Monday, January 24, 2011

Cameron Highlands syurga pertanian

MEREKA yang berminat dalam sektor pertanian pastinya akan teruja dengan teknologi baru yang menjadikan sektor tersebut menarik dan berdaya maju.

Di negara ini, pertanian seakan bangkit semula daripada bidang yang dikebelakangkan, kepada satu industri yang mula menjana minat yang luar biasa di kalangan rakyat.

Syaratnya, bidang pertanian perlu ditransformasikan menggunakan suntikan teknologi moden supaya lebih berdaya maju dan menjana keuntungan.

Berbicara mengenai teknologi pertanian, mahu tidak mahu kita tidak dapat menafikan peranan agensi yang paling kehadapan dalam bidang tersebut iaitu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

MARDI sejak ditubuhkan 40 tahun yang lalu memartabatkan industri pertanian tempatan menerusi usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan pelbagai inovasi.

Pada masa sama, MARDI turut menubuhkan taman-taman pertanian yang menghimpunkan teknologi-teknologi pertanian yang dibangunkan untuk tatapan orang ramai bagi mengetahui sendiri produk institusi terbabit.

Antara simbol kejayaan MARDI dalam R&D pertanian ialah memajukan kawasan pertanian yang terkenal di Cameron Highlands.

Cameron Highlands menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana sebahagian besar keindahan alam tanah tingginya masih terpelihara.

Ladang-ladang teh yang menghijau, kebun-kebun sayur yang belbagai, taman-taman bunga yang penuh warna, dan kebun buahan yang belbagai di samping taman rama-rama dan pemeliharaan lebah menggamit kedatangan pelancong hampir sejuta orang saban tahun.

Dengan ketinggian antara 1,000 meter dan 1,829 meter dari aras laut, dan suhu antara 12 dan 15 darjah Celsius pada waktu malam dan antara 22 dan 25 darjah Celsius pada waktu siang menjadikan peranginan ini tanah tinggi itu sentiasa menjadi tumpuan pelawat yang ingin merasai suasana nyaman suhu tanah tinggi berbanding dengan suhu di tanah rendah.

Salah satu kawasan yang cukup dikenali di Cameron Highlands ialah Tanah Rata yang mana MARDI telah membangunkan sebidang tanah di sini sebagai Taman Agro-Teknologi MARDI (TATM) yang dirasmikan pada 2003.

TATM menjadi tumpuan kerana kepelbagaian tanaman dan aktiviti pertanian yang pastinya menggamit pelancong.

TATM yang terletak di Tanah Rata ini bagaikan satu kawasan pertanian semula jadi meskipun ia adalah kawasan penyelidikan dan pembangunan pertanian yang dijalankan oleh MARDI.

TATM pada asalnya merupakan Stesen Penyelidikan Persekutuan yang mula dibina penjajah British pada 1925.

Bagaimanapun, selepas merdeka, ia diletakkan di bawah Jabatan Pertanian sebelum diserahkan kepada MARDI pada 1971.

Cuaca sejuk dan persekitaran menghijau di sini menjadikannya unik dan sentiasa menjadi tumpuan.

Di mana lagi anda melihat kehijauan melata dan ‘digabung jalin’ dengan warna warni bunga berkembang pagi dan kicauan burung.

Di kawasan seluas 43 hektar ini, ia dipenuhi pelbagai tanaman spesies temperate yang jarang ditemui di tempat lain di negara ini.

Komponen utama TATM ialah taman Inggeris, taman herba, taman ros, bunga keratan, ladang contoh strawberi, taman pelbagai bunga, taman dapur, petak-petak penyelidikan, pusat maklumat teknologi, ladang dan kilang teh dan makmal ‘test- bed’.

Di taman ini juga terdapat koleksi berbagai buahan temperat seperti anggur, epal, pir, oren, lokuat, laici, macademia, persimmon (pisang kak), jaboticaba (ceri), blackberi, markisa dan tamarillo (tomato).

Antara teknologi pertanian yang terdapat di TATM ialah pelbagai kaedah sistem fertigasi seperti teknik nutrien cetek (nutrient film technique) dan sistem ebb and flow.

Terdapat juga berbagai kaedah tanaman tanpa tanah seperti penggunaan cocopeat’ dan perlite sebagai media tanaman.

Pelbagai jenis struktur pelindung hujan, kaedah-kaedah pengawalan perosak dan penyakit tanaman, dan petak sains tanah.

Seperti yang dinyatakan oleh Pengurus Stesen MARDI Cameron Highlands Dr. Wan Abdullah Wan Yusoff, banyak tarikan yang boleh membawa pelancong ke pusat peranginan tersebut, terutama mereka yang berminat dengan pertanian.

Stesen tersebut kata, beliau berfungsi sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan inovasi teknologi pertanian tanah tinggi yang mana aktiviti penyelidikan dan pembangunan pertanian dalam bidang sumber strategik, hortikultur, mekanisasi dan promosi teknologi dijalankan.

‘‘Pengunjung didedahkan dengan aktiviti penyelidikan dan kaedah pembangunan teknologi pertanian,’’ ujarnya dalam satu taklimat dengan MEGA di pejabatnya di pusat peranginan itu baru-baru ini.

Selain tanaman, TATM ini juga mempunyai pusat jualan yang menawarkan produk berasaskan pertanian, sayur-sayuran dan buah -buahan segar untuk dibeli.

Ini sejajar dengan pembangunan Cameron Highlands sebagai sebuah kawasan pertanian terkenal di Malaysia.

Cameron Highlands merupakan daerah terkecil di Pahang, ia cuma meliputi dua peratus dari keluasan negeri Pahang.

Di samping teh, sayuran dan bunga-bungaan, industri strawberi juga telah begitu sinonim dengan daerah ini.

Industri strawberi di daerah ini telah disokong oleh kerajaan dengan konsep ‘satu daerah, satu industri’ (SDSI).

Menurut Dr Wan Abdullah, terdapat kira-kira 6,000 hektar daerah tersebut telah diusahakan dengan kawasan pertanian.

Sementara itu, menurut Dr Wan Abdullah, MARDI juga mempunyai 300 ekar (120 hektar) tanah di Lembah Bertam, Cameron Highlands. Namun disebabkan kebanyakan tanah di situ mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah, cuma sebahagian kecil sahaja kawasan diusahakan untuk aktiviti pertanian.

Produk organik Zenxin



Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar RASHID MAHFOF

laluan beratap memberikan keselesaan kepada pengunjung semasa panas dan hujan.


MASALAH pencemaran bumi yang semakin membimbangkan, mendorong banyak sektor kini beralih kepada pengurangan penggunaan bahan kimia dalam industri yang mereka ceburi.

Pengenalan teknologi hijau dan tenaga alternatif adalah contoh terbaik dan ia kini semakin popular.

Demikian juga dalam sektor pertanian. Pengusaha mula beralih kepada pendekatan bebas bahan kimia, sejajar dengan aliran semasa masyarakat pengguna yang mahu produk makanan lebih sihat.

Isu ini bukan baru, kerana ramai yang beralih kepada pelbagai makanan yang dapat meningkatkan kesihatan.

Tanaman yang sarat dengan racun makhluk perosak menyebabkan penimbunan toskid dalam badan pengguna.

Justeru bagi mendapatkan makanan yang lebih sihat, pengguna kini beralih kepada makanan organik.

Oleh itu, makanan organik semakin mendapat permintaan. Ia mendorong pengusaha untuk bersaing bagi memenuhi permintaan tersebut dan untuk mengisi kekosongan yang ada.

Disebabkan permintaan terhadap produk pertanian organik yang meningkat telah mendorong seorang usahawan pertanian, Tai Kok Kong, mengusahakan ternakan ayam melalui keadah tersebut pada 2001.

Dia telah membangunkan syarikat Zenxin Agri-Organic Food bagi mengeluarkan tanaman, bekalan dan perniagaan runcit makanan organik.

Pada sesi lawatan ke ladang Zenxin di Kluang Johor bersama rombongan AgroBank baru-baru ini, penulis disambut oleh Pengurus Pengeluarannya, Jeff Tai Seng Thong, anak kepada Kok Kong.

Jeff berkata, sejak awal penubuhannya Zenxin telah dipercayai sebagai pengeluar makanan berkhasiat yang tidak menggunakan bahan kimia dalam proses pembuatannya.

"Ini bermakna Zenxin tidak menggunakan baja mahu pun racun kimia semasa kerja-kerja menanam sayur-sayuran serta buah-buahan.

"Sehingga kini, kami masih lagi mengekalkan misi asal iaitu sentiasa mengekalkan pencapaian terbaik di samping menjaga kualiti barangan dan sentiasa menggunakan operasi dalaman dari segi tanaman, penuaian, pemprosesan, pembungkusan dan penghantaran kepada pelanggan," katanya.

Ini, jelas Jeff, bagi memastikan setiap pelanggan dapat menikmati kelazatan makanan organik tulen dengan harga yang sangat berpatutan ke arah hidup lebih sihat.

Ladang yang diusahakan di Johor dan Cameron Highlands, Pahang mengandungi kedua-dua jenis tanaman tanah rendah dan tanah tinggi bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Bagi mempelbagaikan aktiviti syarikat, pihaknya telah mula menanam cendawan untuk pameran dan

jualan.

"Ini dapat mendedahkan pengunjung terutama kanak-kanak mengenai tanaman cendawan organik," katanya.

Kebun organik berkenaan sentiasa mematuhi peraturan, taraf dan paras kualiti yang telah ditetapkan oleh Skim Organik Malaysia (SOM) yang diiktiraf Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan National Association for Sustainable Agriculture, Australia (NASAA).

Jeff berkata, ketika ini AgroBank banyak membantu dengan memberikan pinjaman Tabung Untuk Makanan (3F) pada tahun 2006 berjumlah RM3 juta.

Taman Organik Zenxin merupakan kawasan rekreasi di mana para pelancong datang dan membuat lawatan untuk menyaksikan sendiri bagaimana produk organik diproses tanpa penggunaan bahan kimia.

Di sana pelancong dapat menikmati kawasan taman dengan melalui kawasan pejalan kaki berbumbung atau berbasikal di laluan yang disediakan.

Basikal disediakan dengan kadar sewaan yang berpatutan.

Selain itu pelancong juga boleh membeli-belah di kedai organik yang menjual pelbagai produk segar organik.

Bagi membantu pengunjung, pengurusan ladang organik Xenzin juga menyediakan pembantu pelawat yang mempunyai pengetahuan dalam pertanian organik akan mengiringi pengunjung.

Malah Taman Organik Zenxin juga mempunyai dewan, bilik mesyuarat serta tapak bagi BBQ untuki pelbagai majlis.

Pengunjung yang letih dan lapar selepas mengelilingi taman organik boleh menikmati makanan organik terus dari ladang menerusi menu Zenxin Organik Steambot di restoran yang mendapat lulusan halal daripada agensi kerajaan.

Sementara di kedai organik Zenxin, pengunjung ditawarkan dengan pelbagai jenis sayur-sayuran dan makanan kering organik. Pengunjung yang ingin mendapatkan bekalan produk organik segar boleh memperolehinya di pasar raya besar di seluruh negara dan Singapura.

Menggunakan slogan Keutamaan Pelanggan Zenxin sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Ditanya mengapa keluarganya memilih tanaman organik berbanding dengan pertanian lain yang lebih menguntungkan, Jeff berkata, mereka masih boleh bertahan memandangkan keluarganya mempunyai pelbagai perniagaan lain.
Sumber:utusan malaysia

Tauke otak-otak

WALAUPUN hanya berbekal Sijil Rendah Pelajaran (SRP), ia bukan jalan buntu bagi kehidupan Shukor Mansor, 35 yang berasal dari Semerah, Batu Pahat, Johor.

Ekoran pendidikan yang tidak tinggi, Shukor mula berdikari dengan bekerja sebagai penebar roti canai di warung.

Pada masa sama dua mula mengikut kawan yang bekerja di sebuah syarikat pengeluar otak-otak terkemuka di negeri Johor.

Minat yang mendalam dalam pembuatan otak-otak membawa Shukor menghadiri pelbagai kursus penghasilan produk berkenaan dan keusahawanan anjuran pelbagai agensi kerajaan di Batu Pahat dan Johor Bharu, Johor serta Melaka.

Hanya berbekal minat yang mendalam dan sedikit modal, Shukor memulakan perniagaan otak-otaknya sendiri di Batu Pahat pada tahun 2006.

Ketika itu dengan modal RM3,000, Shukor membeli sebuah peti sejuk beku sebagai tempat menyimpan produk otak-otaknya.

Bagi memudahkan operasi perniagaan, Shukor mendaftarkan perniagaan di bawah nama Sinar Shukor Enterprise dengan jenama Otak-otak Batu Pahat.

"Pada mulanya memang sukar untuk mendapat kepercayaan pelanggan kerana produk saya masih baru," katanya semasa ditemui di rumahnya di Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor.

Bagaimanapun dengan galakan daripada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat semakin menyemarakkan semangatnya.

Tambahan pula dia boleh mendapatkan bahan-bahan mentah daripada masyarakat di sekitar Batu Pahat.

Misalnya Shukor, anak ketiga daripada enam beradik mendapat bekalan daun nipah daripada sepupunya Zamzam Jabir, 42, dari Kampung Muhibbah, Batu Pahat.

Daun nipah yang didapati di tepi sungai Batu Pahat diproses sepanjang enam inci sebelum dibekalkan kepada Shukor bagi industri perniagaan otak-otaknya.

Setiap hari Zamzam membekalkan sekitar 40 bakul dengan satu bakul seberat 10 kilogram (kg).

Manakala bahan mentah lain seperti santan kelapa, herba dan rempah-ratus bermutu tinggi dibeli daripada pembekal di sekitar kejiranannya.

Kini Shukor memerlukan 60 kg santan dan 20 kg lagi bahan campuran lain termasuk rempah ratus dan herba bagi ramuan otak-otaknya.

Bagi mendapatkan rasa yang lain dari yang lain, Shukor mendapatkan ikan tenggiri segar daripada nelayan berhampiran.

Setelah setahun memulakan operasi, perniagaannya semakin meningkat sehingga beliau terpaksa menambah lima buah peti sejuk beku setiap tahun.

Setahun kemudian pada tahun 2008, Shukor mula 'menghampiri' Agrobank berhampiran tempat tinggalnya bagi menambahkan modalnya.

"Ketika itu saya memohon pinjaman MUST Normal sebanyak RM10,000 bagi menambah bilangan peti sejuk beku," katanya.

Kali ke dua pada tahun ini, beliau mendapat pinjaman MUS1M-i sebanyak RM20,000 daripada Agrobank.

Permintaan otak-otak yang semakin meningkat setiap hari daripada peniaga pasar malam, bazar ramadan, ekspo, restoran serta orang perseorangan di Batu Pahat, Muar, Melaka serta Kuala Lumpur menyebabkan Shukor perlu menambahkan bilangan peti sejuk bekunya.

"Secara purata saya menambah lima buah peti sejuk setahun dan kini saya mempunyai 35 buah peti sejuk untuk menyimpan 15,000 keping otak-otak sehari," katanya yang mempunyai lebih 10 orang pekerja.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkatkan, Shukor merancang meningkatkan kapasiti pengeluarannya dengan membina kilang di atas tanah milik keluarganya.

"Ini bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah setiap hari," katanya sedang dalam proses mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi berkenaan berkaitan dengan modal dan operasi kilangnya.

Biasanya otak-otak akan disimpan di dalam peti sejuk beku secara berdiri sehari semalam sehingga beku sebelum diedarkan kepada pelanggan.

"Ini bagi mengelakkan otak-otak cepat rosak," katanya.

Ditanya mengenai keistimewaan produknya, Shukor berkata maklum balas daripada pelanggan amat penting.

"Ramai pelanggan yang sukakan rasa rempah dan pedas otak-otak keluaran saya," katanya yang berpegang kepada prinsip minat, usaha dan modal untuk berjaya.

Apalah yang lebih membanggakan, kini Sinar Shukor Enterprise banyak membangunkan ekonomi sekitar kawasan Batu Pahat bagi bahan mentah dan tenaga kerja tempatan.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai otak-otak Batu Pahat boleh berkunjung ke Parit Kuda, Batu Pahat atau menghubungi Shukor di talian 019-7650713.
Sumber:utusan malaysia

Penjagaan jambu air madu

JAMBU air madu tergolong didalam keluarga Myrtaceae dan nama botaninya ialah Syzygium aqueum. Pokok jambu air madu mudah dibiak dengan menggunakan kaedah pembiakan secara tut (pengakaran).

Kaedah ini amat mudah dilakukan, sama ada menggunakan tanah campuran yang dikepalkan atau menggunakan media pengakaran (jiffy).

Kebiasaannya kaedah pembiakan tut mengambil masa antara 30 dan 45 hari untuk mengeluarkan akar dan kemudiannya dipindahkan dalam polibeg kecil sebelum ditanam di ladang.

Penanaman pokok jambu air di ladang, jarak tanaman yang disyorkan ialah 4 meter (m) x 4 m dengan menggunakan sistem segi empat sama, dengan kepadatan pokok bagi sehektar kawasan ialah 625 pokok.

Pokok jambu air mula mengeluarkan buah secara produktif pada umur satu hingga tiga tahun selepas penanaman, bergantung kepada cara penjagaan.

Penjagaan yang teratur dan sempurna dapat menjamin kualiti buah terbaik dan bermutu tinggi.

Antara klon jambu air yang banyak ditanam di ladang UPM ialah jambu air merah, jambu air hijau, jambu air kristal, jambu air semarang dan lain-lain.

Memburu rusa di De Paradise



Oleh MOHD FAIRUZ YUSOF
Gambar RUSHDI SALLEH


De Paradise pengunjung berpeluang bermesra dengan rusa.


LADANG De Paradise Sdn. Bhd., bukan setakat menternak rusa. Malah ia turut dibuka kepada orang ramai untuk melihat persekitarannya di samping berpeluang untuk merasai pengalaman memburu rusa.

Ini mungkin pengalaman yang tidak mungkin diperolehi di mana-mana dan pihak pengurusan ladang ternak itu kini sedang berusaha untuk menyediakan tapak khusus untuk tujuan tersebut.

Mungkin selama ini ada di kalangan orang ramai yang berangan-angan utuk memburu. Dengan adanya kemudahan di ladang itu mereka boleh merasai sendiri cabaran tersebut.

Kawasan perburuan yang disediakan itu seluas empat hektar dan ia akan dibuka kepada para pemburu yang terdapat di negara ini.

Pengusaha ternakan rusa di ladang tersebut, Muhammad Akhbar Chiraghdin memberitahu, kawasan memburu itu bagaimanapun adalah berpagar.

Katanya, mereka yang memiliki lesen senjata api sahaja hanya dibenarkan berbuat demikian.

"Mereka boleh memburu rusa yang berkeliaran di kawasan itu," ujarnya.

Jika mereka gagal menembak sebarang rusa katanya, pihak pengurusan akan memberikan haiwan itu sebagai insentif dan tarikan.

Selain itu pihak pengurusan ladang itu jufa bercadang untuk membuka tapak permainan seperti paint-ball yang mana mereka boleh bertarung sesama sendiri atau berburu dengan rusa sebenar menerusi peralatan senapang paint-ball terbabit.

Semua itu merupakan antara usaha untuk menjadi ladang De Paradise sebagai kawasan eko pelancongan.

Selain untuk pengunjung yang ingin merasai suasana hidup di kawasan ladang ia juga boleh dijadikan tempat latihan mana-mana pelajar yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang cara penternakan rusa.

Untuk tujuan itu kata Muhammad Akhbar, segala kemudahan asas telah disediakan.

Katanya, kemudahan seperti asrama disediakan kepada mereka sambil mengikuti latihan yang disediakan.

Semua rancangan bagi menjadikan ladang itu sebagai kawasan pelancongan dan latihan dijangka dapat direalisasikan menjelang Mac ini.

Beliau berharap ia bakal menjadi tarikan baru eko pelancongan di kawasan tersebut.Dengan itu De Paradise bukan sahaja ladang perternakan rusa tetapi juga sebagai salah satu destnasi pelancongan yang menawarkan pengalaman berbeza di Pahang. Selain asrama juga katanya, kemudahan penginapan lain turut dibina untuk kemudahan orang ramai.

Ia termasuk membina beberapa chalet penginapan dan dewan persidangan. Tambahnya, selain rusa, beberapa haiwan lain seperti arnab turut diternak di situ supaya pengunjung dapat merasai suasana sebenar kehidupan di ladang.
Sumber:utusan malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails