Sunday, March 28, 2010

PPPAT Glami Lemi fokus kajian arowana


Ternakan ikan arowana di Bukit Merah sangat popular di kalangan pengeksport.- Gambar hiasan


BERDASARKAN laporan Jabatan Perikanan, industri ikan hiasan Malaysia telah berkembang dengan pesat.

Ini berdasarkan statistik anggaran tahun 2008 bahawa pengeluaran dari industri ikan hiasan adalah 733 juta ekor ikan.

Ini bersamaan dengan nilai RM759 juta dan ini merupakan peningkatan sebanyak 31.4 peratus (pengeluaran) dan 17.3 peratus (nilai pengeluaran) jika berbanding dengan tahun 2007.

Dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) sehingga tahun ini , ikan hiasan telah di kenal pasti sebagai salah satu komoditi dan bidang usaha yang diberi keutamaan.

Salah satu spesies ikan hiasan utama negara adalah ikan arowana (Scleropages formosus) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti industri ikan arowana sebagai salah satu industri bernilai tinggi.

Bagi memastikan pembangunan industri ikan arowana yang berterusan, Jabatan Perikanan telah mengadakan satu Pelan Pengurusan Pemuliharaan Ikan Arowana di Tasik Bukit Merah supaya habitat asal ikan arowana ini dapat dipulihara.

Di negara ini, Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) merupakan sebuah pusat penyelidikan di bawah Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan.

PPPAT yang terletak kira- kira 15 kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, PPPAT Glami Lemi yang dahulunya beroperasi di Batu Berendam Melaka mula beroperasi di Titi, Jelebu Negeri Sembilan mulai awal tahun 2007.

Fungsi utama PPPAT ini ialah menjalankan pelbagai kajian dalam bidang akuakultur termasuklah;

lMenjalankan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang akuakultur dan perikanan air tawar

lMengkaji, mengumpul dan menyebarkan maklumat yang berkaitan.

lMemelihara perhubungan dan kerjasama penyelidikan dengan lain-lain sektor perikanan dan organisasi

Objekitif PPPAT

lMewujudkan teknologi yang sesuai untuk pembiakan dan ternakan ikan makan dan ikan hiasan air tawar

lMewujudkan pengurusan perikanan yang rasional dan akuakultur mapan persekitaran

lMenjadi pusat rujukan dan perkhidmatan pakar

lMeningkatkan keupayaan teknikal penternak dan kakitangan jabatan melalui latihan dll.

lMeningkatkan hasil keseluruhan ikan yang berkualiti di dalam negara

lPemuliharaan biodiversiti hidupan akuatik

Untuk mencapai objektif tersebut PPPAT Glami Lemi menjalankan aktiviti penyelidikan dalam bidang bioteknologi molekul dan penentuan foligenetik ikan air tawar.

Dalam bidang bioteknologi enzim, penyelidikan ditumpukan untuk menyaring mikro organisma yang boleh berupaya mereputkan komponen-komponen tumbuhan yang tidak dapat dihadam oleh ikan.

Dalam bidang pembiakan ikan, PPPAT mencari kaedah pembiakan terkini serta menghasilkan induk, benih dan baka berkualiti.

PPPAT juga menjalankan kajian ternakan untuk pelbagai spesies ikan air tawar serta merancang program pemilihan genetik ikan untuk menambah produktiviti ternakan ikan.

Selain itu, ia penting dalam bagi mewujudkan kaedah pengurusan perikanan yang rasional dan amalan akuakultur yang mapan kepada persekitaran bagi perairan tertutup. Juga sebagai tempat rujukan dan perkhidmatan pengembangan di dalam bidang perikanan darat seluruh negara.

Ia juga menyimpan inventori spesies ikan di perairan darat Malaysia dan memulihara biodiversiti hidupan air.

Pasaran ikan arowana tertumpu kepada eksport.

Negara eksport utama ialah Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.

Sumber:Utusan MAlaysia

Friday, March 19, 2010

ladang pertanian moden diwujudkan

KEPALA BATAS - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan projek pembinaan dua ladang satelit pertanian berteknologi tinggi di negeri ini.

MoU itu melibatkan NCIA, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Malaysian Agrifood Corporation (Mafc) bagi menjayakan projek pertanian tersebut yang akan dilaksanakan di Kampung Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang hadir menyaksikan majlis itu berkata, program pembangunan pertanian itu melibatkan peruntukan sebanyak RM23.8 juta dan akan dilaksanakan di atas tanah seluas 110 hektar milik Perda.

Program itu, katanya, membabitkan dua fasa dan mempunyai empat komponen utama termasuk pembinaan ladang satelit berkeluasan 20 hektar bagi penanaman rock melon di dalam 20 rumah hijau tertutup yang dilengkapi sistem fertigasi automatik.

"Ia juga melibatkan ladang satelit bagi penanaman betik dan nenas secara terbuka dengan keluasan 80 hektar selain pembinaan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU berkenaan antara NCIA yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq dengan wakil Perda, Datuk Azmi Lateh dan Pengarah Eksekutif MAFC, Mohd. Pahmi Mokhtar di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Perda, Datuk Azhar Ibrahim.

Nor Mohamed berkata, melalui fasa pertama program tersebut, 40 peserta akan dipilih bagi menyertai pembangunan konsep ladang kontrak.

"Program ini dijangka dapat menggalakkan penglibatan petani dalam penghasilan produk pertanian bermutu tinggi selain mendorong penyertaan swasta dalam rantaian pengeluaran hasil pertanian.

"Selain dapat mengurangkan import hasil pertanian, program ini juga akan meningkatkan kadar pendapatan petani dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat," tambahnya.

Menurut beliau, NCIA akan terlibat dalam pemilihan peserta latihan usahawan tani manakala Perda bertanggungjawab menyediakan kawasan yang sesuai selain memenuhi keperluan sumber tenaga kerja.

Peranan MAFC pula, jelasnya, tertumpu kepada pelaksanaan program pengurusan ladang selain memastikan jaminan jual beli ke atas hasil pertanian yang akan dikeluarkan kelak.

Sumber:Utusan Malaysia

Burung walet jana RM5 bilion

KUCHING 15 Mac - Industri sarang burung walet di negara ini mampu menghasilkan pendapatan sehingga RM5 bilion dengan pengeluaran 500 tan metrik setahun menjelang tahun 2020.

Menteri Muda Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Talib Zulpilip berkata, untuk menghasilkan jumlah pengeluaran sebanyak itu, negara ini perlu mempunyai lebih 100,000 rumah burung itu dan Sarawak mempunyai potensi untuk tujuan berkenaan.

Ini kerana, jelasnya, negeri ini mempunyai banyak kawasan berpotensi untuk memikat burung walet khususnya di sepanjang perairan Tanjung Datu hingga ke utara Sarawak iaitu di Lawas.

''Sarang burung walet dikatakan mempunyai khasiat dalam penjagaan kesihatan malah mempunyai pasaran tinggi di peringkat antarabangsa.

''Dengan potensi pasaran tersebut, kita berharap lebih ramai penduduk di negeri ini menceburi bidang memikat burung walet yang bukan hanya mampu meningkatkan ekonomi masing-masing bahkan kepada pendapatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Kursus Pemikatan Burung Walet di Dewan Masyarakat Sematan dekat sini hari ini.

Talib berkata, pasaran utama sarang burung walet pada masa ini adalah seperti China, Jepun, Korea dan Taiwan di samping pasaran domestik dalam negara.

Katanya, keempat-empat negara tersebut mempunyai jumlah penduduk yang tinggi dan mempercayai khasiat sarang burung walet dalam penjagaan kesihatan menjadikan mereka pengimport terbesar produk berkenaan.

Tambahnya, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 250 tan metrik sarang burung walet daripada 50,000 rumah burung telah dihasilkan dengan nilai pendapatan sebanyak RM1 bilion bagi pasaran tempatan dan luar negara.

''Justeru, industri ini sememangnya memberi pulangan lumayan memandangkan harga sarang burung itu mengikut gred dengan harga tempatan RM4,500 hingga RM6,500 sekilogram manakala pasaran dunia pula menjangkau RM6,000 hingga RM12,000 sekilogram.

''Saya berharap rakyat di negeri ini mengambil peluang seumpama itu untuk mengusahakan tanah terbiar di sekitar kawasan masing-masing untuk menjalankan perniagaan sarang burung walet," katanya.

Mengenai kursus anjuran SEDC tersebut, Talib memberitahu, ia disertai seramai 250 orang peserta berdaftar dari bahagian Lundu dan Sematan selama sehari.

Menurutnya, tujuan kursus untuk memberi gambaran secara menyeluruh tentang industri burung walet kepada para peserta supaya mereka memahami peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi dalam bidang ini.

Sumber:Utusan Malaysia

GBBS bantu penjual buah tingkat hasil

RAWANG 16 Mac - Pendekatan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mewujudkan program Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) dianggap sebagai satu langkah yang bijak.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Selayang, Abdul Shukur Idrus berkata, program berkenaan dilihat telah berjaya membantu meningkatkan taraf hidup pengusaha buah-buahan berkenaan.

"Fokus utama program ini ialah untuk membangunkan usahawan buah-buahan runcit yang lebih teratur dan seragam.

"Bantuan yang diberikan oleh FAMA adalah dalam bentuk gerai, kanopi, rak jualan yang menggunakan warna menarik dan bahan promosi.

"Tinjauan saya mendapati gerai buah-buahan ini nampak lebih kemas, sistematik dan kaedah peragaan yang lebih seragam.

"Ia dilihat mampu menarik perhatian orang ramai untuk datang membeli buah di sini," katanya kepada pemberita di sini.

Utusan Malaysia difahamkan kanopi yang berharga RM15,000 yang disediakan itu turut mampu untuk mengurangkan bahang panas matahari.

Ini sekali gus dapat memelihara kesegaran buah dan tidak cepat rosak.

Sementara itu, Pengarah FAMA Selangor, Rohizad Ridzwan berkata, program GBBS itu telah dilaksanakan sejak empat tahun lalu.

"Setakat ini, seramai 11 orang peniaga telah mendapat bantuan seperti ini.

"Pemilihan mereka bukanlah dibuat secara rawak, sebaliknya berdasarkan kriteria-kriteria tertentu seperti berpengalaman menjual buah sekurang-kurangnya setahun.

"Paling penting, mereka telah mendapat kebenaran dari pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk berniaga di tapak berkenaan," katanya lagi.

Sementara itu, peniaga yang ditemui, Abdul Wahab Zapar Zakaria menyatakan rasa syukurnya kerana menerima bantuan daripada FAMA.

"Terima kasih kepada FAMA, kerajaan dan MPS kerana memberi peluang untuk kami berniaga di sini.

"Malah kedudukannya yang strategik di tepi jalan dan kawasan yang luas untuk meletak kenderaan menyebabkan perniagaan saya bertambah maju," kata Abdul Wahab lagi.

Hasil jualan 11 usahawan berkenaan dilaporkan mencecah RM4 juta tahun lalu.

Utusan Malaysia

GenKimo baja teknologi hijau


Dr. Ramli Mohd. Noor bangga dengan kejayaannya menghasilkan GenKimo di Serdang, baru-baru ini.


Penggunaan pelbagai jenis racun dalam pertanian menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.

Justeru penggunaannya perlu dihadkan dan digantikan dengan pelbagai mikroorganisma bermanfaat (IMO).

Selain menggantikan racun serangga, IMO boleh digunakan dalam proses penapaian sisa tanaman industri bagi makanan ternakan.

Hasil daripada silaj berkenaan bukan saja boleh digunakan bagi makanan ternakan tetapi juga sebagai baja sekali gus menghalau serangga dan mengurangkan bau busuk.

Justeru penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan kajian menghasilkan silaj makanan ternakan menggunakan IMO.

Mendapat pendidikan di Jepun, Pegawai Penyelidik Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Dr. Ramli Mohd Noor menjalankan pelbagai kajian mengenai makanan ternakan.

Bermula sebagai kajian sampingan, akhirnya Ramli berjaya menghasilkan silaj makanan ternakan menggunakan IMO tempatan.

Produk yang dinamakan GenKimo dalam bahasa Jepun bermaksud mikroorganisma setempat yang sihat.

"GenKimo merupakan sejenis produk probiotik yang mengandungi mikroorganisma hidup yang terdiri daripada bakteria kecil satu sel.

"Ini termasuk lactobacillus, yis dan bakteria fotosintetik," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Produk GenKimo dihasilkan melalui proses penapaian dan pemencilan secara semulajadi yang menggunakan 100 peratus bahan organik tempatan.

Dr. Ramli berkata, teknologi GenKimo berasal daripada Korea menggunakan hanya tumbuhan dan mikrob serta boleh diklasifikasikan sebagai produk halal.

Menggunakan bakteria berfaedah, enzim dan asid organik, GenKimo dapat membantu meningkatkan kesihatan dalam ternakan, kualiti persekitaran, daya tumbesaran tumbuhan dan ketahanan terhadap penyakit.

penapaian nutrien asli

"GenKimo bermula dengan pemprosesan silaj bagi memaksimumkan penapaian nutrien asli yang ada dalam tanaman foraj (daun) atau sisa industri pertanian.

"Silaj merupakan proses bagi menyimpan makanan ternakan dalam tempoh tertentu," katanya.

Secara asasnya, penapaian silaj berlaku secara biasa di bawah keadaan anerobik (tanpa oksigen) dengan kehadiran bakteria yang ada pada tanaman.

Bagaimanapun dalam bidang bioteknologi bilangan inokulan silaj atau bahan tambahan silaj akan ditambah bagi meningkatkan nutrien dan tenaga dalam silaj.

Bagi pelbagai aplikasi, Ramli menghasilkan tiga jenis GenKimo iaitu GenKimo 1 bagi penternakan dan tanaman, GenKimo-bio bagi makanan ternakan dan GenKimo-composeed.

GenKimo-1 bagi ternakan dalam bentuk cecair pribiotik bagi minuman ternakan.

Hanya setitik diperlukan dalam minuman ternakan bagi mengurangkan bau, merawat bahagian dalaman, meningkatkan pencernaan, mengurangkan penyakit dan meningkatkan suhu semasa musim hujan.

"Kajian di ladang-ladang ternakan ruminan yang menggunakan GenKimo mendapati kadar kematian adalah rendah berbanding yang tidak menggunakannya," katanya.

GenKimo-1 untuk tanaman pula menggunakan konsep persekitaran hutan yang subur dengan mengumpulkan mikrob berguna dari sana.

Ramli berkata, aktiviti mikrob di hutan yang subur menghasilkan enzim dan asid amino yang baik untuk pereputan dan penghadaman serta meningkatkan bilangan mikrob berguna.

"Mikrob berguna ini amat baik untuk menghalang dan merencatkan bakteria jahat," katanya.

GenKimo-1 untuk tanaman amat sesuai bagi menggalakkan percambahan, tumbesaran, penghasilan dan keranuman produk tanaman.

Selain itu produk ini juga dapat meningkatkan keupayaan proses fotosintesis tanaman serta menukar bahan organik kepada baja dengan cepat.

Produk berkenaan juga berupaya menambah daya ketahanan tumbuhan terhadap serangan serangga dan penyakit serta mampu memulih dan menambah baik keadaan fizikal, kimia dan biologi tanah.

Ramli berkata, GenKimo-bio pula merupakan makanan aditif (tambahan) ternakan yang mengandungi bahan pribiotik dan enzim.

"Produk yang kos efektif ini, boleh digunakan dengan selamat kerana tidak mengandungi bahan toksik.

"Ia juga berupaya meningkatkan metabolik asas, tahap kesihatan, menjamin peningkatan berat badan harian serta kecekapan kadar pertukaran makanan," katanya.

GenKimo-bio juga dapat mengurangkan bau busuk, kos rawatan dan stres pada ternakan.

Produk GenKimo-composeed atau baja dalam bentuk serbuk mengandungi koloni bakteria terpilih pengurai bahan organik dan pengaktif mikrobial tanah.

Dr. Ramli berkata, produk berkenaan mampu menghasilkan baja organik bermutu tinggi serta mengekalkan mikrob efektif yang mampu memperbaiki kerosakan dan mengembalikan kesuburan fizikal, kimia dan biologi tanah.

"GenKimo-composeed juga mampu merangsang pertumbuhan yang baik serta meningkatkan daya ketahanan penyakit.

"Menyegarkan tanah dan memperbaiki agregat tanah," katanya.

Produk berkenaan mampu dikomersialkan memandangkan ia memenangi pelbagai anugerah dalam dan luar negara seperti di Pingat Emas semasa BioMalaysia 2008 dan Pingat Perak semasa SITF 2009 di Seoul, Korea Selatan.

Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails