Sunday, September 11, 2011

Mengesan antibiotik ternakan ayam


Penggunaan antibotik yang minimum dapat mewujudkan industri ayam yang lebih sihat. -Gambar hiasan.


SELAMA ini adakah kita sebagai pengguna mengambil berat mengenai apa yang kita makan? Misalnya antibiotik yang terkumpul dalam daging ayam yang kita makan setiap hari?
Antibiotik terutama tetracycline digunakan secara meluas dalam pengeluaran ternakan bagi terapi dan peningkatan berat badan.
Bahan berkenaan dimasukkan ke dalam makanan bagi merangsang peningkatan berat selain menghalang jangkitan penyakit.
Biasanya antibiotik berkenaan diberikan bermula dalam makanan permulaan atau starter sehingga ke 'finisher' atau hingga ayam disembelih.
Biasanya antibiotik akan berkumpul dalam tisu haiwan ternakan dan memasuki rantaian makanan apabila ternakan berkenaan disembelih, dijual dan dimakan oleh manusia.
Antibiotik stabil sehingga sembilan bulan dan tidak terurai malah akan terkumpul di dalam otot, hati dan kulit.
Daging ayam merupakan makanan utama dalam diet manusia, Antibiotik yang terdapat dalam daging ayam mungkin boleh mendatangkan kesan kepada manusia seperti rentan kepada antibiotik serta memberikan kesan karsinogenik (penyebab kanser).
Disebabkan penggunaan antibiotik menjadi semakin penting dalam pengeluaran makanan, pihak berkuasa perlu mengambil langkah tertentu bagi mengukur kesan sisanya dalam makanan.
Bagi memastikan produk makanan yang selamat untuk penggunaan tempatan dan antarabangsa, keupayaan mengesan sisa antibiotik dalam ternakan ayam sangat penting.
Sistem pengesanan antibiotik yang ideal biasanya dirujuk sebagai imbasan mikrobiologi diikuti dengan ujian ELISA dan pengesahan akhir serta kuantiti menggunakan analisis HPLC atau GCMS.
Walaupun analisis berkenaan menggunakan peralatan yang sensitif tetapi ia amat mahal dan memakan masa yang lama.
Justeru gabungan jalur biosensor yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan peralatan digital mudah alih yang dibangunkan oleh Rapid Lab Sdn. Bhd. bagi pemantauan antibiotik mampu dimiliki dan sesuai bagi mendapatkan keputusan yang cepat.
Pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, MARDI, Dr. Faridah Salam berkata, teknologi yang dibangun berdasarkan kepada produk antibiotik tempatan sangat berkaitan dengan pemantauan antibiotik.
Ini kerana jalur berkenaan boleh digunakan di lapangan pada masa sebenar.
"Jalur berkenaan mempunyai potensi pasaran yang besar bagi penggunaan eksport dan tempatan bernilai sehingga RM250 juta.
"Sejak Kementerian Kesihatan meningkatkan keupayaan mengimbas kandungan antibiotik dalam produk berasaskan ayam, jalur biosensor merupakan teknik terbaik bagi imbasan antibiotik," katanya.
Biasanya paras antibiotik yang selamat adalah 100 bahagian per bilion atau 100 mikrogram bagi satu kilogram.
Dr. Faridah berkata, selalunya hanya penternak industri ayam yang besar mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Dianggarkan kos imbasan saja menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah kos pasaran.
Pada tahun pertama, jalur berkenaan dijangka dapat memasuki 10 peratus pasaran segmen ujian dengan pertumbuhan lima hingga 10 peratus setahun.
Berdasarkan segmen pasaran, produk berkenaan dijangka menjana pendapatan sebanyak RM2.5 juta setahun.
Sumber:utusan malaysia 

Rasa manis sebenar nangka madu


Francis Choy (kiri) bersama Adnan Lee melihat buah nangka madu yang baru dipetik dari ladangnya di Bidor, Perak.


CELUP gula? Mana ada saya celup gula, nangka ini saya petik terus dari ladang. Kalau encik tidak percaya, ambil buah ini bawa ke makmal, uji jika saya ada letak gula.

"Saya memang belajar tidak tinggi encik, namun bagi saya berniaga biar jujur," ujar Uncle Jack sambil menahan marah.

Bersungguh-sungguh beliau bertegang urat menerangkan buah nangka yang dijualnya tidak pernah dicelup dalam air gula.

Itu antara pengalaman Uncle Jack apabila berhadapan dengan beberapa pelanggan yang meragui kemanisan buah nangka yang dijualnya suatu ketika dahulu.

Pengalaman selama 15 tahun menanam dan memasarkan nangka menjadikan Uncle Jack atau nama sebenarnya Francis Choy begitu 'masak' dengan reaksi sesetengah pelanggan yang terkejut dengan kemanisan isi buah nangka yang dijualnya.

Pertemuan bersama Francis dibawa oleh Pengarah Urusan MBG (Money Back Guarantee) Fruits Sdn. Bhd. (MBG), Adnan Lee yang juga merupakan antara salah sebuah syarikat pemborong serta penghantaran buah-buahan di sekitar Lembah Klang.

Jelas Francis yang memiliki syarikat MF Fresh Fruits & Agriculture Trading itu, jika sampai musim buah yang agak lebat beliau terpaksa memasang tongkat dan sokongan bagi membantu dahan pokok nangkanya menampung berat buah yang bergayutan.

Bercerita mengenai sejarah penanaman nangka madu tersebut, Francis mengimbau kenangan 15 tahun dahulu apabila beliau dan seorang lagi rakan perniagaannya terpaksa ke Kedah untuk mencari baka nangka madu terbaik di sana.

"Kita jumpa baka nangka ini di Alor Setar dan kita bawa balik ke sini (Bidor). Kemudian kita cuba buat pengklonan dengan baka sedia ada.

"Agak lama juga saya buat ujian sendiri akhirnya kami menemui baka baru nangka madu yang dikenali sebagai J 33 dan digunakan sehingga hari ini," katanya.

Malah, Francis berkata, bapa beliau merupakan seorang pengusaha tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan. Dia sendiri hampir 30 tahun terbabit dalam bidang pertanian.
"Saya tidak memiliki pembelajaran secara formal dalam bidang pertanian. Semua yang saya pelajari adalah daripada pengalaman bapa dan pengalaman saya sendiri ketika mengusahakan pelbagai tanaman," jelasnya.

Tambah Francis, sebelum menumpukan perhatian kepada penanaman nangka beliau pernah mengusahakan tanaman betik, tembikai dan pelbagai lagi.

Setiap jenis tanaman mempunyai perbezaan dalam cara menjaga dan penanaman. Sesetengahnya ditanam berdasarkan permintaan dan musim.
Bagi beliau, nangka merupakan antara tanaman yang kurang dikomersialkan secara besar-besaran. Malah hasil tuaiannya juga sentiasa tidak mencukupi bagi pasaran tempatan.
Ia menunjukkan penanaman nangka tidak diketengahkan oleh kebanyakan petani menyebabkan bekalan buah tersebut agak berkurangan di pasaran.

Francis mengakui, terdapat juga petani menanam nangka namun untuk mencari penanam baka nangka madu sepertinya adalah sukar.

Ujarnya, menjaga pokok nangka sama seperti menjaga diri sendiri. Petani perlu mengetahui keperluan serta cara menjaga pokok dengan betul.

Mengeluarkan
Memiliki hampir 600 pokok dalam kawasan seluas 10 ekar membolehkan ladang beliau di Bidor, Perak mengeluarkan 10 hingga 15 tan buah nangka bagi setiap ekar dalam setahun.
Selain di Bidor, Francis turut memiliki ladang nangka di sekitar Rawang, Selangor.
Terdapat 70 hingga 80 biji bagi satu tan. Sebiji buah nangka seberat 10 hingga 15 kilogram (kg). Setiap pokok nangka mampu mengeluarkan buah 10 hingga 12 biji pada satu-satu masa.
Menurut Francis, buah yang terlalu banyak pada sepohon pokok akan mengurangkan kualiti rasa, berat, saiz dan ketebalan isi nangka.
"Semuanya memainkan peranan, justeru berat yang ideal bagi sebiji buah nangka adalah 10 hingga 15 kg. Kadang-kala berat buah juga mampu mencecah 42 kg sebiji," tambahnya.
Untuk mendapatkan hasil sedemikian, pemangkasan dahan serta daun perlu kerap dilakukan. Malah putik yang berlebihan juga akan dibuang.
Pokok nangka akan mengeluarkan putik yang banyak. Justeru, hanya 10 hingga 12 biji putik yang berpotensi menjadi buah yang baik akan ditinggalkan. Selebihnya akan dibuang dari pokok.

Jelas Francis, pokok yang kekurangan daun dan memiliki buah yang sedikit akan menghasilkan buah yang lebih cantik, manis, berisi tebal serta berkualiti tinggi.
Ia berikutan tumpuan pembekalan nutrisi pokok lebih kepada proses pembesaran buah tidak kepada daun semata-mata.
Francis menggunakan najis ayam sebagai baja dan sedikit racun serangga untuk melindungi kulit buah nangka daripada serangan haiwan perosak tersebut.
Namun, jelasnya, serangga bukanlah musuh utama bagi nangka. Justeru penggunaan bahan tersebut di ladangnya amat kurang di samping kos bagi penggunaan racun serangga juga amat tinggi.

Musuh utama ladang nangka milik Francis adalah terdiri daripada monyet dan babi hutan kerana keadaan pokoknya yang rendah, rendang dan kadang-kala boleh mencecah sehingga ke tanah.

Penyakit karat buah juga merupakan antara penyakit yang sering menyerang isi nangka. Namun, ia dapat diatasi dengan proses penjagaan pokok secara betul.Kini sebahagian besar buah nangka beliau diedarkan MBG yang siap dibungkus.MBG yang memiliki 16 buah cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk satu di Melaka turut memiliki cawangan di The Gardens, Mid Valley, Sunway Pyramid, Subang Parade dan The Curve.

Di samping membekalkan buah nangka kepada MBG, Francis turut menjual buah tersebut di restoran dan pasar buah-buahan. Namun, bekalan tidak pernah mencukupi berikutan permintaan yang tinggi.

Bagi yang berminat untuk terjun dalam bidang pertanian terutamanya penanaman nangka madu, nasihat Francis, jangan cepat berputus asa dan cari ilmu berkenaan tanaman nangka secukupnya.

''Perniagaan bukanlah suatu perkara yang boleh di bina dalam masa yang singkat. Ia memerlukan ketabahan, minat yang mendalam serta kecekalan di samping usaha yang berterusan," ujarnya.

Selain membekalkan buah nangka, Francis turut menyediakan khidmat nasihat dan rundingan dalam bidang penanaman nangka.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan tunjuk ajar atau perkhidmatan nasihat daripada beliau anda boleh menghubungi Francis di talian 016-222 3246 atau 012-223 3246.
Sumber:utusan malaysia 

Tuesday, August 9, 2011

Khasiat Budu


Misteri yang baru terungkap. Khazanah yang belum dikenali ramai tapi sudah lama diamalkan di Pantai Timur. Budu atau sos bilis yang berasal dari negeri Trg dan Klate ini mendapat perhatian dan menjadi kajian para ahli pemakanan berkhasiat Jepun, Amerika, Australia, New Zealand dan Jerman.

Penemuan baru-baru ini membuktikan kandungan budu memiliki Gluthaione sebagai .
bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser Kenyataan ini bagaikan satu kejutan bagi golongan yang selama ini memperlekehkan kewujudan budu yang dianggap makan "kuno". Budu berpotensi untuk melawan radikal bebas sehingga dapat menghalang proses penuaan dan mencegah koroner jantung, diabetes, kanser dan selainnya pada peringkat lebih awal.  Kajian mendalam juga mendapati budu turut mengandungi zat antibakteria penyebab diare, penurunan kolestrol darah, pencegah penyakit jantung dan hipertensi. Budu memiliki zat gizi yang lebih mudah dicerna,diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain.

Khasiat budu yang diproses dari ikan bilis yang diperam terbukti mampu mengatasi masalah kanak-kanak yang menderita penyakit diarea kronis akibat kurang zat pada tubuh. mampu menggalakkan pertumbuhan berat badan bagi golongan yang menderita penyakit diare kronis ini serta menyembuhkannya dalam waktu singkat.

Ia juga dapat mempertingkatkan IQ kepada sesiapa yang memakannya,kerana ia merangsangkan sel-sel otak dan akan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron2 yang lemah. Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi dan kembung perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa.

2 kelompok vitamin yang terdapat pada budu iaitu,vitamin larut air(vitamin B Kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A,D, E dan K).

Budu merupakan sumber vitamin B yang paling banyak menyumbang kepada pecahan lain seperti vitamin B1 thiamin), vitamin B2(riboflavin) , asid pantotenat, asid niasin, vitamin B6 dan vitamin 12 (sianokobalamin) .  Secara saintifik, budu merupakan penyumbang utama vitamin B12 yang dihasilkan oleh bakteria klebsiella pneumoniae dan Citrobacter frundiin- yang mana Vitamin B12 ini tidak dimiliki
dari mana-mana sumber makanan laut, ikan-ikan dan daging-daging lain.

Ianya perlu untuk pembentukan sel darah merah, di mana kekurangan vitaman ini mengakibatkan terjadinya penyakit anemia perisiosa (pucat), sakit perut dan berat badan menurun.

Kadar Vitamin B12 dalam budu adalah di antara 1.5 sehingga 6.3 mikrogram per 100 gram bagi setiap satu hidangan atau 2 sudu besar. Jumlah ini jauh lebih cukup untuk keperluan badan manusia dalam sehari. Dengan adanya vitamin B12 para pengamal diet jaga badan) tidak perlu lagi merasa khuatir akan kekurangan vitamin B12 di dalam badan. Selain pembekal kepada protein yang tinggi, ia turut mengandungi mineral makro dan mikrodalam jumlah yang cukup.  Jumlah mineral zat besi, kalsium dan magnesium adalah sebanyak 9,39, 2,87 dan 8.05mg bagi setiap 100 gram budu. Budu juga mengandungi zat antioksidan dalam bentuk isoflavon. Seperti halnya vitamin C, vitamin E dan karotenoid, isoflavon juga merupakan antioksidan yang sangat diperlukan oleh tubuh untuk menghentikan reaksi pembentukan radikal bebas.
Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan, sehingga menjadi sangat aktif hingga menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel. Radikal bebas didapati berpunca dari makan seharian yang dimakan dan juga dari reaksi yang terjadi di dalam tubuh. Adanya antioksidan didalam budu akan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut.
Kebiasaannya di dalam apa jua jenis ikan terdapat 3 jenis isoflavon(unsur antioksidan) iaitu  daidzein, glisitein dan genistien. Pada budu, di samping 2 jenis unsur ini, terdapat juga antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi soflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat dibandingkan isoflavon dalam ikan-ikan lain.

Penelitian yang dilakukan di University North Carolina, Amerika Syarikat menemukan bahawa unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat pada budu terbukti dapat mencegah penyakit kanser, proses penuaan dan kanser payudara. Penyakit jantung koroner (PJK) merupakan salah satu bentuk kelainan pembuluh darah koroner akibat penumpuan lemak di dalam dinding pembuluh darah iaitu satu keadaan yang disebut aterosklerosis.
Ini mungkin disebabkan oleh faktor usia, pemakanan, jantina dan keturunan. Manakala faktor dimodifikasi adalah peningkatan kadar lipida darah (hiperkolestrolemia ), hipertensi, obesiti, stress dan kurang aktiviti lasak.Pemakanan budu yang mempunyai sifat hipokolesterolemik (menurunkan lemak darah) seperti kandungan protein,serta makanan, niasin, vitamin E, karotenoid dan kalsium.  Satu ujikaji rambang yang dijalankan mendapati pengambilan budu sebanyak 150 gm sehari selama 2 minggu dapat menurunkan kadar kolestrol ke tahap luar dari jangkaan. Selain dari sumber protein yang berkualiti tinggi,budu turut dikenali sebagai sumber serat(dietary fiber) yang baik.

Kandungan serat didalam budu mampu mencapai di antara 8 hingga 10% bagi setiap 100 gm. Ia menyumbangkan kepada 30% dari jumlah serat yang dianjurkan oleh National Cancer Reserach. 

Berbanding serat di dalam ikan-ikan atau sumber protein lain, serat pada tempe (Farmasi Anis:tempe atau budu?) lebih mudah untuk dicernakan.  Dari apa yang dinyatakan ini jelas sekali bahawa khasiat serta kebaikan sepiring budu yang dimakan bersama hidangan nasi pagi, tengahari dan malam melampau jangkauan yang anda fikirkan.  Budu umpama seteguk air multivitamin yang menyumbang kepada pelbagai keperluan untuk tubuh badan.

Sunday, July 31, 2011

Memperluas industri stevia


KELEBIHAN pemanis semulajadi stevia mempunyai pelbagai khasiat menjadikan perusahaannya semakin diperluas ke peringkat komersial.


KEHEBATAN pemanis semulajadi pengganti gula, stevia atau nama saintifiknya Stevia rebauidiana memang tidak dapat disangkal lagi.
Selain mempunyai ekstrak rasa manis pada kadar 200 hingga 300 kali ganda berbanding gula biasa, tumbuhan herba daripada keluarga Chrysanthemum itu turut menawarkan pelbagai khasiat lain seperti protein, fiber, karbohidrat, kalsium, natrium, magnesium dan juga zink.

Daripada sudut perubatan, stevia berupaya membantu mencegah penyakit kanser, kencing manis, diabetes selain mengandungi vitamin A, B dan C serta mineral penting untuk pertumbuhan kanak-kanak.

Rasanya yang terlalu manis pula menjadikan produk gula alternatif itu hanya diperlukan dalam kuantiti sedikit sekali gus memberi penjimatan daripada segi perbelanjaan.

Walaupun menawarkan pelbagai kelebihan, penggunaan stevia di negara ini masih berada di peringkat rendah iaitu sekitar tiga peratus sahaja berbanding 80 peratus di Jepun.

Stevia sebenarnya berasal daripada Paraguay, Amerika Syarikat sesuai di tanam di kawasan beriklim tropika.
Di Malaysia, penanaman pokok stevia masih belum dilaksanakan secara meluas dan jika ada pun, ia hanya dijalankan dalam skala yang kecil.

Bagi tujuan pembangunan pula, beberapa organisasi penyelidikan tempatan kini sedang giat menjalankan kajian mengenai penanaman, pengekstrakan dan pengeluaran produknya.
Melihat peluang tersebut, sebuah syarikat bumiputera, Megaherbs Bioextreme (Megaherbs) telah memulakan aktiviti pertanian dan perniagaan berasaskan stevia.

Mula ditubuhkan sejak tahun 2010, syarikat itu menawarkan program kursus keusahawanan berkaitan penanaman stevia.

Menurut Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya, operasi syarikatnya bermatlamat menggalakkan ahli masyarakat menceburi perusahaan penanaman stevia.

‘‘Aktiviti penanaman stevia ini bakal menjana pendapatan ekonomi baru di samping memberi faedah kepada masyarakat kerana ia mempunyai pelbagai khasiat.

‘‘Menerusi program keusahawanan ini, kita bantu para peserta daripada segi penyediaan kemudahan, khidmat nasihat, infrastruktur asas, sokongan teknikal, panduan dan pemasaran.
‘‘Setakat ini, kita telah mempunyai seramai lebih 200 orang peserta. Selain pengeluaran daun, aktiviti penanaman mereka lebih tertumpu kepada pengeluaran anak-anak pokok untuk dijual kepada para peserta baru,’’ katanya ketika di temui pada sesi Kursus Keusahawanan Stevia Megaherbs Siri ke-6 di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Zubir memberitahu lagi, ketika mula-mula membuka kursus keusahawanan dahulu, pihaknya menerima permintaan penyertaan yang cukup menggalakkan.

Jadi, beliau terpaksa menjalankan proses temuduga untuk mencari usahawan yang benar-benar berminat dan mempunyai tanah bersesuaian untuk tanaman stevia.

‘‘Menjelang akhir tahun ini, kita menyasarkan sekurang-kurangnya Megaherbs mempunyai seramai 1,000 orang pengusaha stevia terlatih,’’ jelasnya.Ketika ini, Megaherbs sedang dalam usaha sama dengan Unit Bioteknologi, Universiti Teknikal Damansara untuk menjalankan penyelidikan mengenai penanaman stevia secara tisu kultur.
sumber:utusan malaysia 

Ajar teknik penanaman stevia

SECARA asasnya, pokok stevia boleh dibiak menggunakan pelbagai cara iaitu melalui biji benih, pembiakan hortikultur dan sistem fertigasi.

Untuk biji benih, ia hanya perlu ditanam di dalam medium penanaman yang baik sebelum dipindahkan ke kawasan lebih luas.

Bagi hortikultur, ia merupakan kaedah pengklonan pokok yang diketahui mempunyai kandungan steviol (pemanis) tinggi sebagai induk.

Cara tersebut dijalankan menerusi pemotongan dahan yang yang ingin dibiakkan sebelum direndam dengan hormon pengakar dan seterusnya ditanam.

Dengan cara itu, penghasilan steviol daripada induk akan dapat dikekalkan pada benih pokok baru.

Sementara untuk fertigasi, ia merupakan sistem penanaman moden yang mampu menjana lebih keuntungan kepada para usahawan.

Melalui kaedah itu, ia akan membekalkan nutrien lengkap kepada pokok selain dapat dikawal mengikut pertumbuhan dan meningkatkan hasil.

Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya memberitahu, untuk setiap kursus yang dijalankan, para peserta akan diajar tentang teknik asas penanaman stevia.

‘‘Mereka akan didedahkan dengan kaedah penyediaan tanah dan batas, penanaman anak benih, penjagaan, pembajaan, kawalan perosak, penuaian dan pengeringan.

‘‘Biasanya, selepas dua minggu biji benih ditanam, anak pokok akan dipindahkan ke batas sebelum mereka diajar cara membuat tunas untuk pembiakan biji benih.

‘‘Pada peringkat ini, pengusaha perlu memberi perhatian terhadap perkembangan akar untuk memastikan pokok tumbuh dengan sihat,’’ jelasnya.

Pokok stevia akan mengambil masa selama lebih kurang tiga bulan untuk dituai.

Daun-daun yang telah kumpulkan akan dijemur di bawah cahaya matahari secara berterusan selama satu hari setengah sebelum di hantar ke kilang pemproses.
Sumber:utusan malaysia 

Usahawan kontrak ladang stevia


MEGAHERBS Bioextreme (Megaherbs) menawarkan penanaman stevia secara ladang kontrak kepada usahawan yang berminat.


TIDAK perlu berbelanja besar, mudah ditanam dan tidak memerlukan kawasan luas. Itu yang ditawarkan oleh Program Keusahawan Stevia oleh syarikat pertanian Megaherbs Bioextreme (Megaherbs) kepada usahawan yang berminat.

Menerusi program itu, syarikat tersebut memperkenalkan konsep penanaman secara perladangan kontrak.

Menurut Presiden Megaherbs, Dr. Zubir Yahya, pengenalan konsep itu bermatlamat mewujudkan kerjasama antara syarikat dengan para pengusaha.

‘‘Ia akan memudahkan kedua-dua pihak dalam urusan pembekalan baja dan anak pokok serta pembelian semula hasil tanaman.

‘‘Biasanya, syarikat akan membeli daun stevia kering dengan harga RM40 hingga RM50 sekilogram mengikut gred dan harga pasaran.

‘‘Kontrak ini akan dijalankan selama dua tahun dan pengusaha boleh memperbaharuinya mengikut kesesuaian,’’ jelasnya.

Bagi usahawan yang berminat, pihak Megaherbs telah menyediakan beberapa pakej kursus bermula daripada kos serendah RM3,000 hingga RM90,000.

Selain berurusan dengan para usahawan, Megaherbs turut menjalankan kerjasama dengan agensi dan jabatan kerajaan bagi menjalankan aktiviti penanaman stevia dalam skala besar.Antaranya seperti usaha sama dengan Jabatan Pertanian Terengganu bagi mewujudkan Pusat Latihan Penanaman stevia untuk para petani di seluruh negeri Terengganu.

Tidak cukup dengan itu, Megaherbs juga sedang dalam proses perbincangan dengan sebuah organisasi dari Sabah untuk membuka ladang stevia di sana.

‘‘Kita juga ada menjalankan latihan penanaman di rumah ibu-ibu tunggal untuk menggalakkan mereka menceburi industri ini di samping mengisi masa lapang.

‘‘Selain itu, kita turut melatih para belia di seluruh Malaysia yang berminat menjalankan perniagaan ini di bawah program Belia 4B,’’ jelasnya.

Untuk perancangan tahun 2011, Megaherbs bercadang membuka lebih kurang 1,000 ladang Stevia baru di seluruh negara.

Para usahawan yang berminat dipelawa menyertai program ini dengan mendaftar di laman web www.plantstevia.blogspot.com.
Sumber:utusan malaysia 

Cara mudah tanam terung telunjuk


SELAIN dibuat sayur dalam masakan, terung telunjuk juga banyak digunakan sebagai sumber ubat-ubatan kerana kaya dengan pelbagai khasiat.


Terung telunjuk (Solanum sp.) dari famili Solanaceae merupakan kumpulan terung yang asli (primitif).

Ia berbentuk lonjong, hijau dengan jalur putih di bahagian bawah, bersaiz dua hingga tiga sentimeter (sm) lebar dan lapan hingga 10 sm panjang sahaja.

Terung ini mula ditemui di India dan seterusnya ke seluruh kawasan tropika.Tidak ramai yang menggemari terung ini kerana rasanya agak sedikit pahit. Namun jika dilihat dari sudut khasiatnya, pasti ramai yang terpegun.Terung telunjuk kaya dengan karbohidrat, protein, vitamin C, serat, kalsium dan beta karoten yang baik untuk mata.Selain dimakan sebagai sayur atau ulam, ia juga boleh dijadikan ubat.Keseluruhan pokok dari buah, daun hingga ke akar pokok ini boleh digunakan untuk mengubati beberapa jenis penyakit, antaranya ialah asma, sakit gigi, bengkak gusi dan melegakan batuk.

Penanaman
n Semai biji benih terung di dalam talam semaian dengan kadar satu sel atau satu biji benih.
n Kaedah tanam terus tidak digalakkan kerana biji benih terung kecil menyebabkan peratus percambahannya jadi rendah.
n Semaian disimpan di dalam rumah semaian atau di bawah teduhan selama empat minggu. Siram setiap pagi dan petang.
n Sementara biji benih bercambah dan membesar di rumah semaian, batas disediakan dengan ukuran lebar satu meter dan panjang bergantung pada luas kawasan.
n Tambah kompos dan baja organik (tahi ayam berproses) semasa mengembur tanah.
n Tutup batas dengan plastik silver shine sebagai sungkupan.
n Selepas empat minggu disemai, anak benih boleh diubah ke batas. Jarak antara pokok yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm.
n Bagi yang tidak menggunakan plastik 'silver shine sebagai sungkupan, gantikan dengan jerami padi atau daun-daun kering untuk menutup permukaan batas yang terdedah. Sungkupan boleh mengekalkan kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.

Pengairan
n Tanaman perlu disiram dua kali setiap hari (pagi dan petang) kecuali hari hujan.
n Kaedah pengairan bergantung kepada kemampuan petani sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis, titis dan sebagainya.
n Jika kawasan penanaman mempunyai saliran air bawah tanah yang kurang baik, parit perlu dibuat. Ini kerana terung tidak sesuai dengan keadaan tanah yang terlalu lembap.

Pembajaan
n Selepas dua minggu dipindahkan ke batas, baja pertama diberi. Gunakan baja organik yang dibeli atau baja organik buatan sendiri. Jika baja organik jenis granul (pepejal), hanya 50 g diperlukan. Jika baja organik jenis cecair, ikut pada sukatan yang telah disyorkan pada label.
n Baja kedua diberi selepas dua minggu baja pertama. Kadar baja ditambah hingga 100 g setiap pokok.
n Baja ketiga diberi selepas antara tiga dan empat minggu baja kedua. Kadar baja juga ditambah 120 hingga 150 g setiap pokok.
n Kadar baja yang diberi sebenarnya bergantung pada pertumbuhan pokok itu sendiri. Jika pertumbuhan pokok terbantut atau cepat membesar, kadar baja boleh dikurangkan/dilebihkan daripada yang disyorkan.
n Baja ditabur di sekeliling pokok, tetapi elak terkena pada batang pokok. Sebaik-baiknya baja ditutup dengan sedikit tanah atau sungkupan supaya baja boleh tahan lebih lama.

Sokongan
n Pokok terung boleh membesar setinggi 0.5 hingga 1.0 m. Jika ditiup angin, pokok biasanya mudah bengkok dan tumbang.
n Bagi mengelakkan kejadian ini berlaku, sokongan perlu dibuat.
n Gunakan kayu pancang yang berukuran 1.2 sm x 1.2 sm dan panjang 1.5m (bergantung pada ketinggian pokok).
n Cucuk kayu pancang hampir dengan pokok dan ikat batang pokok pada kayu pancang dengan tali rafia. Jika pokok tinggi, ikat pada dua bahagian batang pokok (atas dan bawah) supaya lebih kuat.

Pemangkasan
n Pemangkasan dibuat pada cabang yang tumbuh di bahagian bawah (0.5m dari tanah) selepas sebulan ditanam. Selain daripada cabang, buang juga daun tua di bahagian bawah pokok.
n Pemangkasan bertujuan untuk memberi pengudaraan dan pencahayaan yang baik kepada pokok. bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti buah terung.
n Sebaik-baiknya ada tiga cabang utama sahaja bagi setiap pokok.

Kawalan rumpai
n Rumpai yang tumbuh di atas batas perlu dibuang setiap seminggu sekali untuk mengurangkan persaingan dengan tanaman.
n Bagi rumpai yang tumbuh di luar batas, mesin rumput boleh digunakan untuk memotong rumput. Sekurang-kurangnya dilakukan dua minggu sekali.
n Rumpai perlu dikawal kerana ada sesetengah serangga perosak menjadikan rumpai sebagai perumahnya.

Kawalan perosak dan penyakit
n Antara serangga yang sering menyerang ialah kutu daun (afid), kumbang daun, lalat buah dan ulat pengorek buah.
n Kawalan perosak yang boleh digunakan perangkap feromon atau yellow sticker untuk lalat buah, racun organik untuk serangga perosak yang lain.
n Racun organik boleh didapati di pasaran atau dibuat sendiri menggunakan campuran cili padi, lada hitam, sabun, air dan beberapa jenis repellent (tanaman penghalau serangga) yang dikisar halus.
n Selain itu, penyakit layu bakteria dan layu Fusarium juga selalu ditemui pada terung. Gabungan daun tembakau atau daun sirih, cili padi, bawang merah, air dan kapur yang dikisar halus boleh membantu mengawal penyakit tersebut.
n Sebanyak 30 ml racun organik yang ditambah dengan 10 liter air disembur pada seluruh bahagian pokok.

Penuaian
n Pokok terung mula mengeluarkan hasil selepas enam dan tujuh minggu dipindahkan ke batas. Potong tangkai buah lebih kurang 1sm daripada cabang pokok.
n Tuai buah selang dua tiga kali sekali.
Sumber:utusan malaysia 

Membangun estet rumpai laut


Perladangan secara konvensional dilihat mampu mengurangkan kualiti rumpai laut berbanding kaedah estet yang diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan.


Sejarah rumpai laut di Malaysia bermula sejak tahun 1978 lagi di Pulau Karindingan, Semporna Sabah.

Ketika itu rumpai laut ditemui tumbuh secara semula jadi dan taburan rumpai laut tersebut telah ditemui oleh seorang penyelidik dari Universiti Hawaii iaitu Profesor Maxwell S. Doty.
Beliau telah membawa balik sampel rumpai laut ke makmal di Amerika Syarikat untuk tujuan identifikasi dan menamakannya sebagai Kappaphycus alvarezii.

Nama tersebut adalah sempena nama seorang ahli biologi dari Filipina iaitu Vicente Alvarez.

Selepas identifikasi tersebut, rumpai laut dari jenis Kappaphycus alvarezii diperkenalkan secara meluas di Sabah dan ia mula dikomersialkan pada tahun 1989.

Rumpai laut merah
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, industri rumpai laut telah dikenalpasti dapat memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.
"Industri ini mempunyai nilai komersial berdasarkan kegunaannya sebagai bahan mentah bagi penghasilan produk farmaseutikal, kosmeseutikal dan nutraseutikal.

"Malaysia juga merupakan antara negara penyumbang kepada pengeluaran rumpai laut merah dari spesies Eucheuma dan Kappaphycus," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pelancaran Pameran Rumpai Laut yang disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di Tawau, Sabah baru-baru ini.

Khasiat rumpai laut sememangnya telah diketahui umum, ia kaya dengan vitamin A,C dan E serta memiliki peranan penting dalam pelbagai industri seperti makanan, tekstil, cat, perubatan dan sebagainya.

Pada tahun lalu pengeluaran rumpai ,laut ialah kira-kira 20,000 tan metrik bernilai RM60 juta.
Perusahaan tersebut kini telah menjadi sumber pendapatan kepada lebih 1,000 nelayan yang mengusahakan hampir 7,000 hektar kawasan pengkulturan rumpai laut di sekitar perairan Pantai Timur Sabah.

Daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu di Sabah merupakan kawasan yang amat sesuai untuk pengkulturan rumpai laut kerana kedudukannya di dalam kawasan Segitiga Batu Karang yang dikongsi antara Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Malah, Sabah juga merupakan antara negeri yang memiliki pesisir pantai yang luas berbanding negeri-negeri lain di negara ini iaitu seluas 47,000 kilometer.

Menurut Noh, Jabatan Perikanan telah mengenal pasti lebih daripada 80,000 hektar kawasan perairan pantai Sabah yang berpotensi untuk dimajukan dalam projek pengkulturan rumpai laut secara komersial.

"Hari ini projek pengkulturan rumpai laut telah sedia menjadi salah satu landskap pembangunan sosio-ekonomi di perairan pantai Semporna.

"Kementerian Pertanian sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri sama ada begitu yakin menyambut tanggungjawab untuk menjayakan rumpai laut sebagai salah satu komoditi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)," katanya.

Namun, perusahaan rumpai laut oleh nelayan tempatan masih dilakukan secara kaedah pengkulturan tradisional dan begitu juga dengan pengendalian hasilnya.Ia sekali gus mewujudkan keadaan pergantungan kepada tenaga buruh yang terlalu ramai dan kualiti hasil yang tidak terjamin.

Pengeluaran rumpai laut dijangka meningkat daripada 20 ribu tan metrik pada tahun 2010 kepada 39 ribu tan metrik pada tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 10 peratus setahun.

Mini Estet
Peningkatan tersebut akan tercapai melalui pertambahan kawasan termasuk pembukaan kawasan baru di Semenanjung Malaysia.

Friday, July 22, 2011

Tanaman harumanis diperhebat






BENTUK dan rupanya cukup menggiurkan. Aromanya pula pasti menawan hati sesiapa sahaja dan akan membuka selera untuk menikmatinya.

Itulah kehebatan harumanis, sejenis mempelam dari Perlis yang kini menjadi kegilaan atau menimbulkan keghairahan ramai tidak kira di mana sahaja.

Sama ada di makan begitu sahaja atau dihidang bersama pulut, keenakan harumanis tetap memukau.

Sebab itu ia menggamit kehadiran ramai ke Perlis walaupun musimnya hanya sekali dalam setahun.

Musimnya pula cukup singkat. Hanya sebulan atau sebulan setengah dalam setahun. Sebab itu ia membuatkan ramai yang tidak sabar malah sanggup berebut-rebut untuk mendapatkan harumanis.

Walaupun musimnya kali ini baru sahaja berakhir, ramai masih bertanyakan tentang harumanis khususnya di kalangan penduduk luar negeri Perlis.

Faktor tersebut juga menyebabkan pengeluaran dan pasaran harumanis sentiasa tidak mencukupi setiap tahun sehingga membuatkan agensi terlibat memikirkan langkah tertentu untuk menampung permintaannya yang tinggi.

Bagi tahun ini, segala-galanya bermula pada penghujung April sehingga Jun apabila orang ramai ‘berpesta’ meraikan kedatangan harumanis yang sekali gus menyebabkan harganya meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Negeri Perlis, Sabry Ahmad mempunyai jawapan mengenai keistimewaan harumanis yang kini bukan sahaja digemari di dalam negeri malah ‘menyeberangi’ lautan sehingga ke Jepun.

Beliau menjelaskan, seindah namanya, mempelam tersebut cukup manis dan enak dimakan jika ia masak cukup tempohnya atau setelah mengeluarkan aroma yang harum.

“Apabila ia mengeluarkan aroma yang harum, mempelam ini sudah boleh dimakan. Disebabkan rasanya yang manis itulah antara faktor ia digelar harumanis.

“Selain itu, keunikan harumanis ialah kerana kulitnya tetap hijau walaupun sudah masak. Ia tidak boleh dimakan sewaktu masih muda atau dibuat jeruk kerana rasanya akan menjadi masam,” jelasnya.

Pada tahun lalu, Perlis mengeluarkan kira-kira 244 tan metrik harumanis yang bernilai RM 1.17 juta meliputi tanaman di kawasan seluas 257.9 hektar.

“Musim ini pengeluaran harumanis sebanyak 400 tan metrik dengan setiap tahun dirancang pertambahan pengeluaran sebanyak 200 hektar setahun,” tambah beliau.

Walaupun pengeluarannya meningkat, namun masih belum mencukupi untuk menampung permintaan.

Bayangkan belum pun habis musim, harumanis yang dijual di Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat sudah kehabisan stok.

“Begitu juga dengan hasil tanaman pengusaha harumanis di Perlis masih gagal menampung keperluan semasa yang kian meningkat saban tahun,” tambah beliau.

Saiz negeri yang kecil, hanya berkeluasan 810 kilometer persegi atau 81,713.90 hektar, tentulah agak sukar untuk menambah kawasan penanaman harumanis.

Justeru, tenaga pelbagai agensi seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) digembleng untuk mencari kaedah mengatasi kekurangan harumanis setiap tahun.

Antara pilihan ialah mempergunakan seluas-luasnya kawasan penanaman di samping menggalakkan penduduk negeri paling kecil di Malaysia itu sekurang-kurangnya menanam sepohon harumanis.

“Ladang-ladang terbiar dipulihkan. Pokok-pokok yang tidak berhasil ditebang untuk ditanam semula dengan harumanis bagi meningkatkan pengeluaran.

“Kerajaan negeri memperuntukan RM1.8 juta setahun untuk membangunkan industri harumanis dengan sasaran tanaman seluas 1,000 hektar menjelang 2015,” kata beliau.

Begitu juga dengan penjagaan tanaman harumanis, Jabatan Pertanian memperkenalkan pembalut khas yang diimport bagi menjaga kualiti buahnya.

“Memang buah yang mula keluar dari pokok akan dibalut. Lazimnya dengan kertas suratkhabar. Tetapi ia lebih berkualiti jika dibalut dengan pembalut khas yang dipasarkan oleh Jabatan Pertanian.

“Pembalut baru ini mempunyai lapisan dalam gelap, di hujungnya pula tersedia dengan dawai bagi memudahkan petani mengikat tangkai buah selepas dibalut dan hasilnya cukup memuaskan kerana ia (harumanis) nampak bersih dan segar,” kata beliau.

Di samping itu, kata beliau, kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Pertanian Negeri Perlis mendaftarkan nama harumanis Perlis sebagai harta intelek.

“Pendaftaran ini untuk mengesahkan bahawa harumanis yang berkualiti hanya mempelam dari Perlis berdasarkan kesesuaian muka bumi selain menjaga reputasinya.

“Menerusi pendaftaran harta intelek, barulah tindakan boleh diambil ke atas peniaga yang menjual mempelam jenis lain tetapi menggunakan nama harumanis,” kata beliau.
Sumber:utusan malaysia 

Tips tanam salad


Salad sangat popular sebagai menu bagi mereka yang tidak mengambil makanan berasaskan daging.


SALAD (Lactuca sativa) dari famili Asteraceae mula ditemui di kawasan Timur Laut Tengah, Mesir.
Terdapat enam jenis varieti yang popular iaitu butterhead (L.sativa var. capitata), salad cina (L.sativa var.asparagina), crisphead, looseleaf (L.sativa var.crispa), romaine (L.sativa var.romana) dan summer crisp atau Batavian.

Selain sedap dimakan salad juga boleh dijadikan hiasan.
Ia juga mempunyai nilai perubatan seperti penawar kepada masalah insomia atau gangguan tidur.

Zat besi, kalsium,fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C. Magnesium dan zink pada salad mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai lactucarium yang bertindak sebagai sedatif.
Daun salad juga bertindak menenangkan dan melapangkan fikiran, sekali gus menghilangkan segala keresahan.


Daun ini juga kaya dengan karotin, serat dan air yang dapat menghilangkan rasa dahaga dan juga bertindak melancarkan sistem pernafasan.


Oleh yang demikian, salad dikatakan sejenis sayuran antioksidan.

Penanaman
*Sesuai ditanam di kawasan yang agak sejuk
*pH yang sesuai ialah 5.5 -6.5
*Boleh ditanam menggunakan biji benih
*Boleh ditanam terus atau disemai terlebih dahulu di dalam talam (tray) semaian
*Naungan/teduhan perlu terutama di peringkat semaian iaitu dari mula disemai hingga hari ke-10.
*Kurangkan naungan dua atau tiga hari sebelum mengubah untuk memberikan penyesuaian kepada anak semaian. Daun-daun kelapa boleh digunakan sebagai naungan.
*Sediakan batas dan gaul dengan bahan organan (tahi ayam berproses)
*Selepas dua minggu, pindahkan anak benih semaian ke atas batas
*Jarak yang disyorkan ialah 20 sm antara pokok dan antara baris.
Pengairan
*Pengairan dilakukan dua kali sehari iaitu pagi dan lewat petang menggunakan air yang bersih tanpa klorin kecuali pada musim hujan.
*Pengairan boleh dilakukan secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis.

Pembajaan
*Pembajaan awal dilakukan sewaktu penyediaan batas iaitu dengan menggaulkan bahan organan dan kompos sewaktu menggembur tanah.
*Jika menggunakan kaedah tanam terus, selepas dua minggu tabur baja organan sebanyak 10 gram di sekeliling setiap pokok
*Pembajaan kali kedua dilakukan pada minggu ke-4. Baja organik ditaburkan di sekeliling batas sebanyak 20 gram. Gembur tanah agar tidak padat.
Kawalan rumpai
*Rumpai yang tumbuh di atas batas dan di antara pokok perlu dibuang bagi mengurangkan persaingan nutrien dan cahaya matahari.
*Rumpai yang tumbuh di luar batas boleh dimesin dengan mesin pemotong rumput.
Kawalan perosak, penyakit
*Biasanya salad jarang diserang oleh perosak mahupun penyakit.
*Serangga perosak tidak suka makan salad kerana getah pada daun salad adalah pahit. Oleh kerana sifat itu, salad boleh dijadikan sebagai tanaman repellent (penghalau serangga perosak).
*Penyakit kulapuk downy dan reput pangkal sering menyerang tanaman salad. Ini adalah disebabkan oleh saliran tanah yang teruk.
*Cara kawalan yang boleh dibuat ialah buang tanaman yang telah diserang dan perbaiki saliran tanah kawasan tersebut.
*Buat racun organik menggunakan campuran bunga Marigold (bunga tahi ayam) yang telah dikisar halus, air dan sedikit sabun. Sembur pada pokok yang berpenyakit.
Penuaian
*Tuai pada minggu ke enam atau ketujuh selepas diubah ke batas (kaedah semaian)
*Tuai pada minggu ke 8-9 jika menggunakan kaedah tanam terus.
*Potong bahagian batang yang hampir dengan tanah. Akar tanaman dibiarkan mereput di dalam tanah.
*Penuaian elok dilakukan pada awal pagi atau lewat petang bagi mengurangkan 'stres' pada tanaman yang boleh menyebabkan tanaman cepat layu.

Ramli berjaya ternak keli


Berkat kegigihan Ramli Diron kini boleh tersenyum kerana projek menternak ikan keli mula menampakkan hasil.


Kira-kira empat tahun lalu, Ramli Diron, 50, berbelah bagi untuk mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM60,000 bagi memulakan projek menternak ikan air tawar berdekatan rumahnya di Felda Ulu Belitong, Kluang, Johor.

Ramli yang merupakan seorang peneroka bimbang sekiranya projek itu tidak menjadi apatah lagi jika mengalami kerugian, ia sudah tentu satu tamparan hebat baginya.

Bagaimanapun, dia nekad untuk memulakan projek tersebut dan enggan menoleh ke belakang lagi kerana merasakan keputusan yang dibuatnya adalah betul.

Berkat kegigihan dan kesabarannya, Ramli kini boleh tersenyum bangga kerana tidak sampai setahun, projek menternak ikan itu mula menampakkan hasil.

"Saya bermula dengan membina dua buah kolam ikan pada 2008 dengan kira-kira 16,000 anak ikan tilapia yang dibeli sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan.

"Syukur, dalam masa tiga bulan, projek menternak ikan ini mula memberikan pulangan dan saya kini mempunyai empat kolam ikan yang semuanya berukuran 60 meter panjang dan 40 meter lebar," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kata Ramli, antara ikan yang diternaknya ialah tilapia, patin, jelawat, ubi, keli dan baung dengan harga yang ditawarkan lebih murah dari pasar-pasar biasa.

Menurutnya, ikan tilapia dijual dengan harga RM7.50 sekilogram(kg), patin (RM8.50/kg), jelawat (RM14/kg), ubi (RM80/kg), keli (RM6/kg) dan baung (RM11), bergantung kepada harga pasaran.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, projek berkenaan pada mulanya hanya sebagai pendapatan tambahan. Tetapi kini permintaan semakin meningkat dengan janaan keuntungan lebih RM2,000 sebulan bergantung kepada permintaan yang kadang-kadang melebihi kapasiti yang mampu dibekalkan.

Sekarang ini katanya, hasil ikannya dihantar ke kedai-kedai dan ditempah untuk majlis perkahwinan di Felda Ulu Belitong dan kawasan sekitarnya.

Berikutan itu, dia bercadang menambah bilangan kolam dalam masa terdekat dan hasilnya dihantar keluar dari Felda itu termasuk ke pasar raya besar.
Ramli yang kini mempunyai tiga pekerja juga bercadang menambah bilangan pekerja apabila kolam baru dibuka di kawasan lain tetapi masih dalam Felda itu.

"Saya kini bertambah yakin untuk meluaskan projek ini lebih-lebih lagi selepas mengikuti kursus perikanan," katanya.

Perancangannya ialah untuk membina 10 buah kolam simen yang juga boleh menempatkan anak-anak ikan kerana kolam sedia ada bercampur antara anak ikan dan ikan dewasa.Tambah Ramli, dia merancang untuk menjadi pembekal benih ikan selepas ini kerana permintaan dan potensinya yang tinggi selain tidak bimbang dengan persaingan.
Sumber:utusan malaysia 

Bekas lombong jadi ladang pertanian

Abu Bakar Awang berjaya menukar wajah kawasan lombong di pendang, Kedah kepada ladang penternakan.

DARI luar, kawasan tanah berpagar yang nampak subur dengan persekitarannya yang 'hidup' memang akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang memasuki kawasan Kampung Banggol Besi, Pendang, Kedah.

Mana tidaknya, di kelilingi kawasan sawah bendang yang luas mata memandang, di selang-seli dengan rumah kampung, muncul satu kawasan berpagar yang nampak berbeza berbanding persekitarannya.

Tarikan utama tentunya kepada dua buah kolam memancing yang tertera namanya Iron Lake Fishing Centre Agro Farm.

Ladang agro seluas 1.2 hektar itu menjadi lebih istimewa.

Lebih-lebih lagi setelah mengetahui kesungguhan pemiliknya Abu Bakar Awang, 54, mengusahakan tanah yang asalnya terbiar.

Menurut beliau yang lebih selesa dipanggil Pak Abu, selain usaha gigih, bantuan kerajaan negeri termasuk penganugerahan tanah banyak membantu menjayakan perancangan ladang berkenaan.

''Tanah ini dulu tempat lombong bijih besi. Lepas bijih besi habis, terbiar macam tu saja. Jadi saya dapatkan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk usahakan tempat ini. Masih baru, tapi perlahan-lahan saya cuba usahakan hingga menjadi seperti sekarang," cerita Pak Abu.

Di atas tanah bekas lombong itu, selain kolam memancing, Pak Abu mengusahakan ternakan kambing Boer dan Jamnapari. Beliau turut mengusahakan tanaman mempelam madu bersebelahan dengan kolam memancing.

Sebelum memulakan projek ladang agro itu, Pak Abu juga pernah menternak lembu dan mengusahakan tanah bendang.

Bagaimanapun kerana minat ingin mencuba yang tinggi, fokusnya dialihkan kepada projek berkenaan.

Pengalaman berpuluh tahun sebagai petani digunakan sepenuhnya membangunkan kawasan itu.

Mendapat nasihat daripada Jabatan Haiwan, kambing-kambing ternakannya membiak dengan cepat daripada 20 ekor menjadi 200 ekor.

Daripada menjadi pembekal daging kambing, usaha gigihnya dikembangkan kepada membekal susu segar untuk kawasan di sekitar Pendang.

Malah beliau juga sudah mampu menyuntik sendiri ternakannya itu. Selain membuka pintu ladangnya untuk penuntut kolej dan universiti membuat latihan amali di situ.

Namun, ketika usahanya mula berhasil, Pak Abu dilanda musibah. Oktober lepas, dia dikejutkan dengan berita ladang ternakannya diceroboh pencuri sehingga kira-kira 60 ekor kambing peliharaannya dicuri hanya dalam satu malam.

Kesan tayar lori di atas tanah merah menjawab persoalan bagaimana kambing-kambingnya dilarikan.Kecurian hampir separuh daripada kambing-kambing yang sedang membiak itu menyebabkan beliau kerugian hampir RM40,000.

''Masa itu, terduduk juga saya. Hilang sekejap semangat bila tengok kandang yang penuh sebelumnya, nampak kosong. Nak bagi naik balik semangat, saya letak kambing-kambing ni sekali dalam satu kandang, biar nampak penuh. Secara psikologinya, nampak macam banyak, terubatlah sikit kesedihan tu. Alhamdulillah, sekarang dah mula membiak kembali,'' katanya.

Masalah utama Pak Abu ialah sukar mencari pekerja tetap dari kalangan anak muda tempatan untuk bekerja terutama menjaga kawasan tersebut pada malam hari.

Ramai yang lebih tertumpu mencari pekerjaan di kilang-kilang atau pun bandar.

Memikirkan masalah sukar mendapat pekerja, Pak Abu mencari jalan bagaimana mahu menghidupkan kawasan yang terpencil itu.

Akhirnya, lahirlah idea mengusahakan kolam pancing 24 jam yang semakin dikunjungi pelbagai pihak baik individu mahupun syarikat korporat.

Bagaimanapun, menurutnya, walaupun ladang itu tidak sebesar mana, beliau masih cuba membuka ruang rezeki kepada anak muda di kampungnya.

Mereka diambil membantu beliau secara sambilan terutama jika ladang tersebut menganjurkan pertandingan memancing.

Tanaman mempelamnya daripada 200 batang pokok mempelam madu juga sudah mula membuahkan hasil.

Menariknya, baja yang digunakan adalah daripada najis kambing. Bimbingan yang diperoleh banyak membantu beliau menggunakan sumber yang ada semaksimumnya.

Sikap berani mencubanya memang boleh dicontohi. Selain mempelam, Pak Abu pernah menanam pokok naga, sayangnya pokok tersebut mati akibat tidak sesuai dengan baja dari sawah yang diusahakan di sekitar ladang berkenaan.

Tidak menyalahkan sesiapa kerana berpendapat, sawah bendang tersebut sudah lama diusahakan berbanding tanaman pokok naga.

Racun yang digunakan untuk sawah padi itu meresap ke dalam tanah dan tidak sesuai dengan tanaman yang baru diusahakannya.

Dia tidak berputus asa dan kini berusaha memikirkan tanaman lain yang bersesuaian ditanam di kawasan itu.

Mengenai perancangan masa depan, Pak Abu bercadang membina inap desa atau homestay di atas tanah itu. Tujuannya supaya pengunjung yang jauh dapat bermalam.

"Kalau difikirkan, memanglah banyak yang boleh dibuat. Tapi perlahan-lahanlah. Modal pun kena ada juga.Umur pun dah tua, nak buat pinjaman mungkin sukar. Buat masa ini tumpu kepada kolam pancing dululah," kata Pak Abu.

Kebetulan pada hari kunjungan itu, Pak Abu sedang membuat persiapan terakhir untuk satu pertandingan memancing.

Khabarnya pertandingan itu mendapat sambutan bukan sahaja dari penduduk sekitar malahan dari luar daerah Pendang.

Melihat kepada kegigihan dan usahanya, pemilik ladang agro ini ternyata berani menghadapi risiko. Keyakinan dan keberaniannya menyahut seruan kerajaan agar memajukan bidang pertanian dan berbudi kepada tanah bukanlah sia-sia.

Bagi Pak Abu, ladangnya tidaklah setanding ladang agro besar yang lain. Namun beliau tetap berbangga dengan usaha gigih dan kerja kuatnya itu walaupun diuji berkali-kali.

Pihaknya sentiasa menyambut baik mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengannya atau kepada kaki pancing yang mahu melakukan aktiviti di pusat memancing miliknya itu.

Bagi yang berminat, Pak Abu boleh dihubungi di talian 013-2968627 atau datang sahaja ke Iron Lake Fishing Centre Agro Farm, Kampung Banggol Besi.
Sumber:utusan malaysia 

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails