Monday, December 5, 2011

Asparagus tanaman bernilai tinggi




ASPARAGUS merupakan antara sayur yang menjadi kegemaran rakyat negara ini. Biasanya ia ditanam secara komersial oleh para pengusaha dan jarang di tanam secara kecil-kecilan.
Namun, bagi yang gemar berkebun boleh mencuba untuk menanam asparagus di kawasan rumah mereka.
Penyediaan kawasan
Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.
Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan. Lebar batas satu meter, tinggi antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialan 0.6- 1.0 meter.
Nilai pH yang sesuai ialah antara 5.5 dan 6.5, jika pH tanah kurang dari yang disyorkan pengapuran perlu dilakukan tidak kurang 14 hari sebelum penanaman dilakukan. Kadar pengapuran antara tiga dan lima tan/hektar bagi tanah.
Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu hingga tiga kg/meter persegi atau antara tiga hingga enam tan/hektar bagi tanah mineral.
Bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.
Penanaman dan penjagaan
Biji benih perlu disemai dalam polibeg hitam yang sesuai dengan menggunakan media tanah campuran tiga bahagian tanah atas: Dua bahagian bahan organik: Satu bahagian pasir dan ditambah ½ bahagian sabut kelapa.
Letak satu atau dua biji benih dalam polibeg dan biji benih akan bercambah antara tujuh dan 14 hari dan anak benih dibiarkan selama antara lapan dan 10 minggu ditapak semaian.
Ia perlu disiram setiap hari dan sekurangnya 50 peratus teduhan.
Rumpun asparagus yang berumur lebih setahun boleh dibelah dan dipindahkan sebagai bahan tanaman. Pastikan tunas sulur subur dan mempunyai akar yang mencukupi. Tanam tunas sulur secepat mungkin. Pendedahan kepada cahaya matahari dan angin akan menjejaskan pertumbuhan tunas sulur.
Jarak tanaman yang sesuai ialah satu meter antara barisan pokok dan penanaman sebaris didalam batas adalah sesuai bagi asparagus kerana memudahkan pengurusan tanaman.
Kawalan rumpai
Pengawalan rumpai penting untuk menjamin hasil yang tinggi. Kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang.
Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu
Pembajaan
Baja yang disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar. Tetapi ia bergantung pada kesesuaian tanah di sesuatu kawasan, keperluan nutrien tanaman,masa dan cara pembajaan .
Pembajaan dibuat antara tiga dan empat minggu selepas mengubah anak benih ke ladang, penggunaan baja organik 8: 8:8: (80-100 gm/rumpun diselangkan dengan baja NPK biru 12:12:17 (50-80 gm/rumpun) adalah disyorkan dan ditambah bila rumpun membesar.
Ia ditabur keliling tanaman dengan jarak 15-20 sm dari rumpun tanaman dan dikambus bagi mengelakkan larut resap ke udara. Pembajaan dibuat setiap bulan dan diselangkan baja kimia dengan baja organik.
Pemangkasan
Proses pemulihan dilakukan supaya keseimbangan bilangan batang dan daun yang cukup untuk aktiviti fotosintesis serta kegunaan pembesaran selepas melalui aktiviti kutipan hasil.
Program pemulihan memerlukan antara dua dan tiga bulan dan tinggalkan tiga dan empat pokok matang setiap rumpun.
Asparagus perlu dicantas tiga atau empat kali setahun mengikut kesesuaian pokok. Semua pokok matang perlu dicantas di paras tanah dan tinggalkan sulur baru yang dipotong sebagai hasil segar dan yang tidak sesuai biarkan ia membesar.
Perosak dan penyakit
Serangan penyakit layu pucuk (Fusarium sp) menyebabkan pucuk muda hitam ,layu dan terus kering. Serangan kulat Puccinia asparagi menyebabkan tanda bintik hitam atau merah pada batang dan daun.
Penyakit ini dikawal dengan memotong dan musnahkan bahagian yang diserang atau dibuat semburan racun kulat yang sesuai.
Ulat ratus (Spodoptera sp) yang menyerang bahagian pucuk dan dahan dan ulat pangkas memakan bahagian pucuk dan daun,jika serangan serius lakukan semburan menggunakan racun yang sesuai.
Penuaian hasil
Hasil pertama boleh dituai selepas lapan hingga 10 bulan ditanam. Aparagus boleh dituai dalam bentuk tunas putih atau tunas hijau .
Asparagus hijau dimakan segar dan yang putih ditinkan. Bagi mendapatkan asparagus putih rumpun ditimbus tanah dan tunas akan membesar dalam tanah.
Kutipan hasil akan bermula selepas proses cantasan dilakukan,bagi satu musim tempoh kutipan hasil antara satu dan dua bulan. Sulur muda dipotong dengan pisau tajam di bawah paras tanah,elakkan kecederaan sulur muda lain.
Sulur berukuran 15-17 sm sahaja yang dituai. Kelewatan dituai menyebabkan sulur panjang meruncing, berserabut dan hujung sulur akan berkembang menjadi daun. Tuaian hasil antara 25 dan 30 kg seminggu sehektar boleh didapati dan boleh mencapai tiga atau lima tan sehektar/tahun.
Asparagus digred mengikut garis pusat dan panjang rebung, warna, kerapuhan, kesegaran, tahap kecederaan dan serangan penyakit. Ia boleh bertahan selama dua hingga tiga minggu jika disimpan dlam suhu 0-2 darjah celsius.

Sumber:utusan malaysia

Sulur muda asparagus dikutip sebagai sayuran yang berkhasiat dan bernilai tinggi.

Thursday, November 24, 2011

Labu perlu banyak air




Persediaan tanah dan kawasan
LABU akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam pada tanah yang gembur berpasir, mengandungi banyak bahan organik dan mempunyai saliran yang baik.

Nilai pH yang sesuai ialah antara 5.5-6.5. Jika pH tanah kurang dari yang disyorkan pengapuran perlu dilakukan tidak kurang 14 hari sebelum penanaman dilakukan.Kadar pengapuran antara tiga dan lima tan/hektar bagi tanah mineral. Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara satu hingga 1.2 meter, tinggi batas di antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah satu meter.

Batas ditambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu dan tiga kg/meter persegi. Bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok atau antara tiga hingga enam tan/hektar bagi tanah mineral.

Penanaman
Labu boleh ditanam terus ke batas dengan meletakkan dua biji benih bagi setiap lubang yang telah dikorek sedalam satu atau dua sm, selepas itu biji benih dikambus nipis dengan tanah halus atau disemai dahulu ditapak semaian sebelum diubah ke ladang.  

Selepas seminggu anak benih bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar dan tidak sihat.Tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air.

Tanah di keliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 60 dan 100 sm antara barisan pokok dan digalakkan ditanam dalam satu barisan sahaja.

Keperluan biji benih antara 0.8 dan satu kg/hektar
.
Pengairan
Tanaman labu memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur.

Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil. Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan. Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran. Parit ladang dibina bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama.

Pengawalan rumpai
Merumput dilakukan secara manual atau menggunakan bahan sungkupan seperti lalang, rumput kering atau agrosheet, sebarang penyemburan rumpai hendaklah dilakukan sebelum pokok labu berbuah.

Pembajaan
Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah di sesuatu kawasan, keperluan nutrien tanaman, masa dan cara pembajaan .

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30g/pokok dan ditabur keliling dengan jarak antara 15 dan 20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 g/pokok diselangkan setiap dua minggu, dan sebelum tanaman berbunga.

Kawalan perosak dan penyakit
Penyakit utama ialah kulapuk berdebu (Erysiphe cichoracearum) yang menyebabkan tompok putih dan berdebu di permukaan daun dan merebak pada keseluruhan daun dan bertukar menjadi kuning, perang dan kering dan berkedut.

Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil bentuknya. Jika terdapat tanda serangan musnahkan daun yang diserang dan sembur dengan racun kulat  yang sesuai. Serangan kulapok downy (Pseudopereronospora cubensis) ialah pada daun, terdapat bintik berbentuk bersiku siku, berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun. Lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati, buah akan terbantut. Pastikan daun yang diserang dimusnahkan.

Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai. Perosak utama ialah kumang labu (Aulacophora sp.) akan menyebabkan pokok layu dan mati dan menyebabkan daun rosak. Serangan kutu daun (Aphids sp) menyebabkan daun berkerekot dan pokok terbantut.
Gunakan racun serangga yang sesuai bagi serangan yang teruk.

Penuaian
Hasil labu lemak boleh dituai selepas antaar 60 dan 80 hari penanaman, kematangan boleh dikesan melalui perubahan warna pada kulit buah dari hijau ke kuning sekurangnya 80 peratus warna kekuningan pada buah.

Tangkai buah dipotong antara lima hingga tujuh sm dari pangkal buah dan dimasukkan ke dalam bakul hasil.

Dalam tempoh 90 hari pertumbuhan labu boleh mengeluarkan lima hingga enam biji labu bagi setiap pokok. Buah labu yang kotor terkena tanah perlu dilap dengan kain yang lembap bagi menghilangkan kotorannya sebelum dijual.Berat setiap buah labu antara satu dan dua kg sebiji. Ia boleh disimpan selama satu dan dua bulan pada suhu bilik. Hasil sehektar ialah antara 20 dan 25 tan/hektar.

Sumber:utusan malaysia

Labu merupakan antara tanaman yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Promosi khasiat delima batu




Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Sungguh jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Sudah tentu ramai yang pernah mendengar pantun tersebut. Tetapi jika ditanya mengenai buah delima batu yang terdapat di dalam pantun berkenaan, pasti ramai yang tidak mengetahuinya.
Pasti ramai yang tahu mengenai buah delima tetapi jika ditanya buah delima batu mungkin tidak ramai yang kenal.

Menurut pengusaha Herba Pusaka Alam Enterprise, Ahmad Norfaizal, buah delima batu merupakan herba kuno yang semakin dilupakan.

"Buah delima batu yang berbuah sekali setahun merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di hutan khatulistiwa terutama di Pahang, Perak dan Kelantan.

"Di beberapa negara jiran pokok delima batu ditanam di dalam ladang," katanya ketika ditemui semasa Pameran Herba yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Buah delima juga adalah di antara salah satu daripada makanan sunah yang terbukti sejak turun temurun bagi merawat pelbagai jenis penyakit.

Antara penyakit yang boleh dirawat menggunakan buah delima batu adalah resdung, asma, batuk berdarah, buasir, najis berdarah, batu karang, gastrik, migran, usus lemah, usus bengkak dan alahan pemakanan.

Ahmad berkata, mereka yang menderita penyakit hanya perlu merendam sekeping buah delima batu dengan satu liter air sebelum meminumnya. "Bagi membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan, kami telah memproses delima batu dengan kopi, halia dan habatussauda.

"Halia bagi membuang angin manakala habatussauda bagi meningkatkan antibodi yang sesuai bagi warga emas," katanya. Buat masa ini Ahmad Nofaizal berkata, pihaknya mempunyai kilang bagi mengeluarkan kepingan delima batu kering dan kopi delima batu di Perak.

Bagaimanapun mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai delima batu boleh terus berhubung terus dengan Ahmad Norfaizal di 017-5793602 atau 019-9883812.

Sumber:utusan malaysia

Delima batu merupakan herba kuno yang semakin dilupakan.

Usahawan muda ternak ikan keli

PROSES suntikan penggalak akan memudahkan ikan keli betina menjalani proses bertelur.


KETIKA mula-mula bapanya menyerahkan urusan penternakan kolam ikan keli kepada Mohd. Aminudin Mohd. Zaibani, dia baru berusia 19 tahun.Kepercayaan itu diberikan selepas dia selesai menamatkan pengajian di Institut Skill Tech Mara, Melaka dalam kursus Sijil Kemahiran Perikanan.

Bermula waktu itu, kolam yang telah diusahakan sejak tahun 1991 perlu dikendalikannya secara bersendirian.
''Cabarannya cukup besar kerana bukan mudah untuk menguruskan operasi kolam ternakan di kawasan yang besar ini.

''Tambahan pula, saya langsung tidak mempunyai pengalaman selain hanya ada sedikit ilmu yang diperolehi ketika belajar dahulu,'' katanya ketika ditemui di kolam ternakannya di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini.

Bercerita mengenai tempoh masa lima bulan pertama selepas mengambil alih kolam berkenaan, dia berhadapan dengan masalah yang cukup besar.

Waktu itu, operasi ternakannya terbantut disebabkan kehabisan makanan ikan dan ubat-ubatan selain keadaan kewangan yang tidak stabil untuk tujuan pusingan modal.Semuanya gara-gara dia gagal menguruskan perjalanan aktiviti jualan, penternakan dan pembenihan ikan secara konsisten.

''Selepas kejatuhan itu, saya mula berfikir untuk bekerja lebih keras dan memberi fokus terhadap aktiviti penternakan kerana tidak mahu perniagaan yang ayah usahakan selama ini terkubur begitu sahaja.

''Jadi, saya bertekad untuk bangun semula. Saya bermula secara kecil-kecilan dengan membeli benih ikan daripada pengusaha lain, menternak dan kemudian menjualnya kembali.
''Dalam masa enam bulan, saya berjaya mengumpul modal untuk membina perusahaan ternakan baru,'' jelas anak ketujuh daripada lapan orang adik-beradik itu.

Dia yang ketika ini berusia 21 tahun kemudian mengatur pelbagai strategi penternakannya yang didaftarkan di bawah penjenamaan High Tech Aquaculture.Antara usaha tersebut adalah mencari lebih ramai pelanggan berpotensi selain menimba pengalaman serta ilmu daripada penternak berjaya.

Operasi penternakan dan pembenihan miliknya semakin stabil menjelang Jun 2010. Melihat daripada segi aktiviti pemasaran, Mohd. Aminudin mengambil pendekatan menjual anak benih dan ikan matang pada harga yang rendah.

''Tujuannya untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dan penternak. Saya juga akan membantu penternak-penternak ini mencari pemborong bagi membeli hasil ikan mereka. ''Apabila anak benih dijual pada harga rendah di samping mempunyai pasaran tetap, saya yakin para penternak pasti akan lebih seronok dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti penternakan ini.''Secara tidak langsung, saya juga akan dapat mengekalkan lebih 80 peratus pelanggan tetap,'' katanya yang mengusahakan operasi penternakan serta pembenihan ikan keli, puyu, sepat dan tilapia.

Di samping itu, Mohd. Aminudin turut membekalkan spesies ikan lain seperti patin, baung dan jelawat mengikut permintaan.Setakat ini, dia mempunyai 17 buah kolam simen, 14 kolam separuh simen dan enam kolam tanah yang dibina di kawasan seluas satu ekar dengan pengurusan operasi kolam dibantu oleh tiga orang kakitangan.

Pada masa depan, dia bercadang untuk menukar sistem kolamnya kepada yang lebih moden menggunakan permukaan marmar.Sistem tersebut mempunyai kelebihan boleh mengurangkan bau selain ikan dapat membiak dengan lebih selesa, tidak mudah luka dan berkualiti.

Sumber:utusan malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails