Tuesday, November 9, 2010

Ladang Melaka hasil susu berkualiti

Melawat beberapa ladang ternakan lembu tenusu bersama-sama dengan pakar yang dibawa dari Belanda, Jun Hulsen ke beberapa lokasi ternakan lembu memberikan pengalaman yang menarik.

Lawatan tersebut merupakan anjuran peneraju produk tenusu tempatan Dutch Lady Milk Industries Bhd. (DLM) selama dua hari melalui Program Pembangunan Tenusu Dutch Lady itu amat berguna.

Ia membantu menyalurkan kepakaran dan maklumat kepada para penternak tempatan untuk membekalkan hasil susu segar secara terus kepada syarikat tersebut.

DLM menjangka program menyalurkan kepakaran yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan membuahkan kejayaan seperti mana yang dilakukan oleh penternak Belanda, Indonesia dan Vietnam di bawah naungan Friesland Campina.

Projek berkenaan dimulakan pada Mei 2008 apabila syarikat berkenaan mendapati pengeluaran susu segar tempatan hanya mewakili tiga peratus daripada keseluruhan keperluan susu negara.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Kawal selia DLM, Rohana Safinah Abdul Hamid, pihaknya mengamalkan konsep pembelian susu segar terus dari ladang ke DLM.

Selain itu, ia menyediakan skim pembayaran menarik melalui sistem pemberian bonus dan sistem penalti berdasarkan kualiti susu.

Misalnya susu gred A dibeli pada harga RM2 seliter, gred B (RM1.80 seliter) dan gred C (RM1.70 seliter).

Lawatan ke ladang bermula dengan ladang ternakan lembu tenusu Pa’abas Diary, Melaka yang terlibat dalam program pembasmian kemiskinan.

Diuruskan oleh syarikat Induk Cekal Sdn. Bhd. dan dipantau oleh JPV Melaka dengan memberikan saraan kepada 64 buah keluarga miskin.

Pengurus Projek Ladang Lembu Air Pa’abas, Hasan Salleh berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada program basmi kemiskinan.

“Ladang ini memulakan operasinya pada Februari 2008 di tapak seluas 2.5 hektar di Bukit Apit dengan 50 ekor lembu betina dan dua ekor jantan baka Jersey tulen,” katanya semasa menerima lawatan media dan Jan Hulsen di ladang berkenaan baru-baru ini.

Menurut Hasan, lembu berkenaan diberi makan rumput napier, jagung, pelet, hampas isirung sawit (PKE) dan pelepah kelapa sawit (OPF) selain garam galian.

Bagaimanapun, beliau berkata, ladang berkenaan berhadapan dengan masalah kualiti dan bekalan rumput serta dedak bagi mendapatkan susu lembu yang berkualiti.

Kini ladang berkenaan mempunyai lembu daripada baka Jersey dan Frisien yang memberikan faedah saraan kepada 64 keluarga miskin di kawasan berkenaan.

“Pekerja di sini digalakkan menanam jagung dan rumput napier sebagai salah satu punca pendapatan lain memandangkan napier dan jagung merupakan makanan tambahan selain pelet, PKE, hampas isirung kelapa sawit (PKC) dan garam galian,” katanya.

Lembu tenusu di Ladang Pa’abas berupaya mengeluarkan lebih 10 liter susu sehari bagi seekor bibit lembu dengan kualiti terbaik.

Menggunakan kaedah pembiakan secara semulajadi dan permanian beradas antara Jersey tulen dan kacukan Jersey Fresien memberikan kualiti susu yang lebih baik.

Ladang yang menghadapi masalah kematian bibit yang tinggi selepas kelahiran, jelas Hulsen mungkin disebabkan tekanan atau stres.

Menurut beliau, ia dapat diatasi dengan mengurangkan tekanan, ventilasi, tingkatkan kebersihan ladang, memendekkan masa memerah susu serta meluaskan ruang rehat.

Lawatan kemudian diikuti ke ladang Jaswan yang dimiliki Pengerusi Koperasi Serbaguna Tenusu Melaka, Jusuwantha Singh Dulip Singh.


menternak lembu tenusu

Koperasi berkenaan mempunyai 435 ahli dengan 70 orang ahli yang bergiat secara aktif.

Ladang yang terletak di Merlimau, Melaka menternak lembu tenusu secara perniagaan keluarga selama lebih 30 tahun.

Di ladang seluas 2.5 ekar dengan hampir 20 ekor lembu Housten dan Jersey.

Berminat meningkatkan operasi beliau memerlukan lebih banyak tanah untuk meluaskan ladangnya memandangkan ternakannya hanya memakan rumput selain pelet, soya dan PKC sebagai makanan selingan.

Hulsen turut memuji lembu tenusu di ladang Jawsan yang disifatkan sihat dan boleh dilihat melalui keadaan bulunya yang berkilat.

Sementara itu di ladang Macres Sdn. Bhd. yang baru lima bulan beroperasi mendapatkan bekalan lembu baka Fresien dari negara Thailand.

Pengurus Bahagian Tanaman dan Ternakan Lembu, Mamat Tambi berkata, kira-kira 85 peratus lembu berkenaan merupakan baka Frisien selain baka Shahiwal dan Jersey.

“Kini terdapat 56 ekor lembu betina dan dua ekor jantan dengan 38 ekor bunting dan pengeluaran susu pertama dijangka pada bulan September,” katanya.

Dijangka seekor lembu bibit boleh mengeluarkan 45 hingga 55 liter susu sehari seekor bergantung kepada makanan yang diberikan.

Manakala Ketua Seksyen Tenusu Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Siti Salmiyah Tahir berkata, sehingga Jun lalu JPV telah menerima 9.7 juta liter susu yang dikeluarkan oleh ladang-ladang seluruh negara.

“Melalui program bersama DLM ini, JPV akan mengendalikan kajian kualiti ke atas susu yang dikeluarkan serta mengadakanlawatan sambil belajar ke ladang-ladang susu yang telah dikenal pasti,” katanya.

Siti Salmiyah menambah pihaknya juga akan membantu daripada segi penumpuan sokongan dan teknikal kepada penternak, memaksimumkan sumber, meningkatkan hasil serta membantu ke arah pembangunan ladang ternakan baru.

Sumber:Utusan Malaysia


No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails