Friday, September 12, 2008

Daging harga rendah dikhuatiri berpenyakit

KOTA BHARU 7 Sept. - Jabatan Perkhidmatan Vaterinar negeri menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika ditawarkan harga daging lembu yang rendah kerana dikhuatiri ia haiwan seludup dan berpenyakit.

Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd. Zairi Serlan tidak menolak kemungkinan banyak daging ternakan itu di dalam pasaran dan bersaing dengan daging tempatan ketika permintaan terhadap bekalan terus melonjak.

''Kita tidak menjamin daging tersebut bebas daripada sebarang penyakit yang besar kemungkinan mendatangkan kesan sampingan kepada pengguna," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut beliau, sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, pihaknya merampas 2,612 ekor lembu dan kerbau bernilai RM344,000 yang diseludup dari negara jiran melibatkan 152 kes.

Beliau memberi jaminan bekalan daging menjelang Hari Raya mencukupi dan orang ramai tidak harus bimbang sehingga terdorong untuk membeli daging ternakan yang diseludup.

''Selain bekalan tempatan, ia juga ditampung dengan kemasukan daging import dan boleh didapati dengan mudah dan harga berpatutan," katanya

Tambahnya, sebanyak 3,000 ekor lembu dan kerbau dari ladang-ladang tradisional dan fidlot di negeri ini disediakan untuk membekalkan 360 tan metrik daging segar.

Selain dari itu katanya, 30 tan metrik daging beku dari India telah diimport untuk menampung bekalan. Bekalan kambing dan biri-biri baka kacukan tempatan hidup juga disediakan sebanyak 500 ekor yang akan menghasilkan 60 tan metrik daging segar.

''Keperluan daging ayam pula sebanyak 4,000 tan metrik dijangka dipenuhi dengan bekalan ayam sembelihan sebanyak 2.6 juta ekor ayam sebulan dari bekalan termasuk dari negeri lain.

''Telur ayam dan itik pula boleh dibeli dengan mudah di pasaran dengan bekalan melebihi 5.2 juta biji sepanjang bulan ini," katanya.

Mengenai harga beliau berkata, dengan bekalan yang mencukupi, harga daging dan telur dijangka stabil apatah lagi sebahagian daripada komoditi tersebut telah disenarai sebagai barangan kawalan.

''Daging lembu sembelihan tempatan pada harga RM15 sekilogram, daging kerbau import (beku dari India) RM8 sekilogram manakala daging kambing sembelihan tempatan berharga RM18 sekilogram,'' ujarnya.

Katanya, harga ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal), RM6 sekilogram, telur ayam gred A, 30 sen sebiji dan telur itik masin berharga 75 sen sebiji.

(Petikan dari Utusan )

No comments:

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails