Tuesday, December 15, 2009

Tanaman Anggur Sendayan




Diusahakan dua sahabat yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian

JIKA selama ini, rakyat negara ini membeli anggur yang diimport dari luar negara, tidak lama lagi Malaysia boleh berbangga dengan label Anggur Sendayan Valley atau Lembah Sendayan.

Tiada siapa sangka Sendayan dekat Seremban, Negeri Sembilan, mempunyai ladang anggur yang dinamakan 'Sendayan Valley'.

Ladang anggur yang dimajukan A-Winn Corporation Sdn Bhd sejak hampir dua tahun lalu diusahakan dua sahabat, Azrul Nazim Abd Azam, 35, sebagai Pengarah Urusan dan Arthur Baumann, 49, sebagai Pengarah Eksekutif.

Menarik untuk mengetahui kisah di sebalik pembukaan ladang ini kerana Azrul Nazim dan Arthur tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian. Berbekalkan minat, mereka tekad mengusahakan ladang anggur di Sendayan.

Azrul Nazim berkata, pertama kali melihat tanaman anggur ialah ketika melawat Thailand beberapa tahun lalu menyebabkannya kagum dengan kesungguhan petani negara itu mengusahakan anggur.

Azrul dan Arthur berbincang mengenai hasil ladang mereka.

"Ketika itu, saya belum terfikir untuk mengusahakan ladang anggur. Apabila pulang ke Malaysia, saya berhasrat menceburi bidang pertanian dan kemudian terfikir untuk mengusahakan ladang anggur," katanya.

Bagi Azrul Nazim, menanam anggur ialah suatu cabaran kerana tidak semua orang boleh buat, tetapi memberikan kepuasan kepadanya.

Bermula pada 2007, sebanyak RM6 juta dilaburkan untuk projek ini yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) dan pembiayaan kewangan Agro Bank. Walaupun seluas kira-kira 20 hektar, hanya 10 hektar dimajukan dan bakinya digunakan awal tahun depan.

Beliau berkata, percubaan peringkat awal mengecewakan kerana 4,000 daripada 10,000 pokok yang ditanam mati menyebabkan hanya 6,000 pokok yang tinggal hingga sekarang.

Ladang anggur Sendayan Valley yang diusahakan Azrul dan Arthur membuahkan hasil yang memuaskan dan bakal destinasi agropelancongan terkemuka negara.

Katanya, empat jenis anggur ditanam di ladang itu, iaitu Black Opal, White Malaga, Shiraz dan Black Pearl dengan setiap jenis ditanam antara 1,000 hingga 2,000 pokok.

Bagaimanapun, katanya ladang itu turut ditanam bidara, nona, jambu dan mangga, tetapi tumpuan utama ialah anggur.

Azrul Nazim mengakui anggur sesuai ditanam di negara kerana iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun.

"Ramai orang tidak tahu anggur ada dua jenis. Pertama, anggur yang sesuai ditanam di kawasan iklim sejuk dan kedua, di kawasan panas seperti Malaysia.

"Ini tidak menjadi persoalan kerana yang paling penting ialah penjagaan rapi kerana anggur mudah mati dan juga mudah hidup," katanya.

Beliau berkata, anggur Sendayan Valley sudah empat kali dituai, tetapi rasanya belum mencapai piawaian ditetapkan, manakala tuaian akan datang dijangka selepas Aidilfitri ini sebanyak tiga hingga empat tan yang dijangka lebih manis dan setanding anggur import.

Katanya, tuaian besar-besaran antara 30 hingga 50 tan dijangka pada April tahun depan dan boleh dijual di pasaran tempatan.

Sementara itu Arthur berkata, setakat ini mereka merancang untuk memasarkan anggur Sendayan Valley untuk pasaran tempatan.

"Saya harap dengan anggur Sendayan Valley, kita tidak lagi perlu bergantung kepada anggur import dan pengguna mempunyai pilihan sama ada mahu anggur import atau Sendayan Valley. Sudah tentu, harga anggur tempatan dijangka berpatutan," katanya.

Arthur berkata, Sendayan Valley akan meningkatkan pengeluaran anggur, tetapi masih dalam proses penyelidikan untuk mendapat anggur terbaik.

Selain itu, katanya mereka berhasrat menjadikan Sendayan Vallley sebagai antara destinasi agro pelancongan terkemuka di negara ini, terutama dengan lokasi yang hanya kira-kira 90 kilometer dari Kuala Lumpur dan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kami akan menaik taraf ladang ini untuk menarik pengunjung datang berehat di sini sambil menikmati buah-buahan dan memperkenalkan Negeri Sembilan sebagai pengeluar anggur tempatan terkemuka di Malaysia," katanya.

Guna pekerja pakar dari Thailand

CUACA panas dan kelembapan tinggi serta hujan lebat sepanjang tahun adalah antara cabaran getir yang dihadapi Azrul Nazim Abd Nazam dan Arthur Baumann bagi memastikan tanaman anggur di Sendayan Valley menjadi.

Anggur memang rumit ditanam kerana memerlukan penjagaan dan pembajaan secukupnya, selain sensitif terhadap hujan lebat dan angin kencang.

Pokok anggur yang memanjat bergantung kepada tiang khas mudah rosak jika terkena hujan lebat atau dilanda angin kuat.

Cabaran alam ini menyebabkan daripada 10,000 pokok yang ditanam pada peringkat awal, hanya tinggal 6,000 pokok berikutan cuaca tidak menentu.

Bagaimanapun, dua sahabat ini tidak mengalah dan meneruskan usaha mereka hingga hari ini.

Menyedari kesukaran yang bakal dihadapi, mereka mendapatkan kepakaran dua pekerja dari Thailand yang berpengalaman menanam anggur.

Azrul Nazim berkata, pembajaan perlu dilakukan dengan tepat kerana jika berlebihan boleh merosakkan pokok, manakala baja yang digunakan ialah campuran organik.

Katanya, walaupun penanaman pokok anggur rumit, Sendayan Valley menggunakan teknologi biasa seperti tanaman lain.

"Hasil tuaian pertama dibuang kerana pokok baru menyebabkan anggur tidak manis. Hanya tuaian kedua, baru boleh dimakan kerana pokok matang dan rasa lebih manis," katanya.

Beliau berkata, dahan anggur juga perlu dipangkas dari semasa ke semasa bagi merehatkan pokok, berbanding di negara iklim sejuk yang dibantu alam semula jadi, iaitu proses hibernasi (pokok seperti tidur) pada musim sejuk.

Namun, katanya proses memangkas dahan perlu kerap dibuat kerana dahan baru cepat tumbuh, manakala pokok disiram dua kali sehari, sekali pada waktu pagi dan kemudian waktu petang sebelum senja.

Azrul Nazim berkata, tidak banyak perbezaan di antara anggur di kawasan panas dan sejuk, malah anggur kawasan panas lebih segar kerana ditanam di sini.

Katanya, benih diambil dari Thailand kerana negara itu lebih maju dalam penanaman anggur yang bukan saja dijual di negara itu, malah dieksport.

"Anggur boleh dituai selepas 10 atau 11 bulan, tetapi masalah lain ialah burung cukup suka anggur yang manis dan sering datang 'bermain' di ladang ini, terutama ketika buah mula membesar dan masak. Untuk mengatasi masalah ini, jerat dipasang untuk menakutkan burung," katanya.

50 ladang integrasi setiap DUN

MUAR 15 Dis. - Kerajaan negeri Johor menyasar untuk mewujudkan 50 ladang integrasi bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu golongan pekebun kecil menjana pendapatan tambahan menerusi aktiviti penternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Aziz Kaprawi berkata, buat ketika ini, sebanyak 375 peserta terlibat dalam program ladang berkenaan di seluruh negeri ini dan ia menerima sambutan yang amat menggalakkan.

"Sasaran kerajaan negeri adalah satu DUN; 50 ladang integrasi dan ini adalah satu pendekatan yang dapat meningkatkan taraf hidup golongan peladang serta pekebun kecil.

"Secara asasnya, akan ada dua aktiviti yang dapat memberi pendapatan iaitu hasil daripada tanaman serta ternakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Timbang Stor Risda Sri Tanjung di Bakri di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengarah Risda Johor, Meor Zamnis Meor Hassan serta Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bakri, Datuk Saipolbahari Suib.

Menurut Aziz, program ladang integrasi yang dilaksanakan diyakini dapat meningkatkan pengeluaran sumber makanan di negeri ini selain menggalakkan penggunaan kawasan ladang dan kebun secara optimum.

"Program ini merupakan kerjasama bersepadu antara Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar serta Jabatan Perikanan.

"Dengan ini, golongan pekebun kecil boleh mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menjalankan aktiviti penternakan kambing, ayam serta ikan air tawar," katanya.

Menurutnya lagi, program berkenaan juga dapat bersifat serampang dua mata kerana kerana apa jua bahan buangan daripada tanaman dapat diproses untuk dijadikan makanan ternakan.

Sementara itu, jelas Aziz, Pusat Timbang Stor Risda Sri Tanjung akan dijadikan projek perintis dalam program pengagihan secara terus baja Risda kepada golongan pekebun kecil.

"Kami menjangkakan langkah seperti ini akan mengeratkan lagi kerjasama antara Risda dengan golongan pekebun serta Koperasi Pekebun Kecil bagi setiap aktiviti daripada penanaman sehingga pengutipan hasil," katanya.

Sumber:utusan malaysia

Monday, December 14, 2009

Tepung keledek berpotensi dikomersialkan

BIASANYA ubi keledek dimakan dalam bentuk gorengan, direbus atau bahan dalam kuih-muih sebagai hidangan sarapan pagi atau petang. Rasa keledek biasanya manis dengan kehadiran gula yang biasanya meningkat apabila direbus atau dimasak.

Bagaimanapun kanji merupakan bahan utama dan tepung boleh dihasilkan daripada keledek.

Kajian menunjukkan keledek kaya dengan Vitamin A dalam bentuk beta karoten dan sumber Vitamin C yang baik selain mempunyai ciri perubatan sebagai makanan antioksidan.

Kedua-dua beta-karoten dan Vitamin C merupakan bahan antioksidan yang berguna dan boleh memusnahkan radikal bebas.

Radikal bebas merupakan bahan kimia yang memusnahkan sel dan membran sel dan berkaitan dengan perkembangan atherosclerosis, penyakit diabetes dan kanser kolon.

Kajian menunjukkan warna kuning atau jingga dalam keledek disebabkan oleh kandungan beta-karoten.

Beta-karoten dalam keledek boleh digunakan untuk menghasilkan Vitamin A yang dinamakan Provitamin A.

Keledek ungu pula merupakan sumber terbaik antosianin dan mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi di kalangan varieti keledek.

Justeru sekumpulan pensyarah dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), menjalankan kajian mengenai keledek.

Kajian yang diketuai oleh Prof. Madya Norani Sidek bersama Prof. Madya Raja Saidatul Hisan Raja Datuk Sri Azam, Noradzhar Baba dan Sabaianah Bachok bagi menunjukkan keledek sesuai dijadikan tepung yang berpotensi dikomersialkan.

Norani berkata, produk baru yang dihasilkan daripada keledek kaya dengan beta-karoten dan antioksidan, tinggi fiber, kalori rendah, tanpa pengawet dan pewarna tiruan.

"Tepung keledek berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai nilai pemakanan dan sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

"Ini merupakan sesuatu yang baru dalam pasaran, mempelbagaikan kegunaan keledek, menghasilkan pelbagai produk daripada tepung keledek," katanya semasa ditemui semasa pameran BioMalaysia 2009 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menambah, pelbagai produk berasaskan keledek berpotensi dikomersialkan kerana mempunyai pelbagai nilai pemakanan dan sesuai bagi mereka yang menjaga kesihatan.

"Tepung keledek merupakan produk baru dalam pasaran yang baik untuk menghasilkan adunan tepung dan hasil bakeri dan boleh dijadikan makanan kesihatan," katanya.

Norani berkata, kajian yang dijalankan mendapati tepung keledek mudah dihasilkan menggunakan bahan sedia ada.

Keledek yang dituai perlu dikupas kulit, potong dan dikeringkan pada suhu 158 darjah Celsius selama lapan jam.

Bahan berkenaan kemudian disejukkan pada suhu bilik selama dua jam sebelum dikisar dan kemudian diayak dan kemudian tambah dengan beberapa bahan lain.

"Tepung keledek tadi boleh menghasilkan beberapa produk lain seperti sos barbeku, produk pastri dan bakeri, sapuan keledek, lempeng dan fritter dan batters," katanya.

Budu dalam bentuk debu

BERCERITA mengenai masakan tradisional, tidak boleh ketepikan budu - sejenis sos ikan yang cukup terkenal di Kelantan. Budu merupakan produk yang dihasilkan daripada ikan bilis dan garam yang diperam memberikan rasa dan bau yang unik.

Biasanya budu digunakan sebagai pencicah yang dimakan bersama-sama ulam serta nasi dan lauk-pauk.

Budu mempunyai semua asid amino dan tinggi dengan kadar lysine selain vitamin serta garam galian yang berguna.

Makanan ini juga merupakan sumber terbaik bagi Vitamin B12 dan garam galian seperti kalsium, natrium, magnesium, zat besi dan fosforus.

Budu juga mempunyai kandungan garam yang tinggi yang menghalang pengguna mengambilnya dalam kuantiti yang tinggi.

Bagaimanapun dengan kepentingan nutrisi tetapi pengeluaran yang terhad boleh membantutkan usaha untuk mengkomersialkan produk berkenaan.

Justeru Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalankan kajian menghasilkan budu dalam bentuk serbuk atau dinamakan debudu.

Pensyarah Jabatan Sains Makanan, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan, Fisal Ahmad mendapat idea menghasilkan debudu apabila sukar membawa budu menaiki pesawat.

"Budu yang merupakan makanan berkhasiat sepatutnya mudah dibawa ke mana saja selain senang disajikan.

"Botol budu yang dibawa menaiki pesawat biasanya mudah pecah akibat proses penapaian," katanya semasa ditemui di pameran Pecipta 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru beliau menghasilkan debudu yang merupakan produk unik - merupakan budu yang dikeringkan .

"Produk baru ini boleh ditambah dengan beberapa bahan lain seperti cili, asam limau selain pembungkusan serta pengurusan yang mudah dan menarik," katanya.

Debudu merupakan kaedah terbaik untuk menangani masalah bekalan yang terhad selain meluaskan penggunaannya di masa depan.

Fisal menambah, apabila budu dikeringkan, ia tidak menghilangkan khasiatnya dalam bentuk Debudu.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya telah menjalankan kerjasama dengan pengeluar budu terbesar bagi menjalankan kajian menghasilkan debudu.

"Bedubu boleh didapati dengan dua perisa iaitu asli dan campuran cili, limau dan bawang dan hanya perlu ditambah air apabila dihidangkan," katanya.

Debudu yang telah dibungkus menarik, jelas Fisal sesuai dijadikan cenderahati kerana kering, mudah dibawa.

Saturday, November 28, 2009

'Transformasi sektor pertanian'


Latihan kemahiran, program jana pendapatan tangani miskin tegar: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, satu transformasi ketara dalam sektor pertanian perlu dilaksanakan berikutan keupayaan sektor itu untuk menjana ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin bahawa sektor itu berupaya dimantapkan dan diperkukuhkan untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menjana ekonomi negara, sekali gus menjadi paksi ketiga pertumbuhan ekonomi atau 'Third Engine of Growth'.

"Sektor pertanian adalah antara sektor yang menjadi sumber penting pendapatan rakyat luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, satu transformasi ketara dalam sektor ini perlu dilaksanakan dan ia perlu bermula daripada peringkat tanaman hingga ke pemasaran hasil pertanian," katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kebangsaan kali ke-36 di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Najib yakin transformasi sektor pertanian dapat dilaksanakan dengan adanya Dasar Agro Makanan Baru yang sudah digubal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memajukan lagi sektor agro makanan supaya negara boleh mencapai Imbangan Dagangan Makanan yang positif menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, dengan sokongan peladang, penternak dan nelayan serta komitmen kerajaan yang ada sekarang, tidak mustahil transformasi sektor pertanian ini boleh dilaksanakan dengan jayanya.

"Menyedari pentingnya sektor pertanian maka dalam Bajet 2010, sektor ini diberi peruntukan yang besar, iaitu sebanyak RM6 bilion dengan tujuan meningkatkan sumbangan pertanian kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Katanya lagi, antara lain peruntukan itu digunakan untuk menaik taraf dan membaik pulih sistem infrastruktur pengairan dan saliran di dalam dan di luar jelapang padi yang akan dinikmati lebih 180,000 petani dengan peruntukkan sebanyak RM137 juta.

Selain itu, katanya, melaksanakan projek Empangan Paya Peda di Terengganu untuk Skim Pengairan Padi di Besut yang memberi kemudahan kepada ramai pesawah dengan peruntukkan sebanyak RM70 juta.

Najib berkata, kerajaan akan menyediakan lebih banyak premis perniagaan di lokasi yang strategik bagi meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan luar bandar.

"Bagi tujuan ini kerajaan akan memperuntukkan kepada UDA Holdings Berhad sebanyak RM30 juta ringgit untuk membina kedai desa di seluruh negara," katanya.

Selain daripada membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup peladang, penternak dan nelayan, beliau berkata, kerajaan juga prihatin terhadap kesukaran rakyat, terutama kos sara hidup yang kian meningkat.

Justeru, katanya, kerajaan komited untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar pada 2010 dengan menyediakan peluang latihan kemahiran dan program penjanaan pendapatan bagi menangani kemiskinan tegar.

"Antara langkah utama yang akan dilaksanakan adalah mengagihkan bantuan kebajikan Persekutuan pada hari pertama setiap bulan serta meneruskan Skim Program Lonjakan Mega. Program ini akan dapat mengeluarkan 5,600 keluarga daripada kemiskinan
tegar," katanya.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails