Saturday, May 16, 2009

Akuakultur, ladang getah mini atasi kemiskinan

KUCHING - Peserta program bagi projek akuakultur secara komersial dan ladang getah mini di luar bandar Sarawak mampu meningkatkan tahap pendapatan mereka sebanyak 80 peratus.

Timbalan Ketua Menteri dan juga Menteri Permodenan Pertanian, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, menerusi kajian yang dilakukan kementeriannya mendapati kedua-dua projek berkenaan mampu meningkatkan pendapatan peserta melepasi garis kemiskinan.

Bagaimanapun, katanya, keberkesanan program-program berkenaan dalam meningkatkan pendapatan dan mengurangkan masalah kemiskinan masyarakat luar bandar masih dalam peringkat penilaian.

''Sehubungan itu, kementerian akan meneruskan usaha untuk mengkaji penilaian kesan terhadap program-program lain yang dilakukan pada masa hadapan,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan asal Rosey Yunus (BN-Bekenu) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.

Hong Nam yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian memberitahu, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Jabatan Pertanian meluluskan peruntukan kira-kira RM24.6 juta untuk melaksanakan program pembangunan infrastruktur pertanian.

Katanya, selain itu, sebanyak RM28.8 juta diperuntukkan Jabatan Pertanian untuk mengendalikan kursus latihan usahawan dan pertanian, lanjutan pertanian serta pembangunan organisasi pertanian.

''Pelaksanaan projek dan program berkenaan diadakan bagi meningkatkan pendapatan golongan sasaran,'' katanya.

Sementara itu, Hong Nam berkata, Program Sejahtera Task Force (STF) iaitu inisiatif membasmi kemiskinan di 14 kampung di Pulau Bruit, Daro, Matu dan Mukah yang dikenal pasti sebagai kawasan kemiskinan tegar berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah peserta berkenaan.

Tambah beliau, program itu juga berjaya meningkatkan pencapaian akademik dan mengurangkan masalah pemakanan tidak seimbang di kalangan kanak-kanak prasekolah.

Sumber:Utusan MAlaysia

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails