Thursday, December 12, 2013

HijauPlastMAP: Beg semaian mesra alam

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Tidak ramai yang ambil peduli kesan penggunaan beg plastik kepada alam sekitar, meskipun sedar ia mengambil masa beratus-ratus tahun untuk lupus.

Bukan hanya mencemarkan alam, beg plastik terpakai juga mengandungi bahan kimia seperti ‘metalic salt’ yang boleh menyebabkan kanser. 
Biarpun penciptaan plastik mempermudahkan urusan seharian, namun kesan buruk daripada penggunaannya perlu dielakkan. 

Pembakaran sampah mungkin menjadi kaedah pelupusan paling mudah, bagaimanapun ia mencemarkan alam sekitar.
Foto
NURNABILAH menunjukkan dua produk plastik HijauPlastMAP.

Sekumpulan penyelidik muda Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menemui formula dalam menyelesaikan masalah pencemaran sisa buangan beg plastik kepada persekitaran.

Dikenali HijauPlastMAP atau singkatan ‘Hijau Plastik from UniMAP,’ produk inovasi berkenaan hasil ciptaan pelajar Kejuruteraan Polimer, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP. 

Pelajar tahun pertama yang terbabit dalam projek itu ialah Ku Nur Salsabila Ku Osman, Nurnabilah Ibrahim, Nor Diana Rafie, Lokman Hakim Ibrahim dan Ahmad Azrem Azmi. 

Antara keunikan produk plastik berkenaan adalah proses penguraian mengambil masa singkat antara tiga hingga enam bulan. 

Projek itu diselia pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Pusat Kejuruteraan dan Inovasi universiti itu, Dr Nik Noriman Zulkepli. 

Nurnabilah berkata, plastik HijauPlastMAP adalah produk semula jadi pro-oksida yang menggunakan bahan seperti lalang, kunyit dan serai. 

“Ia adalah produk inovasi baru berasaskan bahan semula jadi dengan setiap satunya mempunyai fungsi sendiri, selain berpotensi menggantikan plastik konvensional terdapat di pasaran ketika ini. 

“Kunyit dan serai umpamanya adalah bahan pestisid untuk pertanian yang dapat menghalang serangga daripada merosak tanaman, sementara lalang pula berfungsi untuk menstabil dan meneutralkan tanah,” katanya. 

Kumpulan pelajar berkenaan ditemui selepas menyertai Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2013) di Pusat Konvensyen KLCC di sini, baru-baru ini. 

Menurutnya, selain tiga bahan berkenaan, tambahan lusi (lumpur) yang mengandungi ziolite dan mikro nutrien dapat meningkatkan kesuburan tanah, selain menjadikan tanaman lebih sihat. 

“Ia dapat mengelak akar mereput. Pada musim panas pula, ia membekalkan air kepada tumbuhan. 

“Ziolite itu sendiri boleh membebaskan nitrogen dalam tanah sekali gus menjadikan bahagian berkenaan lebih subur,” katanya projek penyelidikan berkenaan mengambil masa dua bulan bermula Ogos lalu. 

Metodologi yang digunakan dalam penghasilan plastik berkenaan juga amat mudah menggunakan formulasi berdasarkan sukatan diperlukan. 

“Semua bahan semula jadi seperti kunyit, serai dan lalang dikeringkan terlebih dulu. Ia kemudian dimasukkan ke dalam ketuhar dengan suhu antara 150 hingga 160 darjah celsius. 

“Bagaimanapun pada skala pengeluaran kilang, suhu boleh ditingkatkan hingga 200 darjah celsius,” katanya. 

Semua bahan dikisar menggunakan mesin extruder bagi mendapatkan material dikehendaki. 

“Bahan berkenaan kemudian dimampatkan menggunakan mesin blown bagi menghasilkan plastik semula jadi HijauPlastMAP. 

“Penambahan lusi pula sesuai untuk kegunaan pertanian terutama menggantikan beg semaian pokok dan plastik ‘silver shine’ yang tidak mesra alam,” katanya. 

Katanya, kerja pemindahan pokok ke tapak semaian juga lebih mudah dengan penggunaan plastik berkenaan. 

“Beg semaian tidak perlu dibuka sebaliknya dimasukkan terus ke dalam tanah bersama pokok kerana ia boleh lupus dengan sendirinya dalam tempoh singkat. 

“Berbanding kaedah biasa, ia sudah tentu mengambil masa dan tenaga terutama ketika proses menanggalkan plastik dari medium tanaman,” katanya. 

Plastik kitar semula itu amat menarik untuk diketengahkan sebagai produk yang berpotensi untuk menggantikan produk sedia ada di pasaran. 

“Bahan yang digunakan juga memberi banyak faedah kepada manusia kerana ia adalah biologi mudah terurai dan menghasilkan bahan mesra alam, selamat serta kos lebih rendah. 

“Harga plastik ini amat berpatutan iaitu RM5.50 sekilogram, berbanding plastik biasa RM6.20,” katanya. 

Inovasi berkenaan juga amat menjimatkan berbanding penggunaan bahan cobalt stearate yang dianggarkan bernilai RM1,000 hingga RM1,400 sekilogram. 

“Lalang boleh diperoleh di mana-mana kerana tumbuh meliar, sementara kunyit dan serai pula banyak terdapat di kawasan kampung,” katanya. 

Nurnabilah berkata plastik yang terdapat di pasaran ketika ini mengandungi bahan kimia merbahaya seperti metalic salt. 

“Ia (metalic salt) berbahaya kepada kesihatan manusia kerana menyebabkan kanser dan bertoksik. 

“Banyak plastik-plastik yang tidak lupus di laut dan mengakibatkan pencemaran laut, selain terdapat di persekitaran kediaman,” katanya. 

Katanya, haiwan ternakan seperti kambing dan lembu boleh memindahkan toksik berkenaan kepada manusia. 

“Plastik yang mengandungi cobalt stearate tersimpan di dalam tanah. Ia kemudian meresap ke dalam rumput sebelum dimakan kambing dan lembu. 

“Ia kemudian dipindahkan kepada manusia menyebabkan badan kita menjadi pra radikal kepada sisa berkenaan dan pada jangka panjang mengakibatkan kanser,” kata­nya.
Sumber:harian metro online

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails