Industri pertanian sepatutnya sudah lama menerima pembaharuan bagi memastikan ia dapat berkembang sejajar dengan keperluan bekalan makanan negara.
Bagaimanapun industri tersebut berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk persepsi masyarakat bahawa pertanian tidak menjanjikan masa depan yang cerah, lekeh dan tidak berdaya maju.
Isu utama yang membelenggu ialah sukarnya teknologi diguna pakai dalam sektor pertanian kerana kebanyakan petani, penternak dan nelayan rata-ratanya berusia dalam lingkungan 55 tahun.
Sebab itu, jika mahukan sektor pertanian yang berdaya saing maka usaha menggerakkan sektor pertanian sewajarnya bermula daripada golongan muda.
Tanggapan bahawa pertanian adalah industri yang kian suram juga perlu dikikis.
Sebab itu apabila kerajaan membuat keputusan mewujudkan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) pada 2002 telah membuka sinar baharu dalam menggalakkan generasi muda terlibat dalam sektor pertanian.
NATC kini diiktiraf sebagai pusat latihan kemahiran terunggul bagi sektor pertanian menerusi tauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.
Pengarah NATC, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, sejak menerajui majlis tersebut, beliau melakukan transformasi menerusi program penstrukturan semula institut latihan pertanian dengan memperkemas, menggabung dan mengecilkannya supaya lebih tersusun daripada segi pengisian dan matlamat
Saya mahu memperkasa NATC sebagai peneraju latihan kemahiran pertanian kebangsaan sebagai mana yang terkandung dalam memorandum Kabinet pada 24 Julai 2002.
Selain itu, saya mahu memperkukuhkan struktur organisasi NATC dan bercadang mewujudkan Akta Majlis Latihan Pertanian, katanya.
Ini kerana katanya, meskipun NATC dilantik sebagai badan peneraju industri (ILB) oleh JPK tetapi terdapat kekangan kerana majlis terbabit tidak diberi kuasa mutlak mengawal selia keseluruhan latihan pertanian.
Iltizam Wan Ahmad Uzir itu ternyata tepat pada masanya memandangkan beberapa angka terbaharu berkaitan industri pertanian, selaras dan senada dengan apa beliau hasratkan.
Sebagai contoh, daripada tiga subsektor pertanian iaitu tanaman, ternakan dan perikanan, dua daripadanya, menunjukkan peningkatan permintaan untuk memasuki institut latihan di bawah NATC.
Malah kita dapati peningkatan permintaan secara mendadak hingga 30 peratus khusus alam latihan veterinar dan akuakultur," katanya .
Berdasarkan keperluan tenaga kerja sektor agromakanan 2012-2020, keperluan tenaga mahir dalam sektor pertanian amat mendesak ekoran daripada kurangnya golongan tersebut dalam sektor ketika ini.
Malaysia telah menyasarkan 35 peratus pekerja mahir pada 2015 dan 50 peratus menjelang 2020 supaya setanding dengan negara maju.
Dalam bidang pertanian pula, di bawah model hala tuju agromakanan sepanjang tempoh tersebut, 11 strategi telah dirancang dengan empat teras utama iaitu pemerkasaan sistem latihan, peluasan akses dan kerjasama, pembangunan usahawan dan keempat pembangunan kreativiti, inovasi dan pengkomersialan.
Sepanjang tempoh tersebut juga, keluaran tenaga mahir dan profesional sektor pertanian diunjurkan kepada 879 , 649 menerusi dua kategori kursus jangka panjang dan jangka pendek.
Di bawah kursus jangka panjang, ia termasuk latihan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk NATC, kolej swasta, Kementerian Pendidikan, serta diploma dan ijazah daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA).
Bagaimanapun tindakan mentransformasi seperti yang dinyatakan Wan Ahmad Uzir amat tepat pada memandangkan keperluan tenaga kerja sektor agromakanan ketika ini amat tinggi.
Apatah lagi jumlah keseluruhan pekerja yang ada bagi ketiga-tiga subsektor tanaman, ternakan dan perikanan hanyalah 669,200 orang berbanding keperluan menjelang 2002 mencecah 840,000 orang.
Menurut beliau di 12 pusat bertauliah NATC, terdapat 11, 428 pelajar sehingga awal tahun ini dengan kemasukan dua kali setahun iaitu Januari dan Julai. Pada tahun ini sahaja pihaknya menerima 3, 304 pelajar baharu.
Bagi Wan Ahmad Uzir, antara yang wajar mendapat perhatian ialah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dimanfaatkan dalam bidang pertanian.
Oleh kerana belia masa kini mesra ICT maka kata beliau, adalah amat wajar untuk menarik golongan tersebut menggunakan kecanggihan teknologi sedia ada.
Menguraikan lebih lanjut beliau berkata, kurikulum latihan yang ditawarkan oleh NATC mendapat kerjasama industri kerana mereka turut dijemput menyumbang idea dan cadangan mengenai pengisian latihan terbabit.
Kurikulum tersebut ditentukan oleh Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) , berdasarkan pengiktirafan Agensi Penarafan Malaysia (MQA) manakala kursus peningkatan kemahiran (upskilling) adalah berdasarkan keperluan semasa.
Katanya, diploma dan sijil kemahiran yang diberikan kepada peserta dikeluarkan oleh JPK manakala sijil pertanian dan veterinar diiktiraf MQA.
Tenaga pengajar pula turut mendapat pengiktirafan JPK dan jabatran serta agensi di bawah kementerian.
Sebab itu kita dapati pelajar kita yang kadangkala masih di Tahap 1 atau Tahap 2 telah ditempah oleh industri kerana mereka tahu kelayakan pelajar dan turut sama merumuskan kurikulum NATC, ujarnya.
Graduan juga bertuah kerana mendapat latihan praktikal yang lebih sehingga 80 peratus berbanding teori 20 peratus dan ini menjanjikan mereka lebih mahir dalam kerjaya masing-masing.
Sumber artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140922/ag_01/Teras-pemodenan-sektor-pertanian#ixzz3E7rsJrgt
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment