Wednesday, June 10, 2009

Galak ceburi ternakan air tawar


SEREMBAN 9 Jun – Masyarakat di negeri ini disarankan untuk menceburi bidang ternakan air tawar kerana ia lihat mempunyai potensi yang cukup luas untuk diterokai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, ia berikutan permintaan yang tinggi terutama di kawasan bandar yang sememangnya menggemari hasil ikan air tawar.

Katanya, masyarakat khususnya di kawasan luar bandar digalakkan untuk mengambil peluang untuk menternak ikan air tawar kerana ia mampu memberikan pulangan yang besar kepada mereka.

‘‘Jika kita lihat pasaran ternakan air tawar ini masih belum diterokai seluas-luasnya oleh masyarakat kerana ia mempunyai permintaan yang cukup besar oleh pengguna terutamanya di negeri ini.

‘‘Antara spesis yang dilihat mampu untuk mendapat pulangan yang baik termasuk ikan jenis tilapia dan keli kerana ia bukan sahaja murah untuk didapati anak benihnya malah mudah untuk dijaga,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya kecenderungan penternak ikan air tawar kini mula menular di kawasan luar bandar termasuk kawasan rancangan Felda seperti di Jempol serta beberapa tempat lain di negeri ini.

Tambah beliau, saranan itu selaras dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu sektor penternakan air tawar dianjakkan dari 25 peratus kepada 40 peratus hingga 60 peratus menjelang tahun 2012.

‘‘Kita mahu supaya apabila dasar ini dilaksanakan, Negeri Sembilan mampu menjadi kawasan hub makanan bagi Lembah Klang selain memenuhi permintaan dari penduduk setempat,’’ ujar beliau.

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails