Wednesday, July 22, 2009

Pancing sempena Bulan Ternakan Keli

SERDANG - Jabatan Perikanan akan menganjurkan Final Countdown Bulan Ternakan Keli di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini Sabtu ini.

Antara program yang dirancang sempena acara ini ialah pertandingan memancing terbuka dan untuk kanak-kanak, Ceramah Pengeluaran Ikan Keli Best dan Industri Asas Tani (IAT), Potensi Pemprosesan Produk Ikan Keli dan Promosi Ikan Air Tawar.

Bagi pertandingan memancing terbuka, acara akan dikendalikan Wakjali Event Management yang menawarkan hadiah RM5,000 untuk juara, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.

Pemenang keempat hingga 10 masing-masing menerima RM100 dan hadiah iringan.

Yuran penyertaan bagi kategori ini ialah RM41 untuk satu joran.

Pengarah Urusan Wakjali Event Management, Md Zali Kasran berkata, Jabatan Perikanan juga akan melepaskan 10,000 benih ikan ke Kolam Maeps selain 10 ikan patin seberat 7 hingga 10 kilogram setiap seekor, sebelum pertandingan dimulakan.

”Bagi pertandingan memancing kanak-kanak, penyertaan terhad kepada peserta di bawah umur 18 tahun. Yuran penyertaan dikenakan ialah RM5 untuk satu joran. Juara pertandingan bagi kategori ini akan membawa pulang hadiah wang RM500, kedua RM300 dan ketiga RM200. Pemenang keempat hingga 10 masing-masing menerima hadiah sagu hati,” katanya.

Bagi sesi ceramah yang akan diadakan beliau berkata, pihak Jabatan Perikanan akan menjemput semua penceramah yang terlibat dengan Program Ternakan Keli sejak awal Julai lalu, untuk hadir sebagai pakar rujuk di kaunter yang disediakan jabatan berkenaan.

Katanya, pendaftaran bagi pertandingan memancing terbuka akan diadakan bermula jam 6 pagi manakala pendaftaran kategori kanak-kanak serta ceramah perikanan, bermula jam 9 pagi.

Sementara itu, dalam pertandingan memancing Sabtu lalu di Kolam Maeps, lokasi sama bagi penganjuran acara ini, Faizal Yahya muncul juara dengan ikan tongsan 5.85 kilogram.

Tempat kedua disandang Yusof Sofi dengan tongsan 5.795 kilogram manakala Mohamad Dali dengan tongsan 5.760 kilogram di tempat ketiga.

Dengan kemenangan itu, Faizal menerima hadiah RM3,000, Yusof (RM1,200) dan Mohamad Dali (RM500).

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Jabatan Sistem Maklumat Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia, Salehan Lamin.

Sebarang pertanyaan mengenai acara di atas boleh menghubungi 013-3838655 dan 013-3113911.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails