Wednesday, September 22, 2010

Membangunkan pertanian bandar


Pertanian di kawasan perumahan sewajarnya digalakkan bagi menampung keperluan sumber makanan.


BERBEZA daripada kawasan kejiranan lain, kawasan kejiranan di Jalan Pokok Mangga, Bandar Melaka mempunyai sawah padi dan ladang sayur-sayuran sebagai taman.

Malah, kawasan di bawah tiang kabel elektrik turut digunakan untuk menanam kangkung.

Mereka yang menanam dan menjaga tanaman padi dan sayur-sayuran tersebut adalah para penghuni di Jalan Pokok Mangga itu sendiri.

Seratus tiga puluh kilometer dari Jalan Pokok Mangga adalah kawasan kejiranan Fasa 4, Presint 8, Putrajaya, yang mana penghuni-penghuninya secara kolektif menanam sawi di hadapan pangsapuri mereka.

Mereka bersama-sama mengerjakan kawasan sayur tersebut, dan selepas penuaian sayur, hasilnya turut dikongsi antara mereka.

Begitu juga dengan para penghuni di Lorong 23, Taman Seri Inderapura, Kuantan.

Mereka menanam sawi dan kacang panjang di tanah yang dulunya terbiar di depan rumah mereka.

Walaupun seperti petani sambilan, penghuni Taman Seri Inderapura adalah bersemangat dan berhemat serta mereka prihatin kepada kesihatan mereka.

Sayur-sayuran yang ditanam oleh mereka adalah segar, sihat dan murah kerana ia ditanam secara organik, tanpa penggunaan sebarang racun dan baja kimia.

Kawasan-kawasan kejiranan seperti di atas menunjukkan aktiviti-aktiviti pertanian tidak semestinya tertumpu di kawasan luar bandar sahaja.

Penanaman pokok dan penternakan haiwan di dalam atau di pinggiran bandar dikenali sebagai pertanian bandar, dan ia merupakan cara yang semakin penting untuk mengeluarkan makanan untuk manusia.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) menganggarkan terdapat seramai 800 juta penghuni bandar (65 peratus daripada mereka adalah wanita) di dunia yang terlibat dalam pertanian bandar.

Malah, 15 peratus daripada pengeluaran makanan dunia berasal daripada persekitaran bandar.

Pada Mac 2006, kerajaan Malaysia telah menghidupkan semula kempen Buku Hijau untuk menggalakkan penduduk bandar mewujudkan taman-taman sendiri untuk penanaman sayur-sayuran serta penternakan ayam dan ikan untuk kegunaan sendiri.

Lebihan makanan boleh dijual dalam pasar tempatan dan pasar tani tanpa keperluan orang tengah.

Malaysia memandang penting pertanian bandar sebagai salah satu cara efektif untuk mengurus kawasan terbuka dalam bandar, menyediakan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan menyediakan makanan yang sihat dan segar pada kos rendah.

Makanan yang dihasilkan dalam bandar mendekatkan sumber makanan dengan penduduk bandar.

Ini membolehkan makanan yang dihasilkan bukan sahaja lebih segar tetapi juga lebih murah kerana kurang pengangkutan diperlukan berbanding dengan makanan import atau makanan yang dibawa masuk dari tempat jauh.

Pertanian bandar juga menambah kepada keluasan kawasan hijau dalam bandar.

Justeru, ini akan meningkatkan nilai estetik atau kecantikan pemandangan dalam bandar, dan lebih penting lagi, kawasan hijau boleh menyejukkan bandar melalui penyejatan air dari pokok ke udara.

Kawasan bandar boleh sampai dua darjah Celsius lebih panas daripada kawasan di luar bandar.

UniSZA kaji potensi ubi gadung


Tengku Farizan Che Ku Jusoh menunjukkan mufin yang diperbuat daripada ubi gadung hasil penyelidikan Universiti Sultan Zainal Abidin.


Ubi gadung bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat di negeri Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman memandangkan habitatnya sering ditemui di hutan.

Berdasarkan kajian saintifik, terdapat kandungan steroid yang tinggi dalam ubi ini berbentuk gula iaitu saponin.

Steroid merupakan sumber asli yang penting dalam penghasilan ubatan dan hormon manakala saponin juga bersifat antiagresif platlet iaitu boleh menghalang pengetulan (agresif) platlet di dalam darah.

Justeru, secara tidak langsung saponin dapat menghalang penyakit darah membeku dalam saluran trombosis.

Selain itu, negara-negara lain turut menanam ubi gadung untuk tujuan komersial kerana ekstrak ubi ini dipercayai boleh diproses menjadi pil pencegah kehamilan, hormon seks dan bahan kortison di samping dikatakan boleh membunuh siput perosak.

Di Mexico, ubi ini ditanam secara komersial untuk tujuan penghasilan steroid manakala di Kashmir pula ubi gadung digunakan untuk membasuh bulu biri-biri sebelum dijadikan pakaian atau barangan perhiasan bagi membunuh kutu dan serangga.

Pun begitu, disebabkan kesukaran membuang racun yang terdapat pada ubi berkenaan menyebabkan ubi gadung kurang dikomersialkan berbanding ubi kayu dan ubi keledek.

Bagaimanapun, cabaran tersebut disahut oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu bagi mengkomersialkan ubi tersebut sebagai makanan ruji masyarakat di negara ini.

Langkah UniSZA menjalankan penyelidikan menyeluruh tentang potensi tumbuhan ini ternyata menarik perhatian kerajaan negeri apabila satu memorandum persefahaman (MoU) Program Penyelidikan Pertanian Ubi Gadung UnisZA dan kerajaan negeri ditandatangani baru-baru ini.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 2.2 juta kepada UniSZA yang akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh universiti itu untuk menjalankan kajian terhadap potensi ubi ini.

Penyelidikan bakal melibatkan 10 projek utama yang diterajui oleh 20 penyelidik terdiri daripada pensyarah, pelajar pasca siswazah dan pegawai sains dari universiti terbabit.

Kajian meliputi penyelidikan agronomi, etnobotani, morfologi, anatomi, taksonomi, germplasm, pembiakbakaan, penyaringan fitokimia, pencarian kimia seni, biopesticde, teknologi in-vitro, sifat antibakteria dan antiinflamasi, pengendalian lepas tuai, kejenteraan dan pengkomersialan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Prof. Dr. Abd. Manaf Ali, bagi tujuan peringkat awal ini, pihaknya memulakan kajian terhadap bidang agronomi iaitu kaedah penghasilan tanaman ubi gadung secara produktif.

Katanya, selain itu, kajian turut ditumpukan dalam penyelidikan racun serangga kerana ubi berkenaan mempunyai ciri-ciri biopesticide yang baik iaitu berpotensi besar dalam menghasilkan racun serangga selain kegunaan untuk sumber makanan dan farmaseutikal.

"Mengikut kebiasaannya, ubi ini perlu direndam selama tiga hari dalam air yang mengalir iaitu seperti air sungai yang mana ia mengambil masa terlalu lama.

"Oleh itu, kita akan mengkaji secara mendalam tentang kaedah yang lebih baik menggunakan teknologi moden seperti membuat kajian untuk sekilogram ubi itu perlu melibatkan berapa banyak air dan berapa banyak toksin daripada ubi itu dapat dinyahkan.

"Selain itu, kita juga dalam usaha untuk menghasilkan tanaman ini dalam tempoh tiga hingga enam bulan sahaja melalui program penambahbaik benih dan kaedah penanaman sistematik," katanya.

Beliau berharap penyelidikan komprehensif yang dilakukan oleh UniSZA mampu merungkai khasiat sebenar yang terdapat di dalam ubi tersebut.

"Saya berharap dengan kajian ini dapat dimanfaat untuk diusahakan oleh rakyat luar bandar sebagai sumber pendapat yang baru," jelasnya.

Sumber:Utusan Malaysia

Friday, September 3, 2010

Tanam cendawan sejak 25 tahun lalu


Keadaan benih cendawan yang ditempatkan di Kilang Penanaman Cendawan, Kampung Sinaran Baru, Senai.


Cendawan merupakan tanaman makanan yang cukup digemari oleh segenap lapisan masyarakat kerana keenakannya dan boleh dinikmati dengan pelbagai cara.

Cendawan boleh dinikmati secara segar atau digoreng tepung. Tetapi antara makanan berkaitan cendawan yang paling popular ialah sup cendawan.

Oleh sebab itu, sama seperti peribahasa, ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan, begitu juga dengan kemunculan penanam tanaman tersebut ketika ini.

Selepas kerajaan menyatakan komitmen untuk menaikkan martabat industri pertanian, ramai penanam cendawan muncul mengusahakan tanaman tersebut sama ada secara besar-besaran atau kecil-kecilan.

Antaranya seorang pengusaha cendawan di Kampung Sinaran Baru, Skudai, R. Azmi Buang yang mengusahakan cendawan sejak 25 tahun lalu.

''Zaman dahulu cendawan hanya diperoleh menerusi pokok-pokok getah yang telah reput dan pertumbuhannya tidak sekerap mana.

''Tetapi dengan ada teknologi moden ia boleh diperolehi pada bila-bila masa, iaitu selepas benih cendawan terpilih disuntik dan melalui proses pengeraman, dalam tempoh lima hari cendawan terbabit boleh dituai," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk itu R. Azmi, 45, juga tidak keberatan berkongsi pengalaman mengenai cara-cara mengusahakan tanaman itu, yang mana langkah awal dengan menyediakan abuk kayu getah, dedak beras, kapur dan polibeg.

"Pemilihan habuk kayu getah kerana ia paling sesuai untuk pertumbuhan cendawan, manakala dedak beras pula penggalak yang mana cendawan akan tumbuh dengan subur termasuk lebar dan bersih serta gebu.

"Kapur pula untuk mengurangkan kemasaman pada 'substrat' (bongkah-bongkah) untuk disuntik dengan benih cendawan terpilih," katanya.

Menurutnya, bagi mengadun bancuhan substrat itu bagi setiap 100 kilogram (kg) habuk kayu getah ia ditambah dengan lapan kg dedak beras, tiga kg kapur dan 80 liter air.

R. Azmi, berkata, adunan itu dimasukkan ke dalam plastik lutsinar berukuran 6 1/2 inci lebar x 14 inci panjang dan ia perlu dibungkus dengan padat yang beratnya antara 1 kg hingga 1.2 kg.

Beliau berkata, selepas itu, bongkah-bongkah tersebut dikukus pada suhu 100 darjah celsius selama tiga jam.

"Selepas sejuk bongkah-bongkah itu akan disuntik dengan benih, di mana setiap satu botol benih mampu untuk disi 35 bongkah.

"Untuk menyuntik benih ia perlu dilakukan di tempat yang betul-betul bersih dan kering dan kemudian pindahkan ke bilik pengeraman dalam tempoh dua bulan," katanya.

Katanya, susunan dan kedudukan bongkah mesti dalam keadaan berdiri supaya 'meselium' (buah) mudah tumbuh.

Tambah Azmi, selepas dua bulan di pondok pengeraman bongkah-bongkah itu di pindahkan ke bangsal pengeluaran yang suhunya mesti di bawah 32 darjah celsius dan kadar kelembapan mesti 60 hingga 80 peratus mengikut ukuran hygro meter, bagi menghasilkan cendawan berkualiti.

"Di pondok pengeluaran kita buka penutup bongkah bagi membolehkan buah cendawan tumbuh secara semula jadi yang lazimnya dalam masa lima hari buahnya boleh dituani.

"Ingin dijelaskan kepingan-kepingan berupa daun yang keluar dari muncung bongkah adalah buah cendawan, jadi yang kita makan itu adalah buah cendawan yang dikenali bahasa sains maselium," katanya.

R. Azmi berkata, setiap satu bongkah boleh mengeluarkan empat kali pengeluaran yang bertanya 250 gram.

Sumber:Utusan Malaysia

Thursday, August 12, 2010

Sektor pertanian, penternakan negara perlu transformasi

Industri bernilai tinggi mampu bawa pulangan lumayan jika diusaha secara strategik, penuhi permintaan pasaran antarabangsa

SASARAN kerajaan bagi menzahirkan transformasi meningkatkan status daripada negara membangun kepada negara maju menjelang 2020 secara tidak langsung mencetuskan keghairahan untuk maju dalam hampir semua sektor, baik perusahaan, perindustrian, pengilangan atau pembuatan. Namun, minat yang sama tidak ditunjukkan dalam sektor pertanian, walaupun ia dikenal pasti sebagai bidang yang mampu membawa pulangan lumayan jika diusahakan secara strategik berdasarkan permintaan pasaran global semasa. Menyedari hakikat itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin, mengorak langkah menggalakkan pengusaha pertanian dan penternakan negara memberi tumpuan kepada industri bernilai tinggi selain memberi nilai tambah kepada sektor tradisional yang tidak lagi berdaya saing.

"Pada dasarnya, kita tidak boleh bersaing dengan kebanyakan negara asing dari segi pertanian kerana kos operasi selain upah tenaga kerja di sini agak tinggi dan sukar bagi kita menandingi mereka dari segi harga pasaran.

"Justeru, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mahu menggalakkan pengusaha bidang penternakan dan pertanian negara memilih komoditi bernilai tinggi yang boleh kita kawal selia bekalan dan pasarannya, sekali gus menetapkan harga berdasarkan permintaan semasa.

"Tiga sektor tumpuan buat masa sekarang ialah ternakan ikan hiasan, pemerosesan rumpai laut dan sarang burung walit, selain menggalakkan industri hiliran seperti pemprosesan makanan, pembuatan baja dan makanan ternakan," katanya.
Pendekatan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahukan gaji perkapita penduduk berlipat ganda daripada AS$7,000 (RM24,500) setahun kepada AS$15,000 (RM52,500) di bawah Model Baru Ekonomi (MBE) yang beliau ilhamkan.

Sehubungan itu, Dr Abd Aziz berkata, kegiatan sosioekonomi dan perniagaan tani akan memberi tumpuan kepada penyelidikan ekonomi ladang penternakan, kajian kesan sosioekonomi program penternakan JPV, khidmat perundingan dan kepakaran berdasarkan hasil penyelidikan JPV.

Dalam penternakan sarang burung walit umpamanya, Malaysia adalah pengeluar ketiga terbesar dunia tahun lalu dengan jualan mencecah RM1 bilion atau enam peratus daripada keseluruhan penghasilan komoditi terbabit pada peringkat global.

Malaysia dilihat sebagai mempunyai kelebihan dalam sektor ini kerana amalan pertanian baik dan keupayaan mengesahkan status halal membolehkan negara menembusi pasaran bukan tradisional seperti Asia Barat dan India bagi memasarkan produk berasaskan sarang burung walit.

Sehubungan itu, Dr Abd Aziz berkata, kerajaan sudah memperkenalkan garis panduan perusahaan sarang burung walit bagi menjadikannya industri yang mampu menjana pendapatan RM5 bilion setahun menjelang 2020.

Garis panduan yang dikenali sebagai '1GP' itu akan mempermudahkan pelesenan yang membabitkan kelulusan JPV, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pertanian, Jabatan Warisan, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN) dan Jabatan Kesihatan.

"Dari segi pembiayaan, saya difahamkan Agrobank menyediakan skim pinjaman berjumlah RM68 juta khusus bagi sektor ini dan JPV sedia menawarkan khidmat nasihat dari segi pembinaan rumah burung walit yang dianggar berharga sekitar RM30,000 setiap satu.

"Kita galakkan mereka yang kurang berkemampuan supaya mengusahakan projek ini secara berkelompok kerana pulangan lebih lumayan untuk kerja yang agak ringan, sekali gus membolehkan mereka turut mengusahakan pekerjaan lain.

"Sarang burung walit yang belum diproses bernilai antara RM3,000 dan RM7,400 sekilogram, manakala yang diproses boleh dijual antara RM10,000 hingga RM18,000 sekilogram. Pasaran utama sekarang ialah China, Hong Kong, Singapura dan Taiwan," katanya.

Penternakan ikan hiasan pula dicatat sebagai industri yang paling pesat perkembangannya dalam sektor pertanian dengan 95 peratus pengeluaran negara dieksport. Walaupun bersaiz kecil dengan pengeluaran domestik bernilai RM80 juta pada harga ladang, ia mempunyai profil antarabangsa.

Katanya, eksport ikan hiasan adalah satu lagi sektor yang diberi penekanan khusus oleh JPV supaya menepati piawaian antarabangsa berikutan permintaan tinggi di luar negara, terutama di negara Kesatuan Eropah (EU).

Dr Abd Aziz berkata, Malaysia adalah pembekal ikan hiasan ketiga terbesar dunia selepas Singapura dan Indonesia dengan pegangan sekitar tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan eksport global.

Malaysia tidak dapat menguasai pasaran eksport sepenuhnya, lebih-lebih lagi selepas EU melarang import spesies ikan koi dan ikan emas mulai Julai 2008 kerana tidak mematuhi garis panduan bio sekuriti.

Kedua-dua spesies itu saja membentuk 60 peratus daripada eksport keseluruhan ikan hiasan Malaysia berjumlah RM29.2 juta ke EU. Sebelum larangan itu berkuat kuasa, Malaysia mengeksport ikan hiasan bernilai RM96.1 juta ke seluruh dunia, termasuk RM18.5 juta ke EU.

"Negara masih bergantung kepada Singapura sebagai pasaran kerana kemudahan logistik yang cekap, banyak dan murah bagi mencapai pasaran eksport di Jepun, Hong Kong, Amerika Syarikat dan EU.

"Kebanyakan ikan tropika yang popular diternak di sini dan mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa. Dalam tempoh 10 tahun, industri ini mencatatkan pertumbuhan tahunan 43 peratus pada harga ladang dengan potensi meningkat lagi.

"Justeru, kita juga perlukan usahawan tempatan menceburi aspek logistik dan R&D berkaitan ikan hiasan tanpa hanya bertumpu kepada penternakan kerana sudah muncul saingan baru seperti China, Taiwan dan Thailand," tegas beliau.

Bagi pengeluaran rumpai laut pula, Dr Abd Aziz berkata, ia boleh menjadi pendapatan sampingan bagi nelayan, terutama apabila tidak boleh turun ke laut ketika musim tengkujuh, malah mungkin membawa pulangan lebih tinggi berbanding pekerjaan tetap mereka.

Beliau berkata, anggaran pendapatan nelayan yang mengusahakan penanaman rumpai laut menggunakan ladang seluas 0.4 hektar ialah antara RM450 hingga RM1,500 sebulan.

Rumpai laut atau nama saintifiknya euchema cottonii atau euchema kappayachus alvarezii adalah tumbuhan akuatik yang hidup terapung di permukaan air laut dan kini banyak diusahakan di pesisiran pantai Semporna, Sabah.

Ekstrak rumpai laut diproses bagi menghasilkan 'carrageenan', yang antara lain, digunakan sebagai bahan campuran dalam industri pembuatan cat, syampu, dakwat, tekstil, penyembur serangga, ejen pembersih, sebagai pengikat dalam industri pembuatan bahan letupan, bahan pengembang dalam industri makanan, industri farmasi (pengikat ubatan) serta bahan kosmetik.

Selain disokong pihak berkuasa perikanan Sabah, kerajaan juga mengisytiharkan industri rumpai laut sebagai 'berimpak tinggi' dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dan daerah Semporna saja disasar menghasilkan 250,000 tan rumpai laut pada tahun ini.

Dr Abd Aziz juga menekankan bahawa sektor pertanian dan penternakan negara perlu menjalani transformasi dengan menerima pakai perkembangan teknologi terkini dan sentiasa meneroka bidang atau produk baru untuk diperkenalkan.

Katanya, JPV sedia membantu dari segi kepakaran, teknologi dan guna sama tenaga bagi memastikan apa yang diusahakan itu bernilai tinggi serta menepati piawaian antarabangsa dan bukan sekadar memenuhi permintaan dalam negara saja.

Beliau juga menggalakkan usaha tani atau usaha ternak dipromosikan sebagai industri kampung yang boleh diusahakan secara bersepadu menerusi koperasi membabitkan semua penduduk setempat bagi mengatasi masalah pembiayaan atau tenaga kerja.

Sumber:Berita Harian

Tak cadang komersial gekko-gecko

Gekko-gecko

Tiada bantuan kementerian, bidang kuasa jabatan lain

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak bercadang mengkomersialkan spesies cicak jenis 'gekko-gecko' yang kini menjadi buruan ramai bagi dijadikan ubat tradisional sebagai satu perusahaan, seperti burung walit atau belut, yang turut terkenal dengan khasiat tinggi untuk kesihatan. Timbalan Menterinya, Datuk Johari Baharom, berkata kementeriannya tidak bertanggungjawab ke atas haiwan spesies itu, melainkan unggas seperti burung walit dan belut yang diletakkan di bawah kendalian kementeriannya. “Kalau ada yang berminat untuk jadikan cicak ini sebagai satu perusahaan, ia sama seperti perusahaan lintah dan kedua-duanya bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sebaliknya mereka boleh rujuk pada jabatan lain yang berkaitan.

“Ia berbeza dengan perusahaan burung walit kerana ia spesies unggas dan kita boleh membantu mereka ini (pengusaha burung walit) kerana ia memang terletak di bawah bidang kuasa kita,” katanya selepas majlis perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Peringkat Negeri Terengganu (MAHA) Mini di sini, yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, malam kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Hashim Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Asha'ari Idris.

Cicak dikenali sebagai gekko-gecko itu dilaporkan menjadi buruan ramai berikutan harganya mencecah RM30,000 seekor dan haiwan itu dikatakan menerima permintaan tinggi di kalangan penggemar makanan eksotik berikutan khasiat kesihatannya yang tinggi.
Setakat ini beberapa individu di Sabah, Kedah, Perak serta Terengganu mula menjadikan aktiviti mencari cicak yang lebih dikenali sebagai Pokke di kalangan penduduk tempatan secara serius, malah ramai yang mahu menjadikan ia satu perniagaan sama seperti ternakan haiwan lain seperti lintah dan burung walit.

Mohd Johari berkata, kecenderungan pihak tertentu memburu reptilia berkenaan mungkin bersifat sementara dan bermusim kerana penggunaannya dikatakan hanyalah untuk perubatan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak yang mengetahui sama ada ia digunakan dalam industri perubatan atau dijadikan sumber makanan oleh golongan tertentu yang mungkin percaya ia mempunyai khasiat menyembuhkan penyakit sama seperti sarang atau air liur burung walet.

INFO: Cicak gekko-gecko
•Di Indonesia dan Pulau Jawa ia dikenali sebagai Tokek.
•Tergolong dalam keluarga cicak Gekkonidae.
•Haiwan ini tersebar luas bermula dari India timur, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Thailand, Semenanjung Malaysia dan pulau sekitarnya, Sumatera, Jawa, Borneo, Sulawesi, Lombok, Flores, Timor, Aru dan Kepulauan Filipina.
•Dipercayai ada lebih 2,000 spesies cicak gecko-gecko di seluruh dunia yang belum lagi dijumpai.
•Cicak berkenaan kerap ditemui di pokok dalam pekarangan rumah, terutama di kampung dan tepi hutan.
•Spesies terbesar dikenali Kawekaweau dengan panjang badannya 60cm. Spesis terkecil ialah Jaragua Sphaero dengan panjangnya 16mm.
•Dipercayai apabila mencecah berat 350 gram ke atas, ia boleh mengeluarkan enzim yang mampu mengubati penyakit HIV/AIDS, sakit kulit dan asma.

Sumber:Berita Harian online

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails