Wednesday, August 14, 2013

Semuanya kudrat manusia

Oleh Noorazura Abdul Rahman
Terkenal dengan jolokan negeri jelapang padi, petani di Kedah kini mengambil inisiatif baru meningkatkan hasil dan kualiti padi menggunakan kaedah penanaman lebih baik.
Mereka menanam padi organik yang diusahakan Koperasi Agro Belantek Sik Berhad di sawah seluas 10 hektar di Lembah Organik Lentang di Sri Lovely, Kampung Lintang, Belantek, di sini.

Lembah itu mampu mengeluarkan hasil tiga kali setahun dengan kos yang murah serta beras berkualiti.

Padi yang dihasilkan bukan saja untuk menampung keperluan penduduk negara ini, malah mampu menjadi makanan ruji lebih sihat.
FotoPETANI sedang menanam padi organik.

Lebih membanggakan, padi organik mampu dihasilkan dengan lebih mudah menggunakan kaedah baja yang bebas daripada unsur racun, sekali gus menyihatkan.

Penggunaan bahan kimia mengakibatkan kerosakan pada struktur tanah hingga tidak subur, malah tanah sawah akan cepat kering kontang ketika ketiadaan air dan hujan.

Dengan menggunakan Sistem Intensifikasi Padi (SRI) iaitu setiap benih di dalam satu lubang ditanam antara jarak 30 sentimeter (sm) x 30sm, hasil pengeluaran padi melalui kaedah ini amat memberangsangkan.

Ini kerana ia mengeluarkan hasil sehingga 14 tan sehektar berbanding sekitar empat tan sehektar melalui kaedah lama.

Pengerusi Koperasi Agro Belantek Sik Berhad, Zakaria Kamantasha berkata, projek hasil bimbingan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) itu turut diselia Jabatan Pertanian.

Ia mendapat usaha sama daripada beberapa universiti tempatan seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, projek itu bermula pada Oktober 2010 daripada idea KEDA melalui Pengurusan Semula Kawasan (PSK) bagi membangunkan tanah terbiar sebagai kawasan penanaman padi organik.

“Penanaman padi itu tidak mengikut musim dan petani boleh mendapatkan hasil dengan lebih cepat.

“Kami hanya menggunakan baja dan racun organik.

“Selain baja kompos, kami menggunakan buah-buahan sebagai baja manakala racun menggunakan tumbuhan seperti akar tebu dan ubi gadung,” katanya.

Ubi gadung mempunyai racun alkaloid dioscorine yang larut dalam air dan juga diserap ke dalam tanaman padi.

Ia menyebabkan ulat batang tidak sempat membesar akibat keracunan hasil racun dikeluarkan ubi berkenaan.

Lebih menarik, makhluk perosak yang menjadi musuh utama pengeluaran padi sebelum ini seperti siput kundang dan gondang emas digunakan sebagai baja dalam meningkatkan pengeluaran padi ini.

Penanaman padi secara organik melalui kaedah SRI ternyata mempunyai sedikit cabaran apabila petani terpaksa menanam benih padi secara manual, selain menggunakan alat tradisional yang dipanggil landak untuk menggembur tanah.

Justeru, ia memerlukan tenaga kerja manusia untuk menggembur.

Menurutnya, kerja itu dilakukan oleh beberapa penduduk kampung yang juga ahli koperasi untuk memastikan pokok padi dapat tumbuh dengan sempurna.

“Kami menggunakan sistem landak dan ia adalah alat untuk memisahkan anak benih bagi membantu jumlah pengeluaran padi. Sistem itu digunakan selepas 10 hari dan sebutir benih padi ditanam akan dicambah menjadi 45 pokok anak padi.

“Inilah kelebihan sistem landak dalam penanaman padi organik. Anak padi yang dicambah daripada sebutir padi akan dipisahkan dengan alat sistem landak secara lebih mudah dan akarnya akan diputuskan melalui alat itu,” katanya.

Katanya, ia akan membantu pertumbuhan akar bagi penyerapan nutrien dengan lebih berkesan supaya semua daun dapat menjalankan proses fotosintesis dengan lebih aktif.

“Pada masa yang sama, ia digunakan untuk menarik dan membenam rumput kecil yang boleh mengganggu pembesaran pokok padi.

“Secara tepat jumlah pengeluaran hasil padi berjaya tingkatkan pengeluaran apabila ia mampu menghasilkan sehingga 14 tan metrik untuk satu hektar seperti yang pernah dihasilkan pada tahun lalu,” katanya.

Selain itu, beras organik juga mempunyai permintaan yang amat baik kerana saiznya lebih panjang dan bersih hingga ia mampu dijual dengan harga setinggi antara RM12 hingga RM20 sekilogram di pasaran tempatan.

Petani boleh melihat cara penanaman padi organik di Lembah Organik Lentang di Kampung Lintang, Belantek Sik.
Sumber:HArian Metro

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails