Wednesday, July 29, 2009

Johor: 840 peserta terima 21,000 anak ayam, itik telur

BATU PAHAT: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor membekalkan 21,000 anak ayam kampung dan itik telur kepada 840 peserta ternakan berkelompok di seluruh negeri ini, tahun ini.

Bagaimanapun, jumlah itu berkurangan berbanding 40,125 anak ayam kampung dan itik yang diagihkan pada 2008 kerana ketika itu jumlah peserta 1,605.

Pada 2008, seramai 1,400 peserta menyertai projek ternakan ayam kampung yang berjumlah 35,000 ekor, manakala 100 peserta mengambil bahagian dalam projek menternak 2,500 itik telur dan 105 lagi menternak 2,625 itik daging.Tahun ini, peserta hanya menternak dua ternakan iaitu masing-masing 420 peserta menternak 10,500 ayam kampung dan itik telur juga berjumlah 10,500.

Ketua Unit Unggas JPV Johor, Mansor Sulaiman, berkata di daerah Batu Pahat dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rengit dan Senggarang sudah melaksanakan projek ternakan itu.

Beliau berkata, di Rengit 40 peserta terbabit menternak 1,000 itik telur, manakala di Senggarang pula 1,000 ayam kampung diagihkan kepada 40 peserta."Projek ini sebahagian daripada Program Bumi Hijau, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang dilaksanakan untuk menggalakkan orang ramai khususnya penduduk kampung tradisional untuk menternak ayam kampung dan itik telur serta itik daging.

"Program ini diadakan bagi menambah pengeluaran makanan untuk keperluan sendiri atau dipasarkan yang akhirnya boleh membantu peserta menambah pendapatan dan tahun ini, JPV Johor mengagihkan 10,500 anak ayam kampung dan 10,500 lagi anak itik telur untuk diternak peserta di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata, setiap peserta yang terpilih menyertai program ternakan berkelompok itu menerima bantuan berjumlah RM281.95 seorang.

"Bantuan itu meliputi kos ayam ayam atau itik yang berusia tiga minggu, ubat antistres, gula merah, teknologi Effective Microorganism (EM), antibiotik, palong makanan dan palong air.

"Program ternakan berkelompok ini ternyata berjaya membantu penduduk kampung menambah pendapatan seperti projek ternakan itik telur di Rengit yang kini sudah mengeluarkan hasil," katanya.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails