Tuesday, March 29, 2011

Mendepani cabaran sektor perikanan


Ternakan udang antara bidang akuakultur yang mendatangkan pulangan lumayan.


PENINGKATAN harga makanan dunia serta kekurangan bekalan makanan telah menimbulkan cabaran dalam menjamin stok dalam negara agar sentiasa mencukupi.

Sebagai sebuah agensi yang bertanggung jawab dalam memastikan sumber hasil laut negara sentiasa berada pada tahap yang baik, Jabatan Perikanan pastinya telah terlebih dahulu memikirkan jalan terbaik untuk tujuan tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood turut menyedari cabaran-cabaran baru yang bakal diharungi.

Sebagai peneraju, beliau memikul tanggungjawab penting dalam menyelesai serta mengharungi cabaran mendatang.

Menurut Ahamad Sabki, pelbagai cabaran baru telah dikenal pasti dalam sektor perikanan Malaysia dalam memastikan sumber perikanan sentiasa mencukupi.

"Kekurangan bekalan makan di peringkat antarabangsa, perubahan iklim, bencana alam dan peningkatan harga minyak akibat pergolakan yang berlaku di beberapa negara pengeluar minyak turut dilihat sebagai cabaran.

"Namun, bagi negara kita keadaan bekalan makanan termasuk bekalan import masih mampu menampung permintaan rakyat," ujar beliau ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Biarpun begitu, sebagai sebuah agensi yang bertanggung jawab, setiap cabaran baru perlu dikenal pasti agar dapat diatasi dengan segera.

Namun, secara keseluruhannya, bekalan makanan dalam negara terutama yang berkaitan ikan berada pada tahap yang mana masih mampu menampung permintaan rakyat.

Pada tahun lepas, pengeluaran ikan tempatan mencatatkan sebanyak 1.67 juta tan metrik iaitu 1.29 juta tan metrik daripada perikanan tangkapan, selebihnya, 381,000 tan metrik adalah hasil daripada industri akuakultur.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menetapkan sasaran supaya mencapai lebihan (surplus) dalam imbangan perdagangan makanan pada tahun 2010 melalui Pelan Tindakan BOT (balance of trade).

Namun begitu, trend import telah meningkat sehingga mencecah RM37.41 billion pada tahun yang sama dan keadaan tersebut telah menyebabkan defisit BOT terus berlaku.

Bagaimanapun bagi produk perikanan, nilai eksport adalah melebihi nilai import.

Bagi menghadapai cabaran pada masa akan datang, Jabatan Perikanan turut melaksanakan program transformasi bagi tahun ini sehingga tahun 2020.

Antaranya, visi utama jabatan untuk menjadi peneraju transformasi perikanan mampan dan berdaya saing.

Negara juga memberi penumpuan terhadap Dasar Keselamatan Makanan Nasional agar sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran pada masa akan datang.

Antaranya, adalah sektor perikanan seperti produk ikan segar yang mempunyai wajaran paling tinggi dalam kumpulan makanan yang digunakan oleh rakyat negara ini.

Oleh yang demikian, ikan ditetapkan sebagai satu komoditi sekuriti yang mana ia ditampung melalui penangkapan ikan laut dan industri akuakultur.

Namun cabaran terbesar dalam jabatan ini adalah bagi menguruskan sumber tenaga buruh dalam sektor perikanan negara.

Sehingga kini, Malaysia hanya memiliki 125,632 nelayan (termasuk nelayan asing) dan hanya 23,483 orang penternak dalam bidang akuakultur.

Manakala vesel penangkapan ikan berlesen adalah sebanyak 48,745 buah yang terdiri daripada 40,103 vesel tradisional, 7,897 vesel komersial dan 745 vesel angkut dan MPI (Menunggu Peranti Pengumpul Ikan).

Justeru pada jumlah tenaga yang ada kini ia dilihat sebagai satu cabaran buat Jabatan Perikanan untuk merealisasikan sasaran pengeluaran ikan negara kepada 2.56 juta tan metrik menjelang tahun 2020.

Malah cabaran tersebut turut disertai dengan isu kekurangan nelayan tempatan untuk bekerja sebagai krew vesel penangkapan.

Jelas Ahamad Sabki, ekoran kekurangan tenaga buruh yang amat mendesak dalam sektor tersebut, penggunaan pekerja asing tidak dapat dielakkan.

"Jabatan Perikanan dan Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) menerima banyak memorandum dan surat rayuan bagi mendapatkan kebenaran menggunakan nelayan asing di atas vesel komersial Zon B.

"Kita lihat, pada tahun 2009 sahaja seramai 32,000 nelayan asing telah bekerja di dalam sektor ini," ujarnya.

Jabatan Perikanan juga turut mengambil langkah berhati-hati agar industri perikanan tidak mempunyai terlalu ramai pekerja asing bagi mengelakkan masalah terhadap keselamatan negara.

Pada masa yang sama, jabatan berkenana turut mengakui masalah kekurangan tenaga buruh ini berpunca apabila sebahagian besar nelayan tempatan yang semakin berumur dan beransur meninggalkan pekerjaan tersebut.

Di tambah pula, minat bagi golongan muda untuk menyambung tugas sebagai nelayan turut semakin berkurang.

"Ia berikutan pekerjaan tersebut dilihat tidak dapat menjamin masa depan mereka kerana pelbagai kelebihan tidak diperolehi mereka berbanding jika mereka menceburkan diri dalam pekerjaan lain.

"Hal ini telah lama kita fikirkan dan pelbagai jalan penyelesaian sedang di usahakan," jelasnya.

Antara usaha Jabatan Perikanan adalah seperti menubuhkan syarikat bagi memantau serta menjaga kebajikan nelayan sama seperti yang dilakukan oleh syarikat swasta di dalam sektor lain.

Malah, nelayan yang bernaung di bawah mana-mana syarikat tersebut akan menerima gaji dan faedah yang tetap di samping kebajikan mereka turut terjamin.

Menurut Ahamad Sabki, inisiatif penubuhan syarikat tersebut adalah bagi menarik minat golongan muda untuk menjadi nelayan tetapi dalam skop kerjaya yang lebih tersusun dan terjamin.

"Kita faham, rezeki nelayan ini bergantung harap kepada keadaan laut, jika laut bergelora maka kuranglah hasil tangkapan, begitu juga sebaliknya.

"Bagi golongan muda, situasi demikian bukanlah pilihan mereka sedangkan di luar menawarkan pekerjaan yang lebih baik," katanya.

Jelas beliau lagi, jika dilihat negara-negara maju seperti Jepun, golongan nelayan mereka telah maju, memiliki syarikat yang besar malah ia merupakan suatu pekerjaan yang amat menguntungkan.

"Saya mahu lihat nelayan kita menjadi setanding mereka, memiliki pengurusan yang cekap, siap beruniform malah pada hari-hari yang tidak mendatangkan hasil mereka masih lagi memiliki pendapatan," ujarnya.

Dalam pada itu, kini terdapat 16 ladang akuakultur dan 24 vesel penangkapan ikan yang menerima Persijilan Kualiti yang dikeluarkan oleh jabatan. Ia bagi membolehkan ikan yang ditangkap atau diternak boleh dieksport ke negara-negara Eropah.

Cabaran seterusnya adalah bagi mewujudkan lebih ramai pengusaha akuakultur dan vesel penangkapan ikan untuk mencapai piawaian tersebut.

Selain itu, mereka juga berperanan menjaga keselamatan nelayan di laut, sistem komunikasi nelayan, pemeriksaan vesel (EU Catch Certificate), memantau penggunaan alat Sistem Penguursan Vesel (VMS) dan borang LOV, biosekuriti, kualiti dan keselamatan makanan dan pelbagai lagi.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails