Wednesday, March 3, 2010

Johor: 5 nelayan usaha projek pembenihan udang galah

KOTA TINGGI: Jabatan Perikanan daerah menyokong inisiatif lima nelayan Kampung Baru Pasak di sini, yang mengusahakan projek pembenihan udang galah sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada mereka selain mengatasi masalah kepupusan spesies udang itu.

Projek julung kali dijalankan pengusaha Bumiputera itu juga bakal memberi kemudahan kepada pengusaha restoran dan mereka tidak lagi perlu khuatir menghadapi kekurangan mendapatkan bekalan udang segar untuk hidangan mereka.

Ketua projek, Mazlan Bahran, 45, berkata atas kesedaran mahu menambah pendapatan selain mengatasi kesukaran pergi ke sungai untuk mengail ikan dan udang galah hanya semata-mata bagi menikmati keenakan hidupan akuatik itu, beliau bersama empat rakan, iaitu Azman Ali, Jaafar Andang, Abu Darji dan Mohd Arif Ahmad menerima cadangan daripada pegawai perikanan untuk mengusahakan projek pembenihan udang itu.

Beliau berkata, pada peringkat permulaan, semua mereka dihantar ke Sungai Berembang, Perak untuk melihat bagaimana projek penetasan udang galah dijalankan.

“Sekembali daripada lawatan itu, kami berkongsi modal sebanyak RM10,000 serta bantuan oleh Jabatan Perikanan sebanyak RM22,000.

“Dalam bangunan bersaiz sederhana itu, kami menempatkan tiga tong fiber untuk penetasan udang yang kadar suhu dikawal dalam keadaan lembap.

“Induk benih udang kami ambil daripada udang galah di Sungai Johor. Selepas 35 hari penetasan benih yang begitu aktif, kami anggarkan kira-kira 50,000 ekor anak udang boleh dihasilkan untuk setiap tong fiber dan kira-kira 150,000 ekor anak udang boleh dihasilkan dalam sebulan,” katanya ketika ditemui.

Selepas empat bulan mengusahakannya, Mazlan berkata, mereka dalam proses memindahkan benih udang galah ke kolam besar dan akan menunggu kira-kira enam bulan lagi untuk memasarkannya buat kali pertama.

Rakan kongsinya, Jaafar Andang, 40, berkata projek fasa pertama mereka sudah berjaya dan mereka kini dalam proses memindahkan benih-benih udang itu ke kolam ternak.

“Pegawai Jabatan Perikanan ada memaklumkan kepada kami, mereka sedia bantu untuk memasarkan benih udang kami itu. Kami memang memerlukan bantuan dan kepada sesiapa yang berminat untuk menternak udang galah, kami bersedia jual benih udang itu pada harga 7 sen seekor, ” katanya.

Beliau yang juga seorang peraih ikan berkata, permintaan dan harga pasaran udang galah tinggi dan ia boleh dijual pada harga RM40 sekilogram.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Lama, Asiah Md Ariff, ketika meninjau projek itu memuji inisiatif yang dijalankan lima nelayan terbabit dan mahu projek itu dibantu dan diberi perhatian oleh Jabatan Perikanan serta agensi berkaitan.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails