Tuesday, February 22, 2011

ZIA jana industri agro makanan


Antara contoh PENTERNAKAN IKAN tiLAPIA YANG BAKAL DIJALANKAN DI tASIK kENYIR.


MALAYSIA memiliki sumber kawasan tanah yang luas di samping kawasan perairan yang sangat luas. Selain berfungsi sebagai kawasan tadahan air, kawasan perairan ini juga mampu menjana stok bekalan makanan.

Permintaan sumber protein negara semakin hari semakin meningkat, malah stok ikan yang didaratkan oleh nelayan juga agak menyusut berbanding 10 tahun dahulu.

Justeru, pelbagai usaha sedang dilakukan antaranya projek-projek akuakultur berbentuk komersial yang berupaya meningkatkan pengeluaran ikan negara.

Isu keselamatan bekalan makanan dan meningkatnya kos mengimport produk makanan setiap tahun menjadikan kerajaan mempunyai asas yang kukuh mengapa sektor agromakanan perlu terus diperkasa dan diberi keutamaan.

Antaranya seperti penubuhan Zon Industri Akuakultur (ZIA) termasuk Terengganu yang diperkenalkan baru-baru ini.

Pembangunan ZIA secara bersepadu oleh Kerajaan Terengganu juga merupakan antara projek-projek utama dalam Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) di bawah Program Transformasi Ekonomi Negara.

ZIA di Terengganu melibatkan kawasan seluas 3,227 hektar daripada 4,188 hektar yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Perikanan untuk dimajukan oleh kerajaan negeri.

Malah peruntukan sebanyak RM12.6 juta untuk membina kemudahan pusat pembenihan ikan turut diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kemudahan tersebut adalah Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar di Kampung Sungai Chamar di daerah Hulu Terengganu dan Pusat Pembenihan dan Asuhan Ikan Laut Berteknologi Tinggi di Kampung Limau Nipis, Setiu.

Kedua-dua pusat tersebut dijangka siap pada pertengahan tahun ini, sekali gus dapat membekalkan benih untuk projek HIP sangkar air tawar di ZIA Sungai Como dan sangkar ikan air masin di Terengganu.

Selain itu, sebuah pusat Pembenihan Udang Laut di daerah Setiu turut dibina di bawah peruntukan yang sama.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, kerajaan negeri akan meneruskan usaha dan kerjasama bersama Jabatan Perikanan untuk mengenalpasti kawasan baru yang sesuai untuk dijadikan kawasan ZIA.

Jelas beliau lagi, projek utama NKEA tersebut akan diterajui oleh sektor swasta dan projek akuakultur akan dibangunkan berdasarkan piawaian pasaran.

''Pendekatan terbaru ini akan melibatkan jumlah pelaburan lebih daripada RM1.4 bilion bagi ZIA terpilih.

''Di mana sebahagian besar daripadanya adalah daripada pihak swasta yang dijangka mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan menaiktaraf sosio ekonomi rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pelaburan Akuakultur Negeri Terengganu di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Seperti juga negara di benua Asia, Malaysia juga telah mengenalpasti akuakultur sebagai sumber utama untuk meningkatkan pengeluaran ikan bagi memenuhi permintaan domestik.

Pada tahun 2009, industri akuakultur negara telah mencatatkan pengeluaran ikan berjumlah 478, 245 tan metrik bernilai RM2.4 bilion.

Malah pengeluaran akuakultur negara akan terus meningkat berikutan permintaan terhadap sumber protein tersebut sentiasa melonjak naik.

Salah sebuah kawasan ZIA yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Perikanan untuk penternakan ikan air tawar dalam sangkar secara besar-besaran adalah di Tasik Kenyir.

Malah, kementerian terbabit menyasarkan pengeluaran akuakultur negara sebanyak 727, 300 tan metrik dengan nilai tidak kurang dari RM7 bilion menjelang tahun 2015.

Dalam pada itu , menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd. Johari Baharum, biarpun kerajaan banyak menyumbangkan dana bagi membangunkan industri tersebut namun kerjasama daripada usahawan serta pihak swasta masih diperlukan.

"Kementerian hanya dapat menyediakan infrastruktur asas, khidmat sokongan teknikal dan sistem penyampaian yang diperlukan.

"Kami memerlukan para usahawan agro makanan dan syarikat swasta menerajui sektor ini," katanya.

Jelas kini, pihak kerajaan sama ada pusat mahupun negeri telah menyediakan segala-galanya untuk memastikan sosio-ekonomi rakyat bertambah baik.

Sumber:Utusan Malaysia

Penjagaan delima


Pokok delima menghasilkan buah setelah setahun setengah ditanam.


NAMA saintifik bagi delima ialah Punica granatum dan tergolong dalam keluarga Punicaceae. Pokok delima tidak mempunyai musim yang utama akan tetapi ia berbunga dan berbuah mengikut kepada keadaan cuaca tempatan, kadar kesuburan tanah yang tinggi dan penjagaan pokok yang sempurna.

Kebiasaannya, pokok delima mula menghasilkan buah setelah satu hingga dua tahun selepas ditanam.

Buah delima yang masak boleh dimakan segar dan dijadikan jus.

Jarak tanaman yang disyorkan ialah 4 meter (m) x 4 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama.

Bilangan pokok delima yang boleh ditanam bagi keluasan sehektar ialah 625 pokok.

Secara praktikalnya, pokok delima boleh dibiak dengan menggunakan biji benih dan kaedah pembiakan tut.

Setelah anak pokok berjaya ditut lebih kurang 30 hingga 40 hari untuk mengeluarkan akar dengan baiknya, ia perlu dipindahkan ke dalam polibeg dan diletakkan di bawah naungan sementara sebelum ditanam di kebun.

Secara fizikalnya, anak pokok yang melebihi umur tujuh bulan ke atas adalah amat sesuai ditanam, akan tetapi sebelum itu, pastikan pucuk pokok delima telah berwarna hijau tua dan telah matang sepenuhnya.

Ini kerana, anak pokok mempunyai akar yang tua dan matang untuk berkembang dengan cepat untuk mencari air didalam tanah.

Antara pokok delima yang ada ditanam di Taman Pertanian Universiti UPM ialah pokok delima isi merah dan pokok delima isi putih.

Penjagaan pokok sukun


TANAMAN sukun mempunyai kelebihan jarang diserang perosak, serangga mahupun penyakit yang serius.


Sukun tergolong di dalam keluarga Moraceae dan nama saintifiknya adalah Artocarpus atilis. Pokok sukun berbuah sepanjang tahun, pengeluaran buah yang banyak dijangka dalam bulan April, Mei, September dan bulan Oktober.

Pokok sukun mula mengeluarkan buah selepas tiga tahun ditanam dan mencapai berat sebiji antara satu hingga tiga kilogram.

Penjagaan pokok sukun sangat mudah dan tidak mempunyai masalah serangan serangga, penyakit dan perosak yang serius.

Kaedah pembiakan pokok sukun ialah dengan menggunakan kaedah cantuman mata tunas dan kaedah pembiakan secara tut.

Kaedah cantuman mata tunas memerlukan pokok penanti terap, ranting mata tunas dari pokok baka yang terpilih, pisau cantuman dan pembalut lutsinar.

Pembiakan melalui kaedah tut dilakukan dengan cara memilih dahan atau ranting yang baik dan sihat untuk dibiak secara tut. Media pengakaran yang digunakan ialah tanah campuran atau jiffy 7.

Setelah cantuman mata tunas dan kaedah tut yang dibiak telah hidup dengan baiknya, ia perlu diberikan naungan dan penjagaan yang sempurna sebelum sesuai ditanam di kebun atau ladang.

Kandungan karbohidrat yang tinggi pada buah sukun boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan pelbagai jenis hidangan dan amat popular dimasak dengan cara menggoreng.

Secara umumnya, buah sukun yang masak perlu digoreng dengan tepung dan biasanya dijadikan hidangan minum petang. Di samping dijadikan kuih-muih, industri hiliran seperti kerepek, cip, jem dan biskut mula mendapat pasaran di negara kita.

Friday, February 4, 2011

Penjagaan belimbing besi

Nama botani atau saintifik bagi belimbing besi ialah Avverrhoa carambola yang tersenarai dalam keluarga Oxalidaceae.

Belimbing besi tidak mempunyai musim buah yang utama, tetapi ia berbuah sepanjang tahun, dan secara amnya, buah belimbing besi boleh dituai sehingga enam kali dalam setahun.

Pokok belimbing besi boleh dibiak dengan menggunakan kaedah pembiakan mata tunas dan kaedah pembiakan tut.

Kaedah cantuman mata tunas mempunyai peratusan kejayaan yang tinggi dan mudah untuk dipraktikkan.

Bagi membuat kaedah pembiakan cantuman mata tunas, bahan dan peralatan yang diperlukan adalah pokok penanti yang berumur empat bulan ke atas, ranting kayu mata tunas, pisau cantuman dan plastik pembalut lutsinar.

Setelah anak pokok berjaya dicantum serta diberi penjagaan yang sempurna di tapak semaian, maka anak pokok telah sedia untuk ditanam diladang apabila mencapai umur 10 bulan keatas.

Jarak tanaman bagi belimbing besi adalah disyorkan 6 meter (m) x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama yang mana jumlah anak pokok belimbing yang dapat ditanam ialah 278 pokok sehektar.

Pokok belimbing besi mula mengeluarkan buah bermula umur sembilan bulan dan keatas, dan pokok yang ditanam dengan menggunakan biji benih, pokok akan mula berbuah apabila mencapai umur empat tahun dan ke atas.

Buah belimbing besi perlu dipetik apabila terdapat perubahan warna hijau gelap ke warna hijau kekuningan. Kebanyakan buah belimbing besi mempunyai biji dan terdapat juga buah yang tidak mempunyai biji bergantung kepada kultivar.

Buah belimbing besi mempunyai rasa dari masam hingga manis, amat berjus, dan sangat rangup.

Varieti belimbing besi yang popular ialah B2 (Pendebungaan), B10 dan B17.

Formula Waiz bertani moden


SEDARKAH anda sembilan persepuluh cabang rezeki adalah datangnya daripada bidang perniagaan.

Ia termasuk juga bidang pertanian yang sememangnya amat terkenal dengan masyarakat negara ini terutamanya yang berada di luar bandar.

Namun, tidak ramai di antara kita yang berminat untuk menceburinya kerana berpendapat bidang tersebut memerlukan modal yang tinggi di samping ilmu pengetahuan yang mencukupi dan serba lengkap.

Jika di kawasan luar bandar, rata-rata penduduknya memiliki tanah yang luas di samping sinaran matahari yang terik sepanjang tahun.

Justeru, tiada masalah bagi mereka untuk menanam apa jua jenis tanaman untuk dijual di pasaran.

Tetapi bagaimana pula bagi mereka yang berada di tengah-tengah kota metropolitan di mana keluasan tanah pertanian amat terhad.

Malah boleh dikatakan, di kawasan bandar mustahil untuk mendapatkan tanah pertanian yang sesuai.

Itu belum lagi di tambah dengan masalah pencemaran akibat bahan buangan industri serta sampah sarap, namun segala permasalahan pasti ada penyelesaiannya.

Sehubungan itu seorang usahawan pertanian tempatan Waiz Kashifi, berusaha mengoptimumkan keperluan projek pertanian bagi mengurangkan pembaziran.

Menurut pemilik Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. itu, sistem perladangan konvensional telah lama wujud, akan tetapi kaedah tersebut dilihat agak tidak cekap dan banyak membazirkan sumber-sumber keperluan dan tenaga kerja.

Menurutnya, apa yang lebih mendukacitakan situasi tersebut banyak mengecewakan petani kerana usaha mereka gagal dan akhirnya kehilangan banyak sumber kewangan.

"Persoalannya mengapa ia (situasi kerugian) berlaku?

"Apakah yang tidak kena dengan sistem pertanian yang diamalkan oleh petani kita sejak dulu?

"Justeru, saya tampil disini bagi menjelaskan antara sistem pertanian yang patut diolah semula bagi menjana pendapatan yang lebih lumayan," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Pertanian Agro-Bio WaizK di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Waiz, beliau bukan seorang petani yang berjaya atau yang telah lama menempah nama dalam bidang tersebut.

Namun setelah melihat peluang yang tersedia di hadapan mata maka beliau kini beralih arah.

''Saya dahulu bekerja dalam sektor automobil, malah pertanian tiada langsung dalam kamus kerjaya saya dahulu.

"Ketika mengikuti pelbagai kursus automobil di luar negara saya berkesempatan melihat perkembangan pertanian yang diamalkan oleh rakyat negara luar.

''Lama-kelamaan saya jadi tertarik dan akhirnya mengambil keputusan untuk beralih angin ke bidang pertanian,'' jelasnya.

Bukanlah merupakan sesuatu yang mudah untuk mencuba sesuatu pekara yang baru, apatah lagi ia langsung tiada kena mengena dengan kerjaya beliau sebelum itu.

Namun atas usaha yang bersungguh-sungguh akhirnya beliau berjaya menemui formula berkesan yang dapat diguna pakai dalam sektor pertanian moden.

Jelas Waiz, teknologi yang digunakan di pusat penyelidikan dan pembangunan beliau adalah merupakan keperluan asas paling utama untuk meningkatkan kualiti dan kadar tumbesaran tanaman pertanian.

Malah, katanya, melalui pengurusan dan amalan pertanian yang terbaik, kepelbagaian biologi yang selamat, amalan pertanian yang bijak dan 'kaizen' yang disebut dalam bahasa Jepun akan dapat membentuk suatu kitaran sistem ekologi (sistem-Eco) yang sempurna untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Bagi Waiz, syarikatnya lebih menumpukan perhatian terhadap sektor pertanian berasaskan teknologi fertigasi atau pengairan baja, hidroponik dan kompos bio-organik.

Namun, buat masa kini, teknik yang diberi tumpuan ialah teknologi fertigasi.

Tambah Waiz, teknik fertigasi atau pengairan baja telah diketahui secara meluas di negara ini malah ia semakin popular.

Pasti terdapat sebab untuknya berikutan semakin ramai petani atau pengusaha telah bertukar menggunakan kaedah tersebut.

Justeru apakah fungsi sebenar Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. di sebalik teknik tersebut?

Di sini Waiz menjelaskan rahsia serta kelebihan sebenar teknik fertigasi yang rata-rata tidak diketahui ramai.

Menurut beliau, perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation.

Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan digunakan serentak kepada tanaman pertanian.

Fertigasi juga tergolong dalam teknik hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah.

Secara umumnya, hanya beberapa jenis tanaman sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi, antaranya cili, tomato, timun, terung, strawberi dan rock melon.

Dengan menggunakan kaedah fertigasi, pengusaha boleh mengelakkan tanaman mereka daripada dijangkiti penyakit akar dan serangan bakteria kebanyakannya dibawa oleh tanah.

Selain itu, tanaman tersebut dapat ditanam di mana sahaja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak poli beg yang mengandungi media bagi menggantikan tanah.

Manakala kaedah titisan yang digunakan dalam sistem fertigasi berupaya untuk membekalkan air dan larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran.

Manakala air dan larutan baja diberikan secara berkala dan tetap pada setiap hari justeru larutan baja yang mengandungi segala nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar pokok.

Teknologi sistem fertigasi ini paling berkesan jika dilakukan di bawah struktur pelindung hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam dari diserang oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah yang disebabkan oleh percikan hujan yang bertoksik.

Selain melindungi tanaman daripada jangkitan penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair akibat air hujan dan merencatkan pembesaran pokok seterusnya menjejas pengeluaran hasil.

Justeru, syarikat beliau kini ditubuhkan khusus bagi membantu petani dengan memberikan latihan serta pengembangan ilmu berkenaan pertanian terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Bagi yang berminat untuk mengikuti latihan serta kursus yang bersesuaian, anda boleh menghubungi beliau di talian 03-51914604 atau layari laman web www.waizk.com untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut.
Sumber:Utusan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails