Friday, May 17, 2019

Bunga kantan beri pendapatan lumayan

Pokok bunga kantan hidup yang ditanam Mohd. Jamil Ahmad hidup

PARIT 12 Feb. - Siapa sangka bermula de­ngan hanya suka-suka mena­nam ulam-ulaman dan herba di belakang rumah, akhirnya ia menjadi punca pendapatan sampingan buat seorang pesara tentera di sini.

Mohd. Jamil Ahmad, 56, mula menanam ulam-ulaman dan herba sejak 1990-an sekitar rumah­nya yang terletak di Kampung Ekor Lambat, Bota, Perak.

Setelah bersara daripada tentera, dia mula serius mengusahakan tanaman bunga kantan di sekitar rumahnya pada 2009.

Menurutnya, pokok bunga kantan atau juga dikenali sebagai bunga siantan merupakan sejenis pokok herba berwarna merah muda boleh juga digunakan sebagai gubahan hiasan.


Katanya, tunas bunga itu boleh dijadikan bahan memasak dalam masakan Melayu seperti laksa dan nasi kerabu selain itu ia juga boleh digunakan dalam masakan asam pedas, nasi ulam serta masakan kari.

Pada mulanya, dia menanam bunga kantan untuk sekadar memenuhi masa lapangnya tetapi setelah menyedari bunga kantan mendapat permintaan dan harga tinggi sehingga mencecah RM2.50 sekuntum ketika itu membuatkan dia lebih serius untuk menanamnya.

Sejak itu, Mohd. Jamil mula giat menanam pokok bunga kantan di sekitar rumahnya dan tanah di kampungnya yang difikirkan sesuai untuk menanam pokok herba tersebut.

“Saya memilih untuk menanam pokok bunga kantan kerana ia tidak memerlukan proses perjagaan yang rapi dan rumit.

“Pokok bunga kantan ini mudah ditanam kerana serangga jarang mendekati pokok ini dan proses menanamnya juga senang, hanya perlukan air dan sedikit baja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, tanaman bunga kantan juga kurang dimusnahkan oleh serangga perosak.

Menurutnya, ini kerana aroma yang terdapat padanya tanaman itu menyebabkan ia kurang musuh tanaman.

Jelasnya, paling utama bunga kantan antara produk agro yang mudah dijaga selain senang ditanam di tanah yang lembap tapi tidak berair.

“Sepokok bunga kantan juga boleh membiak dengan banyak dan ia lebih subur apabila daun yang sudah tua dibuang selain memerlukan cahaya matahari yang mencukupi,” katanya.

Mohd Jamil berkata, apabila perdu sudah besar, ia perlu dipe­cahkan untuk mengelak pelepah pokok bercantum dan perdunya juga akan dipilih mengikut kriteria untuk dijadikan benih.

Menurutnya, bunga kantan boleh dijual pada usia enam ke tujuh bulan namun bergantung kepada benih dan hasil keluaran pula tiga kali seminggu dengan sekali keluaran 300 hingga 400 kuntum.

“Kini saya mampu meraih pendapatan sehingga RM2,000 sebulan hasil daripada tuaian bunga kantan,” katanya.

Katanya, permintaan bunga kantan pada masa kini amat menggalakan kerana ia jarang diusahakan secara komersial.

Pasaran bunga kantan, katanya, lebih tertumpu di sekitar Batu Gajah, Perak Tengah serta Manjung selain membekalkannya ke hotel sekitar Bandar Seri Iskdandar, dekat sini.

Jelasnya, ia dijual pada harga RM1 sebatang namun apabila tiba musim kemarau harganya akan melonjak tinggi hingga mencecah RM1.50 sebatang.

“Sebelum ini saya menanam bunga kantan berwarna putih dan merah namun permintaan jenis ini kurang mendapat sambutan dan kini sepenuhnya hasil keluaran adalah berwarna merah jambu sahaja,” katanya.


Katanya, sehingga kini dia mempunyai dua ekar tanaman itu di lokasi berasingan.

Menurutnya, dia sedia ber­kongsi pengalaman mengusahakan kebun tanaman bunga kantan dan menggalakan mereka berminat mencuba tanaman berkenaan kerana tidak memerlukan modal besar selain penjagaannya yang amat mudah.

Katanya, tanaman itu sesuai dibuat secara sambilan kerana tidak memerlukan modal besar sebaliknya memberi keuntu­ngan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan.

“Untuk membantu golongan belia memperoleh pendapatan, saya juga membantu anak muda di kampung ini dalam tanaman bunga kantan,” katanya.

Katanya, kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajari cara penanaman dan mahu mendapatkan bunga kantan boleh meng­hubunginya di talian 019-591 5599.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails