Sunday, August 2, 2009

Karnival landasan pamer produk



MOHD. Rafie Abd. Razak menunjukkan baja organik Bio-X-Plus yang menjadikan lada berbuah lebat pada Karnival Jualan dan Pameran di Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang, semalam.


JOHOR BAHRU 31 Julai - Setiap kali karnival diadakan, Mohd. Rafie Abd. Razak tidak menolak untuk menyertainya jika berkesempatan.

Baginya, itulah landasannya untuk mempamerkan produk Bio-X-Plus iaitu baja cecair organik (A+B) yang dicipta oleh abangnya, Mohd. Razali.

Menurutnya, baja tersebut boleh membantu tumbesaran dan menyuburkan pokok serta sayur-sayuran seperti cili, kekacang, terung atau pokok bunga.

''Setiap kali menyertai karnival, saya perlu mempamerkan pokok cili yang dibaja dengan cecair organik berkenaan kerana tanpa pokok tersebut, pelanggan tidak akan percaya.

''Lagipun baja yang digunakan adalah untuk menyuburkan tanaman dan bagi yang berminat untuk berkebun, mereka boleh menanam cili secara fertigasi," katanya.

Mohd. Rafie memberitahu, dia tidak pernah mensasarkan jualan yang bakal diperoleh pada sesuatu karnival kerana apa yang penting, orang ramai mengenali dan yakin dengan produk tersebut.

Katanya, bagi yang berminat untuk menambah pendapatan, mereka boleh menjadi pembekal Bio-X-Plus kerana ia mampu memberi pendapatan sampingan yang baik jika gigih berusaha.

''Di Johor, saya adalah pengedar tunggal. Jika ada yang berminat, mereka perlu melabur sebanyak RM2,000 untuk produk termasuk dua pasu pokok cili.

''Kita bagi produk mengikut pelaburannya. Jika orang itu rajin, dalam tempoh singkat saja dia boleh mengumpul semula wang pelaburan," katanya ketika ditemui di tapak Karnival Jualan dan Pameran yang berlangsung di padang bola sepak Kampung Cahaya Baru Masai, di sini hari ini.

Karnival itu diadakan sempena Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau 2009 dan disertai kira-kira 40 usahawan tempatan.

Pada karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, pelbagai barangan dijual termasuk produk telekomunikasi, pakaian, kecantikan dan makanan.

Bagi penjual di gerai Deli Bangkok yang menjual pelbagai menu makanan ala Thai, perniagaan di tempat terbuka seperti itu lebih meriah.

Nasir Arus, 28, berkata, dengan adanya jualan secara terbuka itu orang ramai berpeluang menikmati pelbagai hidangan menarik.

''Makanan yang kami jual di sini sama dengan yang dijual di Danga Bay. Orang ramai yang gemar masakan ala Thai boleh menikmati makanan itu dengan harga yang murah," katanya.

Selain menikmati pelbagai jenis makanan yang dijual, pengunjung karnival juga akan dihiburkan dengan persembahan Haziq AF4 dan persembahan artis 60-an pada sebelah malamnya.

Penolong Bendahari Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Rohsawal Nizam Abd. Ghafar berkata, karnival itu juga bertujuan untuk menjana pendapatan usahawan setempat.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails