Monday, May 25, 2009

Timur: Kilang Felda Bukit Sagu pembekal makanan lembu


Pelepah kelapa sawit diproses hasil 1,200 tan pellet sebulan KUANTAN: Kilang pelepah kelapa sawit (OPF) bernilai RM14.1 juta di Felda Bukit Sagu, dekat sini mampu membekalkan makanan untuk ternakan lembu dan kambing bagi pasaran tempatan apabila beroperasi sepenuhnya. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan, berkata kilang itu yang mula beroperasi sejak Julai tahun lalu kini menjadi pembekal utama makanan ternakan kepada penternak di Kuantan dan sekitarnya.
"Kilang yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu kini mampu menghasilkan sehingga 1,200 tan makanan ternakan dalam bentuk pellet sebulan. "Jika kilang ini beroperasi pada tahap maksimum, ia mampu mengeluarkan sehingga 3,600 tan makanan ternakan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kilang OPF Felda Bukit Sagu dekat sini, kelmarin. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Datuk Mohd Sohaimi Md Shah dan Pengurus Kilang, Jamil Md Yasin.
Terdahulu, Ahmad dibawa melawat dan meninjau sendiri operasi kilang terbabit yang juga satu-satunya kilang pemerosesan pelepah kelapa sawit untuk dijadikan makanan ternakan di dunia. Kunjungan itu adalah antara agenda beliau dalam Program Siri Bermalam Bersama Peneroka Felda di Felda Bukit Sagu 2. Ahmad berkata kilang berkenaan yang diusahakan Felda dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menggunakan teknologi Jerman dan Jepun untuk proses pengeringan dan campuran. Menurutnya, kilang berkenaan menghasilkan dua jenis makanan, iaitu pellet 100 peratus daripada pelepah dan pellet mengandungi makanan campuran bagi ternakan kambing dan lembu.
"Setakat ini, kilang berkenaan tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan bahan mentah pelepah kelapa sawit kerana Felda Wilayah Kuantan mempunyai ladang kelapa sawit seluas lebih 61,000 hektar meliputi 42 tanah rancangan, iaitu di Felda Bukit Sagu, Felda Bukit Kuantan dan Bukit Goh. "Tiga tan pelepah kelapa sawit mampu menghasilkan sehingga satu tan pellet makanan. "Pihak kilang membeli pelepah kelapa sawit peneroka melalui Koperasi Felda dengan harga RM65 setan," katanya. Beliau berkata, hasil keluaran kilang juga mendapat permintaan tinggi di kalangan penternak di sekitar daerah Kuantan kerana makanan dikeluarkan bermutu tinggi serta mengandungi nutrien yang diperlukan haiwan ternakan selain setanding dengan makanan ternakan dijual di pasaran. Ahmad berkata pihak pengurusan kilang juga sedang mengadakan perbincangan peringkat terakhir dengan Kerajaan Terengganu yang berminat membeli hasil keluaran kilang terbabit. Selain itu, katanya, Felda juga sudah menghantar sampel pellet 100 peratus pelepah kepada bakal pembeli di Korea Selatan dan Kanada.

1 comment:

Unknown said...

kilang ni dah beroperasi ke?
ada x pellet yg dibuat dari EFB

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails