Tuesday, January 4, 2011

Penjagaan limau madu


Biasanya pokok limau madu mula mengeluarkan hasil pada umur dua hingga tiga tahun selepas ditanam.


NAMA saintifik bagi limau madu ialah Citrus suhuiensis dan tergolong dalam keluarga Rutaceae. Pokok limau madu merupakan tanaman yang berpotensi tinggi untuk dimajukan dan mendapat permintaan yang menggalakkan di kalangan peminat buah-buahan tempatan.

Ini kerana buah limau madu mempunyai rasa yang manis, kandungan jus yang tinggi, saiz buah yang baik dan kurang mempunyai serat serta hampas.

Tanaman limau tidak mempunyai musim yang utama tetapi pengeluaran buah limau adalah berdasarkan kepada keadaan iklim semasa, bentuk muka bumi dan kesesuaian tanah.

Bagi penanaman pokok limau madu pula, perkara yang perlu dititikberatkan ialah penentuan jarak dan sistem tanaman.

Jarak tanaman yang disyorkan untuk tanaman limau ialah 6 meter x 6 meter dengan menggunakan sistem segi empat sama.

Kepadatan pokok bagi keluasan sehektar ialah 277 pokok.

Pokok limau madu boleh dibiak dengan menggunakan kaedah pembiakan tut (pengakaran).

Pembiakan tut ini biasanya mengambil masa lebih kurang 30 - 45 hari untuk mengeluarkan akar dan seterusnya dialihkan ke dalam polibeg kecil.

Secara umumnya, pokok limau madu mula mengeluarkan hasil pada umur dua hingga tiga tahun selepas di tanam dan pengeluaran buah amat bergantung kepada penjagaan yang sempurna dari awal penanaman sehingga mula berbuah.

Varieti limau yang ada ditanam di kawasan ladang UPM ialah limau madu dan limau langkat.

Haruan ubat semburan


Profesor Saringat Bai@Baie menunjukkan semburan ikan haruan bagi luka dan terbakar.


IKAN haruan secara turun temurun telah digunakan bagi mengubati luka-luka dalaman terutama di kalangan ibu-ibu selepas bersalin. Justeru Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan kajian bagi meluaskan penggunaan ikan haruan.

Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Sekolah Sains Farmaseutikal, Profesor Saringat Bai@Baie menunjukkan ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striatus mengandungi asid amino yang berfaedah dan asid lemak yang dibuktikan berupaya menyembuhkan luka.

"Haruan Channa striatus digunakan kerana mudah ditemui di sungai di sini," katanya ketika ditemui semasa Pameran BioMalaysia 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini, Saringat telah menformulasikan ekstrak haruan yang sama sebagai krim dan tablet dan produk berkenaan telah pun dikomersialkan.

"Kini kajian yang dijalankan menjurus kepada filem nipis bagi membalut dan merawat luka terutama luka kebakaran dan pesakit diabetes," katanya

Saringat berkata, semburan haruan menggunakan semua ciri-ciri ekstrak haruan dan diformulasikan dalam bentuk tulen untuk mengubati luka serta lecur terbakar.

Semburan berkenaan mengandungi ekstrak haruan yang boleh meningkatkan proses penyembuhan.

Tujuannya adalah untuk menghasilkan semburan aerosol sebagai bahan aktif yang boleh menghasilkan filem sintetik bagi rawatan luka dan melecur.

"Masalahnya filem penjagaan luka biasanya terdapat dalam saiz yang tertentu dan dibungkus secara berasingan," katanya.

Malah ia juga tidak boleh menutupi saiz luka yang pelbagai selain ia juga mudah dijangkiti apabila dikeluarkan daripada bungkusan.

Penyelesaiannya beliau adalah polimer biocompatible dalam produk sedia ada dengan pekatan aerosol dan boleh menghasilkan satu lapisan filem apabila disemburkan pada kawasan yang cedera dan boleh menutupi apa saja saiz luka.

"Apa yang menarik produk aerosol akan terus berada dalam keadaan steril kerana tiada bahan asing boleh memasuki bekas berkenaan," katanya.

Kajian menunjukkan luka dan lecur boleh diubati lebih cepat menggunakan semburan ekstrak haruan.

Malah semburan filem nipis ekstrak haruan telah diuji pada pesakit yang mengalami luka yang sukar sembuh akibat diabetes.

"Produk ini sedang dalam proses untuk dikomersialkan dan bakal berada di pasaran tidak lama lagi," katanya.

Sumber:utusan malaysia

Penjagaan pokok nangka


MUSIM berbuah pokok nangka boleh berubah mengikut iklim dan kesuburan.


BUAH nangka tergolong dalam keluarga Moraceae dan ia amat sesuai ditanam dikawasan tropika. Musim berbuah boleh berubah bergantung kepada faktor iklim semasa dan kesuburan pokok.

Biasanya ia berbuah sepanjang tahun dengan mula mengeluarkan hasil yang baik selepas tiga tahun ditanam.

Nama saintik bagi pokok nangka ialah Artocarpus hytereophylus.

Manakala jarak tanaman yang sesuai ialah 9 meter (m) x 9 m dengan menggunakan sistem segi empat sama.

Bagi anak pokok nangka yang baru ditanam, kerja penyelenggaraan seperti kerja menyiram, kawalan rumpai, pembajaan, pemangkasan dan kawalan penyakit serta perosak perlu dilakukan secara berterusan bagi menjamin pengeluaran buah yang baik dan berkualiti.

Pokok nangka mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman mata tunas.

Pokok yang berjaya dicantum perlu diletakkan di bawah naungan dan sesuai ditanam apabila pokok berumur lima bulan dan ke atas selepas dicantum.

Pokok nangka yang disyorkan ditanam adalah seperti J27, J29, J30, J31, J33, nangka mastura USM 2000, CJ 3 dan CJ 6.

Buah nangka boleh dimakan segar dan diproses.

Smber:utusan malaysia

ebun Anggur di Daerah Manjung, Perak

Pokok anggur boleh ditanam di kawasan Lekir, Sitiawan. Kebun anggur yang seluas 1 ekar ini telah mula diusahakan oleh Puan Siti Saloma mulai November 2006. Beliau telah menanam pelbagai koleksi tanaman anggur yang terdiri dari varieti White Malaga, Isabella Madu, IAC, Thompson Seedless, Black Rose dan lain-lain.

Penanaman pelbagai varieti anggur ini dibuat untuk mengenalpasti varieti yang paling sesuai untuk diusahakan di Daerah Manjung ini. Pemerhatian yang telah dilakukan mendapati bahawa tanaman anggur varieti White Malaga memberikan hasil yang lebih baik berbanding varieti-varieti anggur yang lain.

Saloma Vineyard And Nursery Lekir

Lawatan ke Kebun Anggur


Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:-

SALOMA VINEYARD AND NURSERY
Lot 2658, Belakang Restoran
Batu 6, Lekir
32020 Sitiawan
Perak Darul Ridzuan.
Tel: +605-6793042 (R) 017-5688642 (H/P)
Emel: sitisaloma@yahoo.com
Laman Web: http://www.salomavineyard.com

Pengusaha Anggur

Anggur yang baru dipetik Isabella Madu

Semaian Anggur Kebun Anggur Sedang Berbuah

Sunday, December 12, 2010

MAHA 2010 menakjubkan

Pencapaian luar biasa! Itu ungkapan mudah bagi menerangkan kejayaan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MAHA International) 2010 yang berakhir semalam.

Dianggarkan dua juta orang mengunjunginya, melangkaui 1.5 juta yang disasarkan sebelum ini.

Sehingga rencana ini ditulis, orang ramai masih berpusu-pusu mengunjunginya. Apa juga data terakhir yang dikumpul sehingga pameran tersebut berakhir semalam, ia hanya melengkapkan kejayaan MAHA 2010 yang diadakan serentak dengan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) pada tahun ini.

MAHA 2010 yang bercirikan antarabangsa diadakan dua tahun sekali manakala HPPNK diadakan setiap tahun bukan lagi setakat menghargai usaha dan jerih perih tiga golongan tersebut untuk bekerja menghasilkan makanan untuk negara.

MAHA kini dianggap sebagai strategi atau platform paling berkesan untuk menerangkan hasrat kerajaan menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan.

Slogan mudahnya Pertanian Adalah Perniagaan dapat diterjemahkan dengan penglibatan usahawan yang menggunakan teknologi dalam setiap rantaian bekalan.

Pameran pertanian tersebut dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), diuruskan oleh MARDITECH Corporation Sdn Bhd. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula memainkan peranan sebagai nadi penggerak utama bagi memastikan pameran berjalan lancar.

Siri MAHA International 2010 kali ini menampakkan minta orang ramai kepada sektor pertanian semakin meningkat. Malah aktiviti padanan perniagaan semakin memberangsangkan manakala seminar-seminar semasa yang manakala mendapat sambutan.

Justeru, tidak hairanlah apabila MAHA 2010 International ini menerima kunjungan mencecah kira-kira dua juta orang. Ia ibarat gedung ilmu pertanian dan sesuai bagi mereka yang mahu mendapatkan maklumat terkini mengenai kemajuan sektor pertanian negara sama perkembangan teknologi, produk terbaru daripada agensi kerajaan dan swasta.

Kenyataan Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin mengenai hasrat tersebut memang jelas. Kerajaan mahukan rakyat memahami aspirasi murni dalam sektor pertanian dan menjadikannya perniagaan yang menuntungkan.

''Saya bersetuju ini (MAHA) merupakan strategi kerajaan hendak membuktikan kepada masyarakat bahawa pertanian adalah perniagaan.

''Kalau tidak, masakan rakyat akan terima slogan tersebut. Hari ini kita dapat lihat apakah hasil pertanian kita,'' katanya.

Dengan penganjuran MAHA, orang ramai dapat memahami melihat dan mengetahui maksud pertanian adalah satu perniagaan, tegas beliau.

Malah katanya, FAMA yang menerajui usaha pemasaran dalam sektor pertanian telah berjaya membimbing 433 usahawan melibatkan 2,300 produk dengan membawa jenama 1Malaysia Best.

Beliau berkata, sambutan orang ramai itu membuktikan mereka berminat dengan pertanian manakala pengusaha dapat menonjolkan produk masing-masing sebagai kaedah pemasaran berkesan.

Minat orang ramai itu juga terarah kepada pelbagai pameran yang diadakan seperti produk pertanian, teknologi, haiwan ternakan dan haiwan peliharaan serta industri baru seperti burung walit, rumpai laut dan ikan hiasan.

Orang ramai sentiasa berpusu-pusu ke Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang menjadi tapak MAHA, meskipun laluan keluar masuk sentiasa sesak dan tram yang disediakan sentiasa penuh. Cuaca panas dan hujan silih berganti sepanjang pameran diadakan selama 10 hari itu tetapi tidak merencatkan minat pengunjung.

Siri MAHA International 2010 kali ini bertemakan Inovasi Pertanian Pemangkin Pembangunan sejajar dengan saranan kerajaan menjadikan tahun 2010 sebagai tahun inovasi.

MAHA International 2010 telah mendapat minat penyertaan daripada pempamer antarabangsa daripada pelbagai rantau termasuk beberapa negara Eropah, Amerika Latin, China, India, Asia Tenggara, Australia dan negara Liga Arab dan Asia Barat.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails