KUALA KRAI: Hobi menternak rusa memberi pendapatan lumayan kepada seorang pesara apabila ternakan yang diusahakan mendapat permintaan tinggi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.
Rusa baka Timorensis diusahakan Mohd. Zaid Zakaria, 58, di rumahnya di Kampung Sungai Sam di sini sejak lapan tahun lalu membiak dengan cepat dan semakin bertambah bilangannya dari bulan ke bulan.
Mohd. Zaid berkata, kos dan kaedah penjagaan rusa jauh lebih jimat berbanding haiwan seperti lembu dan kambing.
“Pada permulaannya, saya mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM13,500 untuk membeli lima induk rusa dari seorang penternak di Sungai Jin, Kuantan, Pahang.
“Lama-kelamaan ternakan itu terus membiak. Sekarang ini saya masih ada 13 ekor lagi termasuk enam ekor rusa betina yang sedang bunting,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Zaid berkata, selain dapat menjual rusa hidup antara RM2,000 hingga RM5,000 seekor bergantung kepada saiz, umur dan jantina, dia juga dapat menjual daging haiwan itu pada harga RM65 sekilogram.
Katanya, untuk keselesaan haiwan ternakannya yang berumur dalam lingkungan setahun setengah hingga enam tahun itu, dia telah membina kandang yang berpagar dan terjamin keselamatan.
“Rusa ini mudah dijaga kerana tidak mudah diserang penyakit seperti haiwan lain.
“Kos makanan juga tidaklah tinggi kerana saya turut memberi rumput yang boleh dicari sendiri di sekitar kampung,” katanya.
Menyedari permintaan pelanggan terhadap haiwan itu meningkat, Mohd. Zaid juga berharap agar agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) membantunya menambah baik tempat pembiakan rusa.- UTUSAN ONLINE
Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/ternak-rusa-bantu-pesara-jana-pendapatan/
No comments:
Post a Comment