Thursday, September 24, 2009

Jambu Pak Cu ke pasar raya


JAMBU Pak Cu 916 Sdn Bhd, perintis perniagaan jambu potong secara komersial yang kini sudah mempunyai 468 cawangan di seluruh negara melangkah setapak lagi apabila akan memasuki pasar raya di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Pengarah Urusannya, Ishak Abdul (Pak Cu), berkata sejak 1982 lagi dia sudah mula berniaga jambu potong dan walaupun bermula secara kecil-kecilan kini dia mampu memberi peluang kepada orang lain untuk memperoleh pendapatan sampingan.

Katanya, berikutan sambutan menggalakkan terhadap produk makanan berasaskan jambu berkenaan dia menyasarkan lebih banyak cawangan yang akan dibuka akhir tahun ini.

“Peluang perniagaan kios jambu batu potong terbuka kepada sesiapa saja yang berminat lebih-lebih lagi mereka yang menganggur kerana selain dapat menjana pendapatan lumayan sekali gus memperoleh ilmu perniagaan.

“Potensi untuk berjaya dalam perniagaan ini sangat besar jika tahu caranya dan diusahakan dengan jujur, malah ada yang mampu mencatatkan jualan RM300 sehingga RM1,500 sehari,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, selain cuba menembusi pasaran pasar raya, syarikat Jambu Pak Cu 916 turut mengajar mereka menguruskan perniagaan tepi jalan supaya berjaya dan mampu memperoleh pendapatan tetap mencecah ribuan ringgit.

Fokus pasaran Jambu Pak Cu 916 ini bukan saja di Semenanjung Malaysia tetapi menurut Pak Cu, pihaknya akan memasuki pasaran di Sabah dan Sarawak jika ada permintaan di sana.

Jambu Pak Cu 916 mengalu-alukan orang ramai atau pengusaha yang ingin mengembangkan perniagaan dengan membuka jualan jambu jenama berkenaan kerana ia mampu menjana pendapatan keluarga.

Pakej perniagaan yang ditawarkan oleh Jambu Pak Cu 916 berharga RM2,200 merangkumi kios, set payung dan pelbagai kelengkapan lain selain diberi bimbingan dan latihan usahawan.

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my

Fama buka 5 pasar tani baru

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Perak akan mewujudkan lima pasar tani baru di beberapa lokasi strategik di seluruh negeri bagi memenuhi kehendak pengguna serta membantu meningkatkan taraf hidup pengusaha hasil tani tempatan, menjelang akhir tahun ini.

Lokasi baru itu di Kuala Kangsar, Kampar, Changkat Jering, Manjung dan Parit Buntar selain tiga yang baru dilancarkan baru- baru ini iaitu di Taman Perpaduan (Ipoh) selain Kampung Gajah dan Pokok Assam (Taiping).

Ahli Lembaga Pengarah Fama, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata secara keseluruhan, 17 pasar tani aktif beroperasi di negeri ini sejak 1985 sehingga Julai lalu membabitkan 723 peserta.

Beliau berkata, nilai keseluruhan jualan yang dicatatkan sejak ia mula dibuka 24 tahun lalu mencecah RM159 juta dengan tahun lalu saja ia mencapai angka jualan RM12 juta.

“Bagi Januari hingga Julai tahun ini pula, nilai jualan sudah pun mencapai RM7.3 juta dan ia adalah angka cukup memberangsangkan.

“Kami berharap penubuhan pasar tani baru itu akan membantu meningkatkan nilai jualan keseluruhan apabila semuanya dapat beroperasi sepenuhnya kelak,” katanya.

Katanya, pembukaan lebih banyak pasar tani bukan saja memberi sumber pendapatan tambahan kepada pengusaha hasil tani malah, ia juga mampu menjana ekonomi di negeri.

Selain pasar tani, Fama Perak turut mewujudkan program pembangunan usahawan lain seperti Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) membabitkan 41 unit dengan 32 peserta dan empat Kedai Rakyat (12 peserta).

Program berkenaan sehingga kini mencatatkan nilai jualan sebanyak RM7 juta setiap tahun.

Katanya, semua program dirancang dan dilaksanakan oleh Fama bertujuan meningkatkan pembangunan usahawan dan menambahkan pendapatan peserta.

Perluas industri sarang burung walet di kampung

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan memperluaskan industri sarang burung walet ke kampung bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha Bumiputera menceburi industri itu.

