Tuesday, July 21, 2009

Melaka laksana Zon Industri Akuakultur

ALOR GAJAH: Jabatan Perikanan negeri kini giat melaksanakan projek pembangunan Zon Industri Akuakultur (ZIA) secara besar-besaran dan terancang bagi memastikan sasaran menghasilkan 13,000 tan ikan ternakan menjelang tahun depan dicapai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, berkata langkah itu selaras hasrat kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas secara berpusat bagi memudahkan penternak memperoleh pelbagai keperluan ketika menjalankan projek berkenaan.

Katanya, ketika ini ada tiga kawasan berkenaan di negeri ini yang sedang beroperasi iaitu di Kampung Sempang di Serkam membabitkan projek ternakan ikan marin dalam kolam, Sebatu di Sungai Rambai bagi projek ternakan kupang dan Linggi di Kuala Linggi untuk projek ternakan ikan dalam sangkar.

"Kerajaan negeri menerusi Jabatan Perikanan sudah mewartakan setiap kawasan yang dikenal pasti sesuai dan berpotensi untuk pembangunan akuakultur sebagai ZIA. Selain itu, sehingga kini, peruntukan RM3.5 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur ketiga-tiga projek berkenaan.

"Adalah diharapkan, sasaran untuk menuai 13,000 tan hasil ternakan akan dapat diperoleh menjelang 2010," katanya ketika merasmikan Hari Bertemu Pelanggan anjuran Jabatan Perikanan negeri di Dewan Ar-Rasyidin, di sini, baru-baru ini.


Oleh Amir Mamat
amirapis@bharian.com.my

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails