Sunday, January 3, 2010

Produk kegunaan harian daripada herba


Semua produk yang dihasilkan menggunakan adunan herba tempatan.


NEGARA yang kaya dengan kepelbagaian biologi yang belum habis diteroka bakal memberikan lebih banyak pilihan dalam rawatan herba. Pelbagai jenis tanaman herba bukan saja boleh dibangunkan untuk dijadikan makanan tetapi juga sebagai produk kesihatan.

Justeru sebuah syarikat bumiputera, Hikmah Batu Terapung mengeluarkan produk kesihatan berlandaskan Islam menggunakan bahan-bahan mentah yang diperoleh di negara ini.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Muhammad Awang mula menjalankan usaha menghasilkan beberapa produk herba untuk kegunaan seharian.

Dilahirkan di Kelantan dan berketurunan Pattani, Muhammad mendapat pendidikan di Arab Saudi apabila mengikut ayahnya ke sana semasa berusia 14 tahun dan kembali ke tanah air pada usia 30an.

"Selepas menamatkan pengajian di Universiti King Abdul Aziz, saya mendalami kaedah menghasilkan produk kesihatan menggunakan herba secara Islam," katanya semasa ditemui di premisnya di Taman Industri Lembah Jaya, Ampang, Selangor.

Yakin dengan segala penyakit mempunyai ubatnya, Muhammad sentiasa berusaha menghasilkan pelbagai jenis produk kesihatan.

Berlandaskan kaedah perubatan secara Islam, beliau menggunakan bahan semulajadi yang mudah ditemui seperti lintah, belut, serai wangi, akar dawai, buah telunjuk langit, tongkat ali, buah pinang, bunga serta daun orkid, akar keduduk, akar lalang, buah jarak, pokok serta buah manggis serta minyak buah zaitun.

Muhammad berkata, mengikut Islam, mengambil herba untuk tujuan perubatan perlukan kaedah yang tertib.

"Semua tanaman herba boleh dijadikan penawar penyakit," katanya.

Beliau yang mempelajari mengenai tanaman herba tempatan daripada Orang Asli serta saintis tempatan.

Justeru pada tahun 2007, Muhammad memulakan usaha menghasilkan produk penjagaan kesihatan di rumahnya di Taman Putra Ampang.

Selepas dua tahun, apabila produknya mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pelanggan, beliau menyewa premis di Taman Industri Lembah Jaya Ampang.

Menggunakan herba, syarikatnya menghasilkan produk kesihatan seperti Minyak Khazanah bagi lelaki dan perempuan, krim Puteri Lagenda, Kapsul Herba, Minyak Rambut, HBT Kopi dan Sabun Herba Lagenda.

Minyak Khazanah Alam misalnya sesuai untuk membantu merawat jerawat dan jeragat, angin ahmar, buasir dan gout.

Krim Puteri pula sesuai bagi lelaki dan perempuan untuk memecahkan lemak serta angin dalam badan, lenguh dan sesuai bagi ibu selepas bersalin.

Kapsul Herba diambil bagi mereka yang menderita darah tinggi, lenguh badan, strok, batu karang dan mencuci darah dan buah pinggang.

Minyak Rambut Puteri Lagenda pula sesuai bagi mereka yang menghadapi masalah rambut termasuk keguguran rambut, uban dan masalah bau rambut.

HBT Kopi bagi lenguh-lenguh badan, strok, gout, membuang toksin dalam badan, mencuci usus dan melancarkan perjalanan darah.

Sabun Herba Lagenda pula untuk mencerahkan kulit, merawat jerawat dan jeragat serta kecantikan kulit.

Apa yang lebih membanggakan dua produk keluaran syarikat Hikmah Batu Terapung telah diuji dan diluluskan oleh SIRIM Berhad.

"Buat masa ini ujian yang dijalankan adalah bagi kandungan logam berat yang terdapat dalam dua produk iaitu Minyak Khazanah Alam dan Kapsul Herba," katanya.

Menghasilkan semua produknya sendiri dapat Amalan Pengilangan Baik (APB) juga mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

Buat masa ini syarikat Hikmah Batu Terapung berupaya mengeluarkan sehingga 100,000 kotak sabun dalam masa dua minggu.

Selain mengeluarkan produk kesihatan, Hikmah Batu Terapung juga menjalankan perkhidmatan bekam serta sauna herba.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai produk keluaran Hikmah Batu Terapung boleh menghubungi 03-42700976 atau emel: hikmahbatuterapung@gmail.com.

AgroBazar Kedai Rakyat tingkatkan ekonomi


Muhamad Idris Mansor BANGGA BERDIRI DI DEPAN KEDAINYA SEBAGAI BUKTI KEJAYAAN SEJAK TERLIBAT DALAM PROGRAM aGRObAZAAR.


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) antara agensi Kementerian dan Industri Asas tani yang memperkenalkan banyak program untuk membantu masyarakat luar bandar meningkatkan ekonomi mereka.

Antara yang diperkenalkan ialah AgroBazar Kedai Rakyat iaitu satu program membantu meringankan bebanan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana terutama di kawasan luar bandar.

AgroBazaar Kedai Rakyat berkonsepkan perniagaan milik usahawan dengan identiti tersendiri serta menjual barangan keperluan asas pada harga yang dikawal.

FAMA akan membekalkan papan tanda berlampu serta rak yang bersesuaian bagi mewujudkan suasana menarik dan seragam dengan konsep perniagaan yang akan dijalankan.

Bagi tahun ini, sebagai permulaan, FAMA mensasarkan penubuhan sejumlah 40 buah AgroBazaar Kedai Rakyat.

Bagi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) pula dijangkakan jumlahnya akan mencecah sehingga 1,000 unit di seluruh negara.

Ini adalah selaras dengan misi FAMA untuk membangun rantaian pemasaran makanan dan hasil pertanian yang cekap dan berkesan bagi meningkatkan nilai kepada pelanggan.

Salah seorang usahawan yang telah menyertai program FAMA ini ialah Muhamad Idris Mansor dari Kg. Sungai Baru, Kuala Sanglang, Kedah.

Berusia 36 tahun, beliau yang dahulunya menjadi nelayan kini telah berjaya membangunkan perniagaan borong dan runcit di Kg. Simpang Sanglang, Perlis, terletak bersempadan Negeri Kedah dan Perlis).

Minatnya untuk berniaga timbul sejak zaman persekolahan di Ipoh dengan mengusahakan perniagaan air soya, tauhu dan taufu fah.

Selepas menamatkan pengajiannya di Sekolah Agama (2 Senawi), beliau kembali ke kampung halamannya di Kuala Sanglang dan menjalani penghidupan sebagai nelayan selama lima tahun.

Kesukaran serta kesulitan hidup yang dihadapi sepanjang tempoh tersebut telah membuka hati beliau untuk berkecimpung sepenuh masa dalam bidang perniagaan.

Beliau memulakan perniagaan gerai tepi jalan dengan menjual hasilan laut dan sayur-sayuran yang diperolehi daripada nelayan dan petani dari kawasan berhampiran.

Berkat usaha gigih serta sokongan isterinya, Aziroh Abu Bakar serta enam anak, perniagaannya terus berkembang sehingga membolehkan beliau menyewa rumah kedai tempat perniagaannya sekarang.

Kini beliau mengusahakan perniagaan kedai runcit, barangan basah (ikan, daging, ayam, sayur dan buah), barangan sejuk-beku dan stesen minyak mini.

Di samping itu, perniagaan beliau juga bertindak sebagai pembekal (pemborong) kepada peniaga-peniaga kecil di persekitaran.

Bermula Julai lalu, beliau menerima tawaran daripada pihak FAMA Negeri Perlis untuk menyertai program AgroBazaar Kedai Rakyat.

Penyertaannya membolehkan beliau menerima bantuan daripada FAMA meliputi penyediaan papan tanda, mengecat bangunan perniagaan, pinjaman rak perniagaan, payung serta kanopi di samping bekalan secara produk Agromas keluaran FAMA.

Menurut Muhamad Idris, kewujudan AgroBazaar Kedai Rakyat telah memberi nafas baru kepada perniagaannya di mana nilai jualan harian meningkat antara 20 dan 30 peratus.

Ini disebabkan keunikannya di samping konsep perniagaan yang mampu menarik lebih ramai pelanggan.

Sehubungan itu, beliau berhasrat untuk memperbesarkan perniagaannya lagi dengan meluaskan premis perniagaan serta menambah cawangan di pekan berhampiran.

Setelah 12 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan, pulangan yang diperoleh amat membanggakan sehingga beliau mampu memiliki rumah sendiri bernilai RM 100,000 di samping membeli sebuah rumah kedai, sebuah kedai makan, sebuah perahu, kereta dan van.

Adalah diharapkan pencapaian beliau ini mampu memberi inspirasi kepada usahawan-usahawan lain untuk terus bergiat serta memajukan diri di bidang perniagaan.

FAMA akan sentiasa membantu dengan program dan aktiviti yang telah ditetapkan ke arah mewujudkan usahawan yang cemerlang, gemilang dan terbilang tanpa batasan agama, bangsa atau budaya selaras dengan konsep Gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Tepung keledek berpotensi dikomersialkan


Norani Sidek (kanan) bersama Prof. Saidatul Hisan menunjukkan tepung yang diperbuat dari keledek di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


BIASANYA ubi keledek dimakan dalam bentuk gorengan, direbus atau bahan dalam kuih-muih sebagai hidangan sarapan pagi atau petang. Rasa keledek biasanya manis dengan kehadiran gula yang biasanya meningkat apabila direbus atau dimasak.

Bagaimanapun kanji merupakan bahan utama dan tepung boleh dihasilkan daripada keledek.

Kajian menunjukkan keledek kaya dengan Vitamin A dalam bentuk beta karoten dan sumber Vitamin C yang baik selain mempunyai ciri perubatan sebagai makanan antioksidan.

Kedua-dua beta-karoten dan Vitamin C merupakan bahan antioksidan yang berguna dan boleh memusnahkan radikal bebas.

Radikal bebas merupakan bahan kimia yang memusnahkan sel dan membran sel dan berkaitan dengan perkembangan atherosclerosis, penyakit diabetes dan kanser kolon.

Kajian menunjukkan warna kuning atau jingga dalam keledek disebabkan oleh kandungan beta-karoten.

Beta-karoten dalam keledek boleh digunakan untuk menghasilkan Vitamin A yang dinamakan Provitamin A.

Keledek ungu pula merupakan sumber terbaik antosianin dan mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi di kalangan varieti keledek.

Justeru sekumpulan pensyarah dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), menjalankan kajian mengenai keledek.

Kajian yang diketuai oleh Prof. Madya Norani Sidek bersama Prof. Madya Raja Saidatul Hisan Raja Datuk Sri Azam, Noradzhar Baba dan Sabaianah Bachok bagi menunjukkan keledek sesuai dijadikan tepung yang berpotensi dikomersialkan.

Norani berkata, produk baru yang dihasilkan daripada keledek kaya dengan beta-karoten dan antioksidan, tinggi fiber, kalori rendah, tanpa pengawet dan pewarna tiruan.

"Tepung keledek berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai nilai pemakanan dan sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

"Ini merupakan sesuatu yang baru dalam pasaran, mempelbagaikan kegunaan keledek, menghasilkan pelbagai produk daripada tepung keledek," katanya semasa ditemui semasa pameran BioMalaysia 2009 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menambah, pelbagai produk berasaskan keledek berpotensi dikomersialkan kerana mempunyai pelbagai nilai pemakanan dan sesuai bagi mereka yang menjaga kesihatan.

"Tepung keledek merupakan produk baru dalam pasaran yang baik untuk menghasilkan adunan tepung dan hasil bakeri dan boleh dijadikan makanan kesihatan," katanya.

Norani berkata, kajian yang dijalankan mendapati tepung keledek mudah dihasilkan menggunakan bahan sedia ada.

Keledek yang dituai perlu dikupas kulit, potong dan dikeringkan pada suhu 158 darjah Celsius selama lapan jam.

Bahan berkenaan kemudian disejukkan pada suhu bilik selama dua jam sebelum dikisar dan kemudian diayak dan kemudian tambah dengan beberapa bahan lain.

"Tepung keledek tadi boleh menghasilkan beberapa produk lain seperti sos barbeku, produk pastri dan bakeri, sapuan keledek, lempeng dan fritter dan batters," katanya.

Sumber:utusan malaysia

Wednesday, December 23, 2009

Penduduk pelajari teknik penyembelihan


KAJANG – Penduduk sekitar Taman Jasmin dekat sini diberikan pendedahan baru berkaitan teknik penyembelihan yang betul melalui ‘Kursus Penyembelihan Siri 1 2009’.

Yang Dipertua Badan Kebajikan dan Khairat Kematian (BKKK) Taman Jasmin, Datuk Mohamed Zain Zakaria berkata, kursus diadakan bertujuan memberi pendedahan pertama kepada ahli kariah dan BKKK serta penduduk sekitar.

“Melalui kursus ini maka peserta dapat memahami dan mempelajari teknik serta penyelenggaraan penyembelihan dengan cara yang betul, mengikut hukum syarak, halal dan toyibban.

“Kursus diadakan secara teori dan praktikal di mana kefahaman dapat diberikan dengan lebih jelas lagi dan sebanyak 40 ayam serta dua ekor kambing telah diberikan untuk tujuan latihan secara praktikal,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Mohamed Zain berkata, salah satu syarat penyertaan adalah setiap peserta dikehendaki melakukan praktikal penyembelihan seekor ayam kampung sebagai syarat utama penyertaan mereka.

Beliau berkata, selepas menyertai kursus penyembelihan ini maka penduduk akan lebih yakin untuk melakukan penyembelihan dengan sendirinya tanpa rasa ragu dan kursus sebegini berkemungkinan akan diadakan secara berkala iaitu setahun sekali.

“Penyertaan daripada penduduk sekitar disasarkan hanya seramai 30 orang tetapi kini ia telah melebihi daripada angka itu dan penyertaan amat memberangsangkan malah peserta berpuas hati dengan kursus penyembelihan yang diadakan,” katanya.

Menurutnya, kursus anjuran bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan BKKK Taman Jasmin itu diadakan pekarangan Surau Taman Jasmin dan Dewan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kafa Integrasi Taman Jasmin.

Hadir sama, Penolong Pengarah Unit Halal, Jais, Ahmad Solihin Maryakon dan beliau telah merasmikan kursus penyembelihan itu.

Sumber:Sinar Harian

Tuesday, December 15, 2009

Syarat tanah subur




Penggunaan media berasaskan gambut elak tanah jadi padat dan keras

SESIAPA saja boleh menanam pokok. Bagaimanapun, ramai tidak tahu bagaimana mahu memastikan pokok yang ditanam terus hidup dan subur.

Bagi kebanyakan kes, ramai yang tidak menjaga pokok yang ditanam, termasuk menyelenggara, memangkas dan menggalakkan pertumbuhan pokok dan menjejaskan pertumbuhannya.


Tidak kurang yang beranggapan, memadailah untuk menyuburkan pokok dengan meletakkan baja yang bersesuaian, selain air dan sinaran matahari yang mencukupi mengikut kesesuaian pokok.

Hakikatnya, ada banyak masalah lain yang menyebabkan pokok tidak subur atau mampu hidup lama. Kebiasaannya, masalah yang sering dihadapi pokok yang menyebabkannya tidak subur ialah kehadiran rumput rumpai yang tidak diingini, iaitu pokok terpaksa bersaing untuk mendapatkan nutrien dengan rumput berkenaan.

Selain itu, timbul masalah penyusutan media tanaman menyebabkan akar kurang produktif dan seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan pokok.



Dalam sesetengah kes pula, tanah menjadi terlalu padat dan menjadi keras. Ini menyebabkan berlaku takungan air serta masalah pengudaraan. Jika tanda-tanda berkenaan wujud, maka pokok akan kekurangan nutrien dan memerlukan proses membaikpulih tanah.

Salah satu cara mudah membaik pulih tanah ialah dengan menggunakan penyubur tanah berasaskan gambut. Caranya adalah seperti berikut:

1. Cabut rumput rampai pada sekeliling pokok. Seeloknya lakukan pemangkasan terlebih dulu. Pangkas dahan mati dan yang berpenyakit.

2. Taburkan penyubur tanah berasaskan gambut setebal 2.54 hingga 5.08 sentimeter (satu hingga dua inci). Jangan bimbang jika ia terlebih kerana ia seratus peratus organik dan tidak mengandungi sebarang najis binatang.


3. Gemburkan saja atau sekadar gaulkan. Pastikan tidak mencederakan akar. Seterusnya siram air secukupnya.

Fakta Tanah Gambut

  • Di Malaysia, kebanyakan tanah gambut mengandungi 90 peratus bahan organik di dalamnya seperti sisa pereputan kayu, daun, akar dan batang pokok, selain mengandungi mineral yang biasa dijumpai dalam tanah lain.

  • Tanah gambut juga dikatakan mampu menyerap, menapis air dan ia dikatakan menjadi takungan karbon yang amat besar kuantitinya serta mempunyai kepentingan ekonomi untuk sektor pertanian dan penanaman pokok hiasan.

  • Dalam keadaan semula jadi, tanah gambut di negara ini mengandungi bahan pereputan kayu, dari akar, daun hingga ranting pokok. Ini menyebabkan air sentiasa bertakung di permukaan tanah dan melambatkan pereputan.

  • Bagi petani, tanah gambut digelar sebagai tanah hitam kerana warnanya lebih hitam dan berbeza dengan jenis tanah lainnya. Tanah gambut umumnya dalam bidang botani disebut peat, namun ia mempunyai pelbagai gelaran lain mengikut negara.

  • Di Amerika Utara, gambut disebut sebagai fen, manakala di Kanada dikenali sebagai musked. Di Russia dan Amerika Syarikat pula dirujuk sebagai bog, Finland (mire) dan di Jerman (moor).

    Info:
    Rencana ini disediakan Peat Organic (M) Sdn Bhd, pengeluar tanah gambut Peatgro. Hubungi mereka di www.peatorganic.com atau telefon 03-61208727 / 03-61208728 (faksimili)
  • Cari Maklumat anda di sini

    Google
     
    Related Posts with Thumbnails