Ketua Pengarah JPV, Datuk Abd Aziz Jamaluddin, berkata pihaknya percaya industri itu boleh berkembang di kawasan kampung kerana ia mempunyai pelbagai sumber makanan untuk burung itu seperti tanaman dan dusun buah-buahan.

“Jika boleh kami hendak melihat lebih ramai Bumiputera terbabit dalam industri burung walet ini,” katanya selepas meninjau perusahaan burung walit di Kampung Pengkalan Berangan, di Marang, Terengganu, semalam.

Abd Aziz berkata, ketika ini, terdapat 200,000 pengusaha burung walet di seluruh negara dengan nilai pengeluaran mencecah RM1 bilion setahun.

Beliau berkata, daripada jumlah besar itu, hanya lapan peratus mewakili pengusaha Bumiputera.

- Bernama

Wednesday, September 23, 2009

Varieti Kacang Tanah Baru Margenta


Satu lagi tanaman alternatif bagi petani kawasan tanah bris

Dalam usaha untuk mencari tanaman alternatif kepada tembakau bagi kawasan tanah bris, MARDI telah mengenal pasti satu varieti baru kacang tanah yang diberi nama Margenta. Varieti ini telah bangunkan melalui penilaian setempat dan telah terbukti mempunyai potensi hasil yang tinggi di tanah bris dan sesuai dijadikan salah satu tanaman singkat masa yang dapat ditanam secara giliran dengan jagung manis dan keledek bagi menggantikan tembakau. Varieti ini telah dibawa masuk dari ICRISAT (International Crop Research Institute for the Semi Arid Tropics), India. Penilaian prestasi dan pembangunan amalan agronomi bagi varieti ini telah dijalankan semenjak tahun 2002 oleh pegawai penyelidik Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri, Stesen MARDI Telong, Puan Zaharah Ariffin dan En. Yahaya Hussain dengan bantuan penyelidik-penyelidik dari Pusat Mekanisasi & Automasi dan Pusat Teknologi Makanan MARDI.


Ladang kacang tanah Margenta di MARDI Telong

Sifat lenggai & biji kacang tanah Margenta

Kelebihan utama varieti Margenta ini berbanding dengan varieti kacang tanah yang ditanam pada masa ini ialah hasil yang lebih tinggi, tahan kepada penyakit karat dan bintik daun dan kualiti lenggai dan biji yang lebih baik. Potensi hasil lenggai kering adalah melebihi 3.5 t/ha. Lenggai yang dihasilkan adalah lebih besar dan seragam dengan peratus lenggai berbiji dua adalah melebihi 80%. Ciri ini sangat diperlukan oleh pengilang dalam penghasilan produk makanan snek seperti kacang panggang dan Menglembu.

Kacang tanah boleh digunakan sebagai ramuan dalam pelbagai masakan dan kuih muih. Selain daripada direbus atau digoreng, kacang tanah Margenta sesuai untuk diproses menjadikan produk snek seperti kacang rebus kering ala Menglembu, coklat berkacang, bepang kacang, kacang goreng bersalut, rempeyek dan juga kuah sate dalam uncang sebagai sajian makan bersama sate, nasi himpit dan gado-gado. Produk-produk ini sesuai dimakan oleh semua lapisan masyarakat dan digemari oleh masyarakat Malaysia dan berpotensi untuk dieksport ke luarnegara.

Varieti Margenta ini telah sempurna dilancarkan oleh Y.B. Datuk Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, di Stesen Penyelidikan MARDI Telong, Bachok, Kelantan pada 16 Ogos 2009. Dalam ucapan pelancaran tersebut Y.B. Datuk Rohani menyarankan supaya lebih ramai petani menanam varieti ini kerana varieti ini sangat sesuai untuk tanah bris. Selain daripada itu, kacang tanah juga boleh dijadikan tanaman pilihan yang baik bagi sistem tanaman integrasi atau perladangan campur kerana sisa baki tanaman (batang dan daun) sesuai dijadikan sumber makanan ternakan yang berkhasiat sama ada dalam bentuk segar atau setelah diproses menjadi silaj.

Friday, September 11, 2009

Kerisik Ucu dikomersialkan


AFIDAH Kamaruddin menggoreng kelapa parut di rumahnya di Bandar Putra Kulai, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 9 Sept. - Sejak zaman dahulu, kerisik merupakan makanan popular yang sering digunakan sebagai perencah tambahan dalam masakan oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Cuba bayangkan masakan rendang atau laksa Johor tidak dimasukkan sedikit kerisik. Aduhai, memang kurang 'rasa' dan boleh menghilangkan selera seseorang untuk menikmati masakan itu dengan sepuas-puasnya.

Hakikatnya, kerisik cukup terkenal untuk menambah rasa sedap masakan, memekatkan masakan selain menambah aroma yang menyelerakan.

Secara tradisinya, kerisik yang dihasilkan daripada kelapa parut tua dilakukan oleh golongan wanita dan remaja perempuan.

Maka tidak hairan jika ramai yang pernah mendengar gurauan orang tua mengatakan lelaki yang ingin mencari calon isteri perlu memilih wanita yang pandai membuat kerisik.

Kata gurauan itu menggambarkan calon isteri pasti rajin di dapur kerana proses membuat kerisik bukan kerja yang mudah.

Ia mengambil masa yang lama apabila kelapa perlu diparut terlebih dahulu sebelum digoreng tanpa minyak di dalam kuali.

Kini, cara membuat kerisik dihasilkan mengikut peredaran zaman apabila mengikut cara moden yang menggunakan alat pengisar dan bukan lagi lesung batu.

Afidah Kamaruddin, 41, kini mengkomersialkan kerisik dengan memasarkan secara sambilan di rumahnya di Bandar Putra Kulai di sini.

Ibu kepada empat orang anak itu menjalankan perusahaan yang jarang-jarang dilakukan golongan wanita lain di negara ini dalam usaha memelihara kesinambungan makanan tradisional itu agar tidak pupus ditelan zaman.

Dikenali dengan nama Kerisik Ucu, suri rumah sepenuh masa itu memasarkan produk tersebut menerusi rantaian pemasaran yang dilakukan adik-beradik dan rakan-rakan sejak 1997.

"Kerisik boleh diumpamakan makanan yang tidak pupus zaman kerana kepentingannya dalam menambah kesedapan sesuatu masakan.

"Justeru, saya berharap Kerisik Ucu mampu menjadi pewaris bahan perencah utama makanan pada masa akan datang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Afidah memberitahu, mampu bertahan lama hingga tempoh satu tahun apabila disimpan dalam peti sejuk merupakan keistimewaan Kerisik Ucu.

Selain itu, ia mempunyai bau yang lebih wangi kerana menggunakan kelapa laut dari Batu Pahat yang memiliki santan pekat.

Katanya, proses penghasilan kerisik pula menggunakan bahan yang bermutu dan tiada bahan pengawet tiruan.

"Proses membuat kerisik bermula apabila kelapa yang diparut digoreng di dalam kuali selama satu jam setengah.

"Selepas kelapa parut itu garing dan menghasilkan aroma yang sedap, ia dibiarkan sejuk seketika sebelum dikisarkan hingga mengeluarkan minyak dan akhirnya menjadi kerisik," katanya.

Pada kebiasaannya, proses melakukan kerisik dijalankan pada waktu malam dan menggunakan 10 biji kelapa untuk menghasilkan tiga bekas besar kerisik," katanya yang dibantu suami tersayang, Roslin Mustaffa.

Afidah berkata, satu bekas besar kerisik dijual dengan harga RM8, manakala bekas kecil RM4.50

Katanya, permintaan terhadap Kerisik Ucu meningkat ketika menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri, manakala pada hari biasa bergantung kepada permintaan pelanggan.

Ibu yang memiliki sepasang anak kembar lelaki itu memberitahu, para pelanggan utamanya terdiri daripada peniaga restoran dan golongan wanita yang bekerja.

Ditanya mengapa memilih kerisik sebagai sumber pendapatan tambahan, Afidah berkata, kesukaran mendapatkan makanan itu di pasaran mendorongnya tampil menyediakan perkhidmatan itu.

Afidah menyimpan cita-cita besar agar suatu hari nanti dia dapat membuka sebuah bengkel memproses kerisik sendiri untuk meningkatkan kuantiti pengeluarannya.

Selain Kerisik Ucu, dia turut memasarkan produk makanan sejuk beku seperti karipap dan cucur badak.

Afidah boleh dihubungi di talian 013-7698934 atau 07-5990810.

Cari Maklumat anda di sini

Google
 
Related Posts with Thumbnails