Wednesday, July 29, 2009

Timur: Penternak itik e-Kasih gembira nikmati hasil

Peroleh pendapatan sehingga RM600 sebulan

KOTA BHARU: Seramai 33 peserta program e-Kasih yang menyertai ternakan itik telur Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan kini bernafas lega apabila usaha mereka mula membuahkan hasil apabila mampu memperoleh pendapatan antara RM500 hingga RM600 sebulan sejak awal bulan lalu.

Pasaran telur itik diusahakan penduduk miskin itu berjalan lancar hasil bimbingan Pengarah Urusan Himsak Agro Resources, Mohd Asyrafuddin Mohd Ghazali, 24, yang dilantik JPP sebagai mentor program berkenaan.

Usaha gigih anak muda terbabit yang ikhlas untuk membantu keluarga miskin itu keluar dari belenggu kemiskinan ternyata membawa keuntungan kepada kedua-dua pihak. Setiap peserta kini berpuas hati melihat usaha mereka kini membuahkan hasil.

"Saya bersyukur kerana hasrat JPP dan saya membantu keluarga miskin yang dipilih menyertai program ini mula membuahkan hasil apabila apabila setiap keluarga mampu meraih pendapatan tambahan antara RM500 hingga RM600 sebulan.

"Setiap dua hari sekali, saya meraih telur itik yang dihasilkan oleh ternakan yang dijaga oleh 20 peserta e-Kasih sekitar Pengkalan Kubor dan 13 peserta sekitar Kota Bharu untuk diproses menjadi telur masin sebelum dipasarkan di seluruh Kelantan dan kini sedang dikembangkan ke Terengganu.

"Setiap peserta menerima bayaran sebaik telur itik dikutip. Bekalan itu akan diproses menjadi telur masin sebelum dipasar kepada kedai makan, pasar raya, kedai runcit serta beberapa hotel tempatan," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas perasmian program itu peringkat Jajahan Tumpat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar di Kampung Bunuhan, dekat sini.

Mohd Asyrafuddin yang juga anak kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Mohd Ghazali Abd Rahman itu, berkata walaupun menghadapi kesulitan kerana perlu keluar masuk kampung untuk mengutip telur itik setiap peserta, namun didorong niat ikhlas ingin membantu peserta e-Kasih itu, kepayahan itu terpaksa diketepikan.

"Saya juga turut menyertai pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di pekarangan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV yang sedang berlangsung hingga 29 Julai ini dalam usaha memperluaskan pasaran telur itik keluaran peserta e-Kasih.

"Saya dalam proses mencari pasaran lebih meluas itik telur kerana penting untuk setiap peserta e-Kasih memperoleh pendapatan lumayan sekali gus usaha JPP membantu mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan berjaya kita lakukan," katanya.

Beliau berkata, sejak program e-Kasih dilaksanakan awal Jun lalu, syarikatnya mengumpul lebih 60,000 biji telur itik yang diproses menjadi telur masin daripada 33 peserta itu membabitkan 27 peserta di bawah JPP dan enam di bawah Risda Kelantan.

"Setiap peserta menerima bekalan 150 ekor itik spesies Khaki Champbell yang dibeli dari Melaka dan turut menerima bantuan bekalan makanan asas ternakan itu secara percuma selama dua bulan. JPP Kelantan memperuntukkan RM300,000 bagi menjayakan program ini.

"Ia adalah untuk membantu peserta membina reban selain membekalkan bahan makanan itik. Saya juga sedang menunggu peruntukan bagi menjayakan fasa kedua projek ini yang akan disertai 33 peserta," katanya.

Bagi fasa kedua, seramai 15 keluarga miskin dari jajahan Bachok; Pengkalan Kubor (10); Pasir Puteh (enam) dan tiga lagi peserta dari Pasir Mas yang masing-masing bakal menerima 150 ekor itik sebelum Ramadan ini.

Kini, Himsak Agro Resources sedia menerima bekalan dan tempahan telur itik dan telur segar. Mana-mana pihak yang mahu mendapatkan bekalan telur itik masin projek e-Kasih JPP Kelantan boleh berbuat demikian dengan menghubungi telefon, 019-9078228 atau 017-4327228.

Oleh Betty Subaryati
bhkb@bharian.com.my

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails