Saturday, January 22, 2011

Durian belanda boleh dibuat jus


Nama botani bagi Durian Belanda ialah Annona muricata L. dan ia tergolong dalam keluarga Annonaceae.

Pengeluaran buah durian belanda banyak bergantung kepada keadaan cuaca semasa, penjagaan anak pokok teratur dan sempurna, pendebungaan berbantu serta kesuburan tanah yang baik.

Dengan pengurusan tanaman yang baik, pokok durian belanda boleh tumbuh dan membesar dengan cepat serta dapat mengeluarkan buah secara optimum.

Secara umumnya, buah durian belanda mempunyai saiz yang sederhana besar, kulitnya berduri lembut, isi buah berwarna putih dan mempunyai rasa masam-masam manis.

Buah durian belanda biasanya dimakan segar dan boleh diproses untuk dijadikan jus.

Bagi penanaman di ladang, jarak tanaman yang disyorkan ialah 6 meter x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama.

Bilangan pokok yang boleh ditanam untuk keluasan sehektar ialah 277 pokok.

Pokok durian belanda boleh dibiak dengan menggunakan biji benih atau pembiakan secara seks dan kaedah pembiakan tut atau pembiakan secara aseks.

Jenis tanah yang sesuai untuk penanaman pokok durian belanda ialah tanah jenis lom liat berpasir.

Selain itu, mempunyai saliran yang baik, keasidan tanah dengan pH di antara lima hingga tujuh serta kawasan yang tidak mempunyai naungan.

Pokok durian belanda mula mengeluarkan buah pada umur empat tahun dan ia banyak bergantung kepada tahap kesuburan tanah dan penjagaan yang teratur serta sempurna.
Sumber: Utsuan malaysia

Vanila semakin diusahakan

TEMERLOH - Secara umumnya apabila berbicara mengenai vanila, ramai yang membayangkan kesedapan dan aroma perasa itu apabila dicampurkan ke dalam kek, ais krim, roti atau minuman karbonat.

Namun, tidak ramai yang tahu bagaimana vanila dihasilkan.

Malah, ramai juga yang tidak mengenali dari segi rupanya, bagaimana untuk mendapatkannya dan dari negara mana ia berasal.

Dari sudut sejarah, vanila ialah sejenis tumbuhan liar yang ditemui di Amerika Selatan.

Ia telah digunakan oleh kaum asli Mexico sebagai penyedap tembakau sejak berkurun yang lalu.

Pada 1721, vanila dibawa ke Eropah oleh orang Sepanyol sebelum dibawa oleh penjajah Belanda ke Bogor, Indonesia pada 1819.

Sejak 1850, vanila mula ditanam secara komersial di Indonesia apabila ia telah berjaya didebungakan.

Sejak itu, ia semakin digemari kerana keaslian aroma dan perisa aslinya.

Meskipun terdapat vanila sintetik yang dikenali sebagai vanilin, namun bahan sebatian itu dari segi kualitinya dikatakan kurang setanding dengan vanila asli.

Kini, tanaman vanila diperkenalkan di Malaysia selepas mendapati cuaca dan persekitaran negara ini sangat berpotensi untuk tanaman pokok vanila.

Potensi tanaman vanila sangat baik memandangkan sehingga kini dunia hanya menggunakan tiga peratus sahaja vanila asli manakala selebihnya masih menggunakan vanila sintetik.

Perkembangan sihat berhubung tanaman vanila turut mendapat sambutan di kalangan petani di Pahang.

Di negeri ini, terdapat beberapa petani yang mula menunjukkan minat untuk menanam vanila secara komersial.

Di daerah ini misalnya, dua rakan karib dari persatuan belia berlainan bergabung tenaga dalam mengusahakan tanaman vanila di Kampung Bangau Parit di sini.

Menurut pengusahanya, Mohd. Feisal Norawi, 29, tanaman vanila sangat mudah diusahakan kerana ia tidak terlalu cerewet.

Memandangkan harga di pasaran masa kini di sekitar RM300 sekilogram jika dijual kering dan RM40 sekilogram jika dijual basah, tanaman itu dijangka berpotensi menjadi komoditi ketiga selepas kelapa sawit dan getah.

Dia yang mengusahakan secara sambilan membantu rakan kongsinya menganggap vanila mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha walaupun hasilnya dituai sekali dalam setahun.

Mohd. Feisal yang mula menanam vanila pada awal tahun lalu memberitahu, vanila akan mula berbuah selepas tiga tahun ditanam.

''Ia memerlukan tujuh bulan untuk buah itu masak sebelum boleh dituai.

''Tanaman vanila memerlukan naungan dan ia sejenis tumbuhan memanjat. Sebelum ditanam, seelok-eloknya pokok lain turut ditanam yang bertindak sebagai pokok induk untuk dipanjat," katanya.

Mohd. Feisal mengeluarkan modal sekitar RM25,000 bagi menjayakan tanaman vanila yang diharap dapat membuka minda golongan muda supaya terlibat dengan tanaman baru dan tidak hanya tertumpu kepada getah dan kelapa sawit semata-mata.

Apa yang menarik minatnya menanam vanila jelasnya, ialah kerana ia tidak memerlukan kawasan luas, cukup kira-kira 0.2 hektar bagi 2,000 pokok.

Menurutnya, sebatang pokok vanila mampu mengeluarkan kira-kira 1.6 kilogram buah vanila basah.

Sehingga kini, dia telah menanam 800 pokok vanila yang dijangka mengeluarkan hasil pada tahun depan.

Sementara itu, rakan kongsinya, Ikmal Ab. Rahman, 31, pula berkata, setakat ini, masih ramai penduduk tempatan tidak mengetahui mengenai projek tanaman vanila yang diusahakannya.

Menurutnya, kebanyakan yang datang melawat ialah pengunjung luar yang berhasrat untuk mempelajari teknik menyemai benih dan menanam di ladang.

''Buah vanila basah yang dihasilkan nanti akan dikeringkan dengan kaedah tersendiri sebelum dijual secara kering," jelasnya.

Selain dua sahabat karib itu, tanaman vanila turut diusahakan oleh seorang bekas guru, Ishak Musa, 84, di Kampung Pamah Kulat, Raub yang dimulakan sejak 2004.

Sehingga kini, dia mempunyai kira-kira 1,000 pokok vanila dan sebahagiannya telah mengeluarkan hasil.

Ishak antara individu awal menceburkan diri dalam tanaman vanila di Pahang dan kini menjadi rujukan banyak pihak di negeri ini dalam menghasilkan tanaman vanila.

Kini, ketiga-tiga pengusaha vanila terbabit bergabung tenaga dalam mencipta kejayaan menghasilkan tanaman komoditi baru untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Apa yang lebih meyakinkan, mereka telah bertemu dan bekerjasama dengan Ketua Pegawai Operasi Syarikat Ekstrak Tulen Sdn. Bhd., Dr. Anuar Omar yang memiliki mesin untuk menghasilkan vanila ekstrak untuk dijual di pasaran global.

Menurut Ishak, dengan bantuan Anuar yang bersetuju membeli hasilnya dengan harga semasa, dia yakin potensi tanaman vanila untuk dipasarkan secara ekstrak akan lebih luas dan lebih ramai yang akan berminat untuk menceburkan diri.

Anuar ketika ditemui di pejabatnya di Bentong baru-baru ini memberitahu, teknologi terkini menghasilkan ekstrak vanila ialah dengan menggunakan kaedah Supercritical Fluid Extractor (SFE).

Menurutnya, SFE digunakan untuk pengekstrakan bahan-bahan vanila daripada buah vanila yang telah dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk.

''Teknologi SFE membabitkan penggunaan tekanan udara yang tinggi dan suhu yang rendah untuk mencapai satu tahap lampau genting, apabila pada tahap ini, pepejal dan cecair bertukar bentuk tanpa dapat dikenali bentuk asalnya.

''Cara pengekstrakan ini boleh menghasilkan ekstrak vanila yang tulen serta bebas daripada kandungan pelarut sebagaimana kaedah pengekstrakan biasa yang umumnya menggunakan bahan pelarut seperti etanol atau pelarut hidrokarbon yang lain," jelasnya.

Menurut Anuar, kaedah SFE juga dapat mengekalkan keaslian bahan yang diekstrak.

Beliau turut mengalukan-alukan petani melibatkan diri dalam projek tanaman vanila yang diyakini paling berjaya sedikit masa lagi.

''Teknologi dan kelengkapan terkini sudah ada dan hanya menunggu hasil yang banyak daripada pengusaha," katanya.

Sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam tanaman vanila boleh berhubung dengan Ishak di talian 09- 2971172 atau 019-6135072.

Tuesday, January 4, 2011

Penjagaan limau madu


Biasanya pokok limau madu mula mengeluarkan hasil pada umur dua hingga tiga tahun selepas ditanam.


NAMA saintifik bagi limau madu ialah Citrus suhuiensis dan tergolong dalam keluarga Rutaceae. Pokok limau madu merupakan tanaman yang berpotensi tinggi untuk dimajukan dan mendapat permintaan yang menggalakkan di kalangan peminat buah-buahan tempatan.

Ini kerana buah limau madu mempunyai rasa yang manis, kandungan jus yang tinggi, saiz buah yang baik dan kurang mempunyai serat serta hampas.

Tanaman limau tidak mempunyai musim yang utama tetapi pengeluaran buah limau adalah berdasarkan kepada keadaan iklim semasa, bentuk muka bumi dan kesesuaian tanah.

Bagi penanaman pokok limau madu pula, perkara yang perlu dititikberatkan ialah penentuan jarak dan sistem tanaman.

Jarak tanaman yang disyorkan untuk tanaman limau ialah 6 meter x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama.

Kepadatan pokok bagi keluasan sehektar ialah 277 pokok.

Pokok limau madu boleh dibiak dengan menggunakan kaedah pembiakan tut (pengakaran).

Pembiakan tut ini biasanya mengambil masa lebih kurang 30 - 45 hari untuk mengeluarkan akar dan seterusnya dialihkan ke dalam polibeg kecil.

Secara umumnya, pokok limau madu mula mengeluarkan hasil pada umur dua hingga tiga tahun selepas di tanam dan pengeluaran buah amat bergantung kepada penjagaan yang sempurna dari awal penanaman sehingga mula berbuah.

Varieti limau yang ada ditanam di kawasan ladang UPM ialah limau madu dan limau langkat.

Haruan ubat semburan


Profesor Saringat Bai@Baie menunjukkan semburan ikan haruan bagi luka dan terbakar.


IKAN haruan secara turun temurun telah digunakan bagi mengubati luka-luka dalaman terutama di kalangan ibu-ibu selepas bersalin. Justeru Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan kajian bagi meluaskan penggunaan ikan haruan.

Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Sekolah Sains Farmaseutikal, Profesor Saringat Bai@Baie menunjukkan ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striatus mengandungi asid amino yang berfaedah dan asid lemak yang dibuktikan berupaya menyembuhkan luka.

"Haruan Channa striatus digunakan kerana mudah ditemui di sungai di sini," katanya ketika ditemui semasa Pameran BioMalaysia 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini, Saringat telah menformulasikan ekstrak haruan yang sama sebagai krim dan tablet dan produk berkenaan telah pun dikomersialkan.

"Kini kajian yang dijalankan menjurus kepada filem nipis bagi membalut dan merawat luka terutama luka kebakaran dan pesakit diabetes," katanya

Saringat berkata, semburan haruan menggunakan semua ciri-ciri ekstrak haruan dan diformulasikan dalam bentuk tulen untuk mengubati luka serta lecur terbakar.

Semburan berkenaan mengandungi ekstrak haruan yang boleh meningkatkan proses penyembuhan.

Tujuannya adalah untuk menghasilkan semburan aerosol sebagai bahan aktif yang boleh menghasilkan filem sintetik bagi rawatan luka dan melecur.

"Masalahnya filem penjagaan luka biasanya terdapat dalam saiz yang tertentu dan dibungkus secara berasingan," katanya.

Malah ia juga tidak boleh menutupi saiz luka yang pelbagai selain ia juga mudah dijangkiti apabila dikeluarkan daripada bungkusan.

Penyelesaiannya beliau adalah polimer biocompatible dalam produk sedia ada dengan pekatan aerosol dan boleh menghasilkan satu lapisan filem apabila disemburkan pada kawasan yang cedera dan boleh menutupi apa saja saiz luka.

"Apa yang menarik produk aerosol akan terus berada dalam keadaan steril kerana tiada bahan asing boleh memasuki bekas berkenaan," katanya.

Kajian menunjukkan luka dan lecur boleh diubati lebih cepat menggunakan semburan ekstrak haruan.

Malah semburan filem nipis ekstrak haruan telah diuji pada pesakit yang mengalami luka yang sukar sembuh akibat diabetes.

"Produk ini sedang dalam proses untuk dikomersialkan dan bakal berada di pasaran tidak lama lagi," katanya.

Sumber:utusan malaysia

Penjagaan pokok nangka


MUSIM berbuah pokok nangka boleh berubah mengikut iklim dan kesuburan.


BUAH nangka tergolong dalam keluarga Moraceae dan ia amat sesuai ditanam dikawasan tropika. Musim berbuah boleh berubah bergantung kepada faktor iklim semasa dan kesuburan pokok.

Biasanya ia berbuah sepanjang tahun dengan mula mengeluarkan hasil yang baik selepas tiga tahun ditanam.

Nama saintik bagi pokok nangka ialah Artocarpus hytereophylus.

Manakala jarak tanaman yang sesuai ialah 9 meter (m) x 9 m dengan menggunakan sistem segi empat sama.

Bagi anak pokok nangka yang baru ditanam, kerja penyelenggaraan seperti kerja menyiram, kawalan rumpai, pembajaan, pemangkasan dan kawalan penyakit serta perosak perlu dilakukan secara berterusan bagi menjamin pengeluaran buah yang baik dan berkualiti.

Pokok nangka mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman mata tunas.

Pokok yang berjaya dicantum perlu diletakkan di bawah naungan dan sesuai ditanam apabila pokok berumur lima bulan dan ke atas selepas dicantum.

Pokok nangka yang disyorkan ditanam adalah seperti J27, J29, J30, J31, J33, nangka mastura USM 2000, CJ 3 dan CJ 6.

Buah nangka boleh dimakan segar dan diproses.

Smber:utusan malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails