Saturday, November 28, 2009

'Transformasi sektor pertanian'


Latihan kemahiran, program jana pendapatan tangani miskin tegar: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, satu transformasi ketara dalam sektor pertanian perlu dilaksanakan berikutan keupayaan sektor itu untuk menjana ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin bahawa sektor itu berupaya dimantapkan dan diperkukuhkan untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menjana ekonomi negara, sekali gus menjadi paksi ketiga pertumbuhan ekonomi atau 'Third Engine of Growth'.

"Sektor pertanian adalah antara sektor yang menjadi sumber penting pendapatan rakyat luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, satu transformasi ketara dalam sektor ini perlu dilaksanakan dan ia perlu bermula daripada peringkat tanaman hingga ke pemasaran hasil pertanian," katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kebangsaan kali ke-36 di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Najib yakin transformasi sektor pertanian dapat dilaksanakan dengan adanya Dasar Agro Makanan Baru yang sudah digubal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memajukan lagi sektor agro makanan supaya negara boleh mencapai Imbangan Dagangan Makanan yang positif menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, dengan sokongan peladang, penternak dan nelayan serta komitmen kerajaan yang ada sekarang, tidak mustahil transformasi sektor pertanian ini boleh dilaksanakan dengan jayanya.

"Menyedari pentingnya sektor pertanian maka dalam Bajet 2010, sektor ini diberi peruntukan yang besar, iaitu sebanyak RM6 bilion dengan tujuan meningkatkan sumbangan pertanian kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Katanya lagi, antara lain peruntukan itu digunakan untuk menaik taraf dan membaik pulih sistem infrastruktur pengairan dan saliran di dalam dan di luar jelapang padi yang akan dinikmati lebih 180,000 petani dengan peruntukkan sebanyak RM137 juta.

Selain itu, katanya, melaksanakan projek Empangan Paya Peda di Terengganu untuk Skim Pengairan Padi di Besut yang memberi kemudahan kepada ramai pesawah dengan peruntukkan sebanyak RM70 juta.

Najib berkata, kerajaan akan menyediakan lebih banyak premis perniagaan di lokasi yang strategik bagi meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan luar bandar.

"Bagi tujuan ini kerajaan akan memperuntukkan kepada UDA Holdings Berhad sebanyak RM30 juta ringgit untuk membina kedai desa di seluruh negara," katanya.

Selain daripada membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup peladang, penternak dan nelayan, beliau berkata, kerajaan juga prihatin terhadap kesukaran rakyat, terutama kos sara hidup yang kian meningkat.

Justeru, katanya, kerajaan komited untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar pada 2010 dengan menyediakan peluang latihan kemahiran dan program penjanaan pendapatan bagi menangani kemiskinan tegar.

"Antara langkah utama yang akan dilaksanakan adalah mengagihkan bantuan kebajikan Persekutuan pada hari pertama setiap bulan serta meneruskan Skim Program Lonjakan Mega. Program ini akan dapat mengeluarkan 5,600 keluarga daripada kemiskinan
tegar," katanya.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails