

Pokok kelapa yang telah ditanam akan mula berbunga selepas 3 tahun setelah ditanam. Sebatang pokok kelapa boleh menghasilkan 80-120 buah setahun. Manakala untuk purata berat buah adalah sekitar 2.4kg sebiji. Pelbagai produk hiliran yang boleh dihasilkan dengan kelapa segar seperti santan, minyak kelapa, dan sebagainya.

Penutup

Sebagai salah satu usaha untuk memulihkan industri kelapa negara, langkah proaktif memajukan industri ini perlu diteruskan. Dengan strategi meningkatkan produktiviti untuk kepentingan dua hala, ianya turut meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan bekalan kelapa negara juga bertambah bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport.

Diharapkan artikel Cara Tanam Pokok Kelapa ini dapat memberikan para pembaca idea berkenaan cara tanam pokok kelapa yang betul dan mendatangkan hasil.

Rujukan:

  1. M. Haari (2019). Menanam kelapa (komersial). KCCCI AGRO Seminar 2019 Program Agropreneur Muda [PowerPoint slides].
  2. Jabatan Pertanian (2011). Ringkasan Pencapaian Purata Hasil Pengeluaran Projek-projek Industri Tanaman.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails