Monday, August 2, 2010

LKM perkenalkan program tingkatkan pengeluaran biji koko

PENAMPANG 2 Ogos - "Program Koko untuk Rakyat" telah dilancarkan hari ini sebagai satu daripada inisiatif Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk melibatkan orang ramai dalam usaha meningkatkan pengeluaran biji koko negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata, peningkatan ini perlu kerana ketika ini pengeluaran biji koko negara belum pun mencapai 10 peratus daripada kapasiti pengisaran koko negara.

"Kapasiti pengisaran koko negara dianggarkan sebanyak 350,000 tan setahun, namun pengeluaran biji koko negara hanyalah sekitar 18,000 tan setahun.

''Kita banyak bergantung kepada biji koko diimport bagi pengisar kita, dengan aktiviti hiliran industri koko mencatatkan prestasi baik di Malaysia.

"Berikutan kekurangan koko, saya difahamkan bahawa terdapat pelabur di Malaysia yang pergi ke Indonesia untuk membuka kemudahan pengisaran mereka. Oleh kerana Indonesia menetapkan duti eksport 10 peratus bagi koko dieksport dari negara mereka, kita tidak boleh terus mengeksport dengan banyak dari mereka seperti sebelum ini," katanya selepas majlis pelancaran peringkat kebangsaan program tersebut di sini, hari ini.

Program tersebut yang melibatkan pemberian anak pokok koko yang telah dicantum secara percuma kepada rakyat, disasarkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanaman ini di samping memberi pendapatan sampingan kepada rakyat.

Ia juga dijangka membantu menyumbang kepada sasaran pengeluaran biji koko tempatan kepada 40,000 tan setahun dalam tempoh lima tahun akan datang. Dompok menjelaskan Malaysia dan Sabah dahulunya pernah mengusahakan banyak tanaman koko namun apabila harga komoditi tersebut turun pada akhir 1980-an, ia dianggap tidak menguntungkan dan diganti dengan kelapa sawit berikutan nilainya yang tinggi.

Sementara itu Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr. Azhar Ismail berkata dengan program-program koko yang sedia ada dan Program Koko Untuk Rakyat ini, Lembaga itu menyasar pengeluaran biji koko negara dapat menampung sekurang-kurangnya 30 peratus keperluan kapasiti pengisaran negara menjelang 2020.

Menyentuh program hari ini, beliau berkata, 1,000 anak pokok koko akan diedarkan sempena majlis pelancaran, dan sasaran mereka adalah untuk mengedarkan 1 juta anak pokok dalam lima tahun (dianggar melibatkan 1,000 hektar) iaitu purata 200,000 anak pokok dalam setahun.

Program itu mengalakkan tanaman koko di kawasan seperti di sekeliling rumah, pejabat, sekolah dan taman rekreasi.

Beliau berkata, LKM juga akan membantu memasarkan buah atau biji koko tersebut.

Pada 2009, pengisaran biji koko oleh industri pengisaran koko Malaysia berjumlah 279,228 tan. Malaysia mencatatkan pendapatan sebanyak RM3.2 bilion daripada eksport koko dan produk berasaskan koko pada tahun tersebut, turun sedikit daripada RM3.4 bilion yang diraih pada 2008.

- Bernama

Terbaik dari Malaysia


Badruddin Amiruldin (tengah) tertarik dengan produk minuman jus rosel selepas merasmikan Siri Jelajah Kempen Pembangunan Jenama 1Malaysia Best di Kuala Lumpur baru-baru ini.


INDUSTRI asas tani dan sektor pengeluaran agro makanan kini semakin mendapat penyertaan meluas dari kalangan masyarakat.

Melihat potensinya yang mampu memberi pulangan lumayan, ramai usahawan dan pengusaha perniagaan telah mula mencuba nasib dalam bidang tersebut.

Tambahan pula, bumi Malaysia yang mempunyai kelebihan dikurniakan pelbagai produk tani bermutu tinggi membuka lebih banyak peluang untuk mereka melaksanakannya dalam skala lebih besar.

Perkembangan positif itu sebenarnya bukan sahaja dapat memajukan bidang pertanian, tetapi juga mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

Justeru, bagi menggalakkan usaha tersebut, kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sentiasa komited menyokong sektor berkenaan melalui penyediaan khidmat nasihat dan penggalakan.

Selain bantuan teknikal, kajian dan penyelidikan (R&D) serta kewangan, fokus turut diberikan kepada mekanisme aktiviti pemasaran dan promosi.

Ini kerana, ketika ini terlalu banyak produk asas tani dan agro makanan yang dihasilkan tidak mendapat ruang pasaran meluas dan stabil.

Antara puncanya adalah, produk-produk ini dikeluarkan dalam pelbagai jenama yang menyukarkan proses pemasaran.

Mencari penyelesaian permasalahan itu, MOA baru-baru ini telah melancarkan jenama pengiktirafan produk asas tani negara yang dikenali sebagai 1Malaysia Best.

Matlamatnya adalah untuk mewujudkan identiti perakuan jenama bagi produk-produk pertanian selain meningkatkan profil dan aktiviti jualannya menerusi pelaksanaan serta pemantauan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menurut menterinya, Datuk Seri Noh Omar, penjenamaan tersebut merupakan lambang penyatuan produk-produk asas tani yang membawa imej kualiti terbaik.

''Ia bakal menjadi jenama unggul yang berperanan sebagai ikon identiti Malaysia di pasaran global dengan jaminan penghasilan produk-produk yang halal, berkualiti dan selamat.

''Selama ini terlalu banyak jenama yang digunakan oleh pengusaha-pengusaha kita. Jadi, menerusi 1Malaysia Best, ia diharap dapat memudahkan operasi pemasaran.

''1Malaysia Best merupakan satu pengiktirafan kepada produk-produk tempatan di mana para pengusaha masih boleh menggunakan jenama asal mereka,'' katanya ketika merasmikan jenama 1Malaysia Best di Subang Jaya baru-baru ini.

Idea penjenamaan tersebut sebenarnya diambil daripada pelaksanaan gagasan 1Malaysia yang mementingkan budaya cemerlang dalam pencapaian dan kemajuan.

Menerusi medium itu, ia akan memberi gambaran kepada umum bahawa produk dengan jenama 1Malaysia Best adalah yang terbaik dan memenuhi piawaian antarabangsa terutama dalam sistem perdagangan berteraskan eksport.

''Dengan adanya keyakinan ini, ia akan memantapkan lagi produktiviti pembangunan kluster sub agro makanan sekali gus melengkapkan rantaian bekalan, mengurangkan kos pengeluaran serta meningkatkan penglibatan sektor awam.

''Justeru, kementerian berserta agensi dan jabatan di bawahnya akan sentiasa berusaha membangunkan sektor ini dari segi peningkatan keupayaan dan pengetahuan usahawan tani,'' jelasnya.

Sumber:Utusan Malaysia

Tuesday, July 6, 2010

Khasiat limau bali

INOVASI ini dihasilkan daripada tisu buah limau bali muda (Citrus grandis) menggunakan teknik pengkulturan tisu. Ia berupaya digunakan sebagai sumber antioksida semula jadi dalam produk kesihatan dan makanan berfungsi.

Sumber antioksida daripada bahan semula jadi iaitu limau bali muda yang berpotensi tinggi menggantikan bahan sintetik yang kini menguasai pasaran.

Kelebihan CiTRUsX adalah kandungan asid askorbik yang tiga kali ganda lebih tinggi berbanding buah limau bali itu sendiri.

Produk ini juga mengandungi sebatian gandingan yang sama dengan buah limau seperti flavones, flavanones dan beberapa komponen lain yang melengkapkan fungsi sebagai antioksida dan ia hanya diperoleh dalam antioksida semula jadi.
Sumber:utusan malaysia

Tisu hasil dari proses kultur ini amat berpotensi dalam menghasilkan bahan sebatian semula jadi kerana ia terdiri daripada struktur sel yang homogen dan sememangnya tersedia untuk diaplikasikan ke dalam produk kesihatan dan makanan berfungsi tanpa perlu melalui proses pengekstrakan.

Sumber antioksida semula jadi dari tisu kultur buah limau bali muda ini boleh dicampurkan terus pada produk kesihatan termasuk vitamin, makanan berfungsi, minuman kesihatan dan produk penjagaan kulit.

Selain itu, ia juga mampu bertindak sebagai bahan pengawet semula jadi bagi memanjangkan jangka hayat produk.

Penggunaan buah limau bali muda dalam penyelidikan ini dapat mengurangkan pembaziran pembuangan buah limau bali muda yang dilakukan kebanyakan pengusaha tanaman itu bagi memberi peluang sebahagian buah saja membesar pada saiz yang dikehendaki.

Secara tidak langsung, penyelidikan ini turut memberi tambah nilai kepada industri penanaman pokok limau bali yang kebanyakannya tertumpu kepada pemasaran buah limau bali matang semata-mata.

Permintaan dan pasaran asid askorbik yang sememangnya tinggi di dunia masa kini memberi kelebihan kepada produk ini.

Tambahan pula ia dihasilkan secara semulajadi memberi kelebihan untuk dipilih apabila memasuki pasaran kelak

Tuesday, June 8, 2010

Ladang Satelit lima tahun lagi

Pelajar ikut kursus ternakan di Australia

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan perjanjian persefahaman dengan kerajaan Australia untuk menghantar pegawai atau pelajar jurusan pertanian mengikuti kursus lanjutan penternakan lembu di negara itu bagi melahirkan lebih ramai pakar tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata kepakaran serta standard penternakan Australia diperakui pada peringkat global membolehkan rakyat Malaysia mendalami bidang itu secara teori dan amali dalam membantu negara merealisasikan konsep Ladang Satelit dalam tempoh lima tahun lagi.
“Menerusi perbincangan dengan Menteri Industri Utama, Perikanan dan Sumber Northern Territory, Konstantine Vatskalis, mereka berminat membuka peluang kepada penternak atau pelajar pertanian tempatan mengikuti kursus jangka pendek atau lanjutan di Universiti Northern Territory dan dijangka perjanjian bakal ditandatangani November ini.
“Kita boleh membuka sebuah ladang ternakan di Australia untuk memastikan bekalan daging halal pasaran Malaysia mencukupi mengikut spesifikasi Kawalan Makanan Negara pada kadar harga lebih rendah,” katanyaselepas mengadakan lawatan kerja di Ladang Opium Creek, Wilayah Utara Australia, kendalian syarikat Jerambak PTY LTD (Jerambak), dimiliki kerajaan Brunei, di sini semalam.
Sumber:Berita HArian

Pengeluar daging, susu terbesar

FELDA menerusi anak syarikatnya Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, menjalin usaha sama dengan Middle East Oils & Grains Ltd (MEOG) dan Felda IFFCOAllana Malaysia Sdn Bhd bagi melaksanakan projek ternakan lembu bersepadu membabitkan pelaburan RM688 juta.

Projek berkenaan yang akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini, bakal menyaksikan FELDA muncul pengeluar daging dan susu lembu terbesar negara. Perjanjian usaha sama antara ketiga-tiga syarikat itu dimeterai di Kuala Lumpur. Ia disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Yusof Noor. Di bawah perjanjian itu, ketiga-tiga syarikat akan menubuhkan syarikat usaha sama di kenali sebagai Felda IffcoAllana Malaysia (FIAM).

Felda Global serta MEOG yang berpangkalan di India masing-masing akan memegang 40 peratus kepentingan syarikat usaha sama itu, manakala Felda IFFCOAllana memegang baki 20 peratus.

Menerusi usaha sama itu juga, setiap syarikat akan menyumbang sumber serta kepakaran masing-masing, yang mana Felda Global akan menyediakan tanah untuk ternakan, MEOF menyediakan rantaian pengedaran dan pemasaran global, manakala Felda IFFCOAllana pula akan menyediakan baka ternakan serta kepakaran dalam membina pusat penyembelihan serta kemudahan pemprosesan daging bertaraf dunia.

Najib dalam ucapannya pada majlis pemeteraian perjanjian usaha sama itu berkata, pakatan yang dijalin Felda Global itu akan membantu negara ini mengurangkan pergantungan kepada import daging lembu dan susu untuk memenuhi keperluan bilangan penduduk negara yang semakin meningkat.
Ketika ini Malaysia hanya menghasilkan 25 peratus daging lembu untuk kegunaan tempatan dan lebih memeranjatkan, hanya lima peratus saja bekalan susu tempatan.

Keadaan ini meletakkan beban yang tidak sewajarnya di bahu pengguna tempatan yang terpaksa membayar harga lebih tinggi bagi daging lembu dan susu import, selain mengehadkan pembangunan ekonomi negara apabila kita terlalu bergantung kepada bekalan luar untuk bekalan makanan tempatan, katanya.

Beliau juga menegaskan, usaha sama itu menjadi satu lagi mercu tanda bagi Felda Global yang baru dilancarkan operasinya Julai tahun lalu.

Dalam tempoh singkat Felda Global sudah menunjukkan kemajuan untuk menjadi satu daripada syarikat peneraju antarabangsa dalam industri pertanian, katanya.

Beliau juga memuji usaha sama itu yang mana syarikat terbabit menggunakan kepakaran masing-masing untuk menambah nilai tanah estet milik peneroka Felda.

Kita ada lebih 800,000 hektar tanah estet milik pekebun kecil, tetapi hanya sejumlah kecil digunakan untuk ternakan, dan kita juga tiada rantaian pasaran antarabangsa, justeru menerusi pakatan ini setiap rakan kongsi akan menggunakan kemahiran masing-masing untuk kebaikan syarikat, katanya
.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails