Wednesday, November 10, 2010

Kursus Praktikal Kambing dan Lembu 2010

Kursus Praktikal Kambing dan Lembu 2010
Tarikh : 4hb. Disember 2010 (Sabtu)
Masa : 8.30 pg - 6.00ptg
Tempat : Ladang Interxpose, Kg. Setulang Daing, Bukit Rambai Melaka

Bayaran :RM260 termasuk nota,Cd ternakan,bahan latihan dan sijil

Topik:
1. Pengenalan asas ternakan
2. Pembinaan Kandang
3. Penjagaan dan Rawatan ternakan
4. Tanaman utk ternakan (rumput dll)
5. Kaedah pemberian makanan/campuran makanan
6. Teknik Pemasaran

Praktikal 90% teori 10%
Maksimum peserta 8 orang sahaja.Minimum 4 orang

Berminat call 0192272127 /sms nama penuh dan buat bayaran deposit ke maybank 157166897506 sebagai booking tempat.Walk in tidak digalakkan.

Tuesday, November 9, 2010

Penjagaan pokok rambutan

Pengenalan
RAMBUTAN tergolong dalam famili Sapindaceae dan nama saintifiknya ialah Nephelium lappaceum.

Pokok rambutan mempunyai dua musim buah yang utama iaitu pada bulan Jun hingga Ogos dan musim kedua pada bulan Disember hingga Januari.

Musim berbuah boleh berubah bergantung kepada faktor iklim semasa dan kesuburan pokok.

Jarak tanaman yang sesuai bagi pokok rambutan ialah 9 meter (m) x 9 m dengan menggunakan sistem segi empat sama ataupun segitiga sama.

Secara umumnya, pokok rambutan klon (kahwin) boleh mengeluarkan buah pada umur antara tiga dan empat tahun selepas ditanam.

Bagi anak pokok rambutan yang baru ditanam di kebun, ia memerlukan kerja penyelenggaraan yang berkala dan berterusan seperti kerja menyiram, membaja, kawalan penyakit dan perosak, kawalan rumpai serta pemangkasan penjagaan dan pembentukan.

Pembiakan pokok

Pokok rambutan mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman mata tunas.

Kaedah pembiakan ini memerlukan tiga komponen yang utama iaitu anak pokok penanti, kayu mata tunas pokok baka terpilih dan peralatan cantuman.

Bagi komponen kayu mata tunas, pastikan memilih mata tunas yang subur, matang dan berkualiti supaya cantuman mudah berjaya.

Cantuman mata tunas yang berjaya perlu diberikan naungan sebelum ditanam di kebun.

Kerja penyelenggaraan yang teratur perlu dilakukan supaya anak pokok subur, tidak berpenyakit dan cepat membesar.

Apabila anak pokok mencapai umur antara lima dan tujuh bulan selepas dicantum, ia oleh ditanam di kebun.

Klon rambutan

Pokok rambutan yang ditanam diladang UPM ialah seperti R4 (Ya Tow/Penang), R7 (Twa liap Thow), R99, R153(Bunga Mawar), R156(Muar Gading), R 162(OH Heok), R191 (anak sekolah).

Bagi tempoh kematangan buah rambutan, ia mengambil masa 100 hingga 130 hari iaitu antara tiga dan empat bulan dari bunga kembang hingga buah masak.

Rambutan mempunyai perbezaan daripada segi bentuk buah, rasa, ketebalan isi, warna kulit buah, bentuk daun dan bentuk pokok.

Harga getah naik, pekebun kecil mampu peroleh pendapatan RM4,000 sebulan

KUALA LUMPUR: Berikutan harga getah SMR20 yang mencatat paras tertinggi dalam sejarah negara semalam, membolehkan kira-kira 350,000 keluarga pekebun kecil getah mendapat keuntungan kasar sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata harga getah SMR20 yang mencatat harga RM12.44 sekilogram semalam menunjukkan trend yang melonjak sejak beberapa bulan lalu. "Kita dapat melihat sejak beberapa tahun, antara komoditi yang stabil adalah getah. Ia mengupayakan pendapatan penduduk luar bandar dengan stabil," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Inovasi dan Kualiti Risda, di sini hari ini. Beliau yakin komoditi berkenaan bukan sahaja akan memberikan sumbangan kepada pendapatan negara malah masyarakat luar bandar khusunya pekebun kecil.

Sehubungan itu, Program Tanam Semula Risda diberikan peruntukan sebanyak RM217 juta tahun ini untuk kawasan seluas 131,528 hektar membabitkan 52,000 orang pekebun kecil, katanya.

Shafie berkata sehingga September lalu, seluas 96,215 hektar atau 73 peratus program berkenaan sudah dilaksanakan.

Mengenai cadangan untuk mewujudkan Risda Holdings, beliau berkata, ia akan menjadi sebagai satu apex yang berfungsi sebagai sebuah syarikat induk ke arah pencapaian yang lebih baik pengurusan 10 agensi di bawah pihak berkuasa berkenaan.
"Ia masih dalam peringkat kementerian. Agensi yang ada kena ada penyusunan semula, kemas kini dan lebih fokus jika ada badan yang memantau bagi prestasi lebih baik," katanya.

Beliau berkata Risda Holdings akan dimulakan dengan modal berbayar sebanyak RM50 juta dan akan diwujudkan akhir tahun ini.

Sehingga September lalu, 10 syarikat berkenaan mencatatkan keuntungan sebanyak RM12.47 juta, katanya. - BERNAMA

Inovasi penjagaan produk segar


Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar HAYAT SUEET



Dr. Zaulia Othman menunjukkan sayur-sayuran yang diproses secara minimum.



Gaya hidup moden menyebabkan semuanya harus mudah, ringkas dan cepat termasuklah tugasan memasak. Ada yang gemar memasak tetapi masalahnya tugasan renyah seperti menyediakan bahan mentah yang mengambil masa.

Malah, masalah berkenaan juga dihadapi oleh industri kecil dan sederhana (IKS) yang terlibat dalam penyediaan makanan.

Biasanya IKS penyediaan makanan menghadapi masalah tenaga buruh bukan saja untuk menyediakan bahan mentah yang banyak malah bahan mentah yang disimpan tidak tahan lama.

Bermula dengan kajian bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membawa bahan mentah dalam kapal bagi jangka masa lama, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengujinya bagi diaplikasi di pasaran tempatan.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Hortikultur, MARDI, Dr. Zaulia Othman yang menjalankan kajian berkenaan berkata, inovasi tersebut amat sesuai bagi mendapatkan bahan mentah berkualiti tinggi.

"Hampir semua sayuran sama ada berdaun, berbuah, berbunga, berubi atau rizom sesuai bagi menghasilkan hirisan segar sayur-sayuran," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Dr. Zaulia menambah, hirisan segar sayur-sayuran merangkumi sayur-sayuran sedia dimakan segar sebagai ulam, untuk hiasan, sedia dimasak atau diproses.

Kualiti dan kesegaran produk ini dikekalkan seperti keadaan asalnya jika disimpan dalam suhu dan pembungkusan yang sesuai agar hirisan segar sayuran tidak cepat rosak berbanding kaedah penyimpanan normal.

"Perubahan yang berlaku semasa operasi penyediaan menyebabkan sayur yang diproses secara minimum tidak dapat disimpan lama dan boleh menyebabkan kerugian kepada para penjual dan juga pengguna," katanya.

Bagaimanapun, melalui kaedah penyediaan dan penyimpanan yang sesuai telah dikaji di MARDI mendapati kesegaran produk dan keselamatan hirisan segar sayur terjamin.

Terdapat hirisan segar sayur-sayuran yang mempunyai jangka hayat simpanan yang panjang seperti bawang besar sehingga enam minggu dan disimpan pada suhu 2 darjah Celcius.

Sementara hirisan segar cili, sawi, kubis dan kacang panjang boleh disimpan selama tiga minggu, manakala timun hanya boleh bertahan selama dua minggu pada suhu 2 darjah Celcius.

Dr. Zaulia berkata, hayat simpanan bertambah pendek jika disimpan pada suhu lebih tinggi daripada 2 darjah Celcius manakala hirisan segar sayur-sayuran hanya bertahan dua hari pada suhu 25 Celcius.

Hirisan segar sayur-sayuran dilakukan melalui beberapa proses bermula dengan pemilihan bahan mentah berkualiti tinggi terus dari ladang.

Sayuran yang dipilih akan menjalani proses pra kondisi dengan menyimpannya pada suhu lima hingga 10 darjah Celcius selama semalaman bagi membuang haba ladang dan menyediakan sayuran dalam keadaan sejuk semasa diproses.

Selepas itu sayuran akan dibersihkan dengan air paip sebelum direndam sekejap dengan agen sanitasi, dipotong secara manual atau menggunakan mesin.

Kemudian sayuran akan direndam dalam kalsium klorida dalam suhu dua darjah Celcius bagi mengekalkan tekstur dan mengelakkannya menjadi warna perang.

Dr. Zaulia berkata, sayur-sayuran boleh disediakan dalam pelbagai bentuk hirisan mengikut kegunaan dan kaedah penyediaan, bentuk dan saiz potongan berbeza mengikut jenis sayur dan kelaziman sayur tersebut dimasak atau dimakan.
Sumber:Utsuan Malaysia

Walit World bangun industri burung walit

PORT DICKSON 8 Nov. - Melihat potensi industri burung walit yang dijangka menyumbang sebanyak RM5 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2015, Walit World Sdn. Bhd. mengambil inisiatif membangunkan kawasan industri ternakan burung walit di Tanjung Agas, Teluk Kemang.

Melalui projek yang dinamakan Walit World Tanjung Agas Ecopark itu, syarikat tersebut menawarkan peluang perniagaan kepada individu yang berminat untuk membeli hartanah 'rumah burung'.

Pengurus projek, Mohd Nasir Che Fa berkata, hak milik tanah diberikan kepada pemilik rumah burung walit yang dibangunkan secara berpusat di kawasan burung walit di daerah ini.

Menurut beliau, pihaknya menawarkan tapak seluas 2,100 kaki persegi di kawasan tersebut dengan rumah burung setinggi dua setengah tingkat yang bersaiz 20 kaki lebar dan 50 kaki panjang

"Rumah burung walit ini turut dilengkapi peralatan audio terkini untuk memanggil burung tersebut. Harga yang ditawarkan bagi sebuah rumah ialah RM320,000," katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, pembangunan kawasan seluas 5.2 hektar itu telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan mendapat sokongan serta khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Lokasi ini sangat strategik iaitu dalam kawasan kampung berhampiran pertemuan muara Sungai Linggi dan Selat Melaka serta dikelilingi rimbunan pokok bakau yang sememangnya kaya dengan punca makanan yang sesuai dengan koloni burung walit," katanya.

Mohd Nasir memberitahu, khasiat sarang burung walit ini terbukti sejak dulu lagi yang mampu melancarkan fungsi paru-paru, melancarkan perjalanan darah, menambah daya ketahanan badan, meningkatkan kekuatan jantung dan banyak lagi kebaikan kepada kesihatan manusia.

"Disebabkan oleh khasiat dan nilai perubatannya yang tinggi, sarang burung walit sangat berharga dan mendapat permintaan yang tinggi di peringkat antarabangsa.

"Harga sarang burung walit di pasaran boleh mencecah RM5,000 sekilogram bagi yang belum dibersihkan mengikut gred, dan nilainya akan meningkat sekali ganda apabila memasuki pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau menambah, industri ternakan burung walit menjanjikan keuntungan sampingan yang lumayan malah menawarkan cabang perniagaan keluarga yang boleh diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

"Melabur melalui pembelian sebuah rumah burung walit beserta tapak rumah di Walit World Tanjung Agas Ecopark, pasti menjanjikan pulangan modal dan keuntungan yang lumayan," katanya.

Maklumat mengenai Walit World Tanjung Agas Ecopark boleh diperoleh menerusi http://worldofwalit.blogspot.com.
Sumber:Utsuan Malaysia

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails