Friday, February 4, 2011

Penjagaan belimbing besi

Nama botani atau saintifik bagi belimbing besi ialah Avverrhoa carambola yang tersenarai dalam keluarga Oxalidaceae.

Belimbing besi tidak mempunyai musim buah yang utama, tetapi ia berbuah sepanjang tahun, dan secara amnya, buah belimbing besi boleh dituai sehingga enam kali dalam setahun.

Pokok belimbing besi boleh dibiak dengan menggunakan kaedah pembiakan mata tunas dan kaedah pembiakan tut.

Kaedah cantuman mata tunas mempunyai peratusan kejayaan yang tinggi dan mudah untuk dipraktikkan.

Bagi membuat kaedah pembiakan cantuman mata tunas, bahan dan peralatan yang diperlukan adalah pokok penanti yang berumur empat bulan ke atas, ranting kayu mata tunas, pisau cantuman dan plastik pembalut lutsinar.

Setelah anak pokok berjaya dicantum serta diberi penjagaan yang sempurna di tapak semaian, maka anak pokok telah sedia untuk ditanam diladang apabila mencapai umur 10 bulan keatas.

Jarak tanaman bagi belimbing besi adalah disyorkan 6 meter (m) x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama yang mana jumlah anak pokok belimbing yang dapat ditanam ialah 278 pokok sehektar.

Pokok belimbing besi mula mengeluarkan buah bermula umur sembilan bulan dan keatas, dan pokok yang ditanam dengan menggunakan biji benih, pokok akan mula berbuah apabila mencapai umur empat tahun dan ke atas.

Buah belimbing besi perlu dipetik apabila terdapat perubahan warna hijau gelap ke warna hijau kekuningan. Kebanyakan buah belimbing besi mempunyai biji dan terdapat juga buah yang tidak mempunyai biji bergantung kepada kultivar.

Buah belimbing besi mempunyai rasa dari masam hingga manis, amat berjus, dan sangat rangup.

Varieti belimbing besi yang popular ialah B2 (Pendebungaan), B10 dan B17.

Formula Waiz bertani moden


SEDARKAH anda sembilan persepuluh cabang rezeki adalah datangnya daripada bidang perniagaan.

Ia termasuk juga bidang pertanian yang sememangnya amat terkenal dengan masyarakat negara ini terutamanya yang berada di luar bandar.

Namun, tidak ramai di antara kita yang berminat untuk menceburinya kerana berpendapat bidang tersebut memerlukan modal yang tinggi di samping ilmu pengetahuan yang mencukupi dan serba lengkap.

Jika di kawasan luar bandar, rata-rata penduduknya memiliki tanah yang luas di samping sinaran matahari yang terik sepanjang tahun.

Justeru, tiada masalah bagi mereka untuk menanam apa jua jenis tanaman untuk dijual di pasaran.

Tetapi bagaimana pula bagi mereka yang berada di tengah-tengah kota metropolitan di mana keluasan tanah pertanian amat terhad.

Malah boleh dikatakan, di kawasan bandar mustahil untuk mendapatkan tanah pertanian yang sesuai.

Itu belum lagi di tambah dengan masalah pencemaran akibat bahan buangan industri serta sampah sarap, namun segala permasalahan pasti ada penyelesaiannya.

Sehubungan itu seorang usahawan pertanian tempatan Waiz Kashifi, berusaha mengoptimumkan keperluan projek pertanian bagi mengurangkan pembaziran.

Menurut pemilik Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. itu, sistem perladangan konvensional telah lama wujud, akan tetapi kaedah tersebut dilihat agak tidak cekap dan banyak membazirkan sumber-sumber keperluan dan tenaga kerja.

Menurutnya, apa yang lebih mendukacitakan situasi tersebut banyak mengecewakan petani kerana usaha mereka gagal dan akhirnya kehilangan banyak sumber kewangan.

"Persoalannya mengapa ia (situasi kerugian) berlaku?

"Apakah yang tidak kena dengan sistem pertanian yang diamalkan oleh petani kita sejak dulu?

"Justeru, saya tampil disini bagi menjelaskan antara sistem pertanian yang patut diolah semula bagi menjana pendapatan yang lebih lumayan," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Pertanian Agro-Bio WaizK di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Waiz, beliau bukan seorang petani yang berjaya atau yang telah lama menempah nama dalam bidang tersebut.

Namun setelah melihat peluang yang tersedia di hadapan mata maka beliau kini beralih arah.

''Saya dahulu bekerja dalam sektor automobil, malah pertanian tiada langsung dalam kamus kerjaya saya dahulu.

"Ketika mengikuti pelbagai kursus automobil di luar negara saya berkesempatan melihat perkembangan pertanian yang diamalkan oleh rakyat negara luar.

''Lama-kelamaan saya jadi tertarik dan akhirnya mengambil keputusan untuk beralih angin ke bidang pertanian,'' jelasnya.

Bukanlah merupakan sesuatu yang mudah untuk mencuba sesuatu pekara yang baru, apatah lagi ia langsung tiada kena mengena dengan kerjaya beliau sebelum itu.

Namun atas usaha yang bersungguh-sungguh akhirnya beliau berjaya menemui formula berkesan yang dapat diguna pakai dalam sektor pertanian moden.

Jelas Waiz, teknologi yang digunakan di pusat penyelidikan dan pembangunan beliau adalah merupakan keperluan asas paling utama untuk meningkatkan kualiti dan kadar tumbesaran tanaman pertanian.

Malah, katanya, melalui pengurusan dan amalan pertanian yang terbaik, kepelbagaian biologi yang selamat, amalan pertanian yang bijak dan 'kaizen' yang disebut dalam bahasa Jepun akan dapat membentuk suatu kitaran sistem ekologi (sistem-Eco) yang sempurna untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Bagi Waiz, syarikatnya lebih menumpukan perhatian terhadap sektor pertanian berasaskan teknologi fertigasi atau pengairan baja, hidroponik dan kompos bio-organik.

Namun, buat masa kini, teknik yang diberi tumpuan ialah teknologi fertigasi.

Tambah Waiz, teknik fertigasi atau pengairan baja telah diketahui secara meluas di negara ini malah ia semakin popular.

Pasti terdapat sebab untuknya berikutan semakin ramai petani atau pengusaha telah bertukar menggunakan kaedah tersebut.

Justeru apakah fungsi sebenar Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. di sebalik teknik tersebut?

Di sini Waiz menjelaskan rahsia serta kelebihan sebenar teknik fertigasi yang rata-rata tidak diketahui ramai.

Menurut beliau, perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation.

Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan digunakan serentak kepada tanaman pertanian.

Fertigasi juga tergolong dalam teknik hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah.

Secara umumnya, hanya beberapa jenis tanaman sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi, antaranya cili, tomato, timun, terung, strawberi dan rock melon.

Dengan menggunakan kaedah fertigasi, pengusaha boleh mengelakkan tanaman mereka daripada dijangkiti penyakit akar dan serangan bakteria kebanyakannya dibawa oleh tanah.

Selain itu, tanaman tersebut dapat ditanam di mana sahaja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak poli beg yang mengandungi media bagi menggantikan tanah.

Manakala kaedah titisan yang digunakan dalam sistem fertigasi berupaya untuk membekalkan air dan larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran.

Manakala air dan larutan baja diberikan secara berkala dan tetap pada setiap hari justeru larutan baja yang mengandungi segala nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar pokok.

Teknologi sistem fertigasi ini paling berkesan jika dilakukan di bawah struktur pelindung hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam dari diserang oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah yang disebabkan oleh percikan hujan yang bertoksik.

Selain melindungi tanaman daripada jangkitan penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair akibat air hujan dan merencatkan pembesaran pokok seterusnya menjejas pengeluaran hasil.

Justeru, syarikat beliau kini ditubuhkan khusus bagi membantu petani dengan memberikan latihan serta pengembangan ilmu berkenaan pertanian terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Bagi yang berminat untuk mengikuti latihan serta kursus yang bersesuaian, anda boleh menghubungi beliau di talian 03-51914604 atau layari laman web www.waizk.com untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut.
Sumber:Utusan Malaysia

Monday, January 24, 2011

Menternak ketam berkulit lembut







inilah cangkerang ketam selepas proses bersalin kulit. Pengguna tidak perlu lagi membuang kulit ketam kerana ia lembut dan boleh dimakan.



KUANTAN - Ketam, sinonim dengan cangkerang yang kulitnya keras. Berikutan itu ada di antara kita yang tidak gemar memakan ketam.

Jika tersilap langkah, sudah pasti akan tertelan kulitnya dan boleh menyebabkan kecederaan pada tekak.

Namun seorang usahawan di Seberang Balok di sini telah menternak ketam berkulit lembut dan memasarkan ke pasaran domestik.

Penternak ketam tersebut, Dr. Syed Badaruddin Syed Ali berkata, beliau telah membuat kajian mengenai kulit (cangkerang) lembut ketam itu sejak 2007 secara sendirian.

"Ketam tanpa cangkerang ini agak asing di Malaysia. Tetapi di Thailand dan Vietnam, ia menjadi hidangan popular di restoran-restoran dan diternak secara tradisional.

"Teknik pembiakan dan penjagaan ketam itu dipelajari daripada kaedah tradisional. Hasil daripada itu, saya gabungkan dengan kaedah moden untuk meningkatkan kecekapan penjagaan kualiti air dan daya pengeluaran.

"Dalam tempoh tiga tahun melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) itu juga, saya banyak belajar membangunkan sistem kitaran air dan penyesuaian kadar tahap pH air dengan ketam-ketam yang kebiasaannya hidup dalam air payau masin," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, ketam dari spesies scylla olivacea (ketam nipah) dan scylla serrata (ketam laut) yang tidak mempunyai kulit keras tersebut melalui proses bersalin cangkerang sebelum dikumpul untuk dipasarkan.

"Ramai tidak tahu bahawa ketam juga melalui proses bersalin kulit cangkerang. Ketam yang dipasarkan Ternak Unggul Sdn. Bhd., itu dikumpulkan selepas proses tersebut selesai.

"Ia merupakan projek pertama seumpama di Malaysia yang memasarkan ketam tanpa cangkerang," kata beliau semasa ditemui di pusat ternakan ketam seluas lapan hektar yang diusahakannya di sini.

Tambah beliau lagi, ketam itu sangat unit kerana tidak mempunyai kulit yang keras malah boleh dimakan keseluruhan isinya tanpa membuang kulit.

Mengulas lanjut mengenai sistem kitaran air itu, beliau berkata, air segar dipam menggunakan mesin pengepam bagi memastikan oksigen berada pada tahap optimum bagi membolehkan ketam terus hidup.

Ujar beliau, proses menternak juga dilakukan secara tradisional namun sedikit berbeza kerana ketam-ketam itu diternak dalam gelung perigi bagi memperlahankan proses kulitnya mengeras semula selepas bersalin kulit.

"Kalau mengikut kaedah tradisional, ketam diternak di dalam kolam air payau yang digali supaya sesuai dengan habitat asal. Namun, ia berbeza dalam kolam konkrit dan air tawar.

"Teknik menternak di dalam gelung perigi juga menjadi faktor ketam-ketam itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan habitat asal dalam air masin dan payau," katanya.

Jelasnya, bagaimanapun, proses cangkerang mengeras semula selepas bersalin kulit menjadi perlahan ketika ketam-ketam itu berada dalam air tawar," jelasnya.



Dr. Syed Badaruddin Syed Ali menunjukkan antara peralatan yang digunakan untuk proses ketam berkulit lembut. - utusan/Rushdi Salleh

--------------------------------------------------------------------------------



Menurutnya, kebiasaannya, cangkerang akan mengeras semula dalam tempoh 12 jam jika berada dalam air masin tetapi proses itu menjadi perlahan dan mengambil masa sehingga tiga hari jika berada dalam air tawar.

Katanya, ketam-ketam tersebut juga memerlukan penjagaan rapi dalam memastikan proses bersalin kulit berjalan dengan sempurna dan ia lebih sensitif dalam persekitaran air berbanding ikan.

Jelas Syed Badaruddin, 10 ekor ketam yang diternak dalam 1,000 gelung perigi, hanya lima akan terus hidup sebelum bersalin cangkerang kerana hidup dalam persekitaran air tawar.

"Penjagaan lebih rapi juga diperlukan ketika ketam-ketam ini melalui proses bersalin cangkerang yang biasanya antara pukul 11 malam hingga 3 pagi.

"Bagi menjamin ketam-ketam itu tidak mati ketika sebelum, semasa dan selepas proses bersalin cangkerang, para pekerja diperlukan untuk memantau pada waktu tengah malam hingga awal pagi secara lebih teliti.

"Selepas bersalin kulit, ketam-ketam juga perlu diasingkan daripada cangkerang keras yang sudah terpisah daripada badannya bagi menjaga kualiti air supaya terus hidup sebelum dikutip untuk dijual," katanya yang kini memasarkan satu tan ketam tersebut setiap bulan.

Katanya, ketam-ketam tersebut dijual RM25 setiap kilogram kepada pengusaha restoran makanan Cina, Jepun dan Korea sekitar Kuala Lumpur.

"Ketam-ketam ini digemari kerana tidak perlu mengupas cangkerang sebelum dimakan dan boleh dinikmati keseluruhan isinya kerana perutnya bersih.

"Ia juga boleh dinikmati dengan pelbagai jenis resipi seperti ketam bercangkerang yang biasa," jelas beliau.

Jelasnya, beliau kini cuba meneroka pasaran antarabangsa memandangkan ketam bercangkerang lembut semakin popular di kalangan penggemar makanan laut.

"Bagi mencapai objektif itu, skala pengeluaran harus diperbesar dan memerlukan kos lebih tinggi. Kecekapan lebih berkesan juga diperlukan untuk memaksimumkan hasil pengeluaran disebabkan kos yang tinggi.

"Tahun hadapan, kita sedang cuba untuk mendapat taraf inkubator membenih ketam di Bachok dan Pekan. Objektif untuk memasarkan ketam ini dalam pasaran antarabangsa sedang giat diusahakan," katanya.

Selain itu, Ternak Unggul Sdn. Bhd. juga terlibat dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Serdang, Selangor baru-baru ini sebagai usaha mempopularkan ketam berkulit lembut ini di kalangan rakyat Malaysia
.
Sumber:utusan malaysia

Perfect Agro perkenal burger kambing

Syarikat ternakan kambing dan biri-biri, Perfect Agro (M) Sdn. Bhd. (Perfect Agro), mahu menjadi antara pemain utama dalam industri makanan sejuk beku apabila berjaya menghasilkan burger daging kambing yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Pengarah Urusannya, Datuk Razhi Yahaya berkata, produk burger daging kambing menggunakan jenama Kambest itu didatangkan dengan tiga jenis burger iaitu Chevon Oblong Burger, Chevon Burger dan Chevon Frankfurter.

Katanya, produk burger terbabit berjaya menembusi kebanyakan pasar raya di Lembah Klang sejak dua bulan lalu dan akan diperluaskan ke seluruh negara pada suku pertama tahun depan.

"Burger berasaskan daging kambing atau Kambest berpotensi maju memandangkan ia masih baru di pasaran negara ini.
Sumber:utusan malaysia

"Penghasilan produk berkenaan dianggap sesuai dengan ciri pengguna Malaysia yang sentiasa mencari-cari kepelbagaian jenis makanan di samping populariti daging kambing yang diakui enak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kursus sempena Program Peningkatan Pendapatan (3P) bersama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di Desa Keda Nagalilit, Padang Serai, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Razhi, idea menghasilkan produk Kambest timbul setelah pihaknya mengenal pasti ramai di kalangan penternak haiwan berkenaan tidak berupaya memasarkan daging secara meluas di pasaran.

"Bagi mengatasinya, Perfect Agro telah melakukan perubahan dan menambah nilai produk. Kita tidak menumpukan semata-mata kepada daging segar, tetapi berusaha memperbanyakkan produk sampingan berasaskan daging kambing seperti burger dan sosej," katanya.

Tambah beliau, syarikat itu yang beroperasi sejak sembilan tahun lalu, kini mempunyai lebih 1,000 kambing dan biri-biri di tiga ladang iaitu di Baling, Kedah; Pengkalan Hulu, Perak dan Sepang, Selangor.

"Kambing yang mencapai usia matang akan dihantar ke kilang milik bersama Perfect Agro dengan syarikat lain di Puchong, Selangor untuk diproses menjadi burger dan makanan ala Perancis lain," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perfect Agro, Muhd. Huzaimi Razhi berkata, produk Kambest mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna di Lembah Kelang sejak ia mula diperkenalkan pada Oktober lalu.

Katanya, sebanyak 5,000 paket produk Kambest berjaya dijual pada setiap tiga minggu di Lembah Klang.

"Dalam tempoh terdekat, kita mensasarkan ia meningkat kepada 15,000 peket untuk tempoh sebulan," katanya.

Beliau berkata, selain melantik ejen pemasaran, syarikat berkenaan turut menggalakkan penyertaan para peniaga kecil menerusi kursus penyediaan makanan yang dianjurkan bersama agensi kerajaan.

Katanya, buat permulaaan, pihaknya telah mengadakan kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) bagi melatih 16 penjaja menghasilkan makanan siap dimakan burger Kambest.

"Setiap peserta dibekalkan peralatan penyediaan burger dan sebuah kios bernilai RM10,000 setiap satu," katanya.

Katanya, selain mempromosikan jenama Kambest, usaha berkenaan turut membantu kerajaan meningkatkan pendapatan di kalangan rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu dan bumiputera.

Orang ramai yang berminat menyertai perniagaan atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk burger berasaskan daging kambing Kambest boleh menghubungi Muhd. Huzaimi di talian 013-2084981 atau emel zemy12@yahoo.com.

Cara baru hapus siput gondang emas

Oleh Sapurah Liyunan
utusansabah@utusan.com.my



Kaliun Govel (kiri) menunjukkan 'furcraea kuning' kepada Raime Unggi dan pengunjung yang hadir pada Majlis Penyerahan Bahan Input Pertanian Di Bawah Program Ahli Parlimen Tenom di Tenom, baru-baru ini.



TENOM 24 Jan. - Kaedah menggunakan tumbuhan 'furcraea kuning' sebagai pemusnah siput gondang emas di sawah padi terbukti amat berkesan, praktikal, selamat daripada penggunaan racun serangga dan tidak melibatkan kos yang besar.

Bagaimanapun, penggunaan tumbuhan dengan nama saintifiknya 'furcraea selloavar marginata' sejenis tanaman hiasan berasal dari Amerika Tengah yang mengandungi saponin yang tinggi daripada 'tea seed powder' itu masih belum diketahui secara meluas oleh para petani.

Seorang juruteknik di Jabatan Pertanian Daerah Tenom, Kalianon @ Kaliun Govel berkata, penemuan tumbuhan ini sebagai pemusnah siput gondang emas dikesan melalui penyelidikan di Jabatan Pertanian Tuaran kira-kira tiga tahun yang lalu.

Menurut beliau, penggunaan tumbuhan ini sebagai pemusnah adalah mudah dan berkesan kerana ia tidak memerlukan persiapan teknikal dan peralatan yang banyak, ia juga bersifat mesra alam dan boleh dituai atau digunakan selepas tahun keempat ditanam.

"Petani cuma menanam dan mendapat khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian di daerah masing-masing mengenai cara-cara penggunaannya," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau di temui semasa menjalankan promosi tumbuhan pemusnah siput gondang emas itu pada Majlis Penyerahan Bahan Input Pertanian Di bawah Program Ahli Parlimen Tenom dan Pembekalan Input Pertanian Di bawah Bantuan Insentif Padi Tanah Kering Daerah Tenom di Dewan Sri Ontoros Kemabong di sini baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi.

Tambah Kaliun, pihak Jabatan Pertanian di daerah itu kini giat mempromosikan tumbuhan itu kepada golongan petani di daerah ini.

Katanya, jika semua petani di daerah ini menggunakan kaedah memusnah siput gondang itu sudah tentu mereka tidak lagi perlu mendapatkan racun makhluk perosak.

"Kita minta petani menggunakan kaedah ini kerana ia tidak memusnahkan hidupan air yang lain seperti ikan. Petani di daerah ini dialu-alukan berkunjung ke Pejabat Pertanian yang berhampiran untuk mendapatkan khidmat nasihat," katanya.

Menurut Kaliun, penggunaannya amat mudah kerana ia hanya dipotong menjadi ketulan-ketulan kecil sebelum ditabur di kawasan sawah yang berair.

Katanya, ia hanya mengambil masa beberapa minit untuk memusnahkan siput gondang emas tanpa kesan sampingan pada pokok padi dan petani.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